Skip to main content

RUMAH MAMPU MILIK : KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU MENJADI PENERAJU UTAMA.

Kerajaan Persekutuan diminta mempercepatkan keputusannya mengenai Perbadanan PR1MA Malaysia.

Sebelum ini telah diumumkan satu penelitian wajar (due dilligence) akan dilakukan dan keputusan mengenai  masa depannya akan dibuat.

Bagaimana pun, tarikh yang dijanjikan telah berlalu dan kita masih menanti perkembangannya dengan penuh debaran.

Apa sahaja keputusannya kelak, sasaran untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah sendiri tidak akan dapat tercapai tanpa campur tangan kerajaan.

Buat masa ini kerajaan negeri contohnya kerajaan negeri Selangor telah mewajibkan pemaju-pemaju rumah dengan projek melebihi keluasan tertentu menyediakan peratusan tertentu rumah mampu milik yang berharga dari RM42,000 ke RM220,000 seunit.

Polisi tersebut berjaya meningkatkan stok rumah mampu milik tetapi banyak pemaju melaporkan ianya membebankan dan menyebabkan mereka mengalami kekangan kewangan.

Polisi tersebut memerlukan pemaju-pemaju menanggung sebahagian dari kos pembinaan rumah mampu milik tersebut memandangkan harga tanah dan kos pembinaan seringkali lebih tinggi dari harga jualan yang diluluskan.

Bagaimanapun terdapat dakwaan yang pemaju-pemaju telah menaikkan harga rumah bukan mampu milik untuk menampung tanggungan mereka itu. Akhirnya ia menjadi kes pembeli rumah yang menanggung pembeli rumah yang lain dan bukan pemaju seperti yang dihasratkan.

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, keseluruhan beban tidak harus diletakkan ke atas  pemaju-pemaju swasta semata-mata.

Malaysia memerlukan entiti seperti HDB (Housing Development Board) di Singapura dan sebab itu PR1MA atau entiti yang serupa dengannya untuk menangani masalah perumahan nasional adalah satu kemestian.

Walaupun pemaju-pemaju juga perlu memainkan peranan mereka namun pembinaan rumah mampu milik mestilah diterajui oleh kerajaaan persekutuan terutamanya bila ia memerlukan sejumlah peruntukan tunai yang besar.

Rumah mampu milik tidak harus dilihat sebagai bahan komersial semata-mata.  Pulangannya kepada kerajaan kelak bukanlah dalam bentuk kewangan tetapi wujudnya warganegara yang bahagia, makmur, sejahtera dan efisien hasil dari tempat tinggal yang sempurna. Malah HDB di Singapura juga menerima suntikan dana dari kerajaannya.

Sehubungan itu, perlantikan individu korporat dengan pemahaman terbatas terhadap permasalahan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk menerajui entiti ini adalah tidak wajar sama sekali.

Dato’ Iskandar A. Samad
Ketua Penyelaras REACH
(Resource Centre For The Advancement Of The Community & Housing / Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat & Perumahan)
18 Julai 2019

*Dato' Iskandar merupakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Kerajaan Negeri Selangor dari 2008 hingga 2018. Beliau pernah menjadi ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB)

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...