Skip to main content

PENURUNAN HARGA MINIMA HARTANAH UNTUK WARGA ASING : RM600,000 TERLALU RENDAH.

Kenyataan Menteri Perumahan Hajjah Zuraida Kamaruddin bahawa kementerian beliau tidak mencadangkan harga minima hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing diturunkan dari RM1 juta kepada RM600,000 adalah amat mengejutkan.

POLISI PERUMAHAN BUKAN POLISI KEWANGAN.

Peraturan yang diumumkan pada Belanjawan 2020 itu adalah satu polisi perumahan penting dengan kesan yang meluas kepada sektor perumahan serta masyarakat dan sepatutnya diputuskan oleh Kementerian Perumahan. Peraturan ini adalah peraturan perumahan dan bukan peraturan kewangan.

Walau bagaimanapun adakah peraturan dibuat kerana Menteri Perumahan pernah mencadangkan Home Ownership Campaign ( HOC ) untuk warga asing seperti dari Singapura dan Hong Kong?

PEMAJU MEMBINA KEDIAMAN KOS TINGGI UNTUK MENGAUT KEUNTUNGAN BESAR MAKA TIDAK WAJAR MEMINTA BANTUAN KERAJAAN JIKA GAGAL.

Peraturan baru ini dilihat seperti untuk membantu pemaju yang sepatutnya melakukan kajian pasaran agar tidak berlaku kediaman yang tidak terjual. Permintaan hari ini adalah terhadap rumah mampu milik dan bukan hartanah mewah.

Menurut data Pusat Maklumat Hartanah Negara ( NAPIC ), pada suku pertama 2019 daripada 32,936 unit kediaman yang tidak terjual yang bernilai RM19,964.20 juta hanya 13.86 peratus atau 4,567 unit bernilai RM548.15 juta adalah terdiri dari rumah di bawah RM200,000 seunit. Ini membuktikan rumah mampu milik yang mendapat perhatian rakyat.

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat berpendapat rendah dan sederhana memiliki rumah. Pemaju telah mengambil satu risiko dengan membina rumah mewah dan rumah kos tinggi. Mereka menjangkakan mengaut keuntungan yang lebih besar berbanding membina rumah mampu milik walaupun rumah mampu milik amat diperlukan. Oleh itu, tidak wajar kerajaan membantu mereka apabila mereka gagal. Mereka telah membuat pilihan maka mereka perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri.

RM600,000 TERLALU RENDAH UNTUK WARGA ASING.

Harga minima RM600,000 adalah rendah berbanding dengan pendapatan rakyat di negara-negara seperti Singapura dan Hong Kong. RM600,000 adalah 196,656 Dollar Singapura ( SGD ) atau 1,124,279 Dollar Hong Kong ( HKD ).

Sebagai perbandingan kita perlu melihat nilai harga rumah RM600,000 itu dan pendapatan rakyat di negara-negara yang menjadi sasaran pemaju Malaysia itu.

Di Malaysia, pendapatan median isi rumah adalah RM6,275 sebulan ( M40 ) dan harga rumah RM600,000 ini bersamaan dengan 95.60 bulan pendapatan bulanan mereka.

Sementara bagi rakyat Singapura, pendapatan median isi rumah mereka adalah 9,293 SGD atau RM28,325 dan ini bersamaan dengan hanya 21.16 bulan pendapatan bulanan mereka.

Bagi rakyat Hong Kong pula, pendapatan median isi rumah adalah 28,100 HKD atau RM14,974 dan ini bersamaan dengan 40.00 bulan pendapatan bulanan mereka.

Oleh yang demikian, harga rumah minima yang dilonggarkan itu adalah terlalu rendah bagi mereka. Rakyat negara asing tidak akan menghadapi masalah untuk membelinya. Rumah-rumah tersebut akan laku dijual seperti kacang goreng panas.

MENGUBAH LANSKAP SOSIAL BANDAR-BANDAR.

Polisi ini akan menyebabkan komposisi bandar-bandar kita akan berubah. Struktur masyarakat juga akan berubah dengan kebanjiran warga-warga asing ini. Kita sedang berusaha menyelesaikan masalah-masalah sampingan yang datang dengan tenaga kerja asing dan kita akan menambah masalah dengan polisi baru ini.

Tetapi yang paling menyedihkan rakyat tempatan sedang menghadapi masalah untuk memiliki rumah walhal warga asing boleh memilikinya dengan mudah. Bantulah mereka yang memerlukan bukan para pemaju.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Kajian Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
15 Safar 1441 / 14 Oktober 2019

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...