Sunday, March 20, 2016

BN TIDAK BERPIJAK DI BUMI YANG NYATA, TIDAK HORMAT KEPADA RAKYAT.


Jawapan pemimpin BN kepada tuntutan PAS agar diadakan pilihan raya umum dengan segera menunjukkan betapa BN telah tidak lagi berpijak di bumi yang nyata.

Terdapat pemimpin BN yang menempelak PAS dengan berkata bukan PAS yang patut menuntut pilihan raya diadakan tetapi rakyat.

Pemimpin tersebut nampaknya tidak nampak bahawa PAS juga mewakili  rakyat. Pemimpin PAS adalah rakyat, ahli-ahli PAS adalah rakyat dan wakil-wakil rakyat PAS sudah tentu mewakili rakyat.

Sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin tersebut merupakan sikap BN hari ini yang merasakan mereka terlalu besar sehingga tidak boleh ditegur. Pandangan rakyat hanya diketepikan begitu sahaja. Tidak ada lagi rasa hormat kepada rakyat.

Rakyat Malaysia telah menyatakan kemarahan dan rasa tidak puas hati mereka. Imej negara di peringkat antarabangsa teruk tercemar. Tetapi pemimpin BN telah memekakkan telinga mereka dan membutakan mata mereka seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku walhal rakyat terus menderita.

Oleh itu tuntutan agar Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan adalah paling wajar. Imej negara perlu dibersihkan dan rakyat perlu diselamatkan dengan segera.

YB Dato' Iskandar Abdul  Samad
Naib Presiden PAS
8 Mac 2016