Pada 5 Mei
Isnin lepas maka genaplah satu tahun PRU 13. Satu pilihan raya yang amat
menakjubkan dengan keputusan-keputusan sekali seumur hidup (once in a lifetime
results).
Bagi kita di Selangor, majoriti di bawah 5,000 dikira kecil. Majoriti tertinggi PAS adalah lebih 16,000 di Seri Serdang. Bagi Chempaka, majoriti kita meningkat dari lebih kurang 1,000 sehingga hampir 10,000
GELOMBANG
ABU
Ada yang berkata
keputusan ini adalah hasil dari kerja keras di peringkat akar umbi. Tetapi ada
yang berkata bahawa ia adalah akibat gelombang yang melanda seluruh negara.
Gelombang ABU. Gelombang "Asalkan Bukan UMNO" atau "Gelombang
Anything But Umno". Mereka berpandangan tidak ada seorangpun yang boleh
mendabik dada merekalah yang bekerja begitu keras sehingga mendapat majoriti
7,000, 10,000 atau 16,000. Kesemuanya adalah tsunami rakyat menolak UMNO dan
BN.
Tetapi pada saya tidak mustahil untuk kita melihat senario yang sama berulang lagi. PRU 2013 mungkin merupakan puncak pencapaian Pakatan Rakyat atau merupakan titik bermulanya kepupusan BN.
Jika ia
merupakan kemuncak bagi Pakatan Rakyat maka selepas ini BN akan bangkit
kembali. Tetapi pada hakikatnya MCA, MIC dan Gerakan dalam keadaan hidup
segan mati tidak mahu. Parti-parti komponen BN tidak pupus semata-mata kerana
BN adalah kerajaan di peringkat Persekutuan dan di Negeri-Negeri. Tanpa
kerajaan, mereka mungkin telah pupus seawal 2008.
SILAT,
KOMPANG, YAASIN DAN MARHABAN
Walau
bagaimanapun jangan pula PAS merasa terlalu selesa. Memang benar kita susah hendak
melihat bendera UMNO berkibar megah lagi tetapi UMNO hari ini bergerak begitu
aktif melalui NGO-NGO.
Kumpulan
silat dan kumpulan kompang digunakan untuk menarik belia-belia kepada
UMNO. Kumpulan Yaasin dan Marhaban pula digerakkan oleh UMNO untuk
menguasai kaum wanita. Apabila tiba pilihan raya, mereka akan menjadi tenaga
kerja yang penting untuk BN.
Secara
kebetulan silat, kompang, aktiviti Yaasin dan Marhaban kurang menarik minat
aktivis-aktivis PAS. Kalau ada yang minat ia tidak konsisten atau penglibatan
mereka bukan kerana minat tetapi untuk memenuhi agenda politik.
Minat tidak
boleh dibuat-buat. Orang yang meminati silat tahu siapa yang meminati silat
atau hanya berpura-pura. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Maka
akhirnya ini akan membuka seluas-luas ruang kepada UMNO untuk menguasai
bidang-bidang tersebut dan seterusnya menguasai mereka yang terlibat dengannya.
HARAPAN
YANG TINGGI
Dengan sokongan
rakyat yang berlipat-kali ganda kepada Pakatan Rakyat bermakna rakyat mempunyai
harapan yang tinggi. Tambahan pula di Selangor, kita telah memasuki penggal
kedua. Tidak boleh memberi alasan kita masih memerlukan masa. Masih belajar.
Atau masih banyak yang kita tidak tahu.
Walaupun 5
tahun sebagai kerajaan adalah satu tempoh yang singkat namun rakyat mahukan
semua masalah-masalah mereka diselesaikan. Mereka tidak mahu tahu sama ada ia
akan mengambil masa atau ia memerlukan peruntukan yang menjangkau kemampuan.
SERANGAN
DARI LUAR DAN DALAM
Tugas ini bertambah
berat apabila terdapat serangan bertubi-tubi daripada BN dan media mereka. Satu
demi satu isu timbul sama ada yang sengaja diperbesarkan atau yang sengaja dicipta.
Semuanya mesti dilayan dan boleh mengakibatkan Exco, ADUN atau Ahli Majlis hilang
fokus.
Selain dari
itu, sekiranya terdapat perbalahan dalaman yang akan mewujudkan beberapa
kumpulan yang bertelagah maka akan berlaku serang-menyerang yang akan mengalih
tumpuan.
Ini
bermakna mereka terpaksa bersilat dengan orang luar atau orang dalam. Kesannya
adalah besar. Contohnya dalam isu air, masa yang sepatutnya digunakan untuk
melaksanakan atau merancang agenda-agenda rakyat terpaksa digunakan untuk
menjawab segala serangan BN dan serangan dari kelompok-kelompok dalaman yang bertelagah.
Apabila ini
berlaku maka yang akan rugi adalah rakyat. Sokongan terhadap kerajaan negeri
dan Pakatan Rakyat mungkin juga akan terhakis tetapi kerugian ini tidaklah
sebesar kerugian yang ditanggung oleh rakyat apabila kerajaan tidak dapat
memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka.
TANGGUNG
JAWAB AKAR UMBI
Pada saya
tugas dan tanggungjawab untuk memastikan kehendak-kehendak rakyat dapat
dipenuhi dan seterusnya kerajaan terus kukuh bukan sahaja terletak di bahu Exco
atau ADUN. Tetapi ia terletak di bahu setiap ahli kita. Daripada yang paling
atas kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Sebagai sebuah
parti kerajaan, rakyat melihat ahli-ahli PAS sebagai wakil tidak resmi kerajaan
walaupun mereka tidak ada apa-apa jawatan kerajaan.
Terdapat
ahli-ahli yang merungut kerana mereka kerap menjadi tempat rakyat membuat
aduan. Sama ada ianya sampah tidak diangkat, air dicatu, longkang tersumbat
atau jalan berlubang, ahli-ahli akar umbi hari ini menerima pelbagai rungutan
dan aduan.
MEMIMPIN
RAKYAT
Ada ahli
yang tidak suka bila ini berlaku. Tetapi pada saya ini adalah satu
pengiktirafan. Pimpinan PAS tidak hanya lagi menjadi pemimpin ahli PAS tetapi
mereka sekarang telah menjadi pemimpin rakyat. Memimpin bukan sahaja orang
Melayu dan orang Islam tetapi rakyat pelbagai kaum dan agama.
Inilah
realitinya menjadi kerajaan dan ianya bertepatan dengan tema Ucapan Dasar
Presiden pada Muktamar PAS tahun lepas, RAHMAT UNTUK SEMUA. Islam mesti menjadi
rahmat untuk semua kerana Allah SWT telah menyatakan di dalam Al Quran bahawa
Allah SWT tidak mengutuskan Nabi Muhammad SAW melainkan untuk menjadi rahmat
kepada sekalian alam. Oleh yang demikian, PAS sebagai jemaah Islam mesti
berupaya menjadi rahmat untuk semua.
NEGARAWAN
Ahli-ahli
PAS kena berfikir dan bertindak sebagai seorang negarawan. Bukan hanya sebagai
pemimpin parti seperti dahulu. Memikirkan kepentingan rakyat bukan sahaja
kepentingan ahli atau kepentingan parti. Inilah cabaran penggal kedua.
Sebelum ini
UMNO gagal mengambil kira kepentingan rakyat. Hanya kepentingan ahli-ahli
diutamakan. Duit kerajaan, harta kerajaan dan tanah kerajaan dianggap sebagai
harta UMNO. Dibahagi-bahagikan di kalangan ahli-ahli.
Sekiranya PAS
bersikap sedemikian maka tidak ada gunanya kita mendabik dada sebagai sebuah
gerakan Islam. Kita akan ditolak dan dikutuk oleh rakyat.
SELAMAT
BERJUANG
Iskandar
Abdul Samad
Yang
Dipertua PAS
Kawasan
Pandan
Tel : 03
9283 3835
Emel :
isksmd@gmail.com
Blog :
iskandar56100.blogspot.com