Skip to main content

Ucapan Penggulungan YB Iskandar A. Samad 22 November 2012.

 KENYATAAN AKHBAR

 

UCAPAN PENGGULUNGAN Y.B. TUAN ISKANDAR ABDUL SAMAD,

EXCO PERUMAHAN, PENGURUSAN BANGUNAN

DAN SETINGGAN NEGERI SELANGOR

PADA SIDANG DEWAN NEGERI SELANGOR 22 NOVEMBER 2012.

 

 

Yang Berhormat Taman Templer mendakwa bahawa Bajet Kerajaan Persekutuan 2013 begitu prihatin terhadap keperluan perumahan rakyat.

 

Saya akui RM1.9 billion diperuntukan. Tetapi jumlah ini seharusnya dilihat dari jumlah keseluruhan peruntukan Bajet 2013.

 

Dengan peruntukan RM251.6 billion, ini bermakna peruntukkan perumahan hanyalah 0.75 peratus dari peruntukan keseluruhan Bajet 2013.

 

Adakah 0.75 peratus menunjukkan satu jumlah yang boleh dibanggakan?

 

Bandingkan peruntukkan Kerajaan Negeri untuk perumahan.

 

Bagi Kerajaan Negeri, saya hanya ingin mengambil dua perkara sahaja yang melibatkan perumahan.

 

Yang pertama adalah pengumuman Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar pada Ucapan Belanjawan 2013 Negeri Selangor  untuk menggunakan  RM50 juta dari rizab Kerajaan Negeri untuk membina Rumah Mampu Milik Pasang Siap.

 

Yang kedua peruntukan RM9.7 juta untuk membaikpulih pangsapuri-pangsapuri kos rendah dan kos sederhana di bawah program CERIA.

 

Jika diambil kedua-dua peruntukan ini, 3.6 peratus telah diperuntukan. Ini bermakna peruntukan perumahan Kerajaan Negeri adalah 5.2 kali ganda dari peruntukan perumahan Kerajaan Persekutuan.

 

Ini pula belum diambilkira subsidi yang ditanggung oleh PKNS bagi menyelesaikan masalah peneroka bandar Bukit Botak dan membina Rumah Mampu Milik di Bandar Baru Bangi.

 

 

PAKATAN RAKYAT SIAPKAN RUMAH KOS RENDAH.


Telah dibangkitkan juga bahawa kebanyakan Rumah-Rumah Kos Rendah yang siap di bina pada era Pakatan Rakyat telah dimulakan di zaman Barisan Nasional dibina. 

 

Saya ingin menegaskan di sini bahawa memulakan sahaja tidak mencukupi tetapi memastikan ia siap dan boleh diduduki lebih penting.

 

Banyak Rumah Kos Rendah yang dimulakan ketika pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional dibelenggu dengan pelbagai masalah.

 

Ia memerlukan campurtangan Kerajaan Negeri sekarang untuk memastikan ia boleh disiapkan dengan sempurna dan boleh diduduki.

 

Di antaranya adalah :


1.     Projek Rumah Kos Rendah Berembang Indah (Kg. Berembang) - 696 unit

2.     Projek Rumah Kos Rendah Sg. Sering – 660 unit

3.     Projek Rumah Bandar Baru Kemensah – 72 unit 

 

Kesemuanya memerlukan campurtangan Kerajaan Negeri kerana telah terbengkalai dan terhenti untuk jangka masa yang lama.

 

Dalam hal ini saya teringat kisah seorang ibu yang melahirkan seorang bayi kemudian menyerahkan kepada keluarga lain untuk dibesarkan dan disekolahkan.

 

Kemudian apabila bayi tersebut telah dewasa dan berjaya, ibu itu mendakwa usaha beliaulah yang menjadikan bayi itu berjaya, menafikan sumbangan keluarga yang membesarkan dan mendidik.

 

Melahirkan anak adalah penting, tetapi membesar dan mendidik lebih penting.



RUMAH KOS RENDAH DI BAWAH BARISAN NASIONAL BERMASALAH.


Saya juga akui Kerajaan Barisan Nasional banyak membina Rumah Kos Rendah dan Rumah Kos Sederhana.

 

Namun kebanyakan rumah-rumah itu dibelenggu dengan pelbagai masalah pada hari ini.

 

Di antaranya adalah :


1.     Bumbung bocor

2.     Lif rosak

3.     Tangki air pecah

4.     Paip tersumbat

5.     Bangunan usang

 

Oleh itu Kerajaan Negeri telah mewujudkan program membaikpulih pangsapuri-pangsapuri kos rendah dan kos sederhana melalui kaedah perkongsian kos.

 

Program yang bernama CERIA ini melibatkan lebih 70 kawasan pangsapuri.

 

Hampir separuh kerja-kerja tersebut telah disiapkan.

 

Oleh yang demikian, Barisan Nasional tidak boleh mendabik dada telah membina rumah kos rendah kerana akhirnya Kerajaan Negeri hari ini yang membaikpulihnya.



STATISTIK RUMAH KOS RENDAH.


Yang Berhormat Taman Templer telah membangkitkan statistik Rumah Kos Rendah yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

 

Beliau mempertikai jumlah Rumah Kos Rendah yang diumumkan di dalam akhbar Sinar Harian pada Oktober 2012 kerana kata beliau bebeza dari jawapan yang diberikan pada Sidang Dewan yang mulia ini pada bulan Mac 2012.

 

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor telah melakukan penyelarasan statistik-statistik itu kerana ia melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan dan begitu banyak pemaju.

 

Terdapat perubahan angka setelah penyelarasan dilakukan tetapi jumlah keseluruhan Rumah Kos Rendah yang dilaporkan pada Oktober lepas masih lebih tinggi dari yang dilaporkan Mac lepas.

 

Yang Berhormat Taman Templer juga mahukan pecahan bagi Rumah Kos Rendah yang dibina di Gombak.

 

Berikut adalah pecahannya :


1.     Panji Selasih – 80 unit

2.     Sg. Sering – 660 unit

3.     Kg. Berembang – 694 unit

4.     Pangsapuri Hijau Rawang – 120 unit

5.     Bukit Rahman Putra – 600 unit

6.     Kg. Bunga Raya – 180 unit

 

Maka jumlah besar adalah 2,334 unit.

 

Turut dibangkitkan adalah kenapa 107 unit Rumah Kos Rendah yang diumumkan telah siap dibina dan siap diduduki di Hulu Selangor pada Sidang Dewan pada Mac 2012 tetapi telah tidak direkodkan pada iklan akhbar tersebut.

 

107 unit kos rendah ini adalah rumah pekerja Ladang Bernam Jaya yang dibina sebagai  CSR (Corporate Social Responsibility) PKNS.

 

Dari segi kos ianya layak disenaraikan sebagai Rumah Kos Rendah. Tetapi setelah diselaraskan semula statistik, ianya telah dikeluarkan kerana ianya khusus untuk pekerja-pekerja ladang tersebut.

 

Walau bagaimanapun Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor akan mengeluarkan pecahan menurut projek dan lokasi bagi Rumah Kos Rendah di Negeri Selangor sebelum berakhirnya Sidang Dewan kali ini.

 

 

PERMINTAAN RUMAH KOS RENDAH.


Saya juga ingin menjawab soalan mengapakah terdapat daerah yang tidak terdapat Rumah Kos Rendah dibina dari tahun 2008 hingga 2012.

 

Antara sebab-sebabnya adalah kerana Rumah Kos Rendah dibina berdasarkan pemintaan.

 

Ada kawasan yang mempunyai permintaan yang tinggi dan ada yang mempunyai permintaan yang rendah.

 

Ada kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan Rumah Kos Rendah yang tinggi yang masih tidak terjual.

 

 

POLISI-POLISI BARU RUMAH KOS RENDAH.


Kerajaan Negeri juga banyak memperkenalkan banyak polisi-polisi dan peraturan-peraturan baru untuk menjaga kepentingan rakyat.

 

Yang pertama, Rumah Kos Rendah wajib dibina pada fasa pertama sesebuah projek.

 

Ini untuk mengelakkan pemaju-pemaju membina Rumah Kos Rendah pada fasa terakhir dan akhirnya lari dari tanggungjawab mereka.

 

Pada zaman Kerajaan Negeri yang lepas, terdapat pemaju-pemaju yang tidak membina Rumah Kos Rendah apabila Rumah Kos Rendah diletakkan di fasa terakhir.

 

Kerajaan Negeri juga mengawal kedudukan Rumah Kos Rendah di dalam sesuatu projek.

 

Sebelum ini ada Rumah Kos Rendah yang ditempatkan di lokasi-lokasi yang tidak sesuai seperti di tepi "sewerage treatment plant" atau loji najis.

 

Perkara yang sama tidak boleh dilakukan hari ini.

 

Kerajaan Negeri pernah menolak permohonan-permohonan Kebenaran Merancang yang meletakkan Rumah Kos Rendah di tempat yang tidak sesuai seperti ini.

 



RUMAH MAMPU MILIK "VALUE FOR MONEY".


Kerajaan Negeri terus komited membina Rumah Mampu Milik melalui anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dan menggalakkan pemaju membina Rumah Mampu Milik.

 

Rumah Mampu Milik di Selangor memberi "value for money" kepada pembeli-pembeli.

 

Rumah Kos Sederhana sebelum ini menjadi usang dan dibelenggu masalah dalam masa yang singkat.

 

Terdapat yang dibeli dengan harga RM35,000 tetapi hari ini hanya boleh dijual dengan harga tidak sampai RM10,000 seperti di Hulu Selangor.

 

Bandingkan dengan rumah-rumah yang dijual kepada peneroka-peneroka bandar Bukit Botak dengan harga rumah RM99,000.00.

 

Tetapi dengan harga pasarannya melebihi RM180,000.00 dan ada yang menawarkan untuk membeli dengan harga melebihi RM200,000.00. Oleh itu, tidak benar peneroka-peneroka bandar di Bukit Botak telah dizalimi. Malah penantian mereka lebih 20 tahun di bawah Barisan Nasional adalah lebih zalim.

 

Penyelesaian setinggan atau peneroka yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri hari ini adalah melalui pemberi milikan tanah Kerajaan Negeri.

 

Di antaranya adalah di Desa Seroja (Kajang), Kg. Sungai Makau (Hulu Langat), Kg. Sungai Sireh, Kg. Sungai Sireh Tambahan dan Kg. Sungai Sireh Dua (Klang).

 

Seperti yang diketahui semua, mereka boleh mendapat hakmilik tanah melalui skim RM1,000.00. Tidak ada gunanya berkata boleh memberi premium yang rendah tetapi penduduk tidak juga diberikan hakmilik.

 

Permohonan untuk mendapatkan hakmilik-hakmilik tanah di tangguhkan sejak sekian lama. Apakah muslihatnya?

 

Hanya di bawah Pakatan Rakyat ia dipercepatkan.



TEKNOLOGI BARU UNTUK RUMAH MAMPU MILIK.


Berbalik kepada ucapan Bukit Antarabangsa bahawa PKNS akan menanggung beratus juta ringgit untuk membina Rumah Mampu Milik dari tahun 2013 hingga 2018, Kerajaan Negeri akan menggunakan RM50 juta dari rizab Kerajaan Negeri untuk membina Rumah Mampu Milik Pasang Siap.

 

Projek ini adalah peluang bagi teknologi-teknologi baru diterokai agar Rumah Mampu Milik yang dibina boleh dimiliki oleh lebih ramai rakyat yang memerlukan (lebih "affordable").

 

Menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar penemuan teknologi-teknologi baru ini akan dapat dimanfaatkan oleh industri perumahan termasuk PKNS.


 

Iskandar bin Abdul Samad

EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan

Negeri Selangor /

Merangkap ADN Chempaka

22 November 2012

 

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah