Skip to main content

Janji MB Tertunai, MBPJ Baiki Lif, Pam Air Di Kota Damansara dan Putra Damai.

KOTA DAMANSARA, 5 JUN 2012 : 'Janji' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditunaikan apabila lif dan pam air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara dan Putra Damai di sini berjaya dibaiki.

Oktober tahun lalu Menteri Besar melawat kawasan berkenaan dan berjanji menyelesaikan masalah penduduk terbabit.

Sejumlah RM3.2 juta diperuntukkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk membaiki kemudahan ini dan bermula pertengahan November tahun lalu melibatkan 12 unit lif bagi PPR Kota Damansara, sementara 17 unit lif untuk PPR Putra Damai.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, kerja-kerja baikpulih itu siap sepenuhnya pada April lalu selepas mendapat arahan daripada Menteri Besar.

"Lawatan hari ini adalah susulan daripada lawatan yang dilakukan Menteri Besar semasa melawat kedua-dua PPR ini untuk meninjau masalah utama iaitu lif.

"Beliau kemudiannya mengarahkan MBPJ untuk segera melakukan kerja-kerja baikpulih di mana kos bagi kesemua lif untuk kedua-dua PPR adalah RM2.9 juta, sementara kos membaiki pam air adalah lebih RM285,000," katanya.

Iskandar berkata, demikian semasa mengadakan lawatan di PPR Seksyen 8, Kota Damansara di sini bagi meninjau keadaan lif dan pam air yang siap dibaikpulih.

Lawatan itu turut disertai Adun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPJ, Cheremi Tarman serta Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kota Damansara, Johari Nander.

Selain baikpulih, tambahnya, MBPJ turut menyediakan penghadang di bilik motor lif supaya insiden kecurian kabel tidak lagi berlaku seperti sebelum ini.

Beliau berkata, penempatan dua orang pengawal keselamatan juga dilaksanakan sebagai langkah keselamatan di kawasan pangsapuri berkenaan.

Dalam pada itu, Iskandar turut mengingatkan penduduk supaya menjaga kemudahan yang diberikan dengan baik kerana ia dibaiki dengan kos yang tinggi.

"Untuk atasi vandalisme, saya berharap Adun di kawasan ini dapat menganjurkan program komuniti untuk menanam sifat tanggungjawab di kalangan penduduk bagi menjaga kemudahan yang ada.

"Penduduk jangan merasakan bahawa lif ini adalah hak milik kerajaan dan tidak perlu dijaga. Sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini, penduduk boleh sama-sama menghalang atau ambil tindakan," ujarnya - SELANGORKINI.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...