Dialog Exco Perumahan, Pengurusan Bandar Dan Setinggan bersama wakil-wakil JMB dari 14 pembangunan di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Majlis bersama YB Iskandar A. Samad itu telah berlangsung pada 13 Oktober lepas di Kompleks Penghulu Semenyih.
Ahli-ahli Majlis MPKj yang hadir adalah Shamsul Bahari dan S. Arutchelvan.
Turut hadir adalah Penyelaras DUN Semenyih dan wakil-wakil Pesuruhjaya Bangunan MPKj.
Di dalam sesi dialog, YB Iskandar telah menerangkan bahawa harta pemilik-pemilik pangsapuri yang enggan membayar yuran penyenggaraan boleh disita. Tetapi katanya prosesnya agak rumit walaupun tidak mustahil.
Oleh itu, beliau memberitahu terdapat JMB yang menggunakan khidmat peguam. Ada syarikat peguam mengenakan caj RM60 bagi setiap notis yang dihantar kepada pemilik yang enggan membayar yuran mereka. Kegagalan menyelesaikan hutang ini akan menyebabkan nama mereka disenarai hitam dan tidak akan dapat membuat pinjaman bank.
Iskandar berkata terdapat mereka yang berkata tindakan seperti ini adalah zalim. Tetapi terdapat mereka yang enggan membayar yuran penyenggaraan dan berhutang beribu-ribu ringgit. Akibat tindakan mereka, pangsapuri-pangsapuri tidak dapat diselenggarakan dengan baik. Kesemua penduduk akan merana akibat tindakan segelintir.
Ramai mereka yang hadir pada sesi dialog malam itu bersetuju bahawa kepentingan orang ramai perlu diutamakan lebih dari kepentingan individu.