Ini berlaku bukan secara kebetulan tetapi adalah hasil dari polisi perumahan di republik itu. Housing Development Board (Lembaga Pembangunan Perumahan) atau HDB yang membina 90 peratus dari kediaman di sana menetapkan bagi setiap pembangunan tidak boleh terdapat lebih dari 28 peratus penduduk Melayu. Ianya adalah polisi yang dinamakan Ethnic Integration Programme (Program Integrasi Kaum) atau EIP.
Kita selalu mendengar Kuota Perumahan Bumiputera di Selangor dan di negeri-negeri di Malaysia dikritik hebat oleh pemaju-pemaju hartanah tetapi di Singapura juga ada kuota perumahan dan ia bersifat perkauman.
Dengan EIP, orang Melayu tidak ada lagi nilai politik. Tidak ada lagi kawasan majoriti Melayu. Di Geylang Serai, mereka kelihatan selesa. Cukup makan, cukup pakai, boleh bekerja, boleh berniaga tetapi mungkin lebih banyak kisah-kisah yang menanti untuk didengari di sebalik wajah-wajah yang ditemui.
Untuk menjimatkan kos, di Singapura kami sekeluarga telah tinggal di Tiong Baru dan bukan kawasan yang menjadi tumpuan para pelancong. Tidak terdapat ramai orang Melayu yang tinggal di situ. Yang unik di Tiong Baru, terdapat banyak lagi rumah-rumah kedai tahun 60'an di sana. Seorang pemandu teksi Melayu yang membawa kami sekeluarga merungut kerana rumah-rumah kedai di Tiong Baru tidak diroboh tetapi rumah-rumah kedai milik orang Melayu di sekitar Geylang Serai diroboh oleh pemerintah. Benar atau tidak dakwaan beliau saya tidak tahu. Mungkin kerana orang Melayu Singapura tidak pandai protes seperti UMNO yang gagal sebagai kumpulan pendesak. Tetapi saya tidak fikir begitu.
Seperti yang saya nyatakan, di Tiong Baru tidak ramai orang Melayu. Susah hendak mencari makanan halal. Hanya ada 2 gerai Melayu di 'food court' pasar Tiong Baru. Kedua-duanya menjual nasi lemak dan lontong. Tetapi masalahnya pinggan, cawan, sudu dan garfu 'food court' itu dibasuh bersekali dengan yang digunakan oleh gerai-gerai yang menjual makanan tidak halal.
Oleh itu, kami telah terpaksa ke kawasan Arab Street untuk makan. Di situ terdapat 2 restoran India Muslim yang menjual murtabak sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Di Malaysia murtabak seperti di situ dikenali sebagai 'Murtabak Singapore'. Ia terletak di depan sebuah masjid, Masjid Sultan yang bersejarah itu. Di depan masjid itu juga terdapat sebuah kedai 7-11. Ianya berbeza dari kebanyakan 7-11 yang lain kerana ia langsung tidak menjual arak. Walaupun bukan di negara orang Islam, kedudukannya di depan masjid diambil kira. Tidak ada setitik arak pun dijual di situ.
Masjid Sultan adalah tempat yang paling penting di dalam sejarah bantahan rakyat di rantau ini. Mungkin sehebat bantahan rakyat Mesir di Medan Tahrir, Kaherah yang menuntut Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Masjid Sultan adalah tempat umat Islam berkumpul dalam tahun 50'an dulu untuk membantah tindakan penjajah Inggeris menyerahkan Natrah kepada ibu kandungnya yang berbangsa Belanda. Umat Islam ketika itu marah Natrah yang telah memeluk Islam dan telah berkahwin dengan seorang pemuda Melayu, Mansur Adabi, hendak dimurtadkan.
Telah berlaku rusuhan di bandaraya pelabuhan itu yang mengakibatkan pelabuhan Singapura, pelabuhan ketiga terbesar dunia ketika itu, ditutup selama beberapa hari. Terdapat juga mereka yang terlibat di dalam rusuhan itu yang dihukum gantung sampai mati oleh mahkamah.
Saya yakin kita tidak menyokong keganasan tetapi saya yakin kita tentu kagum dengan semangat umat Islam di Singapura ketika itu. Hanya seorang hendak dimurtadkan, mereka bangkit. Tetapi sekarang telah beratus-ratus mungkin beribu-ribu telah murtad tetapi tindakan kita tidak sehebat umat Islam yang mula-mula berhimpun di Masjid Sultan itu.
Bukan dalam isu-isu murtad sahaja tetapi dalam banyak isu-isu apabila Islam tercabar, tindakbalas ummah agak hambar.
Orang politik tetap akan menjalankan tanggung jawab mereka tetapi bagaimana dengan yang lain? Orang politik perlu sokongan untuk menangani pelbagai isu-isu yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
Kadang kala sesuatu isu itu lebih sesuai ditangani oleh NGO-NGO. Tetapi di manakah NGO-NGO Melayu Islam kita? Adakah mereka juga tenggelam di dalam kemewahan seperti UMNO? Atau masih nyenyak tidur?
Islam dicabar hampir setiap hari. Kadang-kala sekadar hendak menyatakan apa yang halal dan haram di dalam Islam pun akan diserang habis-habisan. Bukan dalam kes Valentine Day sahaja tetapi di dalam banyak lagi. Tetapi NGO-NGO kita tidak kelihatan. Tidakkah ada NGO-NGO kita yang setaraf dengan Dong Xiou Zhong atau Hindraf? Maka keseoranganlah orang-orang politik berjuang terkontang-kanting.