Skip to main content

Coretan YDP Edisi 47 - AKHIRNYA TERDEDAH SIAPA DALANGNYA

Tahun lepas saya telah menghadiri majlis peramian sebuah masjid di Klang oleh DYMM Sultan Selangor. Di dalam titah ucapan Baginda, Baginda telah mengingatkan AJK-AJK Masjid agar tidak membelakangkan Nazir.

Entah kenapa ketika itu saya teringat akan Masjid Nurul Hidayah di Kg. Pandan Dalam. Mungkin disebabkan saya telah menerima aduan bagaimana terdapat AJK, Imam dan Bilal masjid itu yang tidak menghormati sehingga membelakangkan Nazir.

Malah saya mendapat laporan bahawa ada di antara mereka yang telah pergi terus kepada Pegawai Agama Islam Daerah atau PAID untuk memburukkan-burukkan Nazir.

Saya amat terkejut akan perkara ini kerana Nazir dipilih oleh ahli kariah dan sekiranya terdapat sebarang perselisihan faham maka ia seharusnya diselesaikan secara bermusyuwarah atau di dalam mesyuarat.

Saya telah cuba untuk tidak mencampuri urusan masjid dan hanya memberi pandangan kepada Nazir dan beberapa AJK. Walau bagaimanapun saya amat terkejut apabila menerima laporan bahawa nama saya telah turut disebut oleh kumpulan ini kepada PAID.

Walau bagaimanapun saya tetap dengan pendirian saya untuk tidak masuk campur. Saya difahamkan mesyuarat demi mesyuarat telah diadakan untuk menyelesaikan kekusutan.

Walaupun perkara ini berlarutan namun program-program Masjid Nurul Hidayah diteruskan seperti biasa. Saya telah menghadiri beberapa program tersebut. Syabas kepada Nazir dan AJK-AJK yang telah bertungkus lumus untuk memastikan program-program di masjid itu tidak terjejas walaupun menerima pelbagai tekanan.

Tetapi akhirnya untuk menyelesaikan masalah, pada 19 Januari lepas telah diadakan pertemuan di antara PAID dengan Nazir, AJK-AJK, Imam dan Bilal. Saya telah dijemput oleh PAID untuk hadir bersama. Tetapi saya telah memilih untuk tidak masuk campur dan hanya menghantar wakil.

PAID telah mengarahkan mereka mengadakan satu mesyuarat khas dan melaporkan kepada beliau keputusan-keputusan yang dibuat. Saya yakin keputusan-keputusan mesyuarat ini kita semua telah tahu kerana ianya telah tersebar luas di dalam akhbar-akhbar tabloid. Seorang AJK, dua orang Imam dan seorang Bilal telah dilucutkan jawatan. Mereka yang dilucutkan jawatan telah melaporkannya kepada akhbar.

MENUMBUK AJK, MENYERANG IMAM

Walau bagaimanapun perkara ini tidak selesai di situ. Terdapat mereka yang telah dilucutkan jawatan telah menumbuk seorang AJK yang lain. Bukan sekali tetapi dua kali. Sekali di dalam masjid selepas solat Subuh dan sekali lagi di luar masjid juga selepas solat. Ada di antara mereka yang telah mengganggu majlis ilmu sehingga terpaksa dibatalkan. Menjerit-menjerit dan merampas mikrofon. Seorang lagi pula telah membawa pemuda-pemuda untuk menyerang Nazir. Ada yang melaporkan kepada saya bahawa pemuda-pemuda itu adalah Pemuda UMNO tetapi saya tidak akan menuduh sehingga mendapat bukti-bukti yang kukuh.

Walau bagaimanapun beberapa hari selepas mesyuarat khas itu, keadaan menjadi tenang kembali. Aktiviti-aktiviti masjid berjalan seperti biasa.

Akhirnya setelah bertemu dengan Nazir serta AJK beliau, saya telah menulis surat kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) agar mengesahkan pelucutan-pelucutan yang dilakukan. Saya telah memerhatikan perkembangan perkara ini sejak sekian lama. Sebagai ADUN saya tidak boleh selamanya berdiam diri.

Malah saya adalah juga seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor atau Exco. Mereka yang dilucutkan jawatan berkata mereka dilantik oleh DYMM Sultan. Saya juga dilantik oleh DYMM Sultan. Malah saya menerima terus surat watikah saya dari Baginda, mengangkat sumpah di hadapan Baginda dan di istana Baginda.

Saya tidak boleh membiarkan beberapa individu memecah belahkan masyarakat. Ini tanggung jawab saya. Saya tidak boleh membiarkan mereka yang tidak patuh kepada titah Baginda agar tidak membelakangkan Nazir terus bermaharaja lela. Saya amat bersetuju dengan titah Baginda, jika AJK, Imam atau Bilal tidak menghormati Nazir dan AJK lain maka akan hancurlah masjid kita.

Ada yang mempertikaikan pelucutan ini dari sudut undang-undang. Tetapi mesyuarat khas tersebut mendedahkan sikap dan keperibadian mereka. Menumbuk dan menyerang Nazir dan AJK. Adakah mereka masih layak untuk terus memegang jawatan-jawatan tersebut? Mencetuskan huru-hara di dalam masjid. Wajarkah masyarakat menerima mereka lagi?

Tetapi mengejutkan apabila saya mendapat tahu dari laman web Pemuda UMNO Pandan bahawa salah seorang yang terlibat mencetuskan kekecohan ini adalah Pengerusi Biro Dakwah mereka. Rupa-rupanya beginilah Pemuda UMNO berdakwah. Maka telah terbongkarlah siapa dalangnya yang sebenar.

Setiap kejadian ada hikmahnya. Saya berharap agar selepas kejadian ini masyarakat kita di Kg. Pandan akan menjadi satu masyarakat yang bersatu padu. Marilah kita mengambil sambutan Maulidur Rasul tahun ini sebagai satu titik permulaan yang baru. Kita ada banyak kerja yang hendak dilakukan. Marilah kita memandang ke hadapan.

Sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan, saya memberi jaminan PAS tidak akan membawa politik kepartian ke dalam mana-mana masjid. Tetapi sesiapa yang mengapa-apakan ahli PAS bersedialah menerima padahnya.

Popular posts from this blog

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

UCAPAN ALUAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN DI MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PANDAN KALI KE 10 PADA 29 SEPTEMBER 2013.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita akan bersama-sama melaksanakan satu lagi tanggungjawab Parti kita iaitu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Di dalam kesempatan ini saya ingin mengalu-alukan kehadiran para AJK PAS Kawasan dan para perwakilan daripada Dewan-Dewan serta Cawangan-Cawangan. Kehadiran Tuan-Tuan dan Puan-Puan amat penting di dalam memastikan matlamat-matlamat mesyuarat agung ini dapat dicapai. Di sini saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran para jemputan khas dari Pakatan Rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan institusi-institusi masyarakat ke majlis perasmian mesyuarat agung tahun ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah amat penting di dalam mengukuhkan tali silaturrahim di antara kita. Saya berharap kerjasama di antara kita dapat dipertingkatkan demi kebaikan kita bersama. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana yan...