Skip to main content

CORETAN YDP SIRI 45 - PUSAT TARBIYYAH PANDAN MILIK SETIAP AHLI PAS DI PANDAN

Pada 8 Januari lepas telah dianjurkan satu ceramah perdana di Pandan Indah. Berceramah pada malam itu adalah Tuan Haji Mohammad Sabu atau Mat Sabu yang tidak asing lagi kepada sama ada ahli PAS atau bukan ahli PAS.

Saya tidak dapat mengagak jumlah yang hadir pada malam itu. Ada yang kata 500, ada yang kata 1,000 dan ada yang kata 2,000. Walau bagaimanapun, suasana gerai-gerai yang ada pada malam itu adalah bagaikan pasar malam di kawasan yang sama pada setiap hari Selasa.

Ramai yang memberitahu saya suasana ceramah pada malam itu jarang kita lihat sejak kita menjadi kerajaan di Selangor. Sekarang ini kita berceramah di dalam dewan atau di dalam stadium tertutup. Suasana ratusan malah ribuan manusia mendengar ceramah di atas padang, di atas jalanraya atau di celah-celah peniaga sambil menghirup sup ‟gearbox” jarang kelihatan.

AURA TERSENDIRI

Suasana santai seperti ini mempunyai aura yang tersendiri. Walaupun di dalam dewan duduk di atas kerusi dan juga lengkap dengan hawa dingin tetapi ramai yang merungut ceramah seperti ini ‟tak syok”. Malah ada yang berkata kalau tidak ada risiko diserbu oleh FRU atau terpaksa melalui beberapa ‟roadblock” maka itu bukan ceramah namanya!

Walaupun apa sekalipun suasana ceramah yang menjadi pilihan ahli-ahli dan penyokong-penyokong, ceramah 8 Januari itu telah memberi dua petunjuk yang positif kepada masyarakat tentang perjuangan menegakkan Islam yang dibawa oleh PAS di Pandan.

DUA PETUNJUK

Pertama adalah sambutan yang begitu hebat. Mat Sabu berkata kalau program PAS di pinggir bandar seperti ini dapat menarik begitu ramai orang maka UMNO sudah tentu akan resah. Betul kata AJK PAS Pusat itu, lebih-lebih lagi UMNO juga telah mula mengadakan majlis-majlis penerangan mereka di Pandan. Walau bagaimanapun di dalam majlis mereka yang terkini di kawasan yang pernah menjadi kubu kuat mereka, makanan yang disediakan untuk mereka yang hadir tidak habis. Mereka yang dijangkakan hadir tidak pula hadir.

Kedua adalah kejayaan PAS Kawasan Pandan bertapak di kawasan yang paling strategik di kawasan Pandan. Lima minit dari Menara MPAJ

DI TENGAH-TENGAH MASYARAKAT

Dulu pejabat-pejabat PAS atau markas-markas PAS berada di ceruk-ceruk. Walaupun besar dan luas tetapi di hujung dunia. Tapi itu dulu. Sesuai dengan peningkatan peranan PAS di dalam masyarakat, kita mesti berada di tengah-tengah masyarakat.

Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Lajnah Bangunan PAS Kawasan Pandan yang menjadikan impian setiap ahli PAS di Pandan satu realiti. Mereka bekerja siang malam bukan untuk menambah harta bagi diri mereka sendiri tetapi untuk Parti, untuk setiap ahli PAS di Pandan.

KOMITMEN AHLI-AHLI

Yang amat mengkagumkan adalah kejayaan kita mendapatkan bangunan yang sekarang ini dikenali sebagai Pusat Tarbiyyah Pandan atau PTP dari hasil sumbangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS. Yang menyumbang adalah ahli-ahli yang kita tidak kenal nama mereka sebelum ini. Bukan nama-nama besar. Tetapi pakcik ini dan makcik itu.

Mungkin ada yang berkata bahawa kita dapat membeli bangunan itu kerana kita adalah kerajaan di Selangor. Oleh itu, ingin saya mengingatkan di sini bahawa PAS Kawasan Pandan telah membeli bangunan pertama mereka ketika PAS masih pembangkang.

Pusat Khidmat ADUN Chempaka di Taman Angsana Hilir sekarang ini dibeli dalam tahun 2007, ketika PAS masih pembangkang. Kita beli secara tunai hasil dari sumbangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong.

Terdapat ahli-ahli dan penyokong-penyokong yang memberi saya RM100, ada yang RM500, ada yang RM1,000 dan ada yang RM5,000. Saya telah lupa jumlah sebenar dan orang-orangnya. Tetapi ketika itu saya bukan ADUN atau EXCO. Saya adalah hanya Yang Dipertua PAS Kawasan. Saya tidak boleh memberi mereka apa-apa. Saya juga yakin mereka tidak mengharapkan apa-apa selain dari keredhaan Allah SWT. Itulah kehebatan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS.

BEZANYA TARBIYYAH PAS

Bagi pembiayaan PTP kita telah menggunaka modus operandi yang sama. Di dalam PAS duit bukannya datang dari atas dan turun ke bawah seperti parti-parti politik yang lain. Tetapi ianya datang dari bawah dan naik ke atas.

Saya masih ingat pada pilihanraya umum 2004, seorang pimpinan dari sebuah parti lain bertanya berapa yang saya hendak membayar kepada parti mereka jika mereka membantu PAS pada pilihanraya umum tersebut. Ketika itu saya amat terkejut. Tarbiyyah ahli-ahli kita adalah berbeza.

Saya masih ingat kuliah Presiden PAS masa mula-mula saya menyertai PAS. Beliau berkata PAS tidak boleh memberi anda projek tetapi hanya dapat menunjukkan aqidah yang betul. Saya pegang betul-betul ucapan Presiden itu.

Walau bagaimanapun ada yang berkata, dulu lain sekarang lain. Kita sudah menjadi kerajaan. Parti perlu ditadbir dengan lebih profesional.

PENTADBIRAN PARTI YANG LEBIH PROFESIONAL

Saya bersetuju kita perlu mentadbir parti dengan lebih profesional. Saya setuju kita perlu ada petugas tetap yang bergaji. Di Pandan memang kita ada petugas-petugas tetap. Kita ada 5 orang petugas sepenuh masa yang boleh dimanfaatkan untuk kerja-kerja Parti.

Tetapi mentadbir Parti secara profesional bukannya semata-mata melantik petugas-petugas bergaji. Ianya juga berkaitan dengan sikap dan pendekatan. Kalau kehadiran mesyuarat masih tidak penuh, tidak peduli kepada ‟dateline” atau tidak ada peraturan kerja maka masih tidak profesional walaupun berapa ramai petugas sepenuh masa digaji.

HARGAILAH MEREKA

Kita mungkin tidak boleh membayar gaji kepada semua petugas-petugas kita tetapi sekurang-kurang kita wajar memberi duit minum teh atau duit makan roti canai kepada mereka. Sekurang-kurangnya ia dapat melepaskan penat lelah mereka. Sekiranya kita memerlukan mereka menggunakan kenderaan mereka sendiri, kita wajar membayar duit minyak. Bukan semata-mata duit tetapi sedikit penghargaan juga diperlukan.

Tetapi saya amat bimbang sekiranya ada di antara kita yang bekerja untuk Parti atau jemaah semata-mata untuk mendapatkan imbuhan kewangan. Bila ada bayaran kita datang tetapi bila tidak ada maka kita terus hilang. Bagaikan biskut ‟Chipsmore”. Saya bimbang keberkatan dan keredhaan tidak akan kita perolehi jika ini berlaku.

Tetapi saya yakin petugas-petugas kita ikhlas bertungkus lumus dalam pelbagai kerja yang diarahkan kepada mereka. Sama ada menggantung kain rentang, mengawal trafik atau menjaga keselamatan, mereka dapat dikerah dengan sekelip mata. Ini yang membuat PAS disegani dan digeruni.

Terdapat kerja-kerja yang kita boleh ‟sub” kepada orang. Tetapi kita juga mesti memberi peluang kepada ahli-ahli kita untuk mendapatkan pahala. Kalau semua hendak kita ‟tender”, ke manakah laungan jihad yang kita dengar di kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah?

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...