Walau bagaimanapun, terdapat rumah kekal atau penempatan-penempatan semula ini yang gagal dibina menurut jadual yang menyebabkan PBT terpaksa menanggung bayaran sewa yang lebih lama dari yang sepatutnya. Malangnya tidak ada perjanjian yang ditandatangani yang membolehkan PBT-PBT membuat tuntutan ke atas pemaju yang gagal menyiapkan penempatan-penempatan semula ini menurut jadual.
Kerajaan negeri menyedari hakikat ini maka mesyuarat Exco pada 11 Februari 2009 telah memutuskan menjadi tanggung jawab PBT untuk memastikan penempatan-penempatan semula ini disiapkan menurut jadual. Sementara itu, sewa rumah-rumah transit akan terus ditanggung oleh PBT. Kerajaan negeri mahu PBT lebih serius di dalam memastikan penempatan-penempatan semula ini disiapkan secepat mungkin agar mereka terlepas dari tanggungan sewa tersebut.
Kerajaan negeri tidak boleh mengarahkan PBT menghentikan bayaran sewa kerana perjanjian telah dibuat bersama penduduk walaupun ianya dibuat di zaman kerajaan negeri Barisan Nasional yang lepas.
Dalam kes Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), sepatutnya PBT itu memberi penumpuan kepada usaha-usaha untuk menyiapkan penempatan-penempatan semula dan bukan memberi keutamaan kepada pemberhentian sewa.
Menghentikan pembayaran sewa hanya menyelesaikan separuh dari masalah.
Oleh itu, saya telah mengarahkan Yang Dipertua MPAJ mengemukakan kepada mesyuarat Exco satu cadangan penyelesaian bagi masalah ini.
Selain dari itu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS juga telah bersetuju untuk mengkaji cadangan bagi mereka untuk mengambil alih sebuah projek penempatan semula yang bermasalah di kawasan MPAJ.
Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
27 April 2010