Skip to main content

Coretan YDP 43 - APAKAH NILAI 0.1 SAAT?

Apakah nilai 0.1 saat?

Apakah nilai 1 saat?

Apakah nilai 1 minit?

Mungkin di dalam keadaan biasa, 0.1 saat atau 1 saat atau 1 minit tidak mempunyai sebarang nilai kepada kita. Mungkin bagi kita yang selalu duduk di kedai-kedai kopi berjam-jam lamanya, 1 jam sekalipun tidak ada nilai. Atau bagi di antara kita yang mengambil masa berbulan-bulan untuk menyempurnakan sesuatu kerja, 1 hari pun tidak ada nilai.

Tetapi di dalam keadaan-keadaan yang tertentu atau kepada mereka yang tertentu, ia amat berharga dan bernilai.

Bagi seseorang yang tertinggal keretapi atau bas, 1 minit amat berharga. Apa tidaknya jika keretapi atau bas bertolak jam 8.30 pagi tetapi beliau tiba di platform jam 8.31 pagi.

Atau seorang pelari pencut yang baru menamatkan larian 100 meter dalam masa 9.5 saat tetapi rekod dunia adalah 9.4 saat. 0.1 saat itu telah menghalang beliau dari mencapai kemasyhuran.

BERNILAI JIKA TEPAT PADA SASARAN

Masa atau apa sahaja yang mungkin dianggap remeh oleh seseorang mungkin amat bernilai kepada seseorang yang lain.

Contohnya, sebutir nasi jika jatuh ke lantai mungkin akan kita pungut dan buang ke dalam sinki. Tetapi jika di kawasan yang dilanda kebuluran di Afrika, mereka akan berebut untuk sebutir nasi. Tepung gandum yang jatuh ke tanah juga akan dikaut bersama-sama pasir untuk di masak.

Sebagai sebuah kerajaan apabila kita hendak mengedarkan bantuan, perkara-perkara ini perlu difikirkan dengan teliti.

Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN-ADUN banyak mengedarkan bantuan kepada rakyat. Dari beras dan gula kepada beg sekolah dan pakaian sekolah. Tetapi bantuan-bantuan ini hanya akan berkesan jika ianya tepat pada sasarannya.

Jika ianya diberikan kepada mereka yang tidak memerlukan, kemungkinan besar ia tidak akan dihargai oleh penerimanya.

Dari segi politik ianya satu tindakan yang tidak menguntungkan kerana ia tidak dapat memberi kesan politik yang dihasratkan.

Dari segi menjaga amanah, kita telah mengkhianati tanggung jawab kita kerana kita telah memberi bantuan kepada mereka yang tidak layak.

PAS SAMA MACAM UMNO?

Pakatan Rakyat mesti berbeza dari Barisan Nasional. Apatah lagi kita sebagai sebuah jemaah Islam. Amalan kronisme yang dipraktikkan oleh UMNO dan Barisan Nasional perlu dinyahkan sama sekali.

Suami kakak isteri saya yang tinggal di bawah pentadbiran DUN Hulu Kelang pernah memberitahu bahawa orang-orang kampungnya hanyalah ketika pentadbiran Pakatan Rakyat mendapat daging korban. Menurutnya ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional, mereka disisihkan dan hanya kroni-kroni yang dapat daging korban.

Sama ada daging korban, zakat, beras, gula, tepung, beg sekolah dan apa sahaja bantuan perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

Tugas kita untuk mencari mereka yang layak. Tidak memadai berkata tidak jumpa. Lebih parah lagi jika ahli-ahli Parti mendapat bantuan tetapi mereka yang layak bukan ahli Parti tidak dapat.

Mungkin ahli-ahli Parti itu layak tetapi dari segi implikasi politik apabila bukan ahli Parti tidak dapat dan ahli Parti dapat, bersedialah untuk melepaskan Negeri Selangor pada pilihanraya umum XIII.

Janganlah dianggap bantuan-bantuan ini sebagai "rampasan perang" untuk diagih-agihkan di kalangan kita.

Ingat, Salahuddin Al-Ayubi yang kain kafannya terpaksa didermakan oleh orang kerana tidak meninggalkan wang yang cukup.

PILIHANRAYA UMUM SEPTEMBER 2011

Pilihanraya umum ke XII adalah pada bulan Mac 2008. Menurut Perlembagaan, pilihanraya umum ke XIII mesti diadakan selewatnya bulan Mei 2013. Jarak di antara pilihanraya umum ke XI dan ke XII adalah lebih lebih kurang 48 bulan.

Walau bagaimanapun jarak di antara dua pilihanraya umum pernah kurang dari 4 tahun, iaitu 3 ½ tahun, di antara 1978 dan 1982, pilihanraya umum pertama Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Pilihanraya umum akan datang mungkin diadakan 3 ½ tahun selepas 8 Mac 2008. Ini juga merupakan pilihanraya umum pertama Najib maka tidak mustahil dia akan mengikut jejak Mahathir mengadakannya lebih awal.

Jika ini berlaku maka pilihanraya umum ke XIII adalah pada September 2011. Ini bermakna kita hanya ada 1 tahun 8 bulan atau 20 bulan sebelum pilihanraya umum yang akan datang.

Bila bercakap tentang pilihanraya, ramai yang berjanji kepada saya akan menyumbang bila tiba pilihanraya umum. Saya tidak pasti menyumbang apa. Mungkin tenaga atau mungkin wang.

Tetapi bagi mereka yang biasa merancang untuk pilihanraya sudah tentu memahami bahawa tenaga dan wang yang paling diperlukan adalah bukan ketika pilihanraya.

Persiapan dan gerakerja pilihanraya yang paling utama adalah pada tahun-tahun sebelum pilihanraya atau sebelum Parlimen dibubarkan.

CERITA BUAH CERI

Contohnya dari segi kewangan, wang yang dibelanjakan ketika kempen pilihanraya hanya mungkin 10 atau sekecil 5 peratus yang dibelanjakan sepanjang tempoh 3 atau 4 tahun sebelum penamaan calon.

Mungkin ada Cawangan-Cawangan, ahli-ahli dan penyokong-penyokong yang mulai aktif hanya selepas Parlimen dibubarkan tetapi 90 peratus dari kerja-kerja pilihanraya telah dilaksanakan sebelum itu.

Mereka yang datang menderu dan bekerja di saat-saat akhir hanyalah sebagai penyeri. Contohnya sebiji kek, kerja-kerja selepas Parlimen dibubarkan adalah umpama meletakkan buah ceri terakhir.

Ia penting tetapi kerja-kerja memecah telur, mengadun tepung, memasak dan meletakkan aising telah dilakukan sebelum itu. Kadang kala kita nampak buah ceri tetapi mereka yang bersusah paya sebelum itu kita tidak nampak.

Oleh itu, bekerjalah dari sekarang. Kalau hendak menyumbang. Sumbanglah sekarang. Setiap RM1 yang diperlukan selepas Parlimen dibubarkan, RM10 diperlukan sebelum Parlimen dibubarkan. Setiap seorang petugas diperlukan selepas Parlimen dibubarkan, 10 orang petugas diperlukan sebelum pilihanraya dibubarkan.

30 Muharram 1431 / 16 Januari 2010

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...