Dia membaca blog ini dan mendapati saya berada di Besut. Tidak
disangka ada orang sejauh Terengganu yang membaca blog saya. Beliau
menjemput saya ke majlis Hari Raya PAS Kawasan Besut pagi tadi. Yang
Dipertuanya turut menghantar SMS menjemput saya.
Di sana berjumpa dengan Dr Mujahid Yusuf Rawa yang isterinya juga
orang Besut. Beliau juga bertanya tentang isu Selcat dan berharap
dapat diselesaikan segera.
Saya menyatakan pendirian saya bahawa ianya non-issue. Tetapi teori
lebih senang dari praktikal.
Selepas majlis terus ke bandar Jerteh dan singgah di kedai nasi
kandar. Mula-mula hendak makan roti canai tetapi anak saya yang Tahun
1 berkata, 'Telur dia tak basuh'. Memang benar, telur-telurnya
bersalut tahi ayam. Menjijikkan, tangan yang memegang tahi akan
menguli tepung. Jadi kami makan nasi. Walau bagaimanapun ketika kami
hendak balik, sebakul telur-telur yang telah dibasuh bersih dibawa
dari dapur.
Nasi kandarnya boleh tahan. Setanding nasi kandar Tanjung. Tetapi
sayang, nasi yang di'tapau' dibungkus dengan surat khabar Cina. Tidak
kira Cina, Melayu, India atau Inggeris, kadang-kadang ada yang suka
membaca surat khabar di dalam tandas. Bayangkan surat khabar itu akan
digunakan untuk membalut nasi kandar atau nasi lemak. Sanggupkah anda
makan?
Jerteh sibuk hari ini. Tetapi mungkin tidak sesibuk wartawan politik
ketika isu Selcat masih panas.
Ada akhbar melapurkan Dato' Hasan Ali cuba menjadi juara. Kalau Dato'
Hasan dan PAS tidak memperjuangkan nasib orang Islam, siapa lagi?
Kenapa membiarkan UMNO mengambil kesempatan?
Malang sekali kita berada di dalam zaman di mana tidak lagi
'fashionable' memperjuangkan isu-isu Melayu-Islam. Sesiapa yang
bercakap tentang isu Melayu-Islam dicap sebagai UMNO atau mahu
menubuhkan kerajaan perpaduan. Walhal DAP juga bercakap tentang isu
orang Cina dengan bebas. PKR juga bercakap tentang isu orang India.
Tetapi kita hendak menyekat diri kita sendiri. Pelik.