Skip to main content

“TO BE A MUSLIM IS TO BE A SCIENTIST”

Akhirnya cuti sekolah pun berakhir. Maka bermulalah kesesakan jalanraya. Taman-taman menjadi sepi semula kecuali di waktu pagi dan petang.

Seperti biasa cuti sekolah yang lepas melihat kenduri-kenduri kahwin diadakan di serata ceruk dan pelusuk. Tetapi terdapat banyak kelainan di antara kenduri kahwin dulu dan sekarang. Kalau dulu, hidangan di masak secara bergotong royong tetapi sekarang semuanya “catering”. Tidak ada lagi rewang. Kalau dulu bunga telur dengan telur rebus diberikan kepada tetamu tetapi sekarang telur telah diganti dengan bahan-bahan lain. Mungkin kepakaran untuk merebus beribu-ribu biji telur tanpa pecah atau retak sudah hampir pupus. Maka diganti dengan tuala kecil, kipas kecil, sabun atau gula-gula dan agar-agar untuk kanak-kanak.

Pada saya hendak bagi apa pun bagilah tidak ada undang-undang yang menetapkan telur rebus wajib diberikan kepada tetamu. Tetapi saya agak berhati-hati apabila gula-gula atau agar-agar diberikan kepada anak-anak saya yang selalunya mengikut saya ke kenduri. Anak-anak saya pula jika was-was akan membuangkannya sahaja. Saya tidak menyalahkan tuan rumah tetapi kadang kala mereka terlepas pandang atau menyerahkan bulat-bulat kepada “caterer”.

Sekarang kita melihat barangan dari Negara China membanjiri negara kita. Gula-gula adalah di antara yang dilambakkan ke dalam pasaran negara kita. Maka itu sebabnya saya memperingatkan anak-anak saya agar membaca label gula-gula atau cokelat yang mereka terima. Kalau tidak ada ‘Halal Bintang” (Halal Jakim), jangan makan. Walaupun ada yang meragui “Halal Jakim” tetapi “at least something rather than nothing at all”.

Ada orang berkata, “To be a Muslim is to be a scientist”, memang benar kerana untuk kita menjaga halal dan haram terutamanya dari segi pemakanan kita perlu menjadi seperti ahli sains, mengetahui komposisi sesuatu produk makanan malah asal usul bahan-bahan yang digunakan. Akibat tidak sensitif atau sikap tidak mahu ambil tahu ini yang mengakibatkan kita di Malaysia selama berpuluh tahun memakan gelatin yang diproses dari babi.

Kadang kala saya rasa marah apabila melihat peniaga-peniaga Melayu Muslim yang menjual gula, cokelat, lolipop dan pelbagai makanan kepada kanak-kanak tanpa mengetahui asal usul makanan tersebut.

Produk dari Negara China dan Thailand yang kadang kala tidak ada tulisan di dalam bahasa yang boleh kita fahami. Kalau ada ditulis pun agak kurang jelas, contohnya “emulsifier”, dari sumber mana? Soya atau babi? “Colouring” dihasilkan dari apa? Ada “colouring” dihasilkan dari kumbang. Jika mengandungi E471, apa itu E471?

Tetapi kerana sikap tidak peduli peniaga, dijual kepada anak-anak kita tanpa usul periksa. Tidak ada langsung sebarang rasa syak sama ada produk yang dijual mengandungi lemak binatang yang tidak disembelih atau ramuan-ramuan tidak halal yang lain.

Bukan itu sahaja, kalau kita mengkaji industri makanan terdapat ramuan yang digunakan adalah dari rambut manusia atau bulu ayam. Menjijikkan tetapi berapa ramai yang bertanya atau meneliti label produk yang hendak dibeli? Bukan semua yang dijual di Malaysia adalah halal. Saya pernah makan “hi-tea” di satu hotel di Kuala Lumpur tetapi apabila hendak mengambil satu “dessert”, seorang tukang masak yang kebetulan berada di situ berkata, “Yang ini orang Islam tak boleh makan, ada arak”. Tidak ada label yang menyatakan mana yang halal dan mana yang haram.

Yang penting adalah kesedaran dan pendidikan. Do not take things for granted. Dulu di sekolah kita sering menggunakan berus melukis dengan bulu hitam yang lurus. Hanya beberapa tahun lepas, kita mengetahui ianya dibuat dari bulu babi. Begitu juga berus cat yang berbulu hitam yang tebal, juga bulu babi. Ramai yang tidak percaya kerana pada mereka babi berwarna “pink” dan tidak berbulu. Mereka tidak pernah melihat babi dari Negara China atau Eropah yang berbulu tebal seperti beruang!

Memang rumit tetapi dengan generasi muda Melayu Muslim dilanda dengan pelbagai gejala sosial mungkin pemakanan mereka yang dari sumber yang tidak halal menyebabkan generasi tersebut menjadi rosak. Atau doa-doa kita juga ditolak kerana sumber makanan kita tidak halal.

SENSITIVITI KAUM DAN AGAMA

Awal minggu ini Utusan Malaysia telah memainkan satu isu agama untuk cuba menghasut orang-orang Melayu Islam di Selangor agar marah kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Perkara ini adalah susulan kepada cadangan seorang Exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar bahawa tidak ada had lagi bagi keluasan rumah-rumah ibadat bukan Islam di Selangor.

Bagi mereka yang senang diapi-apikan dengan isu agama dan perkauman, sudah tentu akan terus melenting. Saya ada menerima SMS tentangnya.

Utusan Malaysia telah menelefon saya pada hari Isnin lepas tentang isu yang hendak mereka mainkan. Ketika itu saya berada di Hospital Serdang untuk membuat “medical check-up”. Saya memberitahu wartawan yang menelefon agar menelefon balik di sebelah petang.

Apabila telefon saya berbunyi di sebelah petang, saya mempunyai pilihan untuk tidak menjawab. Maklumlah tugas Utusan Malaysia sebagai budak suruhan UMNO akan memutar belit sebarang kenyataan yang diberikan. Walau bagaimanapun saya mengambil keputusan untuk membuat kenyataan kerana mahukan penjelasan dari seorang lagi Exco didengari orang ramai.

Walaupun ianya hanyalah cadangan dari seorang Exco tetapi akhbar itu telah memutar belit seolah-olah survival umat Islam di Selangor sedang terancam. Kita ada banyak akta-akta dan enakmen-enakmen lain untuk menjamin kepentingan Islam namun Utusan begitu licik memutar isu ini seperti umat Islam di Selangor di pinggir kepupusan.

Alhamdulillah kenyataan saya walaupun cuba diputarkan sedikit tetapi kebanyakan darinya disiarkan.

UMNO telah lupa bagaimana selama lebih 50 tahun mereka memerintah, ia telah gagal menjaga agama. Jumlah umat Islam yang murtad merupakan bukti kegagalan UMNO.

Oleh itu, janganlah kita melenting “tak tentu pasal”. Utusan bertindak sedemikian kerana mereka tahu kita terlalu senang untuk diprovok. Mungkin kerana kita tidak tahu pandangan Islam yang sebenar terhadap hak orang-orang bukan Islam untuk beribadat. Kita hanya mengandaikan inilah sebenarnya kehendak Islam. Atau kita tidak ada “contact” dengan mereka kecuali mungkin ketika pilihanraya atau membaiki kereta.

KISAH BENAR : ANGKARA IKAN KEMBUNG

Pernah satu ketika di sekolah rendah di Petaling Jaya, oleh kerana kedua ibu bapa saya bekerja maka kami telah menempah lauk pauk dari seorang makcik yang tinggal berdekatan dengan rumah kami. Setiap hari kami akan mengambil lauk-lauk yang diisi di dalam mangkuk tingkat kuning.

Saya kurang pasti sama ada saya berada di dalam darjah berapa ketika itu. Mungkin darjah dua. Tetapi yang saya ingat, makcik tersebut telah memasak ikan kembung hampir setiap hari.

Oleh kerana jemu dengan ikan kembung, satu hari saya telah menulis nota, “Kenapa tiap-tiap hari ikan kembung?”, dan memasukkannya ke dalam mangkuk tingkat yang hendak dipulangkan kepada makcik itu.

Maka tentulah dia begitu marah. Saya tidak begitu ingat apa yang berlaku selepas itu, sama ada ikan kembung telah diganti dengan ikan-ikan lain atau kami tidak lagi menempah lauk dari makcik itu.

Hari ini sebagai ADUN ramai yang datang mengadu tentang 1001 hal. Di dalam banyak hal adalah lebih cepat dan mudah jika mereka boleh menulis surat dan saya akan cop dan tandatangan di atas surat mereka. Sama ada aduan kepada MPAJ, Pejabat Tanah, Polis, pemaju dan banyak lagi.

Saya yakin menulis surat adalah satu perkara yang mudah. Tidak kiralah hendak menulis tangan atau menaip, ianya dapat membantu saya untuk membantu anda dengan lebih pantas lagi. Kalau budak darjah dua pun boleh menulis nota protes disebabkan ikan kembung maka sudah tentu kita yang dewasa boleh melakukan lebih dari itu.

12 Jun 2008

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...