Skip to main content

SIAPA "SANTA CLAUS"?

Pada 28 April lepas, saya telah mewakili Dato’ Menteri Besar untuk melancarkan sebuah buku panduan hartanah terbitan sebuah syarikat jurunilai yang tidak asing lagi di negara kita.

Saya mendapat “a pleasant surprise” apabila bertemu dengan kawan-kawan lama di majlis tersebut, Abang Mat (Mohammad Sabu), Ungku Farid yang pernah memimpin PAS di Bukit Antarabangsa dan juga Ustaz Ismail Kamus.

Abang Mat berkata ini kali pertama beliau berjumpa saya sejak Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan saya amat tersentuh akan kefahaman beliau apabila berkata, ”Aku tak mau kacau hang dalam 100 hari pertama”.

Sebagai “orang lama” yang pernah menjadi ahli Parlimen untuk 3 penggal, kata-kata beliau itu sungguh tepat sekali.

Bagi kami, Exco-Exco di Selangor, tempoh 100 hari ini amat penting. Pencapaian kami dalam 100 hari pertama ini akan menjadi kayu pengukur sama ada kerajaan campuran akan berjaya atau sebaliknya. Setiap dari kami perlu menghasilkan sesuatu yang dapat memberi impak pada 100 hari pertama.

Bagi mereka yang pernah menjadi kakitangan kerajaan terutamanya di peringkat atas tentu memahami bahawa tugas ini adalah amat berat sekali. Mungkin kerana itu kebanyakan Exco-Exco DAP dan PKR serta kakitangan mereka masih berada di Bangunan SUK sehingga melewati waktu Maghrib.

Walau bagaimanapun, fokus kita kadang kala terganggu dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Saya ada terdengar bagaimana perlantikan jawatankuasa tetap seorang Exco dipertikaikan oleh partinya sendiri. Kononnya mereka mahu lebih ramai ahli parti yang terlibat. Ketika itu, saya belum memanggil mesyuarat jawatankuasa tetap atau ”standco” saya.

Ketika pening lalat-lalat di atas kejadian itu, saya telah memanggil pegawai yang terlibat dengan ”standco’ saya dan bertanya, ”Jadi ”standco” ini ada duit ke?”.

Beliau menjawab, ”Takde”.

”Berapa kerap ia mesyuarat”, tanya saya lagi.

”Yang lepas, enam bulan sekali”, pegawai itu menjawab.

Saya menyemak senarai ahli-ahli ”standco” saya yang lepas dan ianya terdiri dari YDP-YDP Majlis Perbandaran, Pegawai-Pegawai Daerah dan ADUN-ADUN.

Untuk mengelakkan dari perlantikan ”standco” saya di pertikaikan juga, saya bertanya kepada seorang lagi pegawai, ”Bolehkah saya lantik orang luar jadi ahli ”standco” saya?”

”Boleh tapi jarang dibuat”, jawabnya.

Saya amat bimbang kemenangan yang dianugerah oleh Allah ini telah menzahirkan keburukan-keburukan di dalam diri kita.

Kita pernah diberitahu beberapa tahun lepas bahawa jika kita menang terdapat lebih 1,000 jawatan yang perlu diisi di Selangor.

Saya bimbang kita menjadi gelojoh dan hanya terpesona dengan bilangan jawatan yang ada. Saya takut ada yang mengapi-apikan ahli-ahli supaya menuntut jawatan atau mendesak jawatan-jawatan diberikan kepada mereka. Saya tidak takut jika kita bergaduh kerana mempertahankan aqidah atau menegakkan prinsip tetapi saya amat bimbang kita berbalah kerana merebut jawatan.

Sebagai Exco kadang kala saya amat tertekan apabila ada yang menganggap saya ”Santa Claus”. Pada mereka saya mempunyai karung dan di dalamnya terdapat beribu-ribu jawatan dan projek untuk diagihkan.

Ada yang berkata semasa pilihanraya, Muslimat dikerah mencula undi tetapi sekarang Muslimat dipinggirkan dan macam-macam lagi komen boleh menghancurkan kita dari dalam.

Ini membuatkan saya termenung, di manakah jawatan-jawatan ini yang mereka nampak dan saya tidak?

Ahli-ahli majlis pun belum lagi kita lantik. GLC pun masih dipegang oleh orang lama. Perlukah saya berjumpa dengan Dato’ Menteri Besar dan berkata, ”Lantik orang ini, lantik orang itu dan sebagainya”?

Atau adakah ini perancangan yang licik untuk memastikan sasaran 100 hari kita ini gagal?

Memang benar kata Ustaz Zawawi Salleh yang pernah menjadi ADUN di Terengganu, apabila kita menang maka segala-gala yang kita lakukan tidak kena.

Menurutnya, ”Kalau kita pakai kopiah datang mesyuarat kerajaan negeri, ada yang kata tak profesional tapi bila kita pakai ”tie” ada orang kata taghut”. Mungkin ini sebabnya Terengganu tumbang selepas hanya satu penggal.

Macam cerita seorang bapa dan anaknya dengan seekor keldai. Apabila bapa menaiki keldai, orang akan berkata si bapa tidak kesian kepada anak yang berjalan kaki. Apabila anaknya menaiki keldai, dikatakan pula anak tidak menghormati bapa. Apabila kedua-duanya berjalan kaki, dikatakan bodoh sebab tidak menunggang keldai. Tetapi jika kedua-duanya menaiki keldai, dikatakan menyiksa binatang. You cannot please everyone!

Perkara yang sama juga berlaku kepada saya. Saya adalah saya, dulu dan sekarang sama sahaja. Kadang-kala saya telah beberapa kali turun ke sebuah Cawangan selepas pilihanraya tetapi mereka tetap merungut yang saya jarang berjumpa mereka. Sudah sombong kata mereka. Sehingga ada yang menghantar SMS kepada Mat Sabu membuat aduan!

”Tengok tu, keluar TV boleh tapi turun Cawangan tak mau”, kata mereka.

Tetapi Alhamdulillah majoriti Cawangan-Cawangan memahami. Dan bukan Cawangan-Cawangan PAS yang mahu saya turun, ADUN-ADUN DAP pun mahu saya turun ke tempat mereka. Ahli-ahli di Pandan perlu memahami bahawa saya bukan sahaja milik Pandan tetapi milik negeri Selangor.

Anak-anak saya yang belum baligh itu telah memahami hakikat bahawa saya bukan sahaja bapa kepada mereka tetapi kepada ahli-ahli di Pandan. Kadang-kadang mereka bertanya bila saya boleh bersarapan bersama mereka, makan malam bersama mereka tetapi mereka tidak memberontak.

Saya masih belum lagi membetulkan lampu di bilik tidur utama yang rosak sejak sebelum pilihanraya. Kami terpaksa bergelap sejak sekian lama. Begitu juga dengan lampu di bilik air. Tetapi isteri dan anak-anak saya tidak merungut kerana suami dan bapa mereka bukan milik mereka sepenuhnya.Kalau mereka boleh faham, mengapa tidak ahli-ahli?

Saya tidak marah Cawangan-Cawangan membuat teguran tetapi kadang-kala berlaku provokasi. Kadang kala kita tanpa disedari kita telah menari mengikut rentak UMNO yang mahu kita kucar kacir dan gagal mencapai matlamat 100 hari kita.

Tindakan saya melantik Sdra. Ahmad Yazid Alias, Setiausaha PAS Kawasan Gombak, sebagai Setiausaha Kerja juga dipertikaikan! Kenapa tidak melantik orang Pandan kata mereka! Kenapa tidak berbincang dengan PAS Kawasan!

Walaupun saya telah melantik Setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan Pandan sebagai kerani, seorang aktivis Pandan Perdana sebagai pemandu dan seorang AJK PAS Kawasan Pandan sebagai Setiausaha Kerja di Pejabat DUN, masih ada yang tidak berpuas hati!

Elaun atau sebahagian dari elaun mereka dibayar oleh kerajaan negeri, ada yang terpaksa saya ”top-up” tetapi ianya masih terlalu kecil. Peniaga pasar malam pun mendapat lebih dari itu! Walau bagaimanapun, ia masih menjadi rebutan!

Saya dilantik sebagai Exco di atas cadangan Dato Seri Presiden. Oleh itu, apabila saya hendak melantik Saudara Yazid untuk membantu saya di SUK, saya merujuk semula kepada pimpinan Pusat. Tugas Exco menjangkau lebih dari kawasan Parlimen Pandan tetapi ke seluruh negeri Selangor.

Saya amat berhati-hati di dalam perlantikan-perlantikan saya dan hanya mengisikannya dengan aktivis-aktivis Parti. Tetapi saya tidak tahu ada yang berbaris untuk mengisinya. Saya memohon maaf jika nama saudara atau saudari telah terkeluar. Saya tidak boleh memuaskan hati semua orang.

Apabila seorang Exco melantik kakitangannya bukan terdiri dari aktivis PAS dari DUN yang dimenangi, beliau dipertikaikan. Pada mulanya saya ingat saya terselamat apabila melantik ramai orang-orang Pandan tetapi rupa-rupanya ada yang cukup cekap mencari isu untuk mengeruhkan keadaan. Siapa yang telah menjadi "virus"? Orang dalam atau orang luar yang berdengki akan perpaduan dan kejayaan kita di Pandan.

Segala-galanya dipertikaikan. Saya tidak mempunyai pembantu rumah. Pernah anak saya sakit dan isteri saya terpaksa membawanya ke Shah Alam ke pejabat. Hairan sekali, itu juga boleh dijadikan isu?

Buat masa ini saya dibantu di SUK oleh Saudara Khairuddin Othman, seorang peguam, yang saya perlukan untuk menasihati di dalam hal-hal perundangan. Sekarang ini saya amat bimbang jika ada yang akan mempertikaikan kehadiran beliau kerana beliau tidak dari Pandan walaupun bekas NYDP kita, Haji Kamaruddin Ahmad, seorang jurunilai, turut membantu.

Sekali lagi saya ingin menyatakan saya amat bimbang kemenangan akan menzahirkan keburukkan-keburukkan di dalam diri kita dan menghapuskan keberkatan.

Janganlah kita meninggalkan Bukit Uhud kerana menyangka kemenangan total telah diperolehi atau kerana mengejar harta rampasan. Seperti di Uhud, ada tentera berkuda akan menyerang kita dari belakang sekiranya kita lalai.

Siapa yang memulakannya? Siapa mengapi-apikannya? Siapa yang mahu kita bercakaran? Siapa yang mahu menggagalkan segala-gala yang dirancang?

Kita perlu kembali kepada asal. Kenapa kita menyertai PAS? Adakah untuk mengejar jawatan? Mengaut keuntungan dunia? Tanyalah soalan-soalan itu kepada diri kita.

Saya memasuki PAS dalam tahun 1991. Pertama kali menjadi ahli Perhubungan dalam tahun 1993. Hanya tinggal seorang dua dari 1993 yang masih kekal di dalam Perhubungan hari ini. Ada yang telah tidak aktif, ada yang telah meninggal dunia.

Saya bersikap terbuka kerana di dalam era UMNO mewujudkan kerterbukaan sesama mereka dan meninggalkan sindrom ”self denial”, kenapa pula PAS perlu berselindung-selindung?

Apabila dilantik sebagai Setiausaha PAS Kawasan dalam tahun 1993, saya membuat keputusan untuk bergiat aktif di dalam Parti. Maka kerjaya diletakkan di tempat kedua. Saya berpuas hati dengan jawatan-jawatan yang ”selamat” yang memberi ruang dan masa kepada saya untuk bergerak cergas di dalam Parti. Walhal ketika itu ekonomi negara sedang memuncak dan peluang-peluang terbuka di sekeliling. Ramai kawan-kawan telah menjadi kaya raya.

Jika ketika itu saya tidak memperdulikan segala peluang untuk menjadi kaya dan pendirian saya masih sama. Saya tetap saya. Menjadi Exco tidak akan merubah apa-apa sehingga ada yang membuat bermacam-macaam komen. Bila hendak menukar cermin mata? Bila hendak menukar handphone? Kenapa masih makan tepi jalan? Kenapa masih memakai beg sandang? Walhal YB Teng Chang Khim pun memakai beg sandang. Saya tidak pernah ada masa untuk protokol. Saya adalah seorang marhaen.

Saya akan tetap fokus kepada tugas saya walau apa yang berlaku di sekeliling. Walau apa yang melanda. Walau apa sekali tuduhan dan tohmahan. BN, you are wasting your time!

PILIHANRAYA UMUM MAC 2009

Semasa saya bercakap dengan Mat Sabu di majlis pelancaran, beliau berpandangan Pak Lah akan meletakkan jawatan sebelum bulan Disember. Pengganti beliau sama ada Najib atau Ku Li akan mendapatkan mandat baru dari rakyat.

Saya amat bersetuju dengan pandangan itu. Malah saya menjangkakan pilihanraya umum akan diadakaan pada cuti sekolah bulan Mac tahun hadapan.

Ramai penganalisis politik boleh bersetuju dengan ramalan ini maka bersedialah kita dari sekarang!

2 Mei 2008

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...