Skip to main content

KITA TIDAK LAGI SELAMAT....

Ketika saya bekerja di sebuah projek PPRT di Lembah Pantai, saya kerap ke PJ Old Town melalui jalan belakang. Tidaklah terdapat kedai yang hebat-hebat di situ tetapi di situlah tempat saya dibesarkan.

Sebelum berpindah ke Taman Seri Keramat dalam tahun 1977. Keluarga saya telah menetap di Seksyen 14 PJ dan Old Town merupakan di antara tempat yang sering saya kunjungi.

Terdapat sebuah klinik yang bernama Reddy Clinic di mana saya akan di bawa oleh bapa saya bila jatuh sakit. Terdapat sebuah masjid di Jalan Othman yang merupakan masjid utama di PJ sebelum masjid bulat Seksyen 14 dibuka. Tadika atau kindergarten saya juga tidak jauh dari kawasan tersebut.

Kedai-kedai di Old Town sama ada kedai makan atau kedai kain bagaikan di petik dari sebuah album foto tahun 60’an atau 70’an.

Dengan begitu ramai orang-orang pencen suasananya begitu tenang tidak kira di waktu pagi atau tengah hari.

Tetapi apa yang membuat saya berpijak semula di millennium ini adalah apabila mengingatkan kembali bagaimana ketika itu saya menaiki bas dari sekolah yang berdekatan dengan Jaya Supermarket untuk ke Old Town. Ketika itu saya hanya berada di dalam Darjah 4 atau 5. Saya akan ke Old Town mungkin berjumpa kawan yang tinggal di sana atau mungkin memanjat Gasing Hill yang sekarang ini penuh kontroversi.

Dihantui dengan kehilangan Sharlinie dan pemergian Nurul Jazlin, mungkin tidak ada ibu bapa sekarang yang akan membiarkan anak-anak mereka ke hulur ke hilir berseorang seperti saya lebih 35 tahun yang lalu. Untuk ke padang permainan yang hanya 50 kaki dari rumah juga diangggap sebagai satu aktiviti berisiko tinggi.

Begitu tidak selamat negara kita di bawah Islam Hadhari!

SALAH TETAP SALAH

Baru-baru ini saya diberitahu bahawa ada seseorang yang mahu saya menyokong projek perniagaannya dan beliau akan menyumbang kepada PAS jika sokongan itu diberikan.

Saya tahu projek tersebut ada dilaksanakan di beberapa tempat lain di bandaraya Kuala Lumpur tetapi dikatakan menjadi penyumbang kepada pelbagai gejala sosial dan kacauganggu kepada masyarakat setempat. Walaupun tidak dapat dinafikan terdapat pelbagai manfaat padanya tetapi keburukannya jauh lebih banyak.

Salah tetap salah! Berapa banyak yang hendak disumbangkan kepada jemaah sekalipun ianya tidak akan membetulkan yang salah.

Selalu yang datang akan berkata mereka adalah pengundi PAS dan mahu saya menyokong apa saja pemintaan mereka tetapi saya tidak akan lari dari prinsip. Yang salah tetap salah. Mengundi PAS atau Pakatan Rakyat tidak akan dapat membenarkan yang salah.

Hampir 20 tahun saya di dalam industri pembinaan, pelbagai sogokan telah cuba ditawarkan kepada saya. Kalau dulu ketika saya hanya bertanggungjawab kepada majikan selain dari Allah SWT, saya tidak pernah goyah di dalam pendirian saya. Maka tentulah saya lebih teguh di dalam keadaan saya perlu menjawab kepada 2.5 juta orang rakyat di negeri Selangor.

ANAK ITIK PUN TAHU PROTES

Ada yang berkata saya angkuh apabila terlalu sangat memberi penghormatan kepada mereka yang bermati-matian untuk jemaah ketika kemenangan masih jauh dari pandangan mata. Mereka mahu mereka juga diberikan penghormatan. Mereka juga mahu diiktiraf sumbangan mereka.

Saya menghargai semua sumbangan dan mengiktiraf keringat setiap petugas. Tetapi adakah salah saya memberi penghormatan yang lebih kepada mereka yang membantu jemaaah ketika kami terkontang-kanting berseorangan seperti orang gila? Ketika orang menganggap kita seperti sampah apabila kita pergi merayu-rayu agar datang ke program-program atau keluar membantu.

Kita wajar memberi penghormatan kepada mereka dan ini bukan sahaja sentimen saya tetapi sentimen ramai.

Kita tidak wajar menafikan penghormatan kepada mereka yang layak itu. Malah adalah satu penghinaan kepada mereka sekiranya kita cuba mencabut penghormatan ini dari mereka. Walaupun saya tahu mereka tidak memprotes kerana selama ini mereka bekerja bukan untuk mendapat sanjungan tetapi kenapa perlu berdengki dengan mereka?

Kenapa seorang Muslimat yang saban malam meninggal anak dan isteri kerana keluar menjayakan program-program Muslimat perlu dinafikan penghormatan?

Kenapa seorang Pemuda yang mengedar risalah setiap Jumaat di masjid-masjid tanpa meminta dibayar perlu dinafikan penghormatan?

Kenapa seorang AJK Kawasan yang mengambil cuti untuk menjaga pusat khidmat masyarakat walhal ketika itu kita belum adapun seorang ADUN perlu dinafikan penghormatan?

Nampaknya kemenangan telah menzahirkan banyak tabiat-tabiat buruk kita.

Masanya adalah untuk kita bekerja bukan untuk mencari sebab untuk tidak bekerja.

22 April 2008

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...