Skip to main content

APABILA TIANG LAMPU MENGAKU MENGUNDI PAS!

Pertamanya saya memohon maaf kerana tulisan saya telah terhenti untuk jangka masa yang agak lama. Kali terakhir ia diterbitkan adalah pada 12 Februari lepas. Memandangkan pilihanraya umum dan gerak kerja selepas kita berjaya membentuk kerajaan di negeri Selangor maka blog ini telah menjadi korban.

TAHNIAH DAN TERIMA KASIH

Kita mengucapkan syukur kepada Allah kerana telah berjaya merampas kerusi DUN Chempaka dari BN. Kita juga telah berjaya membentuk kerajaan di negeri Selangor walaupun sebelum ini, ia adalah sesuatu yang dianggap mustahil.

Ramai yang mengucapkan tahniah kepada saya kerana telah berjaya menjadi YB dan ahli Exco Negeri Selangor tetapi seperti saya sering berkata, kita sepatutnya mengucapkan tahniah kepada diri kita yang telah bertungkus lumus untuk memenangkan PAS.

Terima kasih kepada semua yang telah bekerja siang dan malam untuk memastikan kejatuhan BN menjadi kenyataaan.

Terima kasih khusus untuk mereka yang telah bekerja tanpa henti sejak kita memulakan usaha-usaha secara serius untuk menawan DUN Chempaka. Ini bukan berlaku selepas Parlimen dibubarkan atau selepas penamaan calon tetapi apabila kita mula membuka sebuah pusat khidmat masyarakat di DUN itu pada bulan Mac 2006.

Ketika itu, tidak ada orang yang mahu mendekati PAS. Ahli-ahli pun menikus apabila diajak untuk menjayakan program-program PAS.

Kita pernah mengadakan usrah dari rumah ke rumah di Kg. Pandan sekitar pertengahan 2007 tetapi ada yang hanya dihadiri oleh empat atau lima orang penduduk tempatan.

Semasa Madrasah Ehsaniah dirobohkan tidak ramai yang tampil ke hadapan untuk membantah, berhadapan dengan MPAJ dan pemaju. Bila kita menganjurkan demonstrasi aman menentang perobohan itu di hadapan Masjid Nurul Hidayah, hanya beberapa kerat sahaja yang hadir.

Hanyalah apabila telah nampak gelombang rakyat menuntut perubahan maka penduduk tempatan keluar beramai-ramai. Sebelum itu keadaan begitu sepi.

Dan apabila kita telah menang, semua orang mengaku penyokong PAS, pengundi PAS malah AJK PAS Cawangan walaupun sebelum ini tidak pernah kelihatan di mesyuarat agong atau ceramah-ceramah. Malah jika tiang-tiang lampu boleh bercakap, ia akan mengaku telah mengundi PAS!

ANAK ITIK YANG HODOH

Keadaan yang berlaku sekarang mengingatkan saya kepada cerita dongeng Hans Christian Andersen, ”The Ugly Duckling” atau anak itik yang hodoh.

Di dalam cerita tersebut, di sebuah tasik terdapat sekumpulan anak-anak itik bersama ibu mereka. Walau bagaimanapun terdapat seekor anak itik yang begitu hodoh yang dipulaukan oleh anak-anak itik lain. Tidak ada anak-anak itik yang ingin bermain dengannya.

Tetapi hari demi hari ia semakin membesar dan pada satu hari ketika musim bunga barulah diketahui bahawa anak itik itu adalah seekor angsa. Ia telah membesar menjadi seekor angsa putih yang begitu cantik. Ketika itu sudah tentu itik-itik lain mahu berkawan dengannya.Mungkin begitulah keadaan PAS di Pandan dan Selangor hari ini!

PENGORBANAN ORANG LAMA

Di dalam kita berjaya mencapai kejayaan terbesar kita bukan sahaja di Selangor tetapi di Malaysia, saya terkenang akan aktivis-aktivis PAS Selangor yang sama ada tidak lagi berada di dalam saf pimpinan atau yang telah pergi terlebih dahulu.

Nama-nama seperti Tuan Guru Haji Ismail Hashim, bekas Pesuruhjaya dan Ustaz Haji Abdul Razak Dawami, bekas Timbalan Pesuruhjaya yang telah pergi sebelum kita. Atau seperti Ustaz Haji Hassan Shukri, bekas Pesuruhjaya dan Haji Mohsinon Tahir bekas Timbalan Pesuruhjaya.

Mereka berpanas dan berhujan ketika kemenangan PAS di Selangor dianggap sebagai satu mimpi di siang hari. Beribu batu dari gelombang reformasi atau gelombang hitam.

Al-Fatihah kepada yang telah pergi dan Jazakallahu Khairan Kathira kepada yang tidak kenal penat dan lelah ketika ahli-ahli PAS sentiasa dipulau di mana-mana.

KERAJAAN BUKAN PEMBANGKANG

Di dalam ceramah dan taklimat saya, saya kerap memberitahu ahli-ahli supaya mengubah sikap. Kita bukan lagi pembangkang tetapi kerajaan.

Kalau dulu memadai kita sekadar berkata, ”Kita mestilah kembali kepada Islam”, tetapi sekarang kita perlu menunjukkan cara dan bagaimana hendak kembali kepada Islam.

Tidak memadai lagi dengan konsep tetapi perlu perancangan yang terperinci.

Kerja kita sekarang berlipat kali ganda. Kalau dulu hanya dengan kerja-kerja jemaah dan mungkin sedikit kerja-kerja kemasyarakatan tetapi sekarang beban mentadbir negeri itu ada di bahu kita semua.

Sama ada seorang Exco, ADUN, ahli Majlis atau AJK Masjid, harapan rakyat adalah tinggi. Setiap dari kita dengan beban masing-masing.

Kita mungkin akan berhadapan dengan budaya baru. Kalau dulu ”deadline” MTD atau Kawasan adalah sesuatu yang agak fleksibel.

Tetapi sekarang di dalam kerajaan, tidak ada peluang kedua. Tiada ”honeymoon” di dalam politik. Rakyat akan menghukum kita jika kita gagal.

Mentadbir pula, bukanlah sekadar berceramah. Terlalu banyak kajian perlu dilakukan. Data-data dikumpul. Percambahan fikiran dilakukan. Kalau diikutkan hati, mungkin saya akan pulang dari Shah Alam jam 12.00 setiap malam!

KERAJAAN CAMPURAN

Di Selangor, kita berada di dalam sebuah kerajaan campuran.

Ramai yang mencadangkan perkara-perkara yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk dilaksanakan di Selangor.

Saya mengalu-alukan semua cadangan dan pandangan tetapi terdapat banyak perbezaan di antara kita dan Kelantan malah Kedah sekalipun.

Jumlah ADUN kita di dalam kerajaan campuran ini adalah yang paling kecil berbanding dengan DAP dan PKR. Komposisi kaum adalah juga berlainan.

Kita adalah kerajaan kepada setiap rakyat di Selangor bukan hanya kepada orang Islam atau orang-orang Melayu sahaja.

Walau bagaimanapun, banyak kemajuan telah dapat dilakukan dari segi dakwah di masjid dan surau serta di dalam banyak hal yang melibatkan umat Islam.

FIGHTING A MODERN ELECTION

Baru-baru ini akaun pilihanraya kita telah dibentangkan dan kita mendapati perbelanjaan kita adalah jauh lebih rendah dari 2004.

Walaupun kali ini kita bertanding DUN dan sudah tentu perbelanjaan kita adalah lebih rendah namun kali ini kempen kita berteraskan kualiti bukan kuantiti.

Kita tidak lagi memberi fokus kepada poster dan bendera seperti yang dilakukan di masa lampau. Tetapi memberi fokus kepada ”banner” dan ”bunting” yang berkualiti tinggi.

Kita tidak menabur risalah sesuka hati tetapi mengedarkan risalah secara berjadual. Sepanjang kempen kita hanya mengedar 4 siri risalah sahaja.

Walau bagaimanapun, sejak Oktober 2007 kita telah mula mengedar beberapa siri risalah.

Kita lebih bergantung kepada SMS untuk menyebarkan maklumat dari ceramah-ceramah umum.

Kita mesti bergerak dengan masa. Kempen pilihanraya malah dakwah juga perlu disesuaikan dengan masa.

4 RABIUL AKHIR 1429 / 11 APRIL 2008

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...