Skip to main content

KENAPA MALAS MELAKSANAKAN KERJA-KERJA JEMAAH?

Assalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tuan-tuan dan puan-puan yang diberkati Allah SWT,

Persoalan kenapa kita kadang-kadang malas melaksanakan tugas-tugas jamaah sentiasa akan wujud.

Bagi mereka yang kerap hadir kuliah Tarbiyyah Haraki di Pejabat PAS Kawasan terutamanya pada giliran Ustaz Idris Ahmad, setiap malam Jumaat ketiga setiap bulan, sudah tentu dapat menjawab.

Kitab yang dibawa oleh Ustaz Idris, “Wabak Sepanjang Jalan” atau “Afat ala Tariq” karangan Dr. Al Syed Muhammad Noh menghuraikan secara panjang lebar kenapa ada yang malas, menangguhkan dan melengah-lengahkan kerja-kerja jamaah.

Penyakit berhenti atau melengah-lengahkan kerja atau Al Futur sering melanda. Tahap yang paling rendah adalah malas, menangguhkan dan melengahkan kerja sementara yang paling tinggi adalah berhenti terus.

SEBAB BERLAKU AL-FUTUR

Di antara sebab-sebab berlakunya Al-Futur menurut Dr. Al Syed Muhammad Noh adalah,

1. Sikap keterlaluan dan berlebih-lebihan di dalam agama.

Sikap keterlaluan dan berlebih-lebihan yang melampaui batas sehingga menafikan hak kerehatan yang diperlukan oleh badan boleh menyebabkan keletihan atau kejemuan.

Manusia mempunyai keupayaan yang terhad, apabila ia bertindak melampaui keupayaannya, ia akan dijangkiti Al-Futur.

2. Mufaraqah atau meninggalkan jemaah dan hidup beruzlah atau berseorangan.

Apabila seseorang itu meninggalkan perjuangan bersama jamaah ia akan kehilangan sahabat-sahabat yang boleh memberi ransangan dan galakan. Lama-lama kelamaan ia akan lemah dan jemu dan akan bertindak ala kadar walaupun berhasrat untuk bekerja terus untuk Islam.

3. Kurang mengingati mati dan akhirat.

Bila seseorang itu lupa kepada mati dan hari akhirat ianya boleh membawa kepada tumpulnya keazaman dan hasrat. Akibatnya ia akan melengah-lengahkan kerja-kerja jamaah dan mungkin akan berhenti terus.

4. Pengabaian melakukan ibadat harian.

Pengabaian melakukan ibadat harian seperti mengabaikan solat rawatib, qiamulail, sunat dhuha, membaca Al-Quran, berzikir dan solat berjemaah tanpa sebarang keuzuran akan meninggalkan kesan negatif kepada diri.

5. Mengambil makanan yang haram atau syubahah.

Di antara kesan-kesan makanan yang haram adalah malas untuk beribadat atau tidak merasai sebarang kelazatan dan kemanisan untuk menyembah dan bermunajat kepada Allah.

6. Penumpuan ke atas sudut tertentu dari ajaran Islam.

Islam merangkumi semua aspek kehidupan. Mereka yang memilih sebahagian sahaja dari Islam, seolah-olah mahu menghayati hanya sebahagian dari kehidupan.

Apabila penghayatan Islam secara ini sampai kepada kemuncaknya, mereka akan tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan lagi.

7. Gagal memahami sunnatullah tentang alam dan penghidupan.

Ada yang bekerja di jalan Allah untuk mengubah suasana masyarakat secara drastik dengan pendekatan dan cara yang tidak berpijak di bumi yang nyata, tanpa memahami realiti yang dihadapi.

Adapun sunnatullah bagi alam dan penghidupan, sesuatu pekerjaan itu perlu dilakukan secara bertahap. Dan setiap itu telah ditentukan masa yang tidak mungkin didahulukan atau dikemudiankan.

Apabila hasil tindakan mereka itu tidak seperti yang diharapkan maka Al-Futur akan berlaku.

8. Mengabaikan hak tubuh badan kerana bebanan tugas dan tanggungjawab di samping kekurangan tenaga amilin.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya kepada Tuhan kamu hendaklah diberi hak dan sesungguhnya kepada diri kamu hendaklah diberi hak dan kepada keluarga kamu hendaklah diberi hak, maka berilah hak kepada mereka yang mempunyai haknya”.

9. Tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan.

Terdapat mereka yang menyertai perjuangan Islam tetapi mengharapkan kesenangan dan kejayaan di dalam masa yang singkat walhal ianya penuh dengan pelbagai cabaran dan kepayahan.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini. Sehingga dia menyisihkan yang buruk (munafik) dari yang baik (mu’min). (Ali Imran 179)

10. Mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Seseorang itu mengikut deen (cara hidup) sahabatnya maka hendaklah salah seorang dari kamu melihat dengan siapa ia bersahabat”.

11. Terlibat dengan perbuatan jahat dan maksiat terutamanya melakukan dosa kecil serta memandangnya remeh.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Seseorang mukmin apabila melakukan dosa maka berlakulah satu titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat dan meninggalkan dosa serta beristighfar, maka bersihlah hatinya. Dan sebaliknya jika ia menambahkan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam sehingga meliputi hatinya.”

PERANCANGAN PBS

Saya pernah diberitahu apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) menumbangkan kerajaan Berjaya di dalam tahun 1985, mereka telah memastikan setiap bandar dan kampung mempunyai sekurang-kurangnya sebuah gereja, tadika dan rumah orang-orang tua.

Mungkin PBS menjangka mereka tidak akan kekal lama sebagai kerajaan dan perlu mewujudkan institusi-institusi yang boleh mengekalkan pengaruh mereka walaupun mereka kalah di peti undi.

Saya yakin PAS di Pandan perlu belajar dari PBS dan memastikan wujudnya institusi-institusi PAS yang tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa.

PAS sejak dari dulu lagi telah mewujud balai Islam, markas tarbiyyah, PASTI, SRI, SMI, maahad tahfiz atau pusat tuisyen yang bukan sahaja berjaya memasyarakatkan PAS dan membentuk masyarakat tetapi dapat memberikan peluang pekerjaan kepada para aktivis.

Ianya berlainan dari surau, masjid atau sekolah agama rakyat yang bukan milik PAS dan boleh dirampas pada bila-bila masa oleh mana-mana pihak yang cemburu dengan penerimaan rakyat terhadap perjuangan Islam.

Terdapat aktivis-aktivis kita yang bertungkus lumus menghidupkan institusi-institusi kemasyarakatan itu sehingga mengabaikan Cawangan-Cawangan tetapi akhirnya kecewa apabila ianya diambil alih oleh orang lain.

Tetapi dengan institusi-institusi PAS, PAS seolah-olahnya sudah menjadi “kerajaan” kerana telah menjadi tempat rakyat di sesuatu kawasan bergantung harap.

Mungkin kita tidak perlu pergi jauh ke Utara atau Pantai Timur tetapi cukuplah kita meninjau di Ampang di mana mereka telah ada SRI, SMI, 2 pusat tuisyen selain dari PASTI-PASTI. Dan apabila Masjid Kosas dirampas, markas di Taman Dagang Jaya telah berjaya mengisi kekosongan yang wujud.

LIGA PERDANA INGGERIS

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Liga Perdana Inggeris sudah tentu tahu bahawa persaingan liga itu bagi musim ini telah melepasi separuh perjalanan.

Ketika ini, Manchester United sedang mendahului saingan.

2 pengurus pasukan, dari Charlton dan West Ham, telah dipecat kerana prestasi pasukan mereka yang terlalu buruk.

Menurut seorang penganalisis, tugas yang paling berat bagi pengurus sebuah kelab bolasepak adalah bukan untuk menentukan taktik dan strategi tetapi adalah “ego management” atau menguruskan ego para pemain yang bernilai berjuta-juta Euro.

Bukan senang untuk untuk menguruskan pasukan-pasukan seperti Chelsea yang mempunyai pemain-pemain yang merupakan kapten negara masing-masing.

Tetapi bagi Chelsea, mereka dapat bermain sebagai satu pasukan walaupun pemain-pemainnya adalah “superstars”.

“Ego management” ini saya yakin bukan sahaja wujud di dalam menguruskan sebuah kelab bolasepak tetapi apa saja organisasi yang melibatkan manusia termasuk parti politik.

Tidak ramai seperti pengurus Manchester United, Alex Ferguson, yang apabila berhadapan dengan pemain-pemain yang mula bermain untuk ego masing-masing akan mengambil tindakan yang drastik.

Pemain-pemain seperti David Beckham, Roy Keane dan Paul Ince telah dijualnya untuk menyelamatkan pasukan.

Tetapi adakah masalah ini akan berlaku di dalam jamaah Islam seperti PAS?

Terpulangkan kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk menjawabnya tetapi di dalam kitab-kitab haraki terdapat satu istilah “Al I’jab Bil Nafsi” atau terpesona dengan diri sendiri.

22 Zulkaedah 1427 / 12 Jan 2007

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...