Skip to main content

KEMUNCAK KEBODOHAN ADALAH…..

Bagi mereka yang mempelajari ilmu pentadbiran dan pengurusan sudah tentu pernah mendengar ungkapan, “Kemuncak kebodohan adalah apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan cara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berlainan”.

Contohnya mereka yang menjalankan perniagaan dengan cara yang sama seperti cara pemasaran atau produk yang sama tetapi mengharapkan hasil yang lebih baik dari sebelumnya.

Perkara tersebut telah diulang oleh Dr. Mohd. Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat di dalam lawatan beliau ke Kg. Pandan baru-baru ini.

Bagi sebuah parti politik seperti kita, di antara ukuran kejayaannya adalah sokongan rakyat seperti penambahan ahli atau kejayaan di dalam pilihanraya.

Oleh itu jika kita mengharapkan kemenangan pada pilihanraya umum yang akan datang walhal strategi dan gerakerja kita adalah sama seperti 2004 maka ianya adalah kemuncak kebodohan.

Kita anjurkan ceramah, naikkan kain rentang, tampalkan poster dan edarkan risalah sama seperti 2004 tetapi kita bermimpi untuk menang.

Ia telah dibincangkan dengan panjang lebar di peringkat Kawasan. Apakah kelainan yang perlu kita cipta untuk memungkinkan kita mencapai kejayaan?

Ada yang mencadangkan kita mengedar CD. Menambah program khidmat masyarakat. Mengedar risalah berkualiti tinggi. Mengadakan tayangan CD. Meningkatkan operasi geraksaraf. Mengarahkan ahli-ahli bersolat hajat setiap hari. Qiyamulail setiap minggu dan banyak lagi.

Tetapi Cawangan-Cawangan juga perlu bersama-sama memikirkannya. Jika mereka mula bergerak semingggu dua sebelum penamaan calon dan melakukan perkara-perkara yang sama seperti 2004 tetapi mengharapkan kemenangan maka bukankah itu juga kemuncak kebodohan?

Kawasan membuka seluas-luas ruang kepada Cawangan-Cawangan untuk membuat apa sahaja pembaharuan yang dirasakan patut selagi ianya tidak bertentangan dengan hukum syarak.

SUASANA YANG BERUBAH-UBAH

Mungkin ada yang berhujjah, strategi dan gerakerja mungkin sama tetapi suasana adalah berbeza pada pilihanraya umum akan datang.

Memang benar menurut kajian Merdeka Centre baru-baru ini, 2 dari 3 pengundi Cina telah menyatakan hasrat untuk mengundi pembangkang.

Tetapi menurut Pengarahnya, Ibrahim Suffian, inisiatif-inisiatif ekonomi seperti menurunkan harga minyak akan dapat meredakan kemarahan mereka.

Kajian itu turut melaporkan hanya 1 dari 3 pengundi Melayu akan mengundi pembangkang.

Ianya menjangka PAS dan KeAdilan akan susah untuk menampilkan diri mereka sebagai pembangkang yang “credible” dan mencadangkan mereka memainkan isu-isu tempatan.

Oleh itu suasana tidak begitu memihak sangat kepada pembangkang seperti dalam tahun 1999.

Jika kita gagal ketika itu maka ini bermakna kita perlu berusaha lebih untuk pilihanraya yang bakal menjelang. Tetapi adakah itu hakikatnya sekarang?

Dr. Hatta di dalam lawatannya itu memberitahu bagaimana di dalam tahun 1999 jika PAS menganjurkan ceramah maka bendera-bendera akan dipasang sepanjang jalan.

Tetapi hari ini tempat-tempat ceramah selalunya gelap dan tidak banyak bendera yang dipasang.

Katanya juga di dalam tahun 1999 PAS kerap membuka kaunter di pasar-pasar malam tetapi kita amat bertuah jika dapat melihat kaunter PAS sekarang. Di ceramah umum pun tidak ada kaunter.

Bukan sahaja perkara–perkara yang dapat memberi nilai tambah kepada kempen kita tidak diusahakan tetapi perkara-perkara yang asas telah diabaikan.

MENUNGGU KEMENANGAN

Memang benar Allah SWT boleh memberi kemenangan kepada sesiapa sahaja tetapi wajarkah kita mengharapkan kemenangan tanpa berusaha bersungguh-sungguh?

Tidakkah kita malu hanya duduk menunggu kemenangan walhal Rasulullah SAW juga keluar berperang sehingga cedera parah seperti di Uhud?

Baginda juga pernah dilempar dengan batu di Taif. Baginda juga pernah disihir oleh seorang Yahudi bernama Lubaid Ibn Asim,

Lagipun jika kita bekerja sambil lewa untuk menghadapi pilihanraya, adakah terdapat mereka yang sanggup menjadi calon untuk kita?
Adakah mereka yang sanggup mendedahkan diri dan keluarga mereka kepada pelbagai risiko jika kita malas hendak datang ke mesyuarat-mesyuarat UPU?

BANGUNAN SENDIRI

Sejak dilantik sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyakarakatan PAS Negeri Selangor, saya telah melakukan lawatan ke Kawasan-Kawasan dan seperti kata pepatah jauh perjalanan luas pandangan kerana banyak perkara yang dapat dipelajari.

Kadang-kala kita di kawasan bandar seperti di Pandan memandang rendah kepada mereka di luar bandar seperti Sabak Bernam dan Tanjung Karang.

Kita kerap berbangga kerana mempunyai ramai profesional dan intelek tetapi pada hakikatnya kita jauh ketinggalan di dalam pelbagai bidang.

Dari segi penambahan ahli, Tanjung Karang berada di tempat pertama, Sabak Bernam kedua dan Sungai Besar keempat. Pandan dan Shah Alam yang “canggih” itu berada di “bottom five”.

Dari segi pemilikan bangunan, Tanjung Karang dan Sabak Bernam mempunyai bangunan mereka sendiri. Malah terdapat Cawangan-Cawangan mereka yang juga mempunyai bangunan sendiri.

Saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan kepada pemilikan bangunan sendiri kerana ianya merupakan agenda utama kita sekarang.

Bukan sahaja Tanjung Karang dan Sabak Bernam tetapi Selayang, Puchong, Kuala Langat dan banyak lagi juga ada bangunan sendiri.

Ada yang berkata, “Di kampung bolehlah, tanah banyak. Di bandar tanah mahal”. Memang benar di kampung tanahnya murah tetapi untuk membina bangunan juga memerlukan duit.

Di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam yang terkenal dengan PASTI yang mempunyai pelajar-pelajar Cina, sebuah Cawangan PAS dapat memiliki sebuah kompleks yang terdapat sebuah dewan dan sebuah PASTI. Kosnya mungkin RM100,000.

Adakah kita di Pandan yang penuh dengan pakar-pakar kewangan dan pelaburan dapat menandingi sebuah Cawangan di Sabak Bernam yang terdiri dari para peniaga, petani dan nelayan?

KENAPA PERLU MEMBELI?

Tetapi kenapa perlu membeli? Kenapa tidak menyewa?

Membeli akan memberi jaminan jangkapanjang. Markaz kita di Jalan H hanya menunggu masa. Pemiliknya pernah menyatakan hasrat untuk membangunkannya dan kita akan diarah keluar.
Kita boleh mencari bangunan yang baru tetapi untuk berapa lama sebelum kita disuruh berpindah lagi?

Bagaimanakah kita hendak bertapak dan mendapat kepercyaaan rakyat jika kita terpaksa berpindah setiap tiga atau empat tahun seperti kaum Red Indian?

RM450,000 DALAM MASA 15 BULAN

Sekiranya 3,000 ahli-ahli PAS di Pandan menyumbang RM150 maka kita akan dapat kumpulkan RM450,000.

RM150 itu tidak perlu disumbangkan sekali-gus tetapi boleh dikumpulkan RM10 sebulan. Maka dalam masa 15 bulan, kita akan mampu membeli sebuah bangunan tanpa meminjam dari bank.
Ini tidak mustahil kerana kompleks PAS di Tanjung Karang yang selalu digunakan untuk program-program Negeri adalah hasil sumbangan ahli-ahli.

Setiap AJK Kerja PAS Kawasan telah diwajibkan mencari RM500. Ahli-ahli Cawangan juga telah menyumbang dan ada yang sehingga RM5,000. Oleh itu buktikanlah kesungguhan anda!

Tetapi terdapat di antara kita yang lebih suka mencari sebab kenapa sesuatu kerja itu tidak boleh dilakukan. Bukankah lebih baik jika kita dapat memikirkan cara-cara bagaimana sesuatu kerja itu dapat dilakukan dengan jayanya?

Bukankah Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Salehuddin Ayub pada Majlis Minum Teh 11 Februari lepas di Taman Nirwana telah menasihatkan kita agar keluar dari zon selesa kerana kita tidak akan ke mana-mana jika hanya berada di takuk yang lama?

Selamat berjuang!

5 SAFAR 1428 / 23 FEBRUARI 2007

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...