Skip to main content

ISKANDAR ABDUL SAMAD, YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN BERCAKAP TENTANG HARAPAN BELIAU.

Apakah perancangan PAS Kawasan Pandan selepas pilihanraya umum?

Kita telah membuat postmortem dan kita telah merangka strategi jangkapanjang dan jangkapendek tetapi untuk jangkamasa 12 bulan yang akan datang, kita telah mengenalpasti 3 tumpuan utama.

Apakah tumpuan-tumpuan tersebut?

Ianya adalah ahli-ahli PAS, para remaja dan masyarakat bukan Islam.

Apa yang hendak dicapai dengan menumpukan kepada ketiga-tiga perkara ini?

Bagi yang pertama, kita mahu memperkasakan ahli-ahli dan ini sekaligus akan memantapkan Cawangan-Cawangan. Kita mahu melahirkan ahli-ahli yang berilmu dan komited. Kita juga mahukan Cawangan-Cawangan sentiasa aktif sama ada pada tahun-tahun pilihanraya atau tidak.

Para remaja, sama ada lelaki atau perempuan, akan dihampiri bukan semata-mata kerana matlamat politik atau pilihanraya tetapi yang paling penting untuk menyelamatkan mereka dari terlibat dengan gejala-gejala sosial. Kita tahu agenda kerajaan BN adalah untuk menjauhkan para remaja dari agama agar mereka menjauhkan diri dari PAS.

Sementara kita juga akan memantapkan hubungan kita dengan masyarakat bukan Islam sama ada untuk tujuan dakwah atau tujuan politik dan pilihanraya.

Apa yang telah dirancang oleh PAS Kawasan untuk mencapai matlamat-matlamat itu?

Selepas pilihanraya kita telah mengambil tindakan yang berani dengan merombak saf kepimpinan Kawasan sesuai dengan matlamat-matlamat kita.

Untuk mencapai matlamat pertama, Lajnah Tarbiyyah & Latihan Kepimpinan akan menjadi penjana utama. Kita telah menganjurkan Tarbiyyah Haraki setiap hari Khamis menurut zon untuk menghasilkan ahli-ahli yang berilmu. Kita juga telah mewajibkan Cawangan-Cawangan mengadakan usrah sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan mesyuarat Cawangan sebulan sekali. Kita berharap dengan pertemuan ahli-ahli Cawangan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan akan dapat merapatkan tali silaturrahim di antara mereka. Kita berharap ia dapat menjana program-program Cawangan secara berterusan.

Bagi remaja, Kawasan telah mengamanahkan tugas ini kepada Pemuda dan Muslimat. Kita tidak boleh menggunakan program-program yang lazimnya dianjurkan oleh PAS untuk menarik mereka. Kita mesti anjurkan program yang mereka mahu bukan program yang kita mahu. Kita juga hendak menarik mereka yang pakai seluar pendek dan yang tidak pakai tudung. Selama ini terdapat jurang di antara PAS dan mereka kerana kita gagal memahami citarasa mereka.

Pada saya tugas ini adalah amat berat, oleh itu janganlah kita menganggap tugas Pemuda hanya untuk menjaga parking semasa ceramah atau tugas Muslimat untuk menyediakan makanan semata-mata.

Hubungan dengan masyarakat bukan Islam pula telah wujud sejak sekian lama tetapi kali ini kita telah serahkan kepada Lajnah Hubungan Dalam Negeri untuk memantap dan melebarkannya.

Pada pilihanraya umum lepas, PAS di Pandan menonjolkan imej BA, imej PAS sebagai suara sekelian rakyat tidak kira dari apa bangsa dan agama sekalipun. Imej ini akan kita kekalkan.

Nampaknya peranan Lajnah dan Dewan adalah besar untuk mencapai matlamat-matlamat itu?

Dewan dan Lajnah adalah bagaikan kementerian-kementerian di dalam kerajaan. Mereka adalah jentera yang melaksanakan visi dan misi Kawasan.

Saya sebagai YDP malah AJK Kerja Kawasan secara “collective” mempunyai visi ke arah mana hendak dibawa Kawasan kita ini. Maka tugas Dewan-Dewan dan Lajnah-Lajnah adalah untuk memastikan segala matlamat yang ditetapkan itu menjadi kenyataan.

Lajnah-lajnah mestilah mempunyai perancangan yang terperinci untuk mencapai matlamat-matlamat itu. Zaman di mana Ketua-Ketua Dewan dan Pengerusi-Pengerusi Lajnah hadir di mesyuarat dengan tangan kosong telah berakhir. Kita berhadapan dengan UMNO yang sedang bekerja keras walaupun telah memenangi pilihanraya dengan cemerlang. Jika kita gagal bertindak sekarang kita akan ketinggalan pada pilihanraya umum ke XII. Jika Dewan dan Lajnah gagal maka Kawasan akan gagal.

Ada yang berkata bagaimana hendak mencapai matlamat kerana kita kekurangan dari segala bidang seperti kewangan, media, tenaga dsb?

Jika hendak menunggu sehingga segala-galanya lengkap baru hendak bergerak maka mungkin kita kena tunggu sehingga hari kiamat !

Ahli-ahli PAS terutamanya pimpinan Kawasan perlu bersikap positif. Kita mesti mendapatkan yang terbaik dari apa yang kita ada. Janganlah kita mengambil sikap ini mustahil dan itu mustahil. Kalau semuanya mustahil maka kita tidak perlu ada Lajnah atau jawatankuasa, lebih baik kita duduk di rumah sahaja !

Bagaimana pula dengan Cawangan-Cawangan?

Cawangan-Cawangan adalah bagaikan anak-anak kita. Ada yang rajin, ada yang malas, ada yang nakal, ada yang degil dan ada yang kuat merajuk. Ada yang kita puji dan ada yang kita marah. Tetapi seperti anak-anak kita, kita sayang mereka semua.

Begitulah realitinya apabila kita berurusan dengan manusia. Terdapat pelbagai ragam. Tetapi sebagai pimpinan kita mestilah berupaya mengenalpasti apakah ciri-ciri kekuatan sesuatu Cawangan supaya kita dapat memanfaatkan ciri-ciri itu untuk Kawasan.

Di Ampang Jaya ada sistem “bapa angkat” untuk memantau Cawangan, bagaimana pula sekarang?

Pemantauan sekarang dibuat oleh naqib-naqib usrah yang dipilih oleh Kawasan.

Naqib perlu memahami dan menjiwai aspirasi Kawasan Pandan bukan Kawasan lain. Jika kita mengambil naqib luar yang tidak terlibat dengan Kawasan atau naqib dalaman yang tidak terlibat dengan aktiviti Kawasan, kita tidak akan mencapai “Wihdatul Fikr” atau penyatuan fikrah di Pandan.

Adakah “Wihdatul Fikr” atau penyatuan fikrah ini begitu penting?

Jika kita lihat tarian singa masyarakat Cina, setiap anggota mesti bergerak dengan rentak dan langkah yang sama. Jika “singa” itu sedang meniti di atas kayu, bayangkan apa akan terjadi jika seorang anggota bergerak dengan rentak yang berlainan ? “Singa” itu akan jatuh akibat dari kesilapan seorang anggotanya.

Begitu juga dengan Cawangan-Cawangan, walaupun satu Cawangan tidak mempunyai halatuju yang sama dengan Kawasan maka usaha-usaha Cawangan-Cawangan lain akan menjadi sia-sia.

Adakah terdapat kekeliruan tentang usrah?

Usrah-usrah sepatutnya menjadi “unit-unit kerja” yang sentiasa bersedia untuk melaksanakan arahan-arahan Parti. Ianya bukan kumpulan manusia yang hanya datang duduk untuk mendengar kuliyyah, kemudian balik dan membuat hal masing-masing. Ia sepatutnya melahirkan para aktivis yang mantap dan bukan sekadar kumpulan pendengar yang setia. Usrah bukan tempatnya untuk “mengaji ilmu” tetapi adalah tempat untuk mewujudkan susana kekeluargaan di antara ahli-ahli di mana berlaku pertautan hati-hati. Tempat di mana ahli-ahli dapat memperkembangkan bakat-bakat mereka di dalam pelbagai bidang yang relevan bagi seorang pendakwah. Inilah takrif usrah yang digariskan oleh Pusat, yang hidup subur sejak penubuhan PAS sehingga berlakunya ledakan Reformasi dan juga yang wujud di kampus-kampus.

Tetapi di manakah tempatnya bagi ahli-ahli untuk “mengaji ilmu”?

Kawasan telah menyediakan kuliyyah Tarbiyyah Haraki yang khusus untuk ahli-ahli. Ianya diadakan menurut zon agar ahli-ahli senang menghadirinya. Apa yang disampaikan di dalam Tarbiyyah Haraki tidak boleh didapati di masjid atau surau. Ianya menyentuh secara langsung strategi jemaah dan isinya perlu dirahsiakan. Kawasan telah mengambil tenaga pengajar dari Pusat dan Pemuda Pusat agar halatuju Kawasan bertepatan dengan halatuju Pusat. Jika para aktivis tidak menghadirinya, mereka akan menghadapi masaalah untuk memahami arahan dari atas. Mereka akan tercicir dari pemikiran arus perdana jemaah.

Saudara terlibat dengan PAS sejak tahun 1991, bolehkah saudara ceritakan keadaan ketika itu ?

Ketika itu ahli dan Cawangan tidak seramai sekarang tetapi komitmen mereka adalah begitu tinggi. Mereka meletakkan nilai yang tinggi kepada PAS.

Ketika saya dilantik sebagai Setiausaha PAS Kawasan ( 1993 ), ekonomi Malaysia baru saja pulih dan saya begitu sebok dengan kerja-kerja di pejabat dan kadang-kadang terpaksa bekerja sehingga jam 3 pagi. Tetapi saya takut hendak menolak perlantikan itu kerana saya ditarbiyyah bahawa jika saya tidak ada masa untuk kerja-kerja Allah maka Allah pun tidak akan ada masa untuk saya. Saya takut sekiranya doa-doa saya akan ditolak dan rezeki ditarik. Lapang dan sebok, kaya dan miskin adalah di tangan Allah bukan manusia yang menentukannnya.

Untuk dipilih atau dilantik sebagai AJK Kawasan atau Cawangan ketika itu adalah satu penghormatan. Jarang yang menolak dan kehadiran mesyuarat adalah hampir 100%. Faktor “dosa dan pahala” menjadi motivasi kepada mereka.

Jika ada ceramah atau kuliyyah, AJK-AJK Kawasan akan datang awal bukan sebagai VIP untuk mendengar ceramah tetapi datang untuk bekerja menjayakan ceramah. Walaupun saya Setiausaha PAS Kawasan, kadang-kadang saya juga menjaga simpang dengan “torchlight”. Ketika itu di Ampang Jaya, kawasannya empat kali lebih luas dari Pandan.

Seorang jeneral Perancis berkata setelah kekalahan mereka kepada tentera Vietnam Utara di Dien Bien Phu dalam tahun 1954, “Kita kalah kerana jeneral-jeneral mereka memakai pakaian dan memakan makanan yang sama seperti tentera-tentera biasa”.

Apakah motivasi bagi para aktivis untuk terus berjuang di dalam suasana yang mencabar ini?

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang dijalannya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh – As-Saf : 61. Motivasi yang paling utama adalah janji syurga dari Allah. Selain dari itu kita sepatutnya bertanya adakah solat kita, puasa kita, zakat kita dan haji kita sudah cukup memadai untuk meringankan azab kubur atau kepedihan sakratul maut ? Kita semua memerlukan belas ihsan dari Allah maka bantulah agama Allah dan Allah akan membantu kita.

Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah t...

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi...

HATI-HATI BILA MEMBELI PANGSAPURI PERKHIDMATAN.

Hari ini banyak pemaju yang memasarkan kediaman yang dinamakan "service apartment" atau pangsapuri perkhidmatan. Kediaman jenis ini diiklankan sebagai satu  gaya hidup moden untuk generasi hari ini. Tujuan asal pembangunan pangsapuri ini adalah merupakan kediaman yang disediakan untuk disewa oleh pelancong dan "expatriate" bagi tempoh masa jangkapendek atau jangkapanjang sebagai alternatif yang lebih murah kepada penginapan di hotel. Pangsapuri pekhidmatan lazimnya dilengkapi dengan perkhidmatan-perkhidmatan seperti housekeeping, business centre, laundrette, kafe, nurseri dan kawalan keselamatan. Namun hari ini trend ini telah berubah di mana pangsapuri-pangsapuri ini didiami oleh pemiliknya sendiri ( owner occupier ). Pihak berkuasa perlu mendedahkan statistik jumlah pembangunan yang masih mengekalkan tujuan asal iaitu dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan seperti sebuah hotel. Sebenarnya terdapat pemaju yang terpaksa membina pangsapuri perkhidmatan kerana tanah ...