Skip to main content

ANAK GEMBIRA HAJAT IBUBAPA TERRTUNAI DI BAWAH KERAJAAN PAKATAN RAKYAT.


KG. PANDAN, 10 JUN 2012 : Dangmega Abd Latip, 45, terharu dan gembira apabila usaha hampir 40 tahun kedua ibu bapa mendapatkan hak milik tanah tercapai apabila menerima notis 5A hari ini.

Dengan nada sebak, beliau mengimbau kembali pahit jerih kedua orang tuanya yang tidak pernah berputus asa menuntut hak mereka meskipun ketika itu beliau baru berusia 8 tahun.

"Kalau nak kira permohonan memang lama. Dari Pejabat Tanah Dataran Merdeka, kemudian arwah mak pergi ke Kajang dan Bangi. Waktu itu saya baru darjah dua.

"Alhamdulillah sekarang baru dapat. Rasa gembira tapi mak ayah dah tiada. Mereka tidak sempat untuk meraikan kegembiraan kami sekeluarga. Mana lagi nak dapatkan tanah di kawasan Kuala Lumpur," luahnya lagi.

Menurut beliau, sebelum bapanya meninggal, Allahyarham turut bertanya mengenai permohonan hak milik tanah.

"Mak meninggal tahun 1992, ayah tahun 2011. Sebelum itu dia (ayah) ada bertanya bagaimana nasib permohonan sebab terlalu lama memohon. Dia pesan kepada saya untuk uruskan perkara ini. Kami tidak akan jual tanah ini," katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat perlu diberi peluang memerintah memandangkan banyak lagi perkara yang perlu lakukan terutama dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi warga emas, Asiah Alwi, 60, kegembiraan menerima notis 5A umpama bulan jatuh ke riba setelah menanti hampir 33 tahun.

"Syukur Alhamdulillah. Kalau sudah tertulis hak kita tidak akan ke mana. Saya tinggal di sini daripada tahun 1979. Sebelum ini memohon dan bertanya kepada pejabat tanah tidak ada jawapan. Cuba memohon tidak diluluskan.

"Cuba bayangkan jiran di kiri kanan sudah dapat (notis hak milik), saya di tengah-tengah tidak dapat," katanya.

Warga emas Hamisah Kawi, 60, menganggap penerimaan notis hak milik ini merupakan hadiah ulangtahun kelahiran yang paling indah bagi dirinya.

"Mohon dari tahun 1975 tapi tidak berjaya. Alasan yang diberikan berlaku masalah teknikal. Arwah suami dulu ada memohon namun gagal. Syukur sangat bila wakil rakyat membantu kami memandangkan jiran lain sudah ada hak milik," katanya.

Sementara itu, bagi Abdul Ghani Mohd Nor, 63, percubaan permohonan kali ketiga akhirnya membuahkan hasil memandangkan beliau sebelum ini pernah cuba memohon sebanyak dua kali di zaman pemerintahan Umno-BN namun dipinggirkan.

Beliau yang telah menetap di Kuala Lumpur sejak tahun 1982 melihat gerak kerja kerajaan Pakatan Rakyat benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat.

Katanya, Skim RM1,000 yang diperkenalkan untuk mendapatkan hak milik tanah nyata memudahkan penduduk di negeri ini terutamanya golongan berpendapatan rendah.

"Jauh berbeza pemerintahan dahulu dan sekarang. Mereka betul-betul ambil berat masalah rakyat. Dengan memperkenalkan skim ini nyata meringankan beban saya," katanya.

Pada majlis penyampaian Notis Borang 5A Kampung Pandan Dalam dan Skim Mesra Usia Emas(SMUE) fasa-2, seramai 14 orang telah menerima notis hak milik tanah manakala 17 orang yang lain menerima sumbangan SMUE yang disampaikan sendiri oleh Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Beliau yang juga Adun Cempaka turut menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal,warga miskin, pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir serta sekolah rendah agama (SRA) dan surau di kawasan Chempaka.

Penerima SMUE yang ditemui sejurus majlis berakhir menyambut baik skim ini yang membuktikan keperihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat Selangor - AFIX REDZUAN, MEDIA SELANGORKU.


Popular posts from this blog

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak. Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir. Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut. Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS. Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme. Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diad

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis. Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ. Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu. Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut. Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan. UMNO MEMANG PENYAMUN Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran. Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka. Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, P

LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.

Bahagian 2 - PEMANASAN GLOBAL DAN KEKURANGAN OKSIGEN. Oleh Dato' Iskandar Abdul Samad Pemanasan global (global warming) akibat perubahan iklim (climate change) yang telah mengakibatkan aras laut (sea level) naik bukan sahaja mengancam mereka yang tinggal pesisir pantai tetapi hidupan-hidupan yang tinggal di dalam lautan. Pemanasan global ini juga sudah tentu akan mengakibatkan laut kita menjadi lebih hangat. Apabila suhu laut kita meningkat, kandungan oksigen di dalamnya akan berkurangan dan akan menimbulkan masalah kepada hidupan di dalamnya. Justeru pemanasan global memberi kesan secara langsung kepada hidupan-hidupan di lautan. Akibatnya kawasan-kawasan di dasar lautan yang boleh didiami oleh hidupan-hidupan ini juga akan berkurangan. Zon-zon yang tidak dapat menampung kehidupan kerana paras oksigen yang rendah atau "dead zone" semakin bertambah.  Banyak racun perosak (pesticides) dan nutrien (nutrient) yang digunakan di dalam pertanian telah berakhir di laut di pesisi