Friday, May 30, 2014

KRONISME DALAM JUALAN RUMAH BUKIT BOTAK : PKNS AKAN BUAT PENJELASAN.

Pejabat ini telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang jualan rumah berkembar di Selayang Mutiara yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Projek tersebut adalah untuk  menempatkan  semula para peneroka Bukit Botak.

Sejumlah 1,422 rumah telahpun siap dibina. Dari jumlah itu, 1,196 unit telah diperuntukkan untuk peneroka bandar sementara 79 unit disimpan untuk peneroka bandar yang tercicir.

Ini bermakna terdapat baki 147 unit dibuka jualan untuk orang awam. Walau bagaimanapun terdapat aduan tentang cara penjualan rumah-rumah tersebut.

Terdapat yang mendakwa PKNS telah gagal menguruskan dengan teratur orang ramai yang datang untuk membeli rumah-rumah itu. Mereka mendakwa terpaksa menunggu semalaman di hadapan pejabat jualan PKNS.

Ada yang juga mendakwa kriteria pemilihan pembeli rumah adalah tidak jelas dan ini boleh menimbulkan amalan kronisme.

Pejabat ini telah memaklumkan pihak PKNS tentang perkara ini. Beberapa siri mesyuarat telah turut diadakan bersama PKNS, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.

Sehubungan itu, PKNS akan memberikan penjelasan di dalam masa yang terdekat.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor
29 Mei 2014

Wednesday, May 28, 2014

Dari Coretan YDP 57 ....... KISAH BUDAK BELANDA.

Bulan lepas terdapat berita yang menggemparkan dari negara Belanda di mana kerajaan di sana bercadang menutup 19 buah penjara kerana bilangan banduan yang tidak mencukupi.

Menurut berita tersebut kadar jenayah di negara Eropah itu telah menurun dan terdapat 9,710 banduan berbanding dengan 9,914 pegawai penjara. Terdapat lebih ramai pegawai penjara dari banduan.

Ini berbeza dengan Amerika Syarikat di mana bilangan banduan adalah 5 kali ganda bilangan pegawai penjara. Saya telah cuba mencari maklumat yang sama bagi Malaysia tetapi masih belum berjumpa hingga ke saat ini.

Selain dari kadar jenayah yang berkurangan, negara Belanda telah memperkenalkan system “electronic tagging” di mana pesalah jenayah ringan dibenarkan pulang ke rumah dan bekerja seperti biasa tetapi setiap gerak-geri mereka dipantau.

Saya bukanlah pakar tentang negara Belanda. Ramai dari kita tidak mengetahui banyak perkara tentang negara itu. Yang kita tahu mereka adalah penjajah yang cukup kejam. Mereka adalah bangsa yang menipu sehingga ada peribahasa, “Seperti Belanda minta tanah”. Tetapi mereka juga pencipta “Total Football” dengan pemain-pemain seperti Johan Cruyff dan Johan Neesken yang hampir memenangi Piala Dunia dalam tahun 1974 dan 1978.

Saya juga tidak tahu sama ada negara itu benar-benar aman atau tidak kerana pernah hanya 2 kali sampai ke sana. Yang pertama dalam tahun 1981 ketika masih menuntut di UK. Amsterdam, bandaraya yang saya lawati tidaklah kelihatan bebas dari jenayah. Terdapat pengedar yang cuba menjual ganja kepada para pelancong secara terbuka.

Kali kedua adalah dalam tahun 2011 di mana saya telah singgah di Lapangan Terbang Schipol dalam perjalanan ke Helsinki, Finland.

Ketika kapal terbang hendak mendarat pada waktu subuh yang masih gelap, saya dapat melihat “rumah-rumah hijau” atau “greenhouse” yang diterangi oleh lampu-lampu di sekitar kawasan lapangan terbang

Ketika itu musim sejuk, di dalam “greenhouse” yang terang dan panas itu ditanam bunga, sayur dan buah-buahan. Para petani dapat mengawal cahaya, suhu dan bekalan air supaya mereka mendapat hasil-hasil pertanian sepanjang tahun.

Begitu berusahanya orang Belanda. Di Malaysia, kita mendapat bekalan air dan cahaya matahari yang mencukupi tetapi masih terdapat banyak tanah-tanah yang terbiar. Kita dianugerahkan dengan pelbagai nikmat tetapi tidak tahu menggunakannya.

Melihat usaha orang Belanda maka tidak hairan mereka dapat menjajah Indonesia yang berkali-kali ganda lebih luas dari negara mereka. Malah Belanda bukan sahaja negara yang kecil tetapi sebahagian dari negara itu adalah di bawah paras laut. Mereka terpaksa membina tembok-tembok di tepi laut untuk mengelakkan negara mereka dari ditenggelami air.

Kita mungkin pernah mendengar cerita rakyat negara itu tentang seorang kanak-kanak yang terjumpa dengan satu lubang pada salah satu tembok tersebut. Air laut sedang mengalir mencurah-curah dari lubang tersebut.

Budak itu perlu berbuat sesuatu. Untuk meminta tolong atau menyumbat lubang itu. Sekiranya beliau pergi mendapatkan pertolongan, lubang tersebut mungkin akan membesar dan terus membesar. Akhirnya tembok itu mungkin akan pecah dan tenggelamlah seluruh bandar.

Beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk menyumbat lubang itu dengan ibu jari beliau sehingga ada orang yang tiba.

Kanak-kanak itu mungkin kesejukkan atau kelaparan tetapi sekiranya beliau tidak menyumbat lubang itu, kemungkinan besar bandar tersebut akan ditenggelami air dan ramai yang akan terkorban.

Menurut cerita, budak itu telah menyumbat lubang itu semalaman hingga ke esok pagi apabila apabila beliau dijumpai oleh penduduk bandar yang keluar mencari. Ketika itu beliau sedang kesejukan dan kelaparan.

Situasinya tidak ideal. Jika beliau seorang dewasa atau tidak kelaparan atau mempunyai baju yang lebih tebal, sudah tentu beliau dapat bermalam dengan lebih selesa. Tetapi situasi yang ideal tidak selalu akan wujud dalam kehidupan.

Ramai di antara kita yang mungkin akan berhadapan dengan situasi yang sama seperti kanak-kanak itu. Kita mungkin terpaksa memikul  satu tanggungjawab walaupun kita bukanlah orang yang paling layak. Situasinya juga tidak ideal seperti situasi budak tersebut. Tetapi adakah kita akan lari dari tanggungjawab atau menerima cabaran seperti budak Belanda yang telah berjaya menyelamatkan sebuah bandar?

Saya kerap cuba memujuk ahli-ahli Cawangan untuk menghidupkan Cawangan mereka. Ada yang saya pujuk supaya menjadi pimpinan Cawangan atau sebagai aktivis Cawangan sahaja. Tetapi ada yang menolak permintaan itu dengan alasan-alasan kononnya mereka tidak layak, ada yang lebih layak atau mereka bukan Ustaz.

Walaupun Cawangan mereka akan mati atau terus lemah, mereka tidak peduli. Tidak ada semangat juang seperti kanak-kanak Belanda itu.

Tetapi adakah saya marah? Atau kecewa? Tentu sekali tidak. Cerita kanak-kanak itu berlaku di Belanda. Budak itu berbangsa Belanda. Satu bangsa yang telah menakluki lautan samudera untuk membuka tanah jajahan beribu-ribu batu dari kampung halaman mereka. Walhal mereka yang cuba saya pujuk itu adalah orang Melayu yang pernah dijajah lebih dari  500 tahun. Sudah tentu mentaliti dan semangat juang mereka adalah berbeza. Kecuali terdapat semangat ingin berubah.

Iskandar A Samad

Sunday, May 11, 2014

CORETAN YDP SIRI 55 - JADILAH SEORANG NEGARAWAN.

Pada 5 Mei Isnin lepas maka genaplah satu tahun PRU 13. Satu pilihan raya yang amat menakjubkan dengan keputusan-keputusan sekali seumur hidup (once in a lifetime results).

Bagi kita di Selangor, majoriti di bawah 5,000 dikira kecil. Majoriti tertinggi PAS adalah lebih 16,000 di Seri Serdang. Bagi Chempaka, majoriti kita meningkat dari lebih kurang 1,000 sehingga hampir 10,000

GELOMBANG ABU

Ada yang berkata keputusan ini adalah hasil dari kerja keras di peringkat akar umbi. Tetapi ada yang berkata bahawa ia adalah akibat gelombang yang melanda seluruh negara. Gelombang ABU. Gelombang "Asalkan Bukan UMNO" atau "Gelombang Anything But Umno". Mereka berpandangan tidak ada seorangpun yang boleh mendabik dada merekalah yang bekerja begitu keras sehingga mendapat majoriti 7,000, 10,000 atau 16,000. Kesemuanya adalah tsunami rakyat menolak UMNO dan BN.

Tetapi pada saya tidak mustahil untuk kita melihat senario yang sama berulang lagi. PRU 2013 mungkin merupakan puncak pencapaian Pakatan Rakyat atau merupakan titik bermulanya kepupusan BN.

Jika ia merupakan kemuncak bagi Pakatan Rakyat maka selepas ini BN akan bangkit kembali. Tetapi  pada hakikatnya MCA, MIC dan Gerakan dalam keadaan hidup segan mati tidak mahu. Parti-parti komponen BN tidak pupus semata-mata kerana BN adalah kerajaan di peringkat Persekutuan dan di Negeri-Negeri. Tanpa kerajaan, mereka mungkin telah pupus seawal 2008.

SILAT, KOMPANG, YAASIN DAN MARHABAN

Walau bagaimanapun jangan pula PAS merasa terlalu selesa. Memang benar kita susah hendak melihat bendera UMNO berkibar megah lagi tetapi UMNO hari ini bergerak begitu aktif melalui NGO-NGO. 

Kumpulan silat dan kumpulan kompang digunakan untuk menarik belia-belia kepada UMNO. Kumpulan Yaasin dan Marhaban pula digerakkan oleh UMNO untuk menguasai kaum wanita. Apabila tiba pilihan raya, mereka akan menjadi tenaga kerja yang penting untuk BN.

Secara kebetulan silat, kompang, aktiviti Yaasin dan Marhaban kurang menarik minat aktivis-aktivis PAS. Kalau ada yang minat ia tidak konsisten atau penglibatan mereka bukan kerana minat tetapi untuk memenuhi agenda politik. 

Minat tidak boleh dibuat-buat. Orang yang meminati silat tahu siapa yang meminati silat atau hanya berpura-pura. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Maka akhirnya ini akan membuka seluas-luas ruang kepada UMNO untuk menguasai bidang-bidang tersebut dan seterusnya menguasai mereka yang terlibat dengannya.

HARAPAN YANG TINGGI

Dengan sokongan rakyat yang berlipat-kali ganda kepada Pakatan Rakyat bermakna rakyat mempunyai harapan yang tinggi. Tambahan pula di Selangor, kita telah memasuki penggal kedua. Tidak boleh memberi alasan kita masih memerlukan masa. Masih belajar. Atau masih banyak yang kita tidak tahu.

Walaupun 5 tahun sebagai kerajaan adalah satu tempoh yang singkat namun rakyat mahukan semua masalah-masalah mereka diselesaikan. Mereka tidak mahu tahu sama ada ia akan mengambil masa atau ia memerlukan peruntukan yang menjangkau kemampuan.

SERANGAN DARI LUAR DAN DALAM

Tugas ini bertambah berat apabila terdapat serangan bertubi-tubi daripada BN dan media mereka. Satu demi satu isu timbul sama ada yang sengaja diperbesarkan atau yang sengaja dicipta. Semuanya mesti dilayan dan boleh mengakibatkan Exco, ADUN atau Ahli Majlis hilang fokus.

Selain dari itu, sekiranya terdapat perbalahan dalaman yang akan mewujudkan beberapa kumpulan yang bertelagah maka akan berlaku serang-menyerang yang akan mengalih tumpuan.

Ini bermakna mereka terpaksa bersilat dengan orang luar atau orang dalam. Kesannya adalah besar. Contohnya dalam isu air, masa yang sepatutnya digunakan untuk melaksanakan atau merancang agenda-agenda rakyat terpaksa digunakan untuk menjawab segala serangan BN dan serangan dari kelompok-kelompok dalaman yang bertelagah.

Apabila ini berlaku maka yang akan rugi adalah rakyat. Sokongan terhadap kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat mungkin juga akan terhakis tetapi kerugian ini tidaklah sebesar kerugian yang ditanggung oleh rakyat apabila kerajaan tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka.

TANGGUNG JAWAB AKAR UMBI

Pada saya tugas dan tanggungjawab untuk memastikan kehendak-kehendak rakyat dapat dipenuhi dan seterusnya kerajaan terus kukuh bukan sahaja terletak di bahu Exco atau ADUN. Tetapi ia terletak di bahu setiap ahli kita. Daripada yang paling atas kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Sebagai sebuah parti kerajaan, rakyat melihat ahli-ahli PAS sebagai wakil tidak resmi kerajaan walaupun mereka tidak ada apa-apa jawatan kerajaan.

Terdapat ahli-ahli yang merungut kerana mereka kerap menjadi tempat rakyat membuat aduan. Sama ada ianya sampah tidak diangkat, air dicatu, longkang tersumbat atau jalan berlubang, ahli-ahli akar umbi hari ini menerima pelbagai rungutan dan aduan.

MEMIMPIN RAKYAT

Ada ahli yang tidak suka bila ini berlaku. Tetapi pada saya ini adalah satu pengiktirafan. Pimpinan PAS tidak hanya lagi menjadi pemimpin ahli PAS tetapi mereka sekarang telah menjadi pemimpin rakyat. Memimpin bukan sahaja orang Melayu dan orang Islam tetapi rakyat pelbagai kaum dan agama.

Inilah realitinya menjadi kerajaan dan ianya bertepatan dengan tema Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar PAS tahun lepas, RAHMAT UNTUK SEMUA. Islam mesti menjadi rahmat untuk semua kerana Allah SWT telah menyatakan di dalam Al Quran bahawa Allah SWT tidak mengutuskan Nabi Muhammad SAW melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam. Oleh yang demikian, PAS sebagai jemaah Islam mesti berupaya menjadi rahmat untuk semua.

NEGARAWAN

Ahli-ahli PAS kena berfikir dan bertindak sebagai seorang negarawan. Bukan hanya sebagai pemimpin parti seperti dahulu. Memikirkan kepentingan rakyat bukan sahaja kepentingan ahli atau kepentingan parti. Inilah cabaran penggal kedua.

Sebelum ini UMNO gagal mengambil kira kepentingan rakyat. Hanya kepentingan ahli-ahli diutamakan. Duit kerajaan, harta kerajaan dan tanah kerajaan dianggap sebagai harta UMNO. Dibahagi-bahagikan di kalangan ahli-ahli.

Sekiranya PAS bersikap sedemikian maka tidak ada gunanya kita mendabik dada sebagai sebuah gerakan Islam. Kita akan ditolak dan dikutuk oleh rakyat.

SELAMAT BERJUANG

Iskandar Abdul Samad
Yang Dipertua PAS
Kawasan Pandan
Tel : 03 9283 3835
Emel : isksmd@gmail.com
Blog : iskandar56100.blogspot.com

Sunday, May 4, 2014

PENEROKA BANDAR KG. RIMBA JAYA AKAN DAPAT PEMBIAYAAN PERUMAHAN.

Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya mendapatkan persetujuan sebuah bank untuk membiayai bekas peneroka-peneroka bandar (setinggan) Kg Rimba Jaya membeli rumah kos rendah mereka.

Peneroka-peneroka tersebut telah menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman biasa daripada bank.

Di bawah program ini Kerajaan Negeri akan menjadi penjamin.

Program ini adalah sebahagian dari program pinjaman perumahan yang akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri sepertimana yang dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum 2013.

Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri masih belum lagi mendapatkan persetujuan dari mana-mana bank untuk membiayai 2 lagi kes yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri.

Kes-kes itu adalah untuk pembeli Rumah Kos Rendah Sg Sering di Hulu Kelang dan peneroka bandar Pandan Jaya.

Sekiranya usaha ini gagal maka Kerajaan Negeri perlu mencari jalan penyelesaian lain iaitu tanpa melalui mana-mana bank. Walau bagaimanpun sebarang program pembiayaan adalah juga tertakluk kepada peraturan-peraturan Bank Negara.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor
5 Mei 2014