Sunday, September 29, 2013

UCAPAN ALUAN YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN DI MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN PANDAN KALI KE 10 PADA 29 SEPTEMBER 2013.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita akan bersama-sama melaksanakan satu lagi tanggungjawab Parti kita iaitu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan.

Di dalam kesempatan ini saya ingin mengalu-alukan kehadiran para AJK PAS Kawasan dan para perwakilan daripada Dewan-Dewan serta Cawangan-Cawangan.

Kehadiran Tuan-Tuan dan Puan-Puan amat penting di dalam memastikan matlamat-matlamat mesyuarat agung ini dapat dicapai.

Di sini saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran para jemputan khas dari Pakatan Rakyat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan institusi-institusi masyarakat ke majlis perasmian mesyuarat agung tahun ini.

Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah amat penting di dalam mengukuhkan tali silaturrahim di antara kita.

Saya berharap kerjasama di antara kita dapat dipertingkatkan demi kebaikan kita bersama.


Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang telah bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan mesyuarat agung hari ini.

Seluruh ahli-ahli PAS di Pandan mengucapkan jutaan terima kasih di atas usaha Tuan-Tuan dan Puan-Puan.

KEMENANGAN SEBAGAI ANUGERAH ALLAH SWT

Marilah kita juga mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan kita mempertahankan Chempaka dengan majoriti yang berlipat ganda serta di atas pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor dengan majoriti melebihi 2/3.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas segala pengorbanan, usaha dan sumbangan Tuan-Tuan dan Puan-Puan pada pilihan raya umum yang baru lalu.

Semoga Tuan-Tuan dan Puan-Puan mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah SWT di akhrat kelak.

Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa bersikap merendah diri dan meyakini bahawa kemenangan kita bukan semata-mata kerana usaha kita tetapi merupakan anugerah Allah SWT. 

Tanpa bantuan dan izin Allah SWT, sehebat mana gerak kerja kita atau selengkap mana perancangan kita, kita tidak akan dapat sama sekali mencapai kejayaan.

Ingatlah kisah seorang abid yang mahu masuk ke syurga di atas amal ibadahnya dan bukan di atas belas ihsan Allah SWT. Tetapi Allah SWT memberitahu bahawa amal ibadah sepanjang hayat beliau hanya sepadan dengan nikmat sebelah mata yang Allah SWT telah anugerahkan.

Manusia adalah terlalu kerdil dan kita mestilah sentiasa menyedari akan hakikat ini.

MENCIPTA SEJARAH

Saya berharap kita menyedari kita sekarang berada pada satu saat yang paling bersejarah.

Pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor telah masuk kepada penggal kedua. PAS ada 4 orang Exco di dalam kerajaan. PAS telah berjaya menambah sehingga 15 kerusi Dewan Negeri ketika undi PAS di banyak negeri mengalami kemerosotan. Oleh yang demikian, peluang seperti ini tidak seharusnya dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Ia sewajarnya menghasilkan pencapaian-pencapaian yang akan terpahat di dalam lembaran sejarah. Pencapaian-pencapaian yang sepadan dengan kedudukan kita sebagai sebuah parti di dalam kerajaan. Bukan sekadar pencapaian-pencapaian yang sepatutnya kita capai ketika kita sebuah parti pembangkang. Kita perlukan kelainan agar ada perbezaan sebelum dan selepas menjadi kerajaan.

Jika semasa pembangkang kita boleh menambah 5 Cawangan setahun tetapi setelah menjadi kerajaan kita patut berupaya menambah 25 Cawangan setahun.

Jika semasa pembangkang kita boleh mentarbiyyah ahli-ahli tetapi setelah menjadi kerajaan kita patut berupaya mentarbiyyah masyarakat.

Kita sebagai Kawasan, Dewan, Lajnah atau Cawangan mesti mempunyai sasaran-sasaran yang “tangible”, sama ada program atau projek, yang perlu dicapai dalam jangkamasa yang tertentu. Tidak memadai lagi sasaran yang berada di awang-awangan.

Jangan kita hanya bercakap kita mahukan Islam dilaksanakan tetapi dengan adanya sebuahnya kerajaan kita mesti berupaya menunjukkan apa yang Islam boleh lakukan.

Sekolah Menengah Islam, Sekolah Rendah Islam, Pusat Perlindungan Wanita Islam atau Pusat Tarbiyyah Islam merupakan perkara-perkara yang kita boleh usahakan walaupun kita hanya sekadar berkongsi kuasa.

Jangan pula kita hanya pandai menyalahkan orang lain kenapa ia tidak diwujudkan tetapi tanyalah diri kita sendiri apakah usaha-usaha kita.

Jangan dibebankan tugas ini kepada sebahagian dari kita sahaja tetapi ianya adalah tanggung jawab bersama kerana setiap dari kita adalah pemimpin.

Jangan hanya pandai menuding jari. Sama-sama kita fikirkan.

APA YANG KITA MAHU DARI SEBUAH KERAJAAN

Perjalanan kita masih jauh. Jangan anggap dengan memiliki 4 orang Exco dan kemenangan 15 kerusi kita telah mencapai matlamat kita.

Apakah sebenarnya matlamat kita?

Apakah yang kita mahu dari sebuah kerajaan?

Adakah supaya kita boleh mendapat projek-projek untuk kita atau saudara-mara kita?

Atau supaya kita atau saudara-mara kita boleh mendapat tanah-tanah kerajaan?

Atau supaya kita atau saudara-mara kita boleh mendapat pekerjaan dengan Kerajaan Negeri atau GLC-GLC?

Lain orang lain kemahuannya. Lain kumpulan lain juga kemahuannya?

Contohnya kumpulan “civil society” atau masyarakat maddani mahukan masyarakat yang lebih telus. Maka mereka mendesak Kerajaan Negeri mewujudkan Enakmen Kebebasan Maklumat atau Freedom Of Information Enactment dan akhirnya ia telah diwujudkan.

Rakan Pakatan Rakyat kita, DAP, mahukan rakyat diberikan hak memilih pemimpin mereka diperingkat akar umbi maka mereka mendesak agar dilaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Akhirnya Sidang Dewan Negeri Selangor bersetuju untuk dilaksanakan pilihan raya tersebut walaupun dalam bentuk yang terhad.

Tetapi anda, kita, apa yang kita mahu? Adakah ia bersifat materialistik yang remeh temeh atau ia bersifat ideologi? Hanya kita yang boleh menjawab soalan ini.

Tetapi ianya berkait rapat dengan persoalan kenapa kita menyertai PAS. Hanya kita yang boleh menjawabnya.

PAS FOR ALL

Kita telah sekian lama menerima konsep PAS UNTUK SEMUA atau PAS FOR ALL.

Dengan konsep ini, PAS berupaya mewakili seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Konsep PAS FOR ALL ini bukan relevan untuk hubungan kita dengan orang bukan Islam sahaja tetapi ia juga relevan untuk hubungan kita dengan keseluruhan masyarakat Islam.

Kita boleh menerima orang bukan Islam ke dalam PAS dengan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Tetapi kadang-kala kita menjadikan lebih payah bagi orang Islam sendiri untuk menjadi ahli PAS. 

PAS bukan satu gerakan elit yang hanya memberi tumpuan kepada kelompok yang tertentu sahaja. Ianya adalah juga satu gerakan massa. Kita mesti menjadi atau belajar menjadi pemimpin rakyat dan bukan sekadar pemimpin Parti. Setiap kita mesti menjadi seorang negarawan bukan jaguh kampung.

Tetapi untuk menjadi seorang pemimpin rakyat kita mesti menguasai lebih banyak ilmu-ilmu yang mungkin bukan tradisional kepada aktivis-aktivis kita. Dari isu-isu gejala sosial kepada isu-isu perancangan dan perbandaran sehingga ke isu-isu yang melibatkan TPPA. Kita mesti menjadi jurubicara rakyat.

MEMBERI PELUANG KEPADA AHLI-AHLI

Selari juga dengan konsep PAS FOR ALL, kita wajar memberi peluang kepada setiap ahli untuk berperanan.

Saya yakin kita mempunyai ramai ahli-ahli yang berbakat dan kita seharusnya memberi peluang kepada mereka untuk memainkan peranan di dalam PAS. Jangan mulakan amalan label-melabel seperti "orang lama", "orang baru", "tidak cukup tarbiyyah" atau "tarbiyyah separuh jalan".

Tarbiyyah itu penting untuk membentuk dan mendidik ahli-ahli tetapi bukan satu alasan untuk menyekat mereka yang tidak sehaluan dengan kelompok kita. Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui siapa yang lebih baik di antara kita.

Tidak wajar diwujudkan "kasta-kasta" di dalam PAS. PAS ini milik kita semua bukan hanya milik segelintir.

Alhamdulillah kita bersikap terbuka di Pandan. Kita boleh menerima orang dari Kawasan lain untuk bergerak aktif di Pandan walaupun apa sejarah dan latar belakang mereka maka seharusnya kita tidak boleh menyekat orang Pandan sendiri bergerak aktif di Pandan.

Kita juga perlu memberi peluang kepada ahli-ahli untuk menjadi lebih kreatif. Kita tidak seharusnya mengongkong ahli-ahli sehingga mereka menjadi beku dan hanya menjadi "clone" kepada para pemimpin.

SEDAR AKAN REALITI DI KELILING KITA

Walau apa yang kita rancang atau lakukan kita mestilah sedar akan realiti di sekeliling kita.

Dunia telah berubah, negara kita telah berubah dan masyarakat kita telah berubah. Maka sudah tentu ahli-ahli PAS juga telah berubah.

Di satu masa dahulu, ahli-ahli PAS terdiri dari kalangan mereka yang merupakan lulusan institusi-institusi agama seperti pondok atau pusat pengajian dari Timur Tengah. Kemudian dalam tahun-tahun 80'an dan 90'an, ahli-ahli PAS terdiri dari mereka yang telah melalui proses tarbiyyah seperti Usrah dan Tamrin. Tetapi selepas ledakan Reformasi dalam tahun 1998, kita dapat melihat ahli-ahli PAS dari pelbagai latar belakang.

Kalau dulu ahli-ahli PAS akan berpakaian yang hampir serupa ke program-program. Kopiah putih, jubah atau baju Melayu. Tetapi hari ini ia tidak lagi berlaku.

Sekiranya cara mereka berpakaian telah berubah maka sudah tentu cara mereka berfikir juga telah berubah walaupun matlamat dan keyakinan ahli-ahli tidak pernah berganjak dari matlamat dan keyakinan ahli-ahli ketika PAS ditubuhkan dalam tahun 1951.

Oleh yang demikian, cara kita menguruskan ahli-ahli juga memerlukan satu pendekatan yang berbeza. Program-program untuk ahli mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza dari tahun-tahun 80'an dan 90'an. 

Al Quran menyuruh kita menggunakan bahasa yang difahami oleh kaum tersebut. Mukjizat yang dimiliki oleh para Rasul juga berbeza-beza menurut kesesuaian zaman Rasul-Rasul tersebut. Kita perlu mengajar anak-anak kita mengikut zaman mereka.

Setiap ahli adalah unik dan memerlukan pendekatan yang berbeza-beza. Contohnya kita wajib memilih makanan yang halal tetapi ada orang suka makan nasi, ada orang suka makan mee dan ada orang suka makan capati. Yang penting ianya halal. Tidak ada yang betul dan tidak ada yang salah.

Jangan kita menyatakan sesuatu perkara itu salah semata-mata kerana ia tidak sesuai dengan citarasa peribadi kita walaupun Islam menghalalkannya.

 TARBIYYAH HARI INI

Mungkin saya bukan orang yang paling layak untuk bercakap tentang tarbiyyah tetapi saya boleh bercakap sebagai seorang yang telah melalui tarbiyyah PAS sejak 1991 dan dapat melihat akan perkembangan PAS sepanjang lebih 20 tahun.

Saya akui tarbiyyah amat penting tetapi kita berhadapan dengan cabaran yang berbeza hari ini.

Tarbiyyah yang dilalui oleh ahli-ahli perlulah yang dapat mempersiapkan mereka dengan cabaran ketika berkerajaan. Cabarannya sudah tentu berbeza ketika kita menjadi pembangkang.

Ramai di antara kita mempunyai kuasa untuk melulus atau menolak. Ada di antaranya yang melibatkan nilai sehingga jutaan ringgit. Malah JKKK atau Pengurus Pasar Malam juga mempunyai kuasa yang memberi peluang kepada mereka untuk “membuat duit”. Ahli-ahli biasa juga diburu oleh kontraktor atau pemaju untuk “broker” atau “orang tengah”.

Selain dari itu ahli-ahli kita juga perlu sehebat rakan-rakan Pakatan Rakyat. Jangan pula kita hebat sesama kita tetapi terpinga-pinga ketika di kalangan rakan-rakan yang lain. Atau ditertawakan oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Kebolehan kita menarik ahli-ahli baru juga mesti diperkasakan memandangkan rakyat mempunyai pilihan bukan sahaja PAS. Mereka akan memiilih yang terbaik kepada mereka. Adakah kita berupaya menarik lebih ramai aktivis atau bertahun-tahun berlegar di kalangan orang yang sama sahaja?

Tarbiyyah perlu mempersiapkan ahli-ahli untuk cabaran ini.

KERJASAMA PARTI DAN KERAJAAN

Kerjasama di antara Parti dan Kerajaan seharusnya dipertingkatkan dan dimanfaatkan.

Kerajaan yang diwakili oleh Exco, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis, JKP, JKKK atau JK Masjid bersama Parti sama ada PAS Kawasan, Dewan-Dewan atau Cawangan-Cawangan dapat membentuk satu sinergi yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan umat secara keseluruhannya.

Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang masalah di dalam hubungan di antara kedua-dua pihak ini maka parti tidak akan dapat memanfaatkan kedudukannya sebagai sebuah parti di dalam sebuah kerajaan. Maka sudah tentu ini akan merugikan parti.

Alhamdulillah setakat ini kita telah dapat memanfaatkan institusi kerajaan dan program-program kerajaan.

Pusat Khidmat kita telah menjadi seolah-olah Pejabat PAS Kawasan kepada rakyat dan ahli-ahli. Ia menyalurkan maklumat-maklumat parti kepada mereka. Ia juga menanggung banyak beban pentadbiran PAS Kawasan. Malah kakitangan Pejabat Exco di Shah Alam telah kadang-kala turut membantu di dalam urusan pentadbiran PAS Kawasan.

Pusat Khidmat dan PAS Kawasan juga telah bekerjasama menganjurkan program-program. Majlis-majlis perayaan seperti untuk Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Korban, Tahun Baru Cina dan banyak lagi adalah gabungan di antara Pusat Khidmat dan PAS Kawasan.

Sejak 2008, Pusat Khidmat juga memberi peluang kepada institusi-institusi PAS seperti Dewan-Dewan dan Cawangan-Cawangan untuk menggerakkan program-program untuk Pusat Khidmat.

Saya yakin kerjasama sedemikian dapat memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Tetapi Pakatan Rakyat perlu ada kesedaran kepertanggungjawaban yang amat tinggi. Kita bukan UMNO. Kita perlu lebih “accountable” walaupun ini bermakna saya mungkin tidak disukai oleh ahli-ahli kerana mengikut peraturan apabila hendak mengagihkan bantuan. Ini duit kerajaan bukan duit parti.

Kerajaan tidak boleh memberi bantuan kepada semua orang atau semata-mata kerana mereka adalah ahli parti kecuali mereka benar-benar layak.

Kerajaan juga tidak boleh memberi pekerjaan kepada semua orang atau semata-mata kerana mereka adalah aktivis parti kecuali mereka benar-benar layak.

Kita tidak boleh menjadi seperti UMNO. Harapan rakyat terhadap kita adalah terlalu tinggi.

PARTI MENGUASAI KERAJAAN

Sebelum kita menjadi kerajaan, kita kerap membincangkan apa itu parti menguasai kerajaan. Tetapi setelah 5 tahun menjadi kerajaan adakah kita faham apa itu parti menguasai kerajaan?

Sekali lagi untuk menjawab soalan tersebut saya ingin mengaju soalan-soalan kepada Tuan-Tuan dan Puan-Puan.

Adakah konsep parti menguasai kerajaan bermakna semua harta kerajaan itu milik parti?

Ini adalah konsep yang difahami UMNO. Duit kerajaan adalah duit UMNO. Harta kerajaan adalah harta UMNO. Kakitangan kerajaan adalah kuli UMNO.

Adakah ini konsep parti menguasai kerajaan yang kita mahu?

Atau adakah konsep parti menguasai kerajaan bermakna setiap tindak tanduk kerajaan terpaksa dirujuk kepada parti?

Mungkin ini mustahil kerana perancangan dan pelaksanaan polisi-polisi kerajaan di Selangor adalah terlalu pantas.

Parti menguasai kerajaan bermakna polisi-polisi kerajaan adalah selari dengan polisi-polisi parti. Kerajaan melaksanakan agendanya menurut garispanduan yang ditetapkan oleh parti. Ia bukan bermakna orang parti akan campur tangan dengan setiap urusan harian kerajaan. Tetapi wakil parti dalam kerajaan diberikan peluang untuk melaksana agenda-agenda kerajaan selagi mana ia tidak bertentangan dengan polisi parti.

Ia sama sekali bukan bermakna wakil parti perlu merujuk kepada parti  sama ada hendak membeli mee goreng atau mee hoon untuk jamuan-jamuan tetapi lebih kepada wakil parti merujuk kepada parti tentang perkara-perkara yang lebih besar seperti zon perancangan atau kurikulum pendidikan. 

ULANGTAHUN KE 10

Tahun ini merupakan ulangtahun ke 10 penubuhan PAS Kawasan Pandan.

Kita bermula dari sebuah rumah kampung di Kg Pandan kemudian menyewa di sebuah rumah kedai di Pandan Indah dan akhirnya membeli bangunan sendiri yang kita namakan sebagai Pusat Tarbiyyah Pandan atau PTP. Pejabat yang menempatkan Pusat Khidmat ADN Chempaka sekarang juga berjaya kita membeli secara tunai sebelum kita menang.

Kita telah melalui 3 pilihanraya umum. Kita kalah di Parlimen Pandan dalam tahun 2004 tetapi menang di Chempaka dalam tahun 2008 dan 2013.

Harapan paling utama saya adalah bukan agar kita dapat mengekalkan kemenangan kita atau menambah Cawangan-Cawangan kita atau menambah ahli-ahli kita tetapi agar kita dapat mengekalkan keharmonian di antara kita.

Saya sentiasa berdoa agar ukhwah di kalangan ahli sentiasa kukuh dan bersama-samalah kita perangi sebarang usaha sama ada dari dalam atau luar untuk menggugat kesejahteraan dan ketenangan yang kita nikmati sepanjang 10 tahun. 

Konflik dan konfrontasi bukan budaya Pandan dan sebarang kekeruhan telah berjaya kita jernihkan. Mungkin ia merupakan budaya di tempat-tempat lain tetapi jangan kita cuba membawanya masuk ke Pandan.

Selamat bermesyuarat agung!

Semoga kita sentiasa diredhai dan diberkati Allah SWT.

Iskandar Abdul Samad
Yang Dipertua PAS
Kawasan Pandan
29 September 2013

Thursday, September 26, 2013

KENYATAAN AKHBAR YB ISKANDAR A SAMAD : PEMUSATAN GERAI-GERAI FLAT TAMAN DAGANG UNTUK MENGELAKKAN WABAK KENCING TIKUS DAN MENGEMBALIKAN KAWASAN REKREASI KEPADA PENDUDUK.

Sebagai Ahli Dewan Negeri saya telah menerima banyak aduan tentang masalah tikus di Flat Taman Dagang, Ampang.

Berdasarkan beberapa lawatan tapak ke kawasan perumahan tersebut, saya bersetuju dengan pandangan bahawa sampah dan sisa-sisa makanan daripada gerai-gerai di situ merupakan salah satu punca berlakunya pembiakan tikus.

Gerai-gerai yang dibina di atas kawasan rekreasi dan kawasan lapang termasuk di tepi-tepi jalan tidak mempunyai sistem pengurusan sampah dan sisa makanan yang efektif.

Saya mendapati sisa-sisa makanan dan lebihan minyak masak tidak diuruskan dengan sempurna.

Adalah tidak memadai usaha-usaha yang berasingan tetapi satu penyelesaian yang menyeluruh perlu dilaksanakan sekiranya masih ada keperluan untuk gerai-gerai tersebut.

Oleh yang demikian, cadangan untuk memusatkan gerai-gerai itu berupaya menyelesaikan masalah yang selama ini ditanggung oleh penduduk.

Saya berharap penduduk dapat menerima penyelesaian "menang-menang" ini walauun ada desakan yang mahu semua gerai-gerai di kawasan itu dihapuskan sama sekali supaya penduduk mendapat kembali kawasan lapang dan kawasan rekreasi mereka.

Dengan memusatkan gerai-gerai itu maka sebahagian besar dari kawasan yang sekarang ini diduduki oleh mereka dapat dibebaskan untuk kegunaan penduduk.

Tetapi yang paling penting masalah pembuangan sampah, sisa makanan dan lebihan minyak masak tanpa kawalan akan dapat dibanteras.

Akhirnya masalah tikus yang mengancam penduduk dapat diatasi. Masalah tikus ini perlu diselesaikan dengan segera sebelum berlaku sebarang kejadian jangkitan wabak penyakit kencing tikus.

Sehubungan itu, Pejabat saya akan mendapatkan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Ahli Majlis bagi zon tersebut, Tuan Ahmad Fauzi Khamis untuk mengadakan satu operasi turun padang sehari bagi membanteras ancaman tikus.

Ganjaran wang tunai akan diberikan kepada mereka yang berjaya menangkap tikus-tikus pada hari tersebut.

Operasi ini akan diadakan pada pertengahan bulan Oktober akan datang.

Iskandar Abdul Samad
Ahli Dewan Negeri Chempaka
26 September 2013

Thursday, September 12, 2013

Kenyataan Akhbar YB Iskandar A. Samad - PENDIDIKAN ANAK-ANAK PELARIAN ROHINGYA : KEMENTERIAN PENDIDIKAN TIDAK BOLEH LEPAS TANGAN.

Statistik terkini menunjukkan terdapat lebih 30,000 pendatang Rohingya di negara kita.

Mereka terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak di dalam peringkat umur persekolahan.

Walau bagaimanapun kerana mereka berstatus pelarian, kanak-kanak tersebut tidak boleh memasuki sekolah-sekolah kerajaan.

Sudah tentu mereka juga tidak mampu memasuki sekolah-sekolah swasta.

Akhirnya mereka sama ada tidak bersekolah atau menerima pendidikan di sekolah-sekolah yang diwujudkan oleh komuniti mereka sendiri.

Tidak hairanlah jika sekolah-sekolah ini serba kekurangan.

Sebagai Ahli Dewan Negeri, saya sering menerima permohonan bantuan dari sekolah seperti itu di kawasan saya.

Kekurangan kelengkapan adalah satu masalah tetapi perkara yang lebih besar adalah kurikulum sekolah-sekolah tersebut.

Walaupun kanak-kanak ini bukan rakyat Malaysia tetapi mereka menetap di Malaysia dan menjadi sebahagian dari masyarakat tempatan.

Lebih-lebih lagi kita tidak tahu berapa lama mereka akan menetap di negara ini kerana penindasan ke atas umat Islam di Myanmar tidak kelihatan akan berakhir dalam masa yang terdekat.

Oleh itu, kanak-kanak Rohingya ini wajar diberi pendidikan yang membolehkan mereka menjadi sebahagian dari masyarakat tempatan.

Mereka juga mesti dididik akan nilai-nilai dan aspirasi rakyat negara ini agar mereka tidak akan menjadi satu masalah kepada negara kita.

Buat masa ini, kurikulum sekolah mereka berteraskan pendidikan bahasa mereka dan pengetahuan agama Islam.

Terdapat juga di antara kanak-kanak ini yang tidak bersekolah langsung atau hanya bersekolah beberapa tahun sahaja.

Masanya telah tiba bagi Kementerian Pendidikan memberi perhatian kepada kanak-kanak Rohingya ini.

Kerajaan Persekutuan tidak boleh lepas tangan kerana tahap pendidikan kanak-kanak ini akan memberi kesan kepada rakyat negara ini.

Kementerian perlu memantau dan mengawal kurikulum sekolah-sekolah ini.

Ia juga wajar menghulurkan bantuan.

Sekarang ini terdapat pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan Ahli-ahli Dewan Negeri yang memberi sumbangan.

Kanak-kanak ini tidak memilih untuk menjadi pelarian dan mereka tidak seharusnya dihukum sepanjang hayat mereka.


Y.B. TUAN ISKANDAR BIN ABDUL SAMAD
EXCO / Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor /
Ahli Dewan Negeri Chempaka
12 September 2013

Friday, September 6, 2013

Betul ke orang Melayu tidak mampu?

Isu UiTM kembali panas bila Setpol Lim Kit Siang, Dyana Sofya, telah bangkitkan isu itu baru-baru ini. Dulu pelajar-pelajar berarak ke SUK apabila MB Sgor cadang buka UiTM kepada semua bangsa. Tapi MB hanya sekadar melontar idea sahaja.

Yg marah kata ini akan mengurangkan tempat utk pelajar Melayu. Ada juga dari mereka kata pelajar bukan Melayu walaupun sebilangan kecil akan mendominasi UiTM. Top student mereka, pemimpin pelajar mereka dan juara sukan pun mereka. Teruk sangat ke org Melayu sehingga tak boleh bersaing dgn bangsa lain? 

Saya berpandangan kalau dibuka utk peratus yg kecil pelajar bukan Melayu eg 1-2% mungkin akan memberi manfaat kpd pelajar-pelajar Melayu. Ia memberi peluang kpd mereka utk belajar bekerjasama dan bersaing dgn pelajar bukan Melayu. Apabila mereka keluar bekerja, semua bangsa akan bekerja dan bersaing bersama.

Tentang masalah didominasi? Masa PAS hendak dibuka kpd org bukan Islam melalui Kelab Penyokong, terdapat juga di antara ahli yg mempunyai kebimbangan yg sama seperti mereka yg menentang UiTM dibuka. Katanya nanti org Cina dan org India akan lebih ke hadapan dari org Melayu Islam di dalam PAS. Pertanyaan saya kepada mereka, teruk sangat ke orang Melayu?

Orang Melayu bukan bangsa kelas kedua. Kita boleh bersaing dgn org lain. Hanya masalahnya di dalam Malaysia di bawah UMNO, org yang tak layak disuruh bersaing. Mereka diberi jawatan, mereka diberi kontrak dan ramai di antara mereka gagal. Akhirnya kita menganggap semua orang Melayu akan gagal, semua orang Melayu tidak mampu.

Tetapi untuk bersaing kita kena setanding. Jangan bergantung semata-mata kepada status kita sebagai orang Melayu sahaja. Kecuali kita hanya mahu duduk di antara kita.