Monday, May 27, 2013

SELANGOR JUGA "NEGERI PAS".

Ahli dan pimpinan PAS di seluruh negara mesti menganggap Selangor sebagai sebuah "negeri PAS" sepertimana selama ini mereka menganggap Kelantan, Kedah dan Terengganu.

PAS di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke 13 telah memenangi 15 kerusi Dewan Negeri, sama banyak jumlah kerusi PAS di Terengganu dan melebihi kerusi PAS di Kedah.

Selangor adalah unik kerana selain dari menjadi "negeri PAS" ia juga "negeri DAP" dan "negeri PKR". Tidak ada parti yang boleh mengakui negeri ini "negeri mereka" kerana jumlah kerusi Dewan Negeri setiap parti adalah hampir sama. Ianya adalah "negeri Pakatan Rakyat" yang sebenar.

Oleh yang demikian, pimpinan PAS terutamanya pimpinan tertinggi parti mesti memberi tumpuan yang sama kepada Selangor sepertimana tumpuan yang mereka berikan kepada Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Isu-isu negeri Selangor mesti turut dibincang dan dibahas secara panjang lebar pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Muktamar sepertimana dilakukan pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan Kongres PKR atau DAP.

Dengan ura-ura perlantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution sebagai "political liaison" atau pegawai perhubungan politik di Pejabat Menteri Besar Selangor, seorang Naib Presiden PAS juga mesti ditugaskan untuk memantau urusan-urusan harian di Selangor.

Ahli-ahli telah bekerja keras untuk mengukuhkan dan mengembangkan pengaruh PAS di Selangor, mereka mengharapkan perhatian yang lebih dari pimpinan tertinggi

Iskandar Abdul Samad
*Pandangan saya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan /
Ahli Dewan Negeri Chempaka
28 Mei 2013

Saturday, May 25, 2013

KENYATAAN AKHBAR : LEGA MENTERI BESAR SELANGOR AKAN BAIKI KELEMAHAN.


Ramai yang rasa lega apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berjanji akan memperbaiki kelemahan beliau setelah mengaku beliau memang kedekut.

Pakatan Rakyat telah menang besar di Selangor walaupun masih terdapat banyak rungutan tentang longkang-longkang yang pecah, jalan-jalan yang berlubang, kemudahan awam yang tidak sempurna dan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan yang masih perlu diperbaiki.

Rakyat mempunyai harapan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat. Oleh itu kita tidak seharusnya mensia-siakan keyakinan mereka.

Saya melihat permintaan rakyat ini bukanlah untuk bermewah-mewah tetapi adalah keperluan asas yang diharapkan oleh seorang pembayar cukai.

Membelanjakan duit rakyat untuk perkara-perkara tersebut bukan satu tindakan menyalahguna duit rakyat malah sekiranya duit rakyat tidak dibelanjakan walhal keperluan mereka masih belum dipenuhi maka ianya adalah satu pengabaian kepada amanah yang dipikul.

Walau bagaimana saya yakin pada penggal kedua ini lebih banyak dana akan dibelanjakan untuk agar kemudahan dan pekhidmatan yang diterima rakyat berpadanan dengan Selangor sebuah negeri yang termaju di Malaysia.

Iskandar Abdul Samad
Ahli Dewan Negeri Chempaka /
Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan
26 Mei 2013

KENYATAAN AKHBAR : AHLI-AHLI PARTI WAJAR DILIBATKAN DI DALAM GLC.

Saya bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan PKR Selangor, YB Shuhaimi Shafie, agar ahli-ahli parti Pakatan Rakyat dilibatkan di dalam anak syarikat kerajaan negeri ( GLC ).

Di Selangor kita telah masuk penggal kedua, ramai ahli-ahli parti telah terdedah kepada perjalanan dan pentadbiran kerajaan negeri maka telah tiba masanya mereka diberi peluang terlibat di dalam GLC.

Pada penggal pertama, terdapat GLC-GLC yang tidak mempunyai ahli parti kecuali Menteri Besar. Mungkin keadaan sedemikian sesuai pada penggal pertama tetapi untuk penggal kedua satu 'tajdid' atau pembaharuan perlu dilakukan.

Dengan penglibatan ahli-ahli parti, halatuju atau perjalanan sebuah GLC dapat dipastikan selari dengan tujuan dan aspirasi Pakatan Rakyat. Tidak mungkin satu 'tajdid' dapat dilakukan tanpa penglibatan ahli-ahli parti.

Penglibatan mereka juga dapat mengelakkan mana-mana GLC telah tersasar dari tujuannya atau dituduh tidak membantu kerajaan negeri mencapai matlamat-matlamatnya.

Pada penggal kedua ini, harapan rakyat sudah tentu lebih besar maka peranan GLC-GLC adalah begitu penting.

Walau bagaimanapun mereka yang dilantik mestilah mempunyai kelayakan dan pengalaman yang berkaitan.

Memandangkan jumlah kerusi Dewan Negeri parti-parti Pakatan Rakyat adalah hampir sama maka bilangan ahli-ahli parti di GLC-GLC mestilah adil.

Iskandar Abdul Samad
Ahli Dewan Negeri Chempaka/
YDP PAS Kawasan Pandan
24 Mei 2013