Friday, August 31, 2012

Isu Ustaz Nasha : Pemimpin, ahli PAS dinasihati "tutup mulut".

Oleh Nurkhairini Jumari, Sinar Harian.

SHAH ALAM –  Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad menasihati  pemimpin dan juga ahli Pas supaya berhenti mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung tindakan yang bakal dihadapi oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa pada 9 September ini.

Menurutnya, sepatutnya tidak perlu sebarang kenyataan dan spekulasi dari pemimpin mahupun ahli Pas kerana perkara tersebut telah diserahkan kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan.

"Kita tunggu sahajalah 9 September ini, tidak perlu sebarang spekulasi.

"Kita terima apa juga keputusan yang dibuat Majlis Syura," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tindakan pemimpin yang membuat spekulasi mengenai sesuatu isu yang sudah diberi kuasa kepada Majlis Syura membuat keputusan umpama menghina Majlis Syura itu,.

"Jika sesuatu kes dibawa ke mahkamah dan kita mengulas kes tersebut seumpamanya menghina mahkamah.

"Begitu juga dalam hal ini. Jika sudah diserahkan kepada pengadilan Majlis Syura dan ada kenyataan spekulasi umpamanya menghina Majlis Syura," katanya.

Beliau berkata, spekulasi yang dibuat dikhuatiri akan mempengaruhi keputusan pengadilan yang dilakukan.

"Dalam politik semua perkara boleh terjadi. Oleh demikian, kita tunggu dan terima apa sahaja keputusan Majlis Syura," katanya.

Lajnah Politik dan Pilihan Raya Pas Pusat yang bersidang baru –baru ini yang dipengerusikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak membuat keputusan mengenai kedudukan bekas Timbalan Presiden parti itu, sebaliknya memberi kuasa kepada Majlis Syura untuk membuat keputusan tentang isutersebut.

Majlis Syura yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membuat keputusan mengenai nasib bekas Timbalan Presiden Pas itu pada 9 September ini.

Pada 14 Ogos lalu, Nasharudin mencadangkan agar pimpinan Pas keluar segera dari Pakatan Rakyat  kerana DAP dan Karpal Singh secara konsisten menolak cita-cita Pas menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.

Sunday, August 26, 2012

KENYATAAN AKHBAR TENTANG AIR PERCUMA DI SELANGOR.

Migrasi adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Syabas.

Pada awalnya Syabas memerlukan persetujuan 100 peratus dari pemilik barulah migrasi boleh dijalankan.

Tetapi setelah diadakan perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan Syabas, Syabas telah bersetuju agar peratus ini dikurangkan.

Dan ketika Syabas dipanggil ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) awal tahun ini, CEO Syabas, Datuk Lee Miang Koi berjanji kepada Menteri Besar untuk membenarkan 2 sistem di dalam sebuah pangsapuri. Satu sistem meter pukal dan satu sistem meter individu.

Ini bermakna bagi pemilik yg tidak memberi kerjasama untuk migrasi akan menggunakan meter pukal dan tidak akan mendapat air percuma 20 meter padu. Sementara mereka yang bekerjasama akan menggunakan meter individu dan akan mendapat air percuma.

Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan 2 program utk memudahkan penduduk di pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal mendapat air percuma.

Ianya adalah,

1.) Program Kupon Air
2.) Program Lapor Dan Dapat

Program Kupon Air ini terlalu rumit dan telah digantikan dengan Program Lapor Dan Dapat pada bulan Mac tahun ini.

Bagi Program Lapor Dan Dapat, penduduk melalui JMB atau MC perlu melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan PBT akan memberitahu Syabas untuk memberi potongan pada bil meter pukal. JMB atau MC kemudian akan membuat potongan 20 meter padu pada bil-bil individu setiap kediaman.

Setelah dilaksanakan Program Lapor Dan Dapat, hanya 12 pangsapuri kos rendah yang belum mendapat air percuma 20 meter padu.

Selepas ini, Program Lapor Dan Dapat ini akan diperluaskan ke pangsapuri kos sederhana seperti Mentari Court yang menjadi tumpuan media sekarang.

Saya menasihatkan penduduk mendesak JMB dan MC mereka supaya mempercepatkan penyertaan mereka ke dalam Program Lapor Dan Dapat dengan mengisi borang yang khas yang disediakan. Ia hanya memerlukan seorang AJK JMB atau MC pergi ke pejabat PBT dan mengisi borang tersebut yang hanya mengambil masa 10 minit.

Dalam kes Mentari Court itu, proses migrasi adalah dalam peringkat akhir.

Sebarang ketidakpuasan hati perlulah ditujukan kepada Syabas.

Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan Syabas agar proses migrasi ini dipercepatkan.

Sekiranya penstrukturan industri air dapat dilaksanakan dan pengagihan bekalan air adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri, proses migrasi ini boleh dipercepatkan.

Kerajaan Negeri buat masa ini tidak akan membayar tunggakan kepada mereka yang tidak mendapat air percuma. Perkara telah saya jelaskan semasa Sidang Dewan Negeri pada bulan Mac lepas.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
26 Ogos 2012

Thursday, August 16, 2012

Edaran Khas Syawal 1433

15 OGOS 2012 - MAJLIS KHATAM AL-QURAN DI SURAU AL-HIDAYAH, LORONG BAHAGIA 5, KG. PANDAN DALAM.

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN DI SURAU RAHMANIAH, TAMAN DAGANG 15 OGOS 2012.

PENGURANGAN 25 PERATUS CUKAI TAKSIRAN UNTUK PANGSAPURI KOS RENDAH.