Monday, January 31, 2011

Alahai Johor....

Kalau ikutkan hati hendak juga berkata hadiah kemenangan BN kepada rakyat Johor adalah banjir besar.

Tapi anggaplah ia sebagai ujian dari Allah SWT. Walau bagaimanapun begitulah kisahnya rakyat Johor atau dengan lebih tepat lagi pengundi kawasan DUN Tenang. Setelah memberi kemenangan kepada calon BN, mereka berhadapan dengan ujian yang begitu besar.

Mungkin ujian bagi wakil rakyat baru. Sama ada bertungkus lumus semasa berkempen sahaja atau terus turun padang setelah 'menang besar'.

Ramai juga yang hairan macam mana boleh 'menang besar'. Ada Muslimat yang merayu undi berkata sehingga jam 1 petang hanya beberapa kerat yang mengundi. Pelik bagaimana jumlah yang keluar mengundi 71%.

Mungkin orang Johor belum bersedia untuk berubah seperti orang Selangor atau orang Kedah. Tapi di negeri kubu kuat Umno ini, PAS sudah ada 2 kerusi DUN. Menang di peti undi, bukan menang di atas sebab-sebab teknikal.

Saya yakin orang Johor akan berubah. Sejarah menunjukkan pemerintahan negeri Johor sering berubah.

Asalnya Johor diperintah oleh keturunan Sultan Melaka. Setelah Sultan Mahmud mangkat di julang di Kota Tinggi dalam tahun 1699, pemerintahan negeri Johor berpindah kepada keturunan Bendahara.

Kemudian ia berpindah pula kepada keturunan Temenggong ketika Raffles merampas Singapura melalui tipu helahnya.

Jika begitu sejarahnya negeri Johor, Umno juga akan mengalami nasib yang sama seperti Sultan Mahmud. Tapi bukan kecundang di julang tetapi kecundang di peti undi.

Thursday, January 20, 2011

Monday, January 17, 2011

Menziarahi keluarga seorang penduduk Kg. India Tangki Air, Pandan Jaya yang meninggal akibat sakit jantung pada 18 Januari 2011.

Isu arak MPSJ : Puncanya adalah perbezaan kepentingan.

Saya melihat isu larangan pekerja Islam terlibat dengan penjualan arak oleh MPSJ timbul kerana perbezaan kepentingan.

Dato' Hasan Ali mempertahankan kepentingan Islam. Sudah tentu beliau menyokong larangan ini kerana Islam begitu tegas terhadap arak. Ini ajaran Islam. Kalau tidak faham, kena belajar. Bukan memandai-mandai menyatakan apa yang boleh dan apa yang tidak.

Ronnie Liu pula mempertahankan kepentingan pemilik-pemilik perniagaan yang menjual arak. Kalau tidak ada pekerja sudah tentu perniagaan mereka akan terjejas. Saya tidak fikir Ronnie memikirkan kebajikan pekerja-pekerja Islam.

Ada yang berkata kita pula berhati-hati supaya isu ini tidak menjadi isu perkauman. Saya tidak faham mengapa ia boleh menjadi isu perkauman.

Adakah bila kita melarang orang bukan Islam mengambil pekerja Islam untuk menghidang arak maka kita telah mencabul hak asasi masyarakat bukan Islam? Kalau jawapannya 'ya' maka Islam tidak ada nilai lagi dalam negara kita.

Umno pula janganlah menangguk di air keruh. Masa zaman mereka memerintah Selangor, tidak pula mereka bersungguh-sungguh sangat hendak mengawal jualan arak.

Mungkin benar juga bila Khalid Samad berkata pelaksanaan Islam adalah dengan dakwah. Pada pendapat beliau mungkin ramai orang Islam yang masih tidak tahu yang arak itu haram.

Tetapi yang pelik kita lebih sensitif kepada babi atau daging babi dari arak. Kedua-dua pun haram. Kalau boleh jual arak atau menghidang arak, kenapa tidak menjual babi atau membela babi? Mungkin untungnya lebih sebab babi kerap beranak dan ramai anaknya.

Bagaimana pula agaknya isu arak MPSJ ini akan berakhir? Tengoklah kepentingan siapa akan lebih dijaga.

Saturday, January 15, 2011

CORETAN YDP SIRI 45 - PUSAT TARBIYYAH PANDAN MILIK SETIAP AHLI PAS DI PANDAN

Pada 8 Januari lepas telah dianjurkan satu ceramah perdana di Pandan Indah. Berceramah pada malam itu adalah Tuan Haji Mohammad Sabu atau Mat Sabu yang tidak asing lagi kepada sama ada ahli PAS atau bukan ahli PAS.

Saya tidak dapat mengagak jumlah yang hadir pada malam itu. Ada yang kata 500, ada yang kata 1,000 dan ada yang kata 2,000. Walau bagaimanapun, suasana gerai-gerai yang ada pada malam itu adalah bagaikan pasar malam di kawasan yang sama pada setiap hari Selasa.

Ramai yang memberitahu saya suasana ceramah pada malam itu jarang kita lihat sejak kita menjadi kerajaan di Selangor. Sekarang ini kita berceramah di dalam dewan atau di dalam stadium tertutup. Suasana ratusan malah ribuan manusia mendengar ceramah di atas padang, di atas jalanraya atau di celah-celah peniaga sambil menghirup sup ‟gearbox” jarang kelihatan.

AURA TERSENDIRI

Suasana santai seperti ini mempunyai aura yang tersendiri. Walaupun di dalam dewan duduk di atas kerusi dan juga lengkap dengan hawa dingin tetapi ramai yang merungut ceramah seperti ini ‟tak syok”. Malah ada yang berkata kalau tidak ada risiko diserbu oleh FRU atau terpaksa melalui beberapa ‟roadblock” maka itu bukan ceramah namanya!

Walaupun apa sekalipun suasana ceramah yang menjadi pilihan ahli-ahli dan penyokong-penyokong, ceramah 8 Januari itu telah memberi dua petunjuk yang positif kepada masyarakat tentang perjuangan menegakkan Islam yang dibawa oleh PAS di Pandan.

DUA PETUNJUK

Pertama adalah sambutan yang begitu hebat. Mat Sabu berkata kalau program PAS di pinggir bandar seperti ini dapat menarik begitu ramai orang maka UMNO sudah tentu akan resah. Betul kata AJK PAS Pusat itu, lebih-lebih lagi UMNO juga telah mula mengadakan majlis-majlis penerangan mereka di Pandan. Walau bagaimanapun di dalam majlis mereka yang terkini di kawasan yang pernah menjadi kubu kuat mereka, makanan yang disediakan untuk mereka yang hadir tidak habis. Mereka yang dijangkakan hadir tidak pula hadir.

Kedua adalah kejayaan PAS Kawasan Pandan bertapak di kawasan yang paling strategik di kawasan Pandan. Lima minit dari Menara MPAJ

DI TENGAH-TENGAH MASYARAKAT

Dulu pejabat-pejabat PAS atau markas-markas PAS berada di ceruk-ceruk. Walaupun besar dan luas tetapi di hujung dunia. Tapi itu dulu. Sesuai dengan peningkatan peranan PAS di dalam masyarakat, kita mesti berada di tengah-tengah masyarakat.

Oleh itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Lajnah Bangunan PAS Kawasan Pandan yang menjadikan impian setiap ahli PAS di Pandan satu realiti. Mereka bekerja siang malam bukan untuk menambah harta bagi diri mereka sendiri tetapi untuk Parti, untuk setiap ahli PAS di Pandan.

KOMITMEN AHLI-AHLI

Yang amat mengkagumkan adalah kejayaan kita mendapatkan bangunan yang sekarang ini dikenali sebagai Pusat Tarbiyyah Pandan atau PTP dari hasil sumbangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS. Yang menyumbang adalah ahli-ahli yang kita tidak kenal nama mereka sebelum ini. Bukan nama-nama besar. Tetapi pakcik ini dan makcik itu.

Mungkin ada yang berkata bahawa kita dapat membeli bangunan itu kerana kita adalah kerajaan di Selangor. Oleh itu, ingin saya mengingatkan di sini bahawa PAS Kawasan Pandan telah membeli bangunan pertama mereka ketika PAS masih pembangkang.

Pusat Khidmat ADUN Chempaka di Taman Angsana Hilir sekarang ini dibeli dalam tahun 2007, ketika PAS masih pembangkang. Kita beli secara tunai hasil dari sumbangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong.

Terdapat ahli-ahli dan penyokong-penyokong yang memberi saya RM100, ada yang RM500, ada yang RM1,000 dan ada yang RM5,000. Saya telah lupa jumlah sebenar dan orang-orangnya. Tetapi ketika itu saya bukan ADUN atau EXCO. Saya adalah hanya Yang Dipertua PAS Kawasan. Saya tidak boleh memberi mereka apa-apa. Saya juga yakin mereka tidak mengharapkan apa-apa selain dari keredhaan Allah SWT. Itulah kehebatan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS.

BEZANYA TARBIYYAH PAS

Bagi pembiayaan PTP kita telah menggunaka modus operandi yang sama. Di dalam PAS duit bukannya datang dari atas dan turun ke bawah seperti parti-parti politik yang lain. Tetapi ianya datang dari bawah dan naik ke atas.

Saya masih ingat pada pilihanraya umum 2004, seorang pimpinan dari sebuah parti lain bertanya berapa yang saya hendak membayar kepada parti mereka jika mereka membantu PAS pada pilihanraya umum tersebut. Ketika itu saya amat terkejut. Tarbiyyah ahli-ahli kita adalah berbeza.

Saya masih ingat kuliah Presiden PAS masa mula-mula saya menyertai PAS. Beliau berkata PAS tidak boleh memberi anda projek tetapi hanya dapat menunjukkan aqidah yang betul. Saya pegang betul-betul ucapan Presiden itu.

Walau bagaimanapun ada yang berkata, dulu lain sekarang lain. Kita sudah menjadi kerajaan. Parti perlu ditadbir dengan lebih profesional.

PENTADBIRAN PARTI YANG LEBIH PROFESIONAL

Saya bersetuju kita perlu mentadbir parti dengan lebih profesional. Saya setuju kita perlu ada petugas tetap yang bergaji. Di Pandan memang kita ada petugas-petugas tetap. Kita ada 5 orang petugas sepenuh masa yang boleh dimanfaatkan untuk kerja-kerja Parti.

Tetapi mentadbir Parti secara profesional bukannya semata-mata melantik petugas-petugas bergaji. Ianya juga berkaitan dengan sikap dan pendekatan. Kalau kehadiran mesyuarat masih tidak penuh, tidak peduli kepada ‟dateline” atau tidak ada peraturan kerja maka masih tidak profesional walaupun berapa ramai petugas sepenuh masa digaji.

HARGAILAH MEREKA

Kita mungkin tidak boleh membayar gaji kepada semua petugas-petugas kita tetapi sekurang-kurang kita wajar memberi duit minum teh atau duit makan roti canai kepada mereka. Sekurang-kurangnya ia dapat melepaskan penat lelah mereka. Sekiranya kita memerlukan mereka menggunakan kenderaan mereka sendiri, kita wajar membayar duit minyak. Bukan semata-mata duit tetapi sedikit penghargaan juga diperlukan.

Tetapi saya amat bimbang sekiranya ada di antara kita yang bekerja untuk Parti atau jemaah semata-mata untuk mendapatkan imbuhan kewangan. Bila ada bayaran kita datang tetapi bila tidak ada maka kita terus hilang. Bagaikan biskut ‟Chipsmore”. Saya bimbang keberkatan dan keredhaan tidak akan kita perolehi jika ini berlaku.

Tetapi saya yakin petugas-petugas kita ikhlas bertungkus lumus dalam pelbagai kerja yang diarahkan kepada mereka. Sama ada menggantung kain rentang, mengawal trafik atau menjaga keselamatan, mereka dapat dikerah dengan sekelip mata. Ini yang membuat PAS disegani dan digeruni.

Terdapat kerja-kerja yang kita boleh ‟sub” kepada orang. Tetapi kita juga mesti memberi peluang kepada ahli-ahli kita untuk mendapatkan pahala. Kalau semua hendak kita ‟tender”, ke manakah laungan jihad yang kita dengar di kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah?

ISU ARAK MPSJ

Sebagai seorang Muslim saya tidak ada sebarang pilihan selain dari menyokong tindakan MPSJ melarang org Islam terlibat dgn penjualan arak. Islam tegas dgn arak bukan sahaja melarang umatnya meminum malah menghidang, menjual, mengangkut dsb. Walaupun seorang ahli politik yg memerlukan undi rakyat tetapi akhirnya saya akan menjawab kpd Allah SWT di akhirat kelak. Saya tidak akan menjadi Exco selama-lamanya, kita semua akan mati juga.

Tuesday, January 11, 2011

KEGAGALAN SYARIKAT PENGURUSAN ANTARA PUNCA MASALAH-MASALAH DI PPR KOTA DAMANSARA.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar A. Samad, telah mengadakan satu lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara pada 11 Januari 2011.

Lawatan itu berikutan kerosakan pam air yang menyebabkan penduduk dari salah satu blok telah tidak mendapat bekalan air selama 6 hari. Pam tersebut telah diganti oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan bekalan air kepada penduduk telah dapat dipulihkan.

Di dalam tinjauan YB Iskandar, masalah-masalah berikut telah laporkan kepada beliau atau disaksikan oleh beliau sendiri,

1) Masalah keselamatan dan vandalisme - Kerap berlaku kecurian hartabenda penduduk seperti motosikal.

2) Masalah kebersihan - Tangga-tangga dan lorong-lorong dipenuhi dengan longgokan sampah sarap.

3) Masalah lif - Hanya satu dari tiga lif yang berfungsi. Butang-butang lif juga telah hilang.

YB Iskandar kesal kerana agen pengurusan telah gagal melakukan kerja-kerja pembersihan dengan sempurna. Malah menurut beliau bukan sahaja tangga-tangga dan lorong-lorong penuh dengan sampah tetapi sampah memenuhi bahagian atas tangki air utama. Beliau bimbang air dari sampah sarap ini akan mengalir masuk ke dalam bekalan air.

YB Iskandar berpandangan kegagalan syarikat pengurusan menjalankan tanggung jawab mereka dengan sempurna adalah di antara punca masalah-masalah di PPR itu. Oleh yang demikian, beliau mahu MBPJ mengambil tindakan keras ke atas syarikat tersebut. Malah sekiranya syarikat itu mempunyai rekod yang buruk maka MBPJ perlu mengkaji kemungkinan menamatkan kontrak mereka.

YB Iskandar akan mengadakan perbincangan dengan MBPJ tentang PPR itu pada 13 Januari ini. Beliau akan mencadangkan agar satu operasi besar-besaran membersihkan PPR tersebut dijalankan. Ia akan melibatkan MBPJ, syarikat pengurusan, penduduk, agensi-agensi yang berkaitan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

ADUN kawasan, YB Dr. Nasir Hashim iaitu ADUN Kota Damansara, yang telah turut bersama di dalam lawatan itu telah diminta oleh YB Iskandar untuk memperbanyakkan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan di PPR itu. Adalah diharapkan kegiatan-kegiatan itu akan mewujudkan semangat kekitaan di kalangan penduduk dapat membanteras sebarang amalan-amalan kurang sihat.

Disediakan oleh,
Kamaruzaman Ahmad Nor
Setiausaha Kanan
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
12 Januari 2011

Saturday, January 8, 2011

Sekarang UMNO hendak laga-lagakan Menteri Besar dan Exco-Exco dengan pegawai-pegawai kerajaan.

Menteri Besar dan Exco-Exco bukan bermusuhan dengan Datuk Khusrin bila menolak beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Yang dipertikaikan adalah cara Ketua Setiausah Negara membuat perlantikan tanpa berbincang dengan Menteri Besar.

SUK adalah pegawai tinggi kerajaan yang paling utama dan bertanggunjawab melaksanakan polisi-polisi yg dibuat oleh Menteri Besar dan Exco-Exco. Jadi tidak logik perlantikan tidak dibincang dengan mereka.

Selepas menjadikan isu perlantikan SUK ini isu perkauman dan cuba melaga-lagakan kerajaan negeri dengan Istana, UMNO cuba melaga-lagakan kerajaan negeri dengan pegawai-pegawai kerajaan.

Saya yakin usaha ini tidak akan berjaya kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor amat menghargai akan sumbangan kesemua kakitangan kerajaan. Polisi-polisi dan program-program baru yang dibawa oleh Pakatan Rakyat telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlang oleh mereka.

Iskandar A. Samad
Exco Kerajaan Negeri Selangor
8 Januari 2011

Friday, January 7, 2011

PERASMIAN PEJABAT PERSATUAN PENJAJA PASAR CINA PANDAN JAYA, AMPANG.

Adalah dimaklumkan bahawa Y.B. Iskandar bin Abdul Samad, ADUN Chempaka merangkap EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan akan merasmikan pejabat Persatuan Peniaga Pasar Cina di Pandan Jaya sepertimana di bawah:

Tarikh : 8 Januari 2011(Sabtu)
Masa : 10.00 pagi
Tempat : Pasar Pagi Pandan Jaya, Jln Persiaran 3, Pandan Jaya, Ampang.

Pejabat tersebut adalah sumbangan oleh Y.B. Tuan Iskandar bin Abdul Samad.

Wartawan dan jurufoto dijemput hadir untuk membuat liputan.

Yang penting rumah-rumah tidak diroboh!

UMNO telah naikkan banner mengatakan Menteri Kerja Jaya yang selamatkan 81 rumah di Tmn Bakti dari diroboh dgn mengubahkan laluan Lebuhraya Besraya.

Sebagai ADUN saya tidak peduli siapa yg selamatkan rumah-rumah itu. Yang penting penduduk tidak perlu berpindah. Alhamdulillah.

Kalau UMNO hendak mengaku ini jasa mereka. Silakan! Tetapi rakyat tahu laluan lebuhraya dipinda setelah Kerajaan Negeri mengarahkan Besraya membentangkan laluan alternatif yang tidak melibatkan perobohan rumah-rumah.

Di mana Menteri sebelum ini? Di manakah ADUN UMNO sebelum ini? Perancangan dibuat di zaman beliau.

Tetapi tidak payah dipanjangkan isu ini. Memadailah penduduk Taman Bakti dapat tidur lena.

Biarkan UMNO mempolitikkan isu ini. Saya faham, tidak ada apa-apa yang mereka hendak tunjukkan kepadat rakyat.

Thursday, January 6, 2011

BN mahukan cetuskan rusuhan di Selangor?

Kita perlu berhati-hati kerana saya bimbang BN dan UMNO akan mencetuskan rusuhan atau kekacauan di Selangor.

Lebih-lebih lagi Utusan dan RTM telah menjadikan isu perlantikan Setiausaha ini isu perkauman.

Satu demonstrasi yang didalangi UMNO telah dianjurkan di Shah Alam tempoh hari.

BN telah gagal merampas Selangor dengan membeli ADUN-ADUN Pakatan Rakyat. Mereka hanya dapat mempengaruhi ADUN Pelabuhan Klang yang kami pun tidak mahu.

Isu pasir dan isu logo 1Malaysia tidak disambut oleh rakyat. Jika ada pilihanraya, belum tentu Selangor dapat dirampas. Oleh itu sebagai jalan pintas untuk mencapai matlamat mereka, cetuskan kekacauan dan isytiharkan dharurat. Mereka pernah melakukannya di Kelantan ketika PAS di dalam BN. Mereka boleh melakukannya sekali lagi.

Oleh itu, jangan kita layan provokasi BN. Kerajaan Negeri Selangor masih belum boleh menerima Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri tetapi kita semua seharusnya bertenang.

Selepas ini Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awan dan Sidang DUN untuk meminda atau menjelaskan Undang-Undang Tubuh Negeri. Sementara itu, pentadbiran kerajaan akan berjalan seperti biasa. Usaha-usaha pembangunan tidak akan terhenti.

Mari kita biarkan sahaja BN dan UMNO terkinja-kinja bagaikan kera kena belacan.

Tuesday, January 4, 2011

Utusan Melayu merapu lagi....

Utusan hari ini memainkan sentimen bangsa di dalam isu perlantikan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK). Kononnya orang Melayu perlu bersatu menyokong Datuk Khusrin demi mempertahankan bangsa Melayu.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, calon-calon SUK yang lain pun Melayu Islam. Sentimen yang dibangkitkan oleh Utusan memberi gambaran seolah-olah calon-calon yang lain bukan orang Melayu Islam. Ini adalah satu penipuan.

Mungkin ada baiknya saya menyenaraikan nama-nama mereka yang disenarai pendek oleh Menteri Besar dan Exco-Exco untuk mengelakkan rakyat terus ditipu oleh Utusan dan UMNO.

Pegawai-pegawai tinggi yang telah ditemuduga dan disenarai pendek adalah,

1. Dato' Noordin - Timbalan SUK
2. Dato' Roslan - Dato' Bandar MBPJ
3. Dato' Adnan - YDP MBSJ

Nama-nama itu telah dipersembahkan kepada Tuanku Sultan.

Kenapa pula menolak Dato' Khusrin dikatakan anti Melayu? Calon-calon di atas juga Melayu Islam.

Utusan sentiasa mahu menangguk di air keruh. Mereka menyembunyikan fakta untuk memperbodohkan orang-orang Melayu.

Monday, January 3, 2011

UMNO SILAP KEMPEN.....

Propaganda UMNO berkata demi Melayu, demi Islam orang Melayu kena sokong Datuk Khusrin sebagai SS. UMNO memang buta sebab 3 calon SS dari Exco juga Melayu Islam. Biasalah UMNO, asyik hendak membakar sentimen perkauman.

BN's rep loyalty in doubt?

The BN controlled media reported that Pakatan Rakyat does not enjoy a 2/3 majority and so cannot ammend the State Cosntitution to return the power to choose the State Secretary back to the Tuanku Sultan and Menteri Besar. Why should the BN's ADUNs oppose such a move? Are they not also the loyal subjects of the Tuanku Sultan? Don't they still consider themselves Selangorian? They have no choice but to support such ammendment.

Sunday, January 2, 2011

MENTERI BESAR SELANGOR HADIR MAJLIS KESYUKURAN DI TAMAN BAKTI : SABOTAJ KAIN RENTANG TIADA KESAN.

Majlis kesyukuran di surau kawasan rumah teres Taman Bakti tengah hari tadi telah dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim. Penduduk dan pejabat saya telah menganjurkan majlis tersebut kerana bersyukur Lebuhraya Besraya tidak akan melalui taman itu dan 81 buah rumah terselamat dari perobohan. Penduduk telah membantah laluan asal yang dibuat di zaman BN dan saya telah membawa kes ini ke Mesyuarat Exco. Exco telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia membentangkan laluan alternatif kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor. Akhirnya Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan lebuhraya itu mengikut laluan yang tidak melibatkan perobohan rumah. Majlis tadi telah berjalan lancar walaupun 2 kain rentang telah dibakar dan dikoyak. Agaknya siapa yang dengki?

Iskandar A. Samad
2 Januari 2011.

DULU LAIN, SEKARANG LAIN, SANA LAIN, SINI LAIN!

'Dulu-dulu takde bantuan macam ni' Begitulah kata2 seorang penduduk Kg Pandan di Majlis Jamuan Bersama Rakyat Dan Penyampaian Sumbangan Buku Latihan Kpd Pelajar mlm tadi anjuran ADUN Chempaka dan JKKK Kg Pandan. Di masa yg sama, Pemuda UMNO buat Battle Of The Band di Axis Pandan.