Sunday, May 30, 2010

Sokongan Wan Azizah dan Mustafa Ali mematikan khabar-khabar angin

Kenyataan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Dato' Mustafa Ali di Kota Bharu semalam yang menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor amat saya alu-alukan.

Setelah kekalahan PR di Hulu Selangor dan segala macam kontroversi yang timbul dari industri pasir, kenyataan kedua-dua pimpinan tinggi PR ini telah menenangkan keadaan. Ia memberi peluang kepada kami di Selangor untuk meneruskan agenda membantu rakyat dan memajukan negeri tanpa perlu berhadapan dengan pelbagai khabar-khabar angin dan ketidaktentuan. Hanyalah kerajaan yang stabil dapat melaksanakan agenda-agendanya dengan berkesan. Kenyataan tersebut juga telah menutup sebarang ruang bagi Umno dan BN untuk mengkucar kacirkan pentadbiran negeri Selangor.

Saya akui pilihanraya kecil Hulu Selangor merupakan satu 'wake up call' bagi kami. Kami boleh terus menuding jari di antara satu sama lain atau belajar dari kekalahan tersebut.

Walau bagaimanapun agar semua agenda-agenda kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya, ia mesti mendapat sokongan rakyat. Untuk mendapat sokongan rakyat, ia mesti difahami oleh rakyat.

Rakyat pada saya bermakna seluruh rakyat negeri Selangor. Bukan sahaja yang ada 'internet' tetapi yang tidak pernah menyentuh komputer juga perlu memahami hasrat kerajaan. Bukan sahaja yang di Subang Jaya atau Damansara sahaja yang perlu diajak berdialog tetapi mereka di kawasan-kawasan pendalaman juga perlu diberi peluang memberi pandangan. Memang ia tugas yang berat. Menteri Besar, Exco-Exco, ADUN-ADUN dan pimpinan kerajaan di semua peringkat perlu mendengar kepada rakyat dan tidak bersikap mereka tahu segala-segalanya atau mereka betul sepanjang masa. Selangor bernasib baik terdapat ramai pakar-pakar dari dalam dan luar negara yang ingin membantu tetapi pandangan rakyat biasa tidak seharusnya diketepikan.

Kerajaan negeri juga tidak boleh melakukannya bersendirian. Jentera kerajaan tidak boleh sampai kepada seluruh pelusuk negeri ini. Jika rakyat memahami maka mereka yang akan membantu menyebarluas segala maklumat. Maka tidak akan berulang kisah di Hulu Selangor di mana ada yang tidak tahu rakyat Selangor mendapat air percuma. PAS Selangor akan memastikan setiap Cawangan dan ahli PAS akan menjadi agen penyebar maklumat bagi kerajaan negeri.

Saya juga menyambut baik keputusan PKR untuk menubuhkan satu pasukan khas yang juga akan mengkaji isu-isu yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu dan masyarakat Islam. Sokongan masyarakat Melayu kepada PR di Hulu Selangor tidak memberangsangkan seperti sokongan masyarakat Cina maka usaha tersebut adalah dialu-alukan. PR mesti mencari penyelesaian kepada isu-isu ini jika mahu kekal di Selangor. PAS akan sentiasa berkongsi pengalaman dan kajian dalam isu ini.

Iskandar A. Samad
Timbalan Pesuruhjaya II
PAS Selangor
29 Mei 2010

Thursday, May 27, 2010

Anak-anak masuk hospital

Pagi semalam ketiga-tiga anak dimasukkan ke hospital kerana demam panas. Alhamdulillah bertambah baik tetapi kena tunggu keputusan ujian H1N1. Harap dapat sama-sama doakan.

Pandan Indah
28 Mei 2010

Wednesday, May 26, 2010

Tidak ada kerja terlalu kecil......

Hari ini masuk hari kedua saya terpaksa 'berehat' kerana jangkitan paru-paru. Setelah balik dari Pulau Pinang dan jadual hujung minggu yang begitu padat maka akhirnya 'body' saya 'surrender'. Tiada jalan lain tetapi hanyalah berehat. Pemandu saya pun telah 2 hari demam. Lagipun hari ini berbeza dari hari-hari Rabu yang lain tiada mesyuarat Exco.

Tapi tak boleh nak rehat 100 peratus. Staff saya dari Shah Alam tetap datang membawa surat-surat yang baru sampai untuk diminitkan. Atau surat-surat untuk ditandatangani sebelum dihantar.

Kawan-kawan dari Pandan juga datang bertanya khabar dan berbincang isu-isu terkini.

Kadang-kala letih juga apabila di peringkat negeri terpaksa memecahkan kepala untuk mendapatkan berjuta-juta ringgit bagi membaik pulih Projek Perumahan Rakyat tetapi di peringkat parti juga terpaksa bergelut dengan persoalan-persoalan seperti siapa yang patut membuat pungutan infaq semasa Tarbiyyah Haraki.

Memang letih! Tetapi tidak ada kerja yang terlalu kecil untuk sesiapa. Tidak ada orang pula yang terlalu besar untuk sesuatu kerja.

Pandan Indah
27 Mei 2010

PEMBERIAN KUPON UNTUK 20 METER PADU AIR PERCUMA BAGI PANGSAPURI KOS RENDAH NEGERI SELANGOR

Kerajaan Negeri memahami bahawa penduduk pangsapuri kos rendah di Selangor sedang tertunggu-tunggu akan pelaksanaan skim ini.

Di sini ingin saya menegaskan bahawa keputusan untuk mengedarkan kupon-kupon yang dibuat ketika pilihanraya kecil Hulu Selangor adalah bukan satu gimik politik. Ianya sesuai dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Walau bagaimanapun program yang melibatkan lebih kurang 200,000 unit kediaman itu sudah tentu akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

Oleh kerana itu YAB Dato' Menteri Besar telah mengambil keputusan untuk melaksanakannya di satu kawasan perintis dan beliau telah memilih Pangsapuri Seri Tanjung di USJ16, Subang Jaya. Beliau sendiri akan melancarkannya pada 27 Mei ini.

Walau bagaimanapun skim ini akan diperluaskan ke seluruh negeri Selangor selepas ini. Saya berharap penduduk pangsapuri kos rendah yang lain akan dapat bersabar.

Pelancaran di Subang Jaya itu adalah satu usaha untuk membantu rakyat dan bukan satu gimik politik yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Pemilihan kawasan tersebut juga tidak seharusnya dipertikaikan. Tetapi marilah kita memandang ke hadapan di mana semua penduduk pangsapuri kos rendah akan mendapat air percuma.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan
Negeri Selangor
26 Mei 2010

Tuesday, May 25, 2010

Sebab kerja-kerja membaik pulih lif di Taman Permai Indah, Klang tergendala.

Saya telah mendapat aduan bahawa kerja-kerja membaik pulih lif di Taman Permai Indah, Klang telah terhenti.

Kerja-kerja ini adalah sebahagian dari program membaik pulih lif di 3 kawasan rumah kos rendah yang bernilai RM1.63 juta oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kos bagi Taman Permai Indah adalah lebih kurang RM600,000.

Walau bagaimanapun kerja-kerja membaik pulih di situ telah tergendala kerana sebahagian dari bahan-bahan ganti untuk membaik pulih lif-lif itu telah dicuri.

Selain itu, terdapat juga bahan-bahan ganti yang rosak kerana paip saluran najis yang melalui bilik stor di mana ia disimpan telah pecah.

Kontraktor yang terlibat terpaksa membuat tempahan bahan-bahan yang baru sebelum kerja-kerja membaik pulih dapat dimulakan semula.

Kerajaan negeri memandang serius di atas kecurian yang telah berlaku. Sekiranya ketika lif-lif itu dibaik pulih telah berlaku kecurian maka bayangkan apa akan terjadi setelah ia selesai dibaik pulih.

Oleh itu, satu perbincangan akan diadakan bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) kawasan tersebut dan Majlis Perbandaran Klang untuk memastikan kecurian seperti itu tidak akan berulang dan yang paling penting apabila lif-lif itu telah dibaik pulih ia akan digunakan dengan baik oleh penduduk.

Kerajaan negeri mahu penduduk merasakan lif-lif itu milik mereka dan menjaganya seperti hartabenda mereka sendiri. Penduduk mestilah bersama-sama memastikan lif-lif itu tidak dirosakkan dan digunakan dengan cara-cara yang sepatutnya.

Di samping itu, tindakan pihak MCA mempolitikkan kelewatan kerja-kerja membaik pulih adalah satu perbuatan yang keji. Jika mereka adalah parti politik yang bertanggung jawab, mereka akan turut sama membantu mendidik masyarakat agar kecurian yang berlaku dapat dielakkan. Tetapi mereka telah memilih jalan pintas untuk mendapat publisiti. Walhal mereka tahu di bawah BN tidak ada program membaik pulih lif secara menyeluruh seperti di bawah Pakatan Rakyat.

Monday, May 24, 2010

Betulkah Selangor luluskan 10 lesen judi untuk I City?

Ketika di dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke rumah, saya telah mendapat panggilan telefon dari Setiausaha PAS Selangor, Sdra Khairuddin Othman, memberitahu bahawa seorang ahli Parlimen mendakwa Mesyuarat Exco telah meluluskan 10 lesen judi untuk I City dekat Shah Alam. YB itu mempersoalkan peranan Exco-Exco PAS. Kenapa tidak membangkang?

Di sini saya ingin menjelaskan Mesyuarat Exco tidak pernah meluluskan lesen-lesen judi untuk I City. Untuk sebulan lepas, Exco ada membincang tentang judi tetapi bukan untuk meluluskan lesen-lesen judi. Lesen judi adalah kuasa kerajaan Persekutuan.

Saya pun hairan macam mana ada yang membuat pelbagai andaian walhal minit-minit adalah rahsia. Ianya dimusnahkan selepas mesyuarat. Sebelum ini ada seorang ahli Parlimen mendakwa bahawa Exco PAS Selangor Dato Hasan Ali tidak pernah bercakap di dalam mesyuarat. YB itu bercakap seolah-olah dia hadir di dalam mesyuarat. Begitulah manusia!

Berbalik kepada judi, saya ada bangkitkan tentang kedai nombor yang dilanggani umat Islam. Ini selepas PAS Pandan telah membuat Ops Kasih di luar kedai nombor Angsana Hilir.

Menteri Besar pula telah mencadangkan agar lesen premis tidak diberi oleh PBT kepada kedai-kedai di kawasan majoriti Islam. Menteri Besar juga mencadangkan agar tidak ada lagi lesen premis baru untuk kedai nombor atau kedai ekor.

Tidak ada agenda untuk meluluskan lesen judi tambahan. Cadangan melanjutkan operasi pusat hiburan hingga jam 3 pagi pun ditentang oleh Exco-Exco PAS ini pula 10 lesen judi baru di Shah Alam atau dengan lebih tepat lagi I City.

Tetapi saya mengakui payah bagi menyahut cabaran UMNO atau Perkasa. Apa tidaknya lesen judi memang dari Persekutuan tetapi lesen premis dari PBT. Kalau PBT tidak memberinya maka tidak ada kedai nombor atau kedai ekor. Kalau semua ahli-ahli Majlis sepakat untuk tidak membenarkan lesen premis maka tidak ada kedai nombor atau kedai ekor.

Ketika kita menentang judi bolasepak, kita ditempelak oleh UMNO yang berkata, 'Bila nak tutup kedai ekor di Selangor'. Memang payah untuk menjawab. Tapi hidup ini bukan mudah.

Inilah juga realiti demokrasi. Itu sebab ada yang berkata demokrasi tidak syar'ie. Tapi kita tidak beriman dengan demokrasi. Ianya sebagai satu jalan untuk mendapatkan kuasa, walaupun sedikit kuasa Telah ada banyak keuntungan kepada umat Islam dan perkembangan Islam di Selangor. Adakah ahli-ahli mahu kita mengangkat kaki dan menjadi penonton sahaja? Adakah saya bercakap seperti UMNO? Menghalalkan cara? Terpulang kepada anda untuk menilainya.

Tapi PAS tetap menentang arak dan judi. Exco, ADUN dan ahli Majlis bercakap dengan lantang tentangnya. Kita bukan seperti UMNO yang membisu tentang perkara-perkara itu. Atau menghalalkannya.

Ingat kes rampasan arak di 7-11? Siapa yang bersuara kalau tidak PAS. Atau kuasa diberi kepada pegawai-pegawai Masjid untuk menangkap orang Islam meminum arak di khalayak ramai. Bukankah Exco PAS mengumumkannya? Tetapi ada pula orang PAS termasuk YB yang tidak setuju.

Setiap parti ada matlamat masing-masing. DAP mahu pilihanraya kerajaan tempatan walaupun ia tidak pernah ada dalam manifesto PAS. Akhirnya cadangan itu diluluskan oleh sidang DUN Selangor. PAS pun ada matlamat.

Pernah saya tulis sebelum ini, saya kagum dengan politik baru di Britain. Walaupun saya tinggal hampir 10 tahun di sana dan membenci Konservatif seperti membenci UMNO tetapi kerajaan campuran Konservatif dan Liberal Demokrat patut membuka mata kita. Ia persefahaman dan pakatan yang penuh tolak ansur.

Contohnya ia memberi kebenaran kepada ahli-ahli Parlimen Liberal Demokrat untuk tidak mengundi menyokong kerajaan dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan manifesto mereka. Walaupun ketua Liberal Demokrat, Nick Clegg, adalah Timbalan Perdana Menteri namun mereka boleh tidak menyokong kerajaan. Dua perkara tersebut adalah tenaga nuklear dan yuran IPT.

Ada banyak lagi yang membuka mata kita. Begitulah kematangan politik di sana.

Urgh tak jadi nak makan pau!

Dari Pulau Pinang, berhenti solat jamak Maghrib-Isyak di Simpang Pulai.

Makan nasi ayam, best! Nak beli pau Al Amin. Memang best. Kat KL pun ada jual. Lagi pun bebudak kat rumah baru baik demam. Selalunya beli mangga.

Tapi kali ni nak beli pau walaupun macam-macam jenis mangga ada. Ada mangga Taiwan dan ada mangga Australia. Mangga Australia! Negara maju pun tanam mangga.

Jadi berbalik kepada pau. Nak beli pau tapi urgh tak jadi. Budak yang jaga pau dok susun pau pakai tangan. Takde penyepit, takde sarung tangan. Kalau dia baru korek hidung atau garu kurap, amacam!

Jadi pergi beli keropok opak. Tak kan jalan jauh-jauh tak bawa apa-apa untuk bebudak kat rumah.

Tapi rupanya opak buatan Felda Hulu Selangor. Tempat kita kalah teruk baru-baru ni.

Opak UMNO kot? Takpelah janji halal. Orang PAS pun ramai kat Felda. Teringat Mazlan Aliman.

8.36 malam
24 Mei 2010
Stesyen Shell Tapah
Demam baru nak kebah

Kunjung hormat kepada Exco Perumahan, Perancangan Bandar dan Kesenian Pulau Pinang, YB Wong Hon Wai di Komtar 24 Mei 2010.

Kunjungan lebih sejam telah membincangkan perkara-perkara berikut,

1. Kuota pembinaan rumah kos rendah.
2. Pendaftaran dan pengagihan rumah kos rendah.
3. Proses rayuan.
4. Akta 663 dan isu-isu Pesuruhjaya Bangunan.
5. Perancangan perumahan dan penyelesaian kepada masalah rumah tidak terjual atau 'overhang'.

Saya telah diiringi oleh pegawai-pegawai dari Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan pejabat saya.

Sunday, May 23, 2010

'Jangan takut YB, dia orang kita'

Kadang-kala saya hairan kenapa kita boleh kalah pilihanraya.

Kenapa tidaknya kerana di mana-mana saya pergi sekarang orang berkata, "Ini orang kita".

Terutamanya bila perlu sokongan untuk itu dan ini sama ada ahli perniagaan besar, peniaga, penjaja, kontraktor atau orang perseorangan akan datang kepada saya dengan ahli kita. Lazimnya pembuka kata atau penutup bicaranya adalah, "Ini orang kita" atau "Dia dah lama sokong kita".

Walaupun saya banyak berkata saya membantu semua orang, tidak kira dari parti politik mana sekalipun, orang masih datang kepada saya dan berkata, "Ini orang kita" atau "Dia sokong kita". Akhirnya seolah-olah hampir semua orang di Pandan adalah orang kita. Malah yang hendak bertumbuk dengan kita pada malam masa pilihanraya pun dikatakan orang kita.

Ini yang menghairankan saya. Kalau semua orang kita, kenapa baru tahun 2008 kita menang pilihanraya? Saya telah bertanding tiga kali dan kalah dua kali. Kalau semua orang kita, kenapa saya boleh kalah dua kali?

Kalau semua orang kita, kenapa ada tempat yang kita tidak dapat menubuhkan cawangan? Kalau semua orang kita, kenapa ada cawangan yang susah hendak digerakkan?

Ahli-ahli pula berilah fokus untuk menghidupkan cawangan. Saya pun tidak faham mengapa tidak ada masa untuk datang ke program atau untuk buat program tetapi untuk menjadi 'broker' untuk 'orang kita' banyak pula masanya.

Saturday, May 22, 2010

Tunggu orang Cina masuk Islam

Bila ditanya bila Islam nak menang di Malaysia, ada yang kata bila semua orang Cina masuk Islam. Sebenarnya tak payah tunggu orang Cina masuk Islam, pada PRU 2008 ramai ADUN PAS yang menang sebab sokongan pengundi Cina. Contohnya saya di Chempaka, di Kg Pandan yang Melayu PAS kalah teruk tapi di Kg Baru Cina Ampang PAS menang.

Gambar di atas adalah sebuah Restoran Cina Islam berhampiran dengan Los Angeles di bandaraya bernama Anaheim. Mula-mula teragak-agak nak makan di situ sebab kita di Malaysia bila kata restoran Cina mesti ada oink-oink. Tapi Cina Islam dah lama buka restoran kat USA.

Apa nak hairan, negeri Cina lebih dulu terima Islam dari Tanah Melayu dan ada lebih ramai orang Islam, yang Han dan yang dari minoriti ethik, di negeri Cina dari di Malaysia.

Friday, May 21, 2010

SELANGOR TO PUBLISH NAMES OF THOSE APPROVED TO BUY LOW COST HOUSE IN THE INTERNET

The Selangor State Government will consider the possiblity of publishing names of those approved to buy low cost house in the website of Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (Selangor Housing And Property Board). They will be published for a set period 2 weeks after being approved for the public to scrutinise.

The names of the development will also be published.

It is hoped that with this proposal only those eligible will be able to buy. There is a shortage of low cost houses in prime areas like Ampang and Petaling Jaya, therefore any abuse must be prevented so that the needy will not be left out.

Publishing the names will deter any fraud or abuse.

If approved by the Excos, this proposal will be implemented by the 1st of July.

Currently only families with a household income less than RM2,500 per month are allowed to purchase these houses.

Iskandar A. Samad
Selangor State Exco for
Housing, Building Management And Squatters
21 May 2010

Monday, May 17, 2010

Kerajaan campuran di Britain : Kerjasama cara baru

Akhirnya kerajaan campuran (coalition government) Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat terbentuk di Britain. Maka tamatlah pemerintahan 13 tahun Parti Buruh apabila Perdana Menteri Gordon Brown meletakkan jawatan dan ketua Konservatif David Cameron mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Inilah uniknya para pengundi di Britain dan sistem Parlimen British.

Pada pilihanraya umum Mei 6 yang lepas, tidak ada satu parti mendapat majoriti untuk memerintah bersendirian. Konservatif mendapat kerusi terbanyak dengan 306 kerusi tetapi perlu 326 untuk memerintah. Buruh yang kehilangan 90 kerusi mendapat 258. Liberal Demokrat atau Lib Dem mendapat 56. Kerusi-kerusi yang selebihnya dimenangi oleh parti-parti Ireland Utara, parti-parti yang memperjuangkan hak-hak rakyat Scotland dan Wales serta parti alam sekitar, Green Party.

Ini bermakna perlu ada kerjasama di antara parti-parti. Sama ada Konservatif dan Lib Dem. Atau Buruh dan Lib Dem serta parti-parti kecil yang lain.

Pengundi Britain tidak memberi mandat yang jelas kepada mana-mana parti. Benar Buruh kalah tetapi Konservatif tidak juga menang. Di Malaysia kita baru bercakap tentang sistem dua parti tetapi di Britain telah wujud sistem 3 parti. Tidak ada parti yang boleh memerintah sesuka hati. Inilah uniknya pengundi Britain.

Saya juga pernah menjadi pengundi di sana. Rakyat negara Komanwel seperti Malaysia yang menetap di Britain walaupun sebagai seorang pelajar boleh mengundi. Saya telah lupa apa yang mendorong saya untuk mendaftar sebagai pengundi ketika menuntut di Britain. Mengundi untuk pilihanraya umum atau pilihanraya kerajaan tempatan. Mungkin kerana saya sedar walaupun seorang penuntut, polisi parti yang menguasai kerajaan pusat atau majlis bandaraya akan memberi kesan yang besar kepada saya. Contohnya, kebimbangan saya ketika itu jika Konservatif dapat menguasai majlis bandaraya maka tambang bas akan menjadi mahal. Perkara-perkara seperti sikap parti-parti bertanding terhadap pelajar-pelajar asing seperti saya atau kaum pendatang seperti umat Islam juga menjadi pertimbangan.

Sistem Parlimen Britain juga unik. Walaupun kerusi Konservatif lebih dari Buruh tetapi selagi mereka tidak dapat membentuk kerajaan maka Perdana Menteri semasa Parlimen dibubarkan, Gordon Brown, masih kekal. Konservatif juga tidak berlari ke Istana Buckingham untuk mendapatkan campurtangan Ratu Elizabeth.

Pengundian tamat pada hari Khamis malam tetapi kerajaan baru hanya dapat dibentuk pada hari Selasa malam. Lima hari selepas keputusan pilihanraya.

Ini berbeza kali terakhir berlaku perubahan kerajaan iaitu dari Konservatif kepada Buruh dalam tahun 1997 di mana kerajaan baru dapat dibentuk 5 jam 15 minit selepas pengundian tamat.

Kali ini ia lebih rumit. Rundingan berjalan di antara parti-parti berjalan hampir seminggu. Konversatif berunding secara terbuka dengan Lib Dem tetapi Lib Dem juga berunding secara sulit dengan Buruh. Ini menimbulkan kemarahan Konservatif tetapi ia tidak menghairankan kerana Lib Dem mempunyai banyak persamaan dengan Buruh.

Dalam tahun 1974, Konservatif ketika dipimpin oleh Edward Heath pernah mengajak Parti Liberal, parti asal Lib Dem sebelum bergabung dengan Social Democratic Party, untuk menubuhkan kerajaan campuran. Tawaran Konservatif yang berada dalam keadaan yang sama seperti 2010 telah ditolak oleh Liberal walaupun dijanjikan 2 jawatan Menteri Kabinet. Tetapi Liberal pernah mengadakan pakatan dengan Buruh tahun 1978 apabila kerajaan Perdana Menteri James Callaghan kehilangan majoriti di Parlimen.

Kenapa rundingan mengambil masa yang begitu lama? Sebab utama kerana terdapat perbezaan di antara polisi kedua-dua parti. Berbeza dari Malaysia, parti-parti yang bertanding telah menyatakan dengan terperinci apa yang mereka akan lakukan jika mereka menang. Bukan secara konsep tetapi secara terperinci. Ia pula merangkumi segala aspek pentadbiran. Manifesto mereka lebih komprehensif.

Contohnya jika hendak dijimatkan perbelanjaan negara maka dinyatakan berapa billion pound. Jika hendak dikurangkan cukai pula maka dinyatakan cukai apa dan berapa peratus.

Oleh itu, terdapat tawar menawar dan untuk mencapai kompromi sudah tentu memakan masa. Tetapi lebih baik dibincangkan satu persatu sebelum membentuk kerajaan agar tidak akan berlaku perbalahan ketika memerintah kelak.

Saya berpendapat banyak yang kita di Malaysia boleh pelajari dari pembentukan kerajaan campuran di Britain.

Malah setelah David Cameron menjadi Perdana Menteri, banyak lagi syarat-syarat kerajaan campuran yang akan membuka mata kita telah didedahkan kepada umum.

Paling menarik cara bagaimana Lib Dem telah dibenarkan mempertahankan prinsip-prinsip mereka walaupun berkongsi kuasa dengan Konservatif. Contohnya dalam isu-isu yang bertentangan dengan manifesto Lib Dem, ahli-ahli Parlimen mereka dibenarkan untuk tidak mengundi menyokong kerajaan di dalam sidang Parlimen.

Sungguh aneh kerana di dalam keadaan ketua Lib Dem, Nick Clegg, adalah Timbalan Perdana Menteri tetapi ahli-ahli Parlimen beliau boleh memilih untuk tidak mengundi menyokong kerajaan.

Yang jelas di dalam dua perkara. Pertama tentang tenaga nuklear. Lib Dem menentang tetapi Konservatif menyokong. Kedua pula tentang yuran pembelajaran di institut pengajian tinggi, Lib Dem mahu menghapuskannya dan Konservatif ada perancangan lain.

Lib Dem pula tidak tergila-gila mahu menyertai kerajaan tetapi mahu memastikan dahulu apa yang mereka perjuangkan tidak tergadai. Itu sebabnya secara sulit mereka juga berunding dengan Buruh.

Kerajaan campuran di Britain telah mewujudkan kerjasama tanpa menggadaikan prinsip rakan kongsi yang lebih kecil dan memberi lebih banyak kebebasan kepada rakan tersebut. Selain dari itu lebih separuh dari 56 ahli Parlimen Lib Dem telah mendapat jawatan di dalam kerajaan termasuk di dalam Kabinet.

Sungguh unik. Bolehkah tolak ansur sedemikian berlaku di Malaysia? Berlaku tanpa terdapat tuduhan atau cemuhan tidak pandai bekerjasama atau tidak pandai bersahabat.

Adakah ia lebih diperlukan di Malaysia kerana perbezaan di antara parti-parti adalah lebih ketara dari perbezaan di antara Konservatif dan Lib Dem atau di antara Konservatif dan Buruh? Terpulang kepada kita untuk menjawabnya.

Iskandar A. Samad
17 Mei 2010

Sunday, May 16, 2010

Majlis penyerahan kunci kepada pemilik-pemilik rumah projek Desa Seri Saujana, Bangi 8 Mei 2010.

Di dalam keadaan begitu banyak projek-projek perumahan terbengkalai dan projek-projek yang lewat siap, agak melegakan terdapat projek-projek seperti ini yang dapat disiapkan menurut jadual.

Walaupun melibatkan hanya 72 unit rumah berkembar tetapi lebih baik dibina dalam jumlah yang kecil tapi disiapkan menurut jadual dari jumlah yang besar tapi terbengkalai.

Sunday, May 9, 2010

Realiti sistem Persekutuan

Malaysia mengamalkan sistem Persekutuan. Di bawah sistem ini ada perkara-perkara di bawah kerajaan Pusat dan ada perkara-perkara di bawah kerajaan negeri.

Secara ringkas, hal-ehwal agama Islam dan tanah di bawah kerajaan negeri dan perkara-perkara lain di bawah kerajaan Pusat.

Dulu air di bawah kerajaan negeri tetapi apabila industri air diswastakan, kerajaan negeri hilang kawalan. Apabila ia mahu mengambil balik kawalan ke atas air, kerajaan negeri Selangor terpaksa membayar berbillion ringgit untuk meneruskan hasratnya.

Tetapi persoalan sama ada negeri atau Persekutuan tidak semudah itu walaupun kedua-dua agama dan tanah jelas di bawah kerajaan negeri.

Contohnya kerajaan negeri Perak pernah meluluskan tanah kepada rakyat untuk 999 tahun tetapi tindakan ini dicabar oleh kerajaan Persekutuan. Hanya pertimbangan politik yang menghalang kerajaan Persekutuan dari terus mempertikaikannya.

Terdapat juga perkara-perkara lain yang secara tidak langsung di bawah kerajaan negeri.

Contohnya perumahan di mana kerajaan negeri boleh menetapkan jumlah rumah kos rendah yang mesti dibina oleh pemaju atau jumlah rumah yang diwajibkan dijual kepada Bumiputera. Ini dapat dilakukan kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atas hal ehwal tanah. Kerajaan negeri boleh menghalang pindah milik tanah termasuk rumah-rumah bagi pemaju yang ingkar.

Tetapi kerajaan negeri tidak boleh mengambil alih projek-projek perumahan terbengkalai. Menurut akta hanya Menteri Perumahan yang boleh. Tetapi kerajaan negeri boleh mengambil alih tanah projek-projek itu dengan syarat membayar pampasan.

Turut mengelirukan terdapat akta yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan muktamad. Contohnya bagi Akta 663 yang melibatkan pengurusan bangunan, sebarang percanggahan perlu dirujuk kepada kerajaan negeri dan keputusan kerajaan negeri tidak boleh dicabar di mahkamah.

Lebih mengelirukan terdapat perkara yang di bawah kuasa negeri tetapi bukan di bawah kuasa mutlak Menteri Besar dan Exco-Exco.

Contohnya dalam hal ehwal agama Islam, perlantikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor atau MAIS dae ahli-ahlinya memerlukan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Begitu juga dengan perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS. Ramai termasuk ahli-ahli Parlimen dari luar Selangor yang menyangka ianya kuasa mutlak Exco Agama.

Memang mengelirukan tetapi lebih mengelirukan apabila enakmen-enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri tetapi tidak boleh dilaksanakan. Contohnya enakmen yang melibatkan hudud dan qisas di Kelantan yang tidak dapat dilaksanakan kerana dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Di dalam kes ini orang-orang Umno sering mencabar PAS kenapa tidak melaksanakan hudud dan qisas di Kelantan. Mereka juga menghasut orang-orang PAS supaya mempertikaikan keputusan kerajaan negeri.

Saya melihat mereka ada dua tujuan. Pertama, agar ahli-ahli PAS hilang keyakinan terhadap pimpinan mereka. Kedua, supaya kerajaan negeri melaksanakan Enakmen tersebut maka kerajaan Persekutuan boleh mengambil tindakan dan merampas Kelantan melalui pintu belakang.

Bagi orang-orang PAS yang tidak faham undang-undang atau perjalanan pentadbiran kerajaan mungkin terperangkap. Tetapi orang Kelantan bijak-bijak belaka. Mungkin orang Selangor yang baru belajar berkerajaan.

Sungguh mengelirukan. Ada kuasa negeri. Ada kuasa Persekutuan. Ada yang bertindih dan ada yang jelas. Ada lesen negeri. Ada lesen Persekutuan. Tidak semudah yang disangka.

Bangang, bodoh, bangsat begitulah yang dilemparkan kepada pimpinan apabila tuntutan rakyat tidak dapat dipenuhi. Tutup kilang arak. Tutup kedai judi. Tutup disko. Tutup pub dan sebagainya.

Kalau ahli-ahli telah memikirnya satu kali, pimpinan telah memikirkannya 99 kali. Negara ini ada undang-undang. Mungkin ada yang berkata kalau begitu apa guna kemenangan?

Kepada yang menuduh bangang, bodoh atau bangsat, ingin saya jelaskan di sini, 'Kita belum menang lagi'.

Mungkin ini terlalu mengelirukan bagi yang mulut mereka hanya layak mengeluarkan kata-kata kesat sahaja.

9 Mei 2010

Thursday, May 6, 2010

Jemputan Ke Majlis Pelancaran Skim Khidmat Komuniti Bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor akan melancarkan Skim Khidmat Komuniti bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sepertimana berikut,
 
Tarikh : 8 Mei 2010 (Sabtu)
Masa : 9.30 pagi
Tempat : Dewan Orang Ramai, Block C, PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang.
 
35 orang peserta akan menjadi kelompok pertama yang akan mengikuti skim perintis ini di mana penyewa yang mempunyai tunggakan sewa melebihi RM3,500 pada 31 Disember 2009 akan diberi peluang untuk melupuskan tunggakan mereka dengan melakukan kerja-kerja khidmat-khidmat komuniti.    

Lebih 3,000 penyewa di 4 PPR mempunyai tunggakan sewa berjumlah lebih RM4.2 juta tetapi hanya mereka dari kategori-kategori berikut layak menyertai skim ini,   

1.) Berpendapatan isi rumah kurang dari RM720 sebulan atau
2.) Ibu tunggal atau
3.) Orang Kurang Upaya (OKU).
 
Kerja-kerja khidmat komuniti yang akan ditawarkan adalah,
 
1.) Mengendali atau menguruskan pusat penerangan dan aduan setempat.            
2.) Melakukan pemantauan kejiranan atau 'neighourhood watch'.
3.) Melakukan pemantauan harta awam.
4.) Mengendalikan kelas kemahiran atau pendidikan untuk penduduk.

Terdapat 4 kawasan PPR di negeri Selangor iaitu,
 
1.) Taman Putra Damai, Lembah Subang.
2.) Kg. Baru Hicom, Shah Alam.
3.) Kota Damansara
4.) Serendah
 
Skim perintis ini akan melibatkan penyewa-penyewa dari Taman Putra Damai, Lembah Subang.
 
Peserta skim khidmat komuniti  ini boleh memilih jenis khidmat yang mereka mahu sertai.
 
Kerja-kerja khidmat masyarakat ini dibahagikan kepada empat syif satu hari dengan setiap syif memakan masa empat jam. Para peserta perlu melakukan kerja-kerja khidmat komuniti sebanyak empat syif bagi melunaskan bayaran sewa untuk sebulan. Peserta boleh memilih syif dan hari di mana mereka ingin bertugas. Ini bermakna syif-syif ini dibenarkan pada hari-hari yang berlainan.

Kerajaan Negeri berharap program ini akan dapat mendidik rakyat supaya bertanggungjawab di samping dapat meningkatkan aktiviti komuniti di PPR terlibat. Program perintis ini akan dikaji dalam masa enam bulan. Sekiranya berjaya, ia akan dikembangkan ke PPR lain.         

Turut dijangka hadir dalam majlis perasmian esok adalah ADUN Kota Damansara, YB Dr. Mohd Nasir Hashim dah ahli-ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
 
Wakil-wakil media adalah dijemput hadir.
 
Iskandar Abdul Samad
Pengerusi Tetap / Exco
Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor
7 Mei 2010

Malaysia hendak halalkan judi bolasepak?

Dato' Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan, patut beristighfar dan mengucap syahadah kerana berhujjah jika judi bagi sukan bolasepak dibenarkan kerajaan boleh memungut hasil.

Beliau hari ini memberitahu Dewan Negara bahawa kerajaan Pusat akan menimbang untuk membenarkan judi untuk sukan tersebut.

Sebagai seorang Islam, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan ucapan sedemikian.

Sebagai ADUN, saya turut mendapat aduan dari masyarakat bukan Islam yang mahu industri judi dihadkan. Tetapi seorang Menteri Islam pula yang mahu ditambah peluang bagi rakyat untuk berjudi.

Inilah Umno yang tidak memperdulikan halal dan haram asalkan dapat mendatangkan keuntungan. Tidak langsung memikirkan keredhaan dan keberkatan Allah SWT.

Maka jelaslah UMNO tidak layak bercakap tentang Islam dan ini sepatutnya membuka mata mereka yang mengharapkan Umno membela agama Islam.

Iskandar A. Samad
ADUN Chempaka /
Timbalan Pesuruhjaya PAS II Negeri Selangor
7 Mei 2010

Sunday, May 2, 2010

PANGSAPURI TAMAN ANGSANA HILIR BOLEH ROBOH BILA-BILA MASA

Pangsapuri 5 tingkat Taman Angsana Hilir di Kg Pandan boleh roboh bila-bila masa sekiranya masalah kesesakan tidak diselesaikan.

Di dalam lawatan saya ke pangsapuri itu hari ini, saya diberitahu banyak unit-unit yang didiami oleh lebih ramai penduduk dari yang sepatutnya.

Unit-unit yang asal mempunyai 3 bilik tetapi unit-unit yang disewa oleh warga Indonesia telah diubahsuai menjadi sehingga 5 atau 6 bilik. Lebih 60 peratus dari pangsapuri itu disewa oleh mereka.

Dengan ubahsuai yang dilakukan, jumlah penduduk bagi unit-unit itu telah bertambah sehingga 3 kali ganda.

Setiap bangunan direkabentuk untuk menampung jumlah penduduk yang tertentu. Ia tidak akan dapat menampung bebanan penduduk sehingga 3 kali ganda dari yang sepatutnya untuk jangkamasa yang panjang.

Untuk jangkapanjang ia boleh mengakibatkan kegagalan struktur dan bangunan itu boleh roboh.

Mereka yang tinggal di bawah unit-unit yang diubahsuai paling berisiko tinggi. Lantai di atas mereka boleh runtuh jika berlaku kegagalan struktur. Mereka akan mati atau cedera parah dihempap oleh kepingan-kepingan konkrit.

Oleh itu, saya menggesa mereka yang menyewakan pangsapuri mereka supaya sentiasa memeriksanya. Mereka tidak boleh lepas tangan sekiranya berlaku sebarang malapetaka.

Malah terdapat keputusan Exco yang menghadkan jumlah warga asing yang boleh menetap di dalam sebuah pangsapuri kos rendah seperti di Taman Angsana Hilir. Pemilik-pemilik rumah bukan penyewa yang akan didakwa jika melanggar arahan tersebut.

Demi keselamatan, saya akan meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat siasatan yang terperinci dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Kita tidak mahu tragedi Highland Towers berulang di Taman Angsana Hilir.

Saya juga akan menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bersama atau JMC agar mengambil berat akan aktiviti penduduk.

Jumlah penduduk yang lebih ramai dari yang sepatutnya akan juga memberi kesan-kesan sampingan yang lain kepada bangunan.

Sistem perparitan tidak akan dapat menampung penduduk yang lebih ramai dan mengakibatkan ia senang tersumbat.

Saluran najis juga akan kerap tersumbat atau gagal berfungsi dengan baik jika terdapat lebih ramai penduduk dari yang dirancang.

Rumah sampah tidak akan dapat menampung bahan buangan dari penduduk yang lebih ramai. Rumah-rumah sampah yang baru terpaksa dibina.

Tong-tong sampah yang disediakan akan penuh lebih cepat iaitu sebelum ia dijadualkan dipungut. Limpahan sampah akan menarik tikus-tikus dan menggalakkan pembiakannya.

Sebarang penyambungan elektrik sesuka hati untuk bilik-bilik yang baru boleh menyebabkan litar pintas atau "overloading" dan mengakibatkan kebakaran.

Apabila berlaku kerosakan kepada bangunan, penduduk akan memohon bantuan dari pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tetapi kerosakan-kerosakan itu boleh elakkan sekiranya penduduk lebih prihatin.

Selain dari pangsapuri Taman Angsana Hilir, terdapat banyak lagi pangsapuri kos rendah yang menghadapi ancaman yang sama. Di antaranya adalah pangsapuri kos rendah Pandan Utama yang juga dikuasai oleh warga Indonesia.

Iskandar A. Samad
ADUN Chempaka
2 Mei 2010

RM2 UNTUK SEPOTONG IKAN SARDIN!

Saya amat terkejut pagi tadi apabila mendapati sepotong ikan sardin berharga RM2. Bukan setin tapi sepotong!

Saya telah bersarapan di sebuah restoran berhampiran dengan bangunan Maxisegar, Pandan Indah.

Saya ambil sepinggan mee goreng dan apabila hendak membayar diberitahu sepotong ikan sardin lebih kurang 2 inci panjang berharga RM2.

Kata pelayan kedai itu, setin ikan sardin RM4. Tapi saya semak di kedai RM3.80. Dalam setin katanya ada 4 potong. Jadi sepotong RM1. Oleh itu, mereka jual RM2 sepotong setelah dimasak. Dengan mee goreng harganya RM4.

Lebih murah bersarapan Koko Krunch atau Honey Stars. Sekotak besar dalam RM12 boleh makan 20 orang. Krimer RM2.80 setin besar. Bermakna kurang RM1 sekali makan.

Saturday, May 1, 2010

Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor

Muktamar telah diadakan pada 2 Mei 2010 di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.