Thursday, April 29, 2010

Isi perut terburai di Hulu Selangor!

Memang benar banyak yang dapat dipelajari dari pilihanraya kecil Hulu Selangor.

Tetapi yang paling penting bagi saya dan mereka yang bergerak di peringkat akar umbi adalah kita sekarang tahu siapa kawan dan lawan.

Di Pandan dan tentu serupa di kawasan-kawasan lain, kami didatangi oleh mereka yang mengaku menyokong Pakatan. Mungkin pada anggapan mereka kalau kata sokong Pakatan senang dapat sokongan, kelulusan, bantuan atau peruntukan.

Kadang kala mereka marah-marah kerana tidak dapat apa yang mereka mahu dan berkata sia-sia menyokong Pakatan. Walhal di masa yang sama mereka yang telah bertahun-tahun mengedar risalah atau bertugas di ceramah-ceramah tidak pula menuntut itu dan ini.

Tetapi isi perut mereka terburai di Hulu Selangor. Kita nampak siapa mereka. Kita tahu siapa mereka. Kita pun ada menghantar orang ke bilik gerakan UMNO Pandan di Hulu Selangor.

Kalau betul bersama kita, kenapa bekerja untuk BN?

Ada seorang yang cukup baik dengan kita. Bila bercerita memberi sokongan kepada kita. Tetapi di Hulu Selangor menjadi memandu kereta BN yang mengangkut pengundi!

Memang negeri ini mengamalkan sistem demokrasi tetapi kenapa bermuka-muka? Kenapa menipu?

Tidak kira siapa. Orang awam, AJK surau, persatuan penduduk, rukun tetangga atau kakitangan kerajaan, Hulu Selangor telah mendedahkan pendirian mereka.

30 April 2010

Tuesday, April 27, 2010

PARA PENIAGA DIGESA AGAR TIDAK TUNDUK KEPADA UGUTAN

Pejabat saya telah membuat siasatan dan mendapati banyak perniagaan di atas tanah kerajaan, kawasan lapang, kawasan landskap, tempat letak kereta, rizab jalan dan rizab-rizab lain tidak menyumbang sebarang hasil kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Walau bagaimanapun, para peniaga telah membayar sumbangan kepada orang-orang perseorangan seperti Ketua UMNO Cawangan.

Sehubungan itu, saya akan meminta MPAJ memastikan agar amalan-amalan sedemikian diberhentikan serta merta.

Perkara yang sama telah dibangkitkan di dalam sidang Dewan Negeri Selangor awal bulan ini.

Sebagai ADUN saya akan meminta MPAJ mengambil tindakan yang sewajar ke atas perniagaan-perniagaan tersebut. Saya akan mengadakan satu perbincangan dengan MPAJ berkenaan senarai peniaga yang terlibat hasil dari siasatan pejabat saya.

Saya berharap para peniaga akan melapurkan kepada MPAJ atau pihak Polis tentang sebarang ugutan yang mereka terima.

Tidak ada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang hak ke atas kawasan-kawasan tersebut kecuali Pihak Berkuasa Tempatan atau Pejabat Daerah. Orang-orang perseorangan tidak boleh menuntut sebarang bayaran dari para peniaga di atasnya.

Iskandar A. Samad
ADUN Chempaka
28 April 2010

Isu MPAJ hentikan bayaran sewa rumah untuk bekas penduduk setinggan

Di bawah program Setinggan Sifar kerajaan BN negeri Selangor yang lepas, penduduk yang tinggal di atas tanah kerajaan atau rizab kerajaan akan ditempatkan di rumah transit dengan sewanya dibayar oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga rumah kekal mereka siap dibina.

Walau bagaimanapun, terdapat rumah kekal atau penempatan-penempatan semula ini yang gagal dibina menurut jadual yang menyebabkan PBT terpaksa menanggung bayaran sewa yang lebih lama dari yang sepatutnya. Malangnya tidak ada perjanjian yang ditandatangani yang membolehkan PBT-PBT membuat tuntutan ke atas pemaju yang gagal menyiapkan penempatan-penempatan semula ini menurut jadual.

Kerajaan negeri menyedari hakikat ini maka mesyuarat Exco pada 11 Februari 2009 telah memutuskan menjadi tanggung jawab PBT untuk memastikan penempatan-penempatan semula ini disiapkan menurut jadual. Sementara itu, sewa rumah-rumah transit akan terus ditanggung oleh PBT. Kerajaan negeri mahu PBT lebih serius di dalam memastikan penempatan-penempatan semula ini disiapkan secepat mungkin agar mereka terlepas dari tanggungan sewa tersebut.

Kerajaan negeri tidak boleh mengarahkan PBT menghentikan bayaran sewa kerana perjanjian telah dibuat bersama penduduk walaupun ianya dibuat di zaman kerajaan negeri Barisan Nasional yang lepas.

Dalam kes Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), sepatutnya PBT itu memberi penumpuan kepada usaha-usaha untuk menyiapkan penempatan-penempatan semula dan bukan memberi keutamaan kepada pemberhentian sewa.

Menghentikan pembayaran sewa hanya menyelesaikan separuh dari masalah.

Oleh itu, saya telah mengarahkan Yang Dipertua MPAJ mengemukakan kepada mesyuarat Exco satu cadangan penyelesaian bagi masalah ini.

Selain dari itu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS juga telah bersetuju untuk mengkaji cadangan bagi mereka untuk mengambil alih sebuah projek penempatan semula yang bermasalah di kawasan MPAJ.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
27 April 2010

Sunday, April 25, 2010

BN guna pelajar politeknik di Hulu Selangor

Saya telah solat zuhur di Masjid Bandar Baru Batang Kali Seksyen 4.

Terdapat ramai budak-budak muda yang memakai t-shirt putih BN yang solat di sana.

Setelah ditanya rupa-rupanya mereka adalah pelajar-pelajar Politeknik Shah Alam. Mereka diberi RM30, makan dan tempat tinggal untuk berkempen untuk BN.

Mana dia tindakan pihak polis? Mana dia tindakan SPR? Cakap tak serupa bikin!

Bandar Baru Batang Kali
2.30 petang
25 April 2010

Saturday, April 24, 2010

Hulu Selangor : Kenapa rakyat perlu bimbang?

Pengundi Hulu Selangor telah mula membuang undi untuk memilih wakil rakyat mereka. Jelas sekali pilihanraya kecil kali ini berlainan dari 9 pilihanraya kecil selepas 8 Mac 2008.

Seperti biasa BN telah mengerahkan jentera kerajaan Persekutuan. Tetapi mereka juga mendakwa PR telah mengerahkan jentera kerajaan Negeri. Adakah ini benar?

Memang benar banyak program-program kerajaan Negeri telah bertumpu di Hulu Selangor sejak dua minggu lepas. Tetapi ini adalah satu tindakbalas kepada tindakan kerajaan Persekutuan membanjiri kawasan Parlimen itu dengan pelbagai program-program Persekutuan.

Kita mempunyai tetamu-tetamu maka kita seharusnya meraikan mereka. Hampir semua Menteri Kabinet telah turun ke Hulu Selangor maka tidak salah Exco-Exco turut berkampung di Hulu Selangor.

Lagipun ini negeri kami, kami kerap naik turun ke Hulu Selangor. Saya telah banyak kali turun ke Hulu Selangor sejak dilantik sebagai Exco sehingga lupa berapa kali. 10 kali? 20 kali? 30 kali. Hanya PA saya yang tahu.

Tetapi bagi Menteri-Menteri BN yang sekali dalam 5 tahun sampai ke Hulu Selangor dan kemudian berjanji hendak membela rakyat Hulu Selangor maka sudah tentu janji-janji ini sepalsu bunga plastik.

Tetapi saya amat bimbang dengan tindakan PM dan BN menabur duit ketika kempen seperti orang menabur dedak kepada ayam. Bimbang bukan kerana takut para pengundi akan termakan dengan umpan-umpan itu dan PR akan kalah tetapi bimbang duit atau pembiayaan untuk projek-projek yang dijanjikan telah di'curi' dari peruntukan-peruntukan atau projek-projek yang lebih penting.

Mungkin peruntukan kesihatan atau pendidikan untuk kawasan-kawasan yang lebih memerlukan terpaksa dipotong kerana perlu disalurkan untuk kempen BN di Hulu Selangor.

Mungkin ada klinik kesihatan di Hulu Pahang akan kekurangan kakitangan kerana peruntukannya telah dibawa ke Hulu Selangor untuk memancing undi. Atau sebuah sekolah di pendalaman Johor kekurangan komputer kerana peruntukkannya telah di'curi' untuk memenangkan P. Kamalanathan.

Oleh itu, rakyat bukan sahaja penyokong PR yang patut bimbang.

Sg Buaya
11.28 pagi
25 April 2010

BN cuba sabotaj Himpunan Anak-Anak Felda Generasi Kedua Di Sg Tengi.

Insiden berlaku ketika Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim berucap menutup himpunan lebih kurang jam 6.10 petang tadi.

Mula kenderaan-kenderaan BN yang memasang lagu dengan kuat telah dihantar untuk mengganggu ucapan Tan Sri Khalid. Setelah itu gagal maka dihantar kumpulan budak-budak motor.

Walaupun ucapan itu terganggu sekejap tetapi akhirnya budak-budak motor itu cabut lari.

24 April 2010

Najib ugut lagi!

Sah saya dengar dalam berita TV jam 8 tadi Najib kata dia akan beri sumbangan RM3 juta kepada Sekolah Cina Rasa jika BN menang di Hulu Selangor.

Terang dan jelas, tanpa segan silu PM berkata kalau hari Ahad BN menang, RM3 juta akan dimasukkan ke dalam akaun Lembaga Pengarah sekolah itu hari Isnin.

Adakah itu satu ugutan? Atau lebih kepada rasuah?

Walau apa sekalipun, BN memang kaki ugut dan kaki rasuah.

10.25 malam
Sabtu 24 April 2010

Kempen Pangsapuri Ku Indah, Bersih Dan Ceria di Pangsapuri Seri Kembangan, Bukit Beruntung pada 24 April 2010.

Kempen Pangsapuri Ku Indah, Bersih Dan Ceria di Pangsapuri Seri Kembangan, Bukit Beruntung pada 24 April 2010.

Friday, April 23, 2010

Tawaran BN untuk menyelesaikan masalah peneroka Felda Sg Buaya

Baguslah PM petang tadi berkata hendak menyelesaikan masalah peneroka-peneroka tersebut.

Alhamdulillah mereka sudah mendapat RM50,000 sebagai pendahuluan kepada penyelesaiannya.

Saya menyokong jika penyelesaian itu adil kepada semua pihak.

Itulah sepatutnya, masalah ini dari zaman BN lagi, sudah 15 tahun. BN tidak boleh cuci tangan.

Tetapi yang kurang sedap didengari bila PM berkata ada syarat untuk menyelesaikannya. Syaratnya BN kena menang. Kalau tidak silap saya itu yang saya dengar dari ucapan PM yang disiar di dalam berita TV.

Kenapa perlu diugut peneroka-peneroka yang telah lama menunggu? Beginikah kerajaan yang mengutamakan rakyat?

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah meletakkan syarat untuk memberi air percuma atau hadiah kepada bayi yang lahir di Selangor. Kami tidak bertanya BN atau Pakatan. Setiap rakyat Selangor diberi layanan yang adil.

Berbalik kepada Sg Buaya, kerajaan negeri akan memantau perkembangan selanjutnya. Kami tidak mahu peneroka tertipu lagi.

Kerajaan negeri mempunyai kata putus di dalam hal-hal tanah dan kebenaran merancang. Kami akan gunakan kuasa itu untuk memastikan kepentingan rakyat terjamin.

Iskandar A. Samad
23 April 2010

Penyampaian sijil-sijil JMB kepada 5 pangsapuri di Bt Beruntung dan Bt Sentosa pada 10 April 2010.

Thursday, April 22, 2010

Lawatan YAB Dato' Menteri Besar Selangor ke Felda Sg. Buaya 9.00 pagi Jumaat 23 April 2010

MAJLIS KESYUKURAN SEMPENA PENYELESAIAN MASALAH SIJIL LAYAK MENDUDUKI (CF) DI BUKIT BERUNTUNG DAN BUKIT SENTOSA.

Wakil-wakil penduduk dari 5 taman perumahan telah menerima replika CF dari YAB Dato' Menteri Besar Selangor pada satu majlis kesyukuran di Surau Ar-Raudah pada 22 April 2010.

Kempen Pangsapuri Ku Bersih, Ceria Dan Harmoni

Siapa sapu duit baiki bumbung?

Fakta-faktanya :

BN
-Peruntukan awal RM15.6 juta untuk 50 blok
-Peruntukan tambahan RM2.1 juta untuk 7 blok
-Jumlah RM17.7 juta untuk 57 blok
-Kos purata satu blok RM310,526.32

PAKATAN RAKYAT
-Kos membaiki RM372,196 untuk 2 blok
-Kos purata satu blok RM186,096

KOS BAIKI BN RM120,000 LEBIH MAHAL DARI PAKATAN RAKYAT!

KATAKANLAH KOS MENGECAT DAN BAIKPULIH LAIN-LAIN RM50,000, MASIH RM70,000 LEBIH MAHAL!

ITU UNTUK SATU BLOK, UNTUK 57 BLOK BERAPA?

RM3.99 JUTA!

SIAPA SUDAH SAPU?

Wednesday, April 21, 2010

CENDOL TG. MALIM

NOSTALGIA TANJUNG MALIM

Minggu ni dah 2 kali sarapan di Tg. Malim. Ada program pagi di Hulu Bernam dan Kalumpang. Jadi selalunya sampai awal dan sempat sarapan di seberang Sg. Bernam di Tg. Malim. Saja nak tengok-tengok.

Masa sekolah dulu apabila ibu bapa saya menghantar saya balik ke asrama di Kuala Kangsar, kami akan berhenti rehat dan makan di Tg. Malim. Ketika itu Tg. Malim rasanya begitu jauh dari KL. Macam nak pergi Pahang.

Tetapi Tg. Malim sekarang tidak sesibuk dulu. Dah jam 9 lebih pun tak ramai orang dan tak banyak kereta. Dengan adanya lebuhraya, ramai tak singgah di sini lagi. Dah kena by pass.

Dalam tahun-tahun 70'an dan 80'an kedai-kedai seperti ini menjadi tumpuan utama. Semua ada dijualnya. Dari sapu tangan ke botol susu. Dari surat khabar ke bedak sejuk.

Tetapi semuanya tinggal sejarah. Seperti zaman kegemilangan BN di Selangor.

22 April 2010

KURANG AJAR!

Kain rentang, poster dan bendera BN serta MIC di pagar Sekolah Menengah Bandar Baru Batang Kali.

Tuesday, April 20, 2010

MASALAH SIJIL LAYAK MENDUDUKI (CF) PEMILIK-PEMILIK 5 PEMBANGUNAN DI BUKIT BERUNTUNG DAN BUKIT SENTOSA SELESAI

Kerajaan Negeri Selangor hari ini telah bersetuju akan satu kaedah untuk menyelesaikan masalah ketiadaan Sijil Layak Menduduki (CF) yang membimbangkan pemilik-pemilik rumah di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Hulu Selangor sejak tahun 2002.

Sebelum ini pembangunan-pembangunan yang terlibat telah hanya dikeluarkan Sijil Layak Menduduki Sementara (TCF) kerana terdapat jalan-jalan yang tidak lagi dibina dengan sepenuhnya oleh pemaju.

Contohnya terdapat jalan 4 lorong yang baru dibina 2 lorong.

Hari ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melengkapkan pembinaan jalan-jalan itu dan kosnya akan dicaj kepada pemaju atau kumpulan syarikat pemaju tersebut.

Oleh itu, sijil layak menduduki boleh dikeluarkan secepat mungkin untuk 1,521 unit kediaman yang terlibat.

Majlis penyerahan akan disempurnakan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato’ Seri Menteri Besar pada 22 April 2010, jam 8.30 malam di Jalan Widuri, Seksyen BB 18, Bukit Beruntung.

Pembangunan-pembangunan yang terlibat adalah:

a) 125 unit rumah teres kos sederhana rendah 1 tingkat di atas sebahagian Lot 3244, Bukit Beruntung, Mukim Hulu Yam.

b) 172 unit rumah teres sederhana rendah 1 tingkat di atas sebahagian Lot 3244, Bukit Beruntung, Mukim Hulu Yam.

c) 590 unit rumah teres 2 tingkat di atas sebahagian Lot 3244, Bukit Beruntung, Mukim Hulu Yam.

d) 296 unit rumah teres 2 tingkat dengan 2 unit pencawang elektrik di Fasa 21C1 (201 unit) dan 21C2 (95 unit) di atas Lot 353 dan 1729, Bukit Sentosa, Mukim Serendah.

e) 338 unit rumah teres 2 tingkat dan 4 unit pencawang elektrik di Fasa 16C di atas sebahagian Lot 353 dan 1729, Bukit Sentosa, Mukim Serendah.

Y.B. Tuan Iskandar Abdul Samad
Exco/Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
21 April 2010

PEMBERIAN AIR PERCUMA 20 METER PADU KEPADA PERUMAHAN BERTINGKAT KOS RENDAH YANG MENGGUNAKAN METER AIR PUKAL

Kerajaan Negeri mahu penduduk pangsapuri-pangsapuri atau pembangunan berstrata yang lain melakukan migrasi ke meter individu. Dengan itu, mereka boleh menikmati skim air percuma 20 meter padu.

Walau bagaimanapun, agar mereka yang berpendapatan rendah dapat menikmati skim air percuma ini sebelum migrasi dapat dilakukan, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kupon-kupon yang bersamaan dengan nilai 20 meter padu air kepada penduduk pangsapuri kos rendah.

Kupon-kupon ini akan diedarkan melalui Pesuruhjaya Bangunan atau Commissioner of Building (COB) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada penduduk melalui pemaju, agen pengurusan, Badan Pengurusan Bersama/JMB atau Perbadanan Pengurusan/MC.

Skim ini akan dilaksanakan di beberapa kawasan perintis terlebih dahulu mulai bulan Jun 2010. Terdapat 620 pembangunan pangsapuri kos rendah yang belum melakukan migrasi. Ini merangkumi 168,479 unit kediaman.

Kos untuk memberi air percuma kepada pangsapuri-pangsapuri ini dianggarkan RM24,422,715.84 setahun.

Walau bagaimanapun, migrasi kepada meter individu mestilah dilakukan dengan segera untuk penyelesaian jangka panjang.


Y.B. Tuan Iskandar Abdul Samad
Exco/Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
21 April 2010

TIDAK BENAR JENTERA PAS TIDAK TURUN DI HULU SELANGOR!

Adalah tidak benar dakwaan sesetengah pihak bahawa jentera PAS tidak turun di Hulu Selangor.

Di antara parti-parti Pakatan Rakyat, PAS mempunyai Cawangan yang terbanyak di kawasan Parlimen itu. Sebagai sebuah jemaah Islam, PAS tidak hanya menubuhkan Cawangan-Cawangan di kawasan yang hendak ditandingi. Selain dari tanggung jawab politik terdapat tanggung jawab dakwah yang lebih penting. Oleh itu, selain kawasan DUN Hulu Bernam yang PAS tandingi dalam tahun 2008, PAS juga ada Cawangan-Cawangan di Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.

Menerusi Cawangan-Cawangan tersebut, PAS telah menyiapkan bilik-bilik gerakan mereka sebelum hari penamaan calon lagi.

Tetapi mungkin cara kempen yang berlainan dan persefahaman di antara parti yang menyebabkan kehadiran PAS tidak menonjol.

Pertama adalah kempen dari rumah ke rumah yang diberi lebih keutamaan. Ianya lebih efektif dari ceramah-ceramah yang kadang kala hanya menarik minat para penyokong sahaja. Oleh itu, tanpa ceramah-ceramah besar yang banyak maka tidaklah nampak jentera PAS sedang bekerja.

Kedua persefahaman di kalangan parti-parti bermakna hanya lambang-lambang PKR yang kelihatan. Sama ada yang dibawa oleh para petugas pilihanraya atau yang ada pada kenderaan-kenderaan.

Ahli-ahli PAS yang turun ke Hulu Selangor tidak membawa bendera PAS tetapi bendera PKR. Oleh itu, mereka tidak kelihatan sebagai jentera PAS tetapi kelihatan sebagai jentera PKR.

Oleh kerana kawasan Parlimen Hulu Selangor yang begitu luas, hampir sama luas dengan negeri Melaka, maka walaupun petugas-petugas yang turun ramai tetapi mereka diagih-agih ke setiap pelusuk kawasan pilihanraya ini. Ianya berbeza dari Permatang Pauh atau Kuala Terengganu yang kelihatan penuh sesak dengan aktiviti pilihanraya kerana kawasannya yang kecil.

Selain dari itu jarak Hulu Selangor yang begitu hampir dengan Lembah Kelang bermakna ramai petugas yang tidak bermalam. Mereka akan datang awal pagi atau selepas kerja dan pulang lewat malam. Maka pilihanraya kecil kali ini tidaklah nampak sesak sangat.

Oleh yang demikian, dakwaan bahawa jentera PAS tidak dikerahkan kerana kononnya kami mahukan kerusi ini atau sumbangan PAS di dalam kerajaan telah tidak dihargai adalah tidak tepat.

Soal calon juga tidak menimbulkan masalah. Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS telah merestui Dato' Zaid Ibrahim. Ahli-ahli PAS akan sentiasa patuh kepada arahan pimpinan mereka.

Iskandar A. Samad
21 April 2010

Saturday, April 17, 2010

UiTM untuk rakyat Selangor atau UiTM untuk YBK?

Akhbar hari ini melaporkan Yayasan Basmi Kemiskinan atau YBK akan menyaman dua orang ADUN. Nama mereka tidak disebut tetapi sudah tentu ADUN Selangor.

Nampaknya aktiviti utama YBK sekarang bukan untuk basmi kemiskinan tapi menyaman orang. Sebelum ini Menteri Besar Selangor, Exco-Exco Selangor dan Pentadbir Tanah Selangor diberitakan akan disaman. Kalau benar YBK hendak membasmi kemiskinan, buktikanlah! Kenapa perlu ke mahkamah?

Begitu juga dengan UiTM. Kalau benar UiTM untuk rakyat Selangor, teruskan pembinaan. Ada banyak tanah-tanah di Hulu Selangor yang boleh Kerajaan Negeri berikan.

Tetapi apabila UiTM tidak jadi dibina di Hulu Selangor dan hendak dibina di Melaka. Nampak sangat projek UiTM ini untuk kepentingan YBK semata-mata bukan untuk rakyat.

Iskandar A. Samad
17 April 2010

Thursday, April 15, 2010

BN SALAHGUNA JENTERA KERAJAAN DI BUKIT SENTOSA!

Gambar-gambar menunjukkan sebahagian dari anggota polis dan motorsikal-motorsikal polis yang hadir semasa satu program di Command Centre BN, Bukit Sentosa bagi pilihanraya kecil P.94 Hulu Selangor.

Saya tidak tahu pemimpin BN yang mana yang hadir tetapi gambar-gambar ini dirakam pada jam 4 petang, Khamis 15 April 2010.

BN memang pakar menyalahguna jentera kerajaan. Polis digunakan untuk program parti. Tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Sejak minggu lepas, Hulu Selangor telah dipenuhi dengan kenderaan agensi-agensi kerajaan Persekutuan yang menggunakan plet luar dari Selangor dan Wilayah Persekutuan. Kita pun tahu tujuan apa kehadiran mereka.

Pemimpin BN kata kerajaan negeri sedang berkampung di Kuala Kubu Baru. Sebenarnya ini bukan kali pertama Menteri Besar dan Exco-Exco bermesyuarat di luar Shah Alam. Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pernah diadakan di Sabak Bernam sebelum ini. Jadi tidak hairan jika ia diadakan di Kuala Kubu Baru kali ini.

Saya sendiri sejak menjadi Exco telah banyak kali sampai di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa untuk menyelesaikan masalah bumbung dan air. Jadi tidak perlulah dipolitikkan jika saya kerap ke sana sejak seminggu lepas.

NB : Rupa-rupanya program tadi adalah majlis pengumuman calon BN bagi P.94 Hulu Selangor. Program parti bukan program kerajaan.

Tuesday, April 13, 2010

SOALAN NO. 3 DARI YB ABDUL RANI OSMAN (MERU) YANG DIJAWAB OLEH YB ISKANDAR A. SAMAD, EXCO PERUMAHAN, PENGURUSAN BANGUNAN DAN SETINGGAN.

SOALAN NO.3, HARI KEDUA, PENGGAL KETIGA, SIDANG DUN SELANGOR KE 12.

TAJUK : PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI

a) Apakah masalah-masalah yang senarnya dihadapi oleh pembeli-pembeli rumah terbengkalai di Taman Desa Kencana di DUN Meru yang merana kerana menunggu terlalu lama dan di masa yang sama terpaksa membayar bulanan di bank-bank?

b) Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah ini?

c) Apakah langkah-langkah sesuai yang eprlu diambil oleh pihak pembeli khususnya di Desa Kencana untuk menyelesaikan kemelut yang telah lama melanda mereka?

JAWAPAN :

Projek Taman Desa Kencana adalah di antara projek-projek terbengkalai yang masih belum disiapkan sepenuhnya.

Buat makluman YB, masih terdapat 134 projek terbengkalai atau 48,539 unit setakat Januari 2010.

Pecahan menurut Pihak Berkuasa Tempatam adalah seperti berikut:

1. Majlis Perbandaran Klang – 28 projek atau 4,134 unit

2. Majlis Bandaraya Petaling Jaya – 7 projek atau 2,996 unit

3. Majlis Bandaraya Shah Alam – 17 projek atau 5,210 unit

4. Majlis Perbandaran Subang Jaya – 8 projek atau 8,786 unit

5. Majlis Perbandaran Ampang Jaya – 11 projek atau 2,949 unit

6. Majlis Perbandaran Kajang – 11 projek atau 4,150 unit

7. Majlis Perbandaran Selayang – 12 projek atau 2,310 unit

8. Majlis Perbandaran Sepang – 8 projek atau 3,941 unit

9. Majlis Daerah Kuala Selangor – 11 projek atau 7,218 unit

10. Majlis Daerah Hulu Selangor – 12 projek atau 5,955 unit

11. Majlis Daerah Kuala Langat – 9 projek atau 1,032 unit

12. Majlis Daerah Sabak Bernam – 1 projek atau 32 unit

Dari Mac 2008 hingga Januari 2010, jumlah projek terbengkalai yang telah berjaya disiapkan dan telah diserahkan kunci adalah 20 projek atau 7,779 unit.

Pecahan menurut Pihak Berkuasa Tempatan adalah:

1. Majlis Perbandaran Klang – 3 projek

2. Majlis Perbandaran Selayang – 3 projek

3. Majlis Daerah Kuala Selangor – 2 projek

4. Majlis Bandaraya Shah Alam – 2 projek

5. Majlis Perbandaran Subang Jaya – 2 projek

6. Majlis Bandaraya Petaling Jaya – 2 projek

7. Majlis Perbandaran Ampang Jaya – 1 projek

8. Majlis Daerah Kuala Selangor – 1 projek

9. Majlis Perbandaran Kajang – 2 projek

Berbalik kepada Meru, terdapat 3 lokasi projek terbengkalai yang dimaksudkan iaitu di :

1. Jalan Dusun

2. Jalan Kopi

3. Jalan Belimbing.


Setiap satu projek terdapat 35 hingga 38 unit kediaman.

Pemaju asal Binalif Sdn. Bhd. dan Hyrax Bina Sdn. Bhd.

Pemaju tersebut telah menghadapi masalah kewangan dan pengurusan projek.

Projek ini telah diletakkan di bawah Task Force Projek Terbengkalai di bawah YB Hulu Kelang.

Task Force ini telah mendapatkan sebuah kontraktor penyelamat iaitu Sama Sejati Sdn. Bhd.

Kontraktor ini telah mendapati pembeli-pembeli perlu menambah atau “top-up” RM25,000 hingga RM30,000 setiap unit.

Ini disebabkan kenaikan harga barang binaan sejak projek ini dilancarkan pada tahun 2008.

Kontraktor penyelamat telah bersetuju untuk menyiapkan projek di Jalan Belimbing dan akan mendapatkan “top-up” ini setelah projek itu siap.

Kemajuan setakat ini 85%.

Persetujuan ini juga telah dicapai bersama pembeli-pembeli.

Apabila projek ini siap, ia akan memberi keyakinan kepada pembeli bagi projek di Jalan Dusun dan Jalan Kopi untuk bersetuju kepada cara penyelesaian ini.

Ingin juga saya melaporkan di sini prestasi Task Force ini.

Syarikat-syarikat yang bekerjasama dengan Task Force ini sedang atau telah mengkaji 103 projek terbengkalai melibatkan 44,480 unit.

Dari jumlah itu, 25 projek atau 9,298 unit sama ada di bawah pemaju/kontraktor yang baru atau telah dimulakan semula.

Setakat ini, 396 unit dari 3 projek telah siap iaitu Saujana Putra, Ukay Bistari dan Puncak Jalil.

Untuk tahun ini, 2,400 unit dijangka akan disiapkan tahun ini.

Jelas di sini bahawa, cara penyelesaian projek terbengkalai adalah menerusi beberapa cara iaitu,

1. Pemantauan rapi

2. Task Force Projek Perumahan Terbengkalai

3. Pengambilan alih atau rampasan tanah seperti di Bukit Botak dan Alam Perdana

Berbalik kepada soalan asal Meru, apa yang boleh dilakukan oleh pembeli untuk menyelesaikan masalah mereka atau meringankan beban mereka.

Mereka boleh berbincang dengan kontraktor penyelamat.

Kerajaan Negeri Selangor menerusi Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor boleh mengeluarkan surat mengesahkan projek perumahan terbengkalai supaya pembeli boleh menstrukturkan semula pinjaman mereka.

Jika terdapat pembeli yang telah senarai hitam oleh bank-bank kerana berhenti membayar ansuran pinjaman, satu cara adalah bagi pemaju penyelamat membeli balik rumah-rumah mereka supaya pembeli terkeluar dari senarai hitam.

Bagi yang tidak mendapat pinjaman bank, kerajaan negeri telah mengenalpasti bank-bank tertentu yang boleh menguruskan pinjaman bagi mereka yang tidak mempunyai slip gaji seperti penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri
.
Pinjaman di bawah skim ini boleh juga dilanjutkan sehingga 65 tahun.

Bagi yang umurnya telah lanjut pinjaman 2 generasi boleh juga ditawarkan.


Projek Desa Kencana yang terbengkalai ini dan projek-projek terbengkalai lain memerlukan lebih RM5 bilion untuk memulihkannya.

Buat masa ini, pemulihan adalah secara “self-financing” yang dibiayai oleh sector swasta.

Kerajaan negeri belum lagi membiayai secara langsung pemulihan projek-projek terbengkalai.

Tetapi anak syarikat negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sedang terlibat di dalam memulihkan projek terbengkalai Selayang Mutiara atau Bukit Botak.

13 April 2010

Sunday, April 11, 2010

BN BAGAI ORANG YANG SETELAH BERCERAI BARU HENDAK BERTANYA KHABAR ANAK-ANAK

BN adalah bagaikan seorang suami yang tidak bertanggunjawab yang hanya setelah bercerai baru hendak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak.

Hanya setelah kehilangan kuasa BN hendak menunjuk-nunjuk kononnya mereka prihatin terhadap nasib rakyat negeri Selangor.

Walau bagaimanapun pentadbiran BN sebelum ini dipenuhi dengan penyelewengan, penindasan dan salahguna kuasa.

Mereka sering mendakwa terdapat masalah-masalah yang gagal diselesaikan atau ditangani oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Tetapi pada hakikatnya BN yang menjadi punca kepada masalah-masalah tersebut. Ataupun BN yang telah diberi peluang memerintah negeri Selangor begitu lama telah gagal menyelesaikan masalah-masalah itu.

Saya hairan apabila ada pemimpin BN yang menyalahkan kerajaan Pakatan kerana gagal menyelesai sesuatu masalah dalam masa 2 tahun walhal masalah itu telah wujud sejak bertahun-tahun di zaman mereka.

Perangai BN sama seperti suami tadi yang selepas bercerai sibuk bertanya kenapa anak-anaknya tidak lulus periksa atau selalu ponteng sekolah. Walau bagaimanapun, sebelum bercerai beliau tidak memperdulikan anak-anaknya atau mereka menjadi begitu akibat sikap cuai beliau.

ADUN BN Batang Kali telah mengkritik kerajaan Pakatan Rakyat kerana gagal membantu penduduk Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa yang bumbung pangsapuri mereka telah rosak teruk. Walau bagaimanapun penduduk telah menanggung masalah ini sejak zaman BN lagi.

Apa yang BN telah lakukan ketika mereka memerintah? Kenapa setelah kehilangan kuasa mereka hendak menunjuk-nunjuk mereka prihatin?

Di dalam kes bumbung ini, untuk peringkat awal kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah membaikpulih 2 blok dengan kos RM400,000. Tetapi sebelum sempat kerajaan negeri meneruskan perancangannya, Perdana Menteri yang merasakan dirinya tercabar di atas kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat telah mengumumkan akan membaikpulih kesemua bumbung-bumbung yang rosak itu.

Iskandar A. Samad
Timbalan Pesuruhjaya II
PAS Negeri Selangor
11 April 2010

Thursday, April 8, 2010

LAWATAN KE KAFA INTEGRASI BUKIT SENTOSA, HULU SELANGOR 8 APRIL 2010.

Lawatan telah diadakan untuk meninjau keperluan sekolah tersebut yang terletak di sebelah Masjid As-Salam.

Sekolah dua sessi itu mempunyai 1400 orang pelajar. Satu bangunan tambahan telah diluluskan oleh JAIS untuk dibina.

RAKYAT YANG BERILMU AKAN TOLAK BN

Peningkatan kesedaran Islam turut akan menjadi faktor penentu kepada kemenangan Pakatan Rakyat di Hulu Selangor.

Selangor di bawah Pakatan Rakyat telah menyuburkan budaya ilmu di kalangan masyarakat Islam dengan menyediakan peluang-peluang bagi mereka untuk menambah ilmu pengetahuan. Masjid-masjid dan surau-surau giat menganjurkan majlis-majlis ilmu seperti kuliah, tazkirah dan forum. Ia menjadi pusat ilmu.

Apabila rakyat menjadi semakin berilmu mereka akan dapat menilai dengan tepat pemimpin yang paling layak untuk memimpin mereka.

Contohnya Al-Quran mengajar umat Islam bahawa Yahudi akan sentiasa memusuhi umat Islam maka umat Islam yang memahami hakikat ini akan menolak mana-mana pemimpin yang bersekongkol dengan Yahudi.

Dengan kesedaran terhadap aspek-aspek kerohanian ini maka rakyat juga akan menolak mereka yang mengamalkan budaya rasuah dan salahguna kuasa.

Walau bagaimanapun, UMNO dan Barisan Nasional mahu rakyat terus jahil. Apabila rakyat jahil maka senanglah mereka diperbodoh-bodohkan.

Ketika pemerintahan Barisan Nasional di Selangor, program-program di masjid dan surau tidak sebanyak sekarang. Ramai penceramah-penceramah disekat dan dihalang.

Tetapi apabila Dato Hasan Mohd. Ali dari PAS dilantik menjadi Exco menjaga hal ehwal agama Islam, masjid dan surau telah kembali menjadi tempat tumpuan masyarakat. Khutbah-khutbah Jumaat juga menjadi lebih bertenaga dan sidang Jumaat tidak mengantuk seperti dulu.

Iskandar A. Samad
Timbalan Pesuruhjaya II
PAS Negeri Selangor
8 April 2010

Saturday, April 3, 2010

PROGRAM PEMBANGUNAN DAN KEBAJIKAN WANITA 4 APRIL DI SEKOLAH KAFA INTEGRASI AR-RAHMANIAH, TAMAN DAGANG FASA 2A, AMPANG.

Ada dialog isu wanita, pameran dan peraduan mewarna kanak-kanak.

Anjuran JKP Zon 15 pimpinan Ahli Majlis MPAJ, Tuan Haji Nik Mohd. Zain Mohammad.

Selain merasmikan program, saya telah merasmikan pejabat pusat khidmat komuniti dan melepaskan anak-anak ikan untuk kolam Surau Ar-Rahmaniah.