Sunday, March 28, 2010

Borang Permohonan Rumah Kos Rendah RM2 Bukan RM300.

Borang permohonan untuk membeli rumah kos rendah adalah hanya RM2 sekeping. Oleh itu, saya amat terkejut apabila menerima aduan bahawa terdapat mereka yang menawarkan borang-borang tersebut dengan harga setinggi RM300. Saya menasihatkan mereka yang ditawarkan borang-borang itu lebih tinggi dari harga yang sebenar agar membuat laporan Polis atau melaporkanya terus kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor di Shah Alam.

Borang-borang itu boleh didapati dari Lembaga Perumahan atau dari mana-mana Pejabat Daerah. Kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana agen untuk mengedarkan borang-borang tersebut. Kerajaan negeri juga tidak melantik mana-mana pihak untuk memproses sebarang permohonan. Semua permohonan akan diproses oleh Lembaga Perumahan. Oleh itu, dakwaan bahawa ada pihak yang boleh membantu mendapatkan kelulusan untuk membeli rumah kos rendah adalah tidak benar.

Rumah-rumah kos rendah dibina oleh pemaju tetapi mereka tidak boleh menjualnya terus kepada sesiapa sahaja. Mereka yang hendak membeli rumah kos rendah mesti mendaftar dengan Lembaga Perumahan dengan menyata lokasi yang hendak dibeli.Hanya mereka yang layak akan dibenarkan membelinya. Peraturan ini perlu kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi rumah-rumah kos rendah terutamanya bagi kawasan-kawasan seperti Ampang dan Petaling Jaya. Terdapat senarai menunggu atau "waiting list" yang panjang bagi kawasan-kawasan tersebut.

Ianya juga untuk mengelakkan penyelewengan di mana mereka yang tidak layak dapat membeli rumah-rumah kos rendah.Hanya mereka berpendapatan isi rumah kurang dari RM2,500 sebulan layak membeli rumah.

Untuk memudahkan borang-borang itu diperolehi oleh rakyat, saya akan mengarahkan Lembaga Perumahan mengedarkan borang-borang itu juga kepada pihak berkuasa tempatan. ADUN-ADUN adalah juga dinasihatkan membeli borang-borang itu dan meyimpannya di pusat khidmat mereka.

Iskandar Abdul Samad
Exco/Pengerusi Tetap Jawatankuasa
Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
23 Mac 2010

Wednesday, March 17, 2010

TINDAKAN MESTI DIAMBIL KE ATAS SETINGGAN WARGA ASING

Kerajaan Negeri Selangor menafikan bahawa polisi berunding dengan penduduk setinggan sebelum melakukan perobohan telah mengakibatkan penempatan-penempatan setinggan warga asing di negeri ini tidak terkawal. Terdapat tuduhan yang mengatakan kawasan-kawasan tersebut merupakan punca kepada kegiatan-kegiatan jenayah.

Saya ingin menjelaskan di sini bahawa pengecualian perobohan untuk rundingan hanyalah untuk rumah kediaman warganegara Malaysia yang dibina sebelum Jun 2008. Oleh itu, penempatan setinggan warga asing tidak dikecualikan dari tindakan perobohan.

Perobohan penempatan-penempatan warga asing telah dilaksanakan seperti di Ampang dan Petaling Jaya.

Kerajaan negeri amat prihatin terhadap kebajikan rakyat tetapi tidak akan membiarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan.

Pihak-pihak berkuasa tempatan sedia maklum akan tindakan yang perlu diambil ke atas semua penempatan-penempatan warga asing.

Mereka mesti mengambil tindakan segera ke atas sebarang usaha untuk mewujudkan penempatan baru.

Adalah lebih rumit untuk mengambil tindakan sekiranya sebuah kampung telah terbina tetapi tindakan mesti diambil juga.

Iskandar A. Samad
Exco/Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
17 Mac 2010

Tuesday, March 16, 2010

BERSAMA-SAMA SEBAHAGIAN DARI PENERIMA-PENERIMA SUMBANGAN TAHUN BARU CINA DARI DUN CHEMPAKA

RM1.6 JUTA UNTUK BAIK PULIH LIF DI 3 KAWASAN RUMAH KOS RENDAH

Pada majlis kesyukuran sempena lawatan tapak ke kawasan pangsapuri kos rendah Taman Ampang Mewah 5 Mac lepas, saya telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan membaik pulih lif di 3 kawasan rumah kos rendah.

Selain dari Taman Ampang Mewah di Ampang, dua lagi kawasan adalah Desa Mentari di Petaling Jaya dan Taman Permai Indah di Klang.

3 kawasan ini merupakan sebahagian dari 5 kawasan rumah kos rendah yang akan dibaiki bagi fasa pertama. 5 lagi kawasan akan dibaiki untuk fasa kedua.

Kerja-kerja membaik pulih untuk 3 kawasan itu akan bermula pada bila-bila masa. Kontraktor-kontraktor telah dilantik dengan kos melebihi RM1.6 juta.

Monday, March 15, 2010

ARKED MARA DI KULAI

Dulu namanya Arked Mara tapi sekarang D'Mara. Ia memberi peluang kepada orang-orang Melayu untuk berniaga di bandar-bandar besar yang sewanya mahal. Tapi di banyak pembangunan-pembangunan baru telah tidak kelihatan lagi D'Mara. Terpaksa orang-orang Melayu berniaga di tepi-tepi jalan. Dihambat dan dihalau sesuka hati. Bagaikan anjing kurap.

IDRIS DAN ISMAIL DI KULAI 6.45 PAGI

Saturday, March 13, 2010

UMNO MASUK PAS: MODAL ORANG BANKRAP POLITIK

Isu orang PAS masuk UMNO adalah isu lapuk yang hanya dibangkitkan oleh mereka yang mengamalkan politik yang bankrap demi 'political survival' mereka. Ianya hanya bagi yang telah kehabisan modal atau putus harapan.

Bagi UMNO yang telah ditolak rakyat amat penting bagi mereka jika rakyat mempercayai bahawa ada orang PAS yang hendak masuk UMNO atau sekurang-kurangnya PAS hendak bekerjasama dengan UMNO. Ianya diharapkan dapat memulihkan imej UMNO atau mengembalikan kredibiliti parti itu. Hakikatnya UMNO mahu menumpang imej PAS yang bersih untuk turut nampak bersih. Orang jahat perlu berkawan dengan orang baik untuk turut nampak baik.

Mereka yang terus membangkitkan isu orang PAS hendak masuk UMNO atau PAS hendak bekerjasama dengan UMNO sebenarnya sedikit sebanyak membantu UMNO. Tidak kiralah jika ia dilakukan secara sedar atau tidak sedar. Atau dilakukan oleh orang-orang PAS sendiri.

Mungkin membangkitkan isu PAS masuk UMNO ini adalah cara yang paling mudah untuk mendapatkan publisiti. Untuk masuk suratkhabar.

Tambahan pula jika ada berita pemimpin PAS ini dan itu akan masuk UMNO atau ada yang mencabar pemimpin PAS masuk UMNO, lagi senang nama hendak keluar suratkhabar. Mungkin ini peluang yang tidak akan dilepaskan oleh mereka yang gila glamour.

Di Selangor, isu PAS masuk UMNO sepatutnya telah lama berkubur. Walaupun sejurus selepas keputusan PRU 12, Khalid Samad dan Dato' Hasan Ali ada bertemu pimpinan UMNO tetapi dengan penubuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, tidak ada sebab bagi sesiapa untuk masuk UMNO. Hanya orang yang tidak siuman akan mendakwa Khalid atau Dato' Hasan akan memasuki UMNO. Lebih-lebih lagi Dato' Hasan, seorang Exco. Keluar kerajaan dan jadi pembangkang, sesuatu yang langsung tidak masuk akal!

Tuduhan orang PAS akan masuk UMNO adalah satu tuduhan yang berat. Mungkin orang luar malah ada orang-orang PKR atau DAP yang tidak faham akan implikasi tuduhan seperti itu. Saya ingin mengingatkan kepada mereka bahawa kepada orang PAS tuduhan untuk keluar PAS adalah seolah-olah sama seperti tuduhan untuk keluar dari Islam. Oleh itu, saya memberi amaran berhati-hatilah di dalam membuat tuduhan.

Pembunuhan orang-orang PAS seperti di Memali dan Lubuk Merbau serta pembunuhan pemimpin PAS seperti Abdul Samad Gul dan Cikgu Tahrin telah menutup hati orang-orang PAS terhadap UMNO.

Wednesday, March 10, 2010

SYABAS : PENDUDUK DIHUKUM, PEMAJU TERLEPAS.

Saya kerap mendapat aduan dari penduduk pangsapuri yang telah dipotong bekalan air oleh Syabas kerana terdapat bil-bil yang tertunggak.

Kadang kala ianya berlaku bukan akibat dari kesalahan penduduk semata-mata kerana bil-bil tersebut adalah yang ditinggalkan oleh pemaju.

Apabila penduduk mengambil alih pentadbiran pangsapuri mereka seperti dengan penubuhan JMB, mereka kadang kala menerima bil air tertunggak yang tidak dibayar oleh pemaju.

Penduduk pula tidak dibenarkan membuka akaun baru dengan Syabas sehingga bil tertunggak itu dibayar sepenuhnya.

Terdapat penduduk yang mendapat bil berpuluh-puluh ribu ringgit dan bekalan air mereka akan dipotong jika mereka tidak membayar bil itu.

Syabas sepatutnya menuntut bil tersebut dari pemaju bukan dari penduduk. Penduduk pula mesti dibenarkan membuka akaun yang baru.

Mungkin penduduk juga bersalah kerana tidak membayar air yang diguna kepada pemaju dan pemaju seterusnya tidak membayar kepada Syabas. Tetapi pemaju juga bersalah kerana gagal memungut hutang dari penduduk.

Syabas patut membawa pemaju ke mahkamah untuk menuntut hutang dari mereka. Pemaju pula akan menuntut hutang dari penduduk.

Ini adalah lebih adil kerana mereka yang selama ini membayar bil-bil air mereka tidak akan dihukum dengan pemotongan bekalan air. Tambahan pula jika bil yang dituntut itu termasuk air yang digunakan oleh pemaju dan bukan oleh penduduk semata-mata. Rekod-rekod adalah pada pemaju maka penduduk akan terus teraniaya.

Pertukaran dari meter pukal ke meter individu atau migrasi pula akan melihat pemotongan bekalan hanya untuk mereka yang tidak membayar bil-bil mereka. Ini adalah lebih adil tetapi proses migrasi ini adalah terlalu lambat. Masih beribu-ribu penghuni perumahan berstrata masih menunggu migrasi dilakukan oleh Syabas. Migrasi ini juga membolehkan penduduk mendapat air percuma di bawah skim Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES.

Kerajaan negeri telah mencadangkan kepada Syabas agar tunggakan di meter pukal tidak perlu dibayar sekali gus jika penduduk mahu membuat migrasi. Penduduk mesti dibolehkan membayar secara ansuran.

Walau bagaimanapun jika bil-bil tunggakan ini dari ketika pangsapuri itu diuruskan oleh pemaju, Syabas mesti menuntut dari pemaju bukan dari penduduk dan membenarkan penduduk membuka akaun-akaun baru untuk meter individu mereka.

Syabas sekarang dilihat takut untuk menuntut bil-bil dari pemaju dan menuntut dari penduduk kerana penduduk boleh diugut dengan pemotogan bekalan dan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membawa kes mereka ke mahkamah.

Iskandar A. Samad
Exco/Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
11 Mac 2011