Saturday, September 26, 2009

Selcat lagi ......

Seperti kenyataan saya yang disiarkan oleh NST dan Malaysian Insider,
isu Selcat ini merupakan permainan media-media BN.

Isunya kecil sahaja. Dato' Hasan Ali tegur Selcat. Membuat beberapa
cadangan. So what? Nak melenting buat apa? Tegur pun tak boleh ke?
Pemimpin DAP pun ada mengkritik polisi kerajaan negeri Selangor secara
terbuka tetapi tidak pula ia dibesar-besarkan. Mungkin BN tahu DAP
lebih padu dari PAS. Tidak mudah dipecah-pecahkan.

Sepatutnya isu ini sudah dapat dimatikan dua tiga hari lepas tapi
berlaku sambut menyambut, sahut menyahut, hentam menghentam, belasah
membelasah dan bantai membantai.

Dalam seminggu dua lagi isu ini mungkin hilang. Hilang sebab
akhbar-akhbar tidak lagi menyiarkannya lagi. Mungkin ada isu baru.
Mungkin ada bencana alam di mana-mana. Mereka menghidupkan isu, mereka
mematikan isu. Kita hanyalah biji-biji dam di atas papan yang ditolak
sesuka hati. Yang pandai, yang bodoh, yang pintar, yang pekak, semua
tidak terkecuali.

Saya tahu, Allahyarham bapa saya orang surat khabar. Lebih 30 tahun
bersama Utusan Melayu. Mereka bukan bodoh. Bila satu isu dilontar,
mereka tahu siapa yang senang diumpan, siapa yang akan melenting dan
siapa yang akan melompat. Mereka tahu berapa lama satu isu patut
dimainkan. Nyamuk dijadikan gajah. Yang gajah pula dijadikan dinasour.

Kita tidak tahu kesan isu Selcat kepada rakyat. Bukan sahaja rakyat di
Shah Alam dan Klang tetapi juga rakyat di Sg. Besar dan Sg. Air Tawar.
Perlu ada survey jika hendak tahu. Bukan survey di bandar sahaja.
Bukan survey 10 atau 20 orang sahaja. Tapi survey yang menyeluruh,
barulah kita boleh bercakap.

Isu datang dan pergi. Orang surat khabar akan mengaut untung. BN akan
terus mengharap. Tapi kita akan tetap terus di sini. Berjumpa,
bermesyuarat dan cuba bekerja bersama. Ada yang terlajak cakap, kita
semua akan menanggung padahnya. Letak jawatan. Hadapkan kepada Selcat.
Tidak ada rasa hormat lagi. Lebih percaya kepada orang luar dari
pimpinan sendiri. Bagikan lebih percaya kepada kawan dari bapa
sendiri. Ada di antara kita yang lupa mereka ahli parti. Jika pimpinan
ditelanjangkan di khalayak ramai, parti juga akan mendapat malu.
Bagaikan ibu bapa dilondehkan, anak-anak pun malu juga. Ada orang luar
bersorak. Ada di antara kita yang turut bersorak sama. Kadang ada di
antara kita yang lebih ghairah dari orang luar. Bagaikan Pak Kadok
yang menang bersorak tetapi kampung habis tergadai.

iskandar56100.blogspot.com
27 September 2009

Friday, September 25, 2009

From JFK International Airport, New York.

From: Diplomat Walter James
JFK International Airport, USA
Tel: +2127846013
Email:nationaldiplomatss@megamail.pt

Urgent Attention,

I am a Diplomat Walter James. Mandated to deliver your inheritance to you in your country of residence. The funds total US$6.4 Million where package in two box and you were made the beneficiary of these funds by a benefactor Mallam Sanusi Lamido Sanusi the newly appointed Governor Central Bank of Nigeria.

I am presently at JFK International Airport here in the United States of America and before I can deliver the package (funds) to you, you have to reconfirm the following information so as to ensure that I am dealing with the right person.

1. Full Name
2. Residential Address
3. Age
4. Occupation
5. Direct Telephone Numbers
6. A Copy of Your Identification.

After verification of the information with what I have on file, I shall contact you so that we can make arrangements on the exact time I will be bringing your package to your residential address. Send the requested information so that we can proceed by calling me on my cell phone: +12127846013 or E-mail me on: nationaldiplomatss@megamail.pt.

Regards

Mr. Walter James
Diplomat
JFK International Airport, New York
Tel: +2127846013

Thursday, September 24, 2009

Beraya di Terengganu Pt. 3

Pagi tadi dapat call, katanya dari Ketua Penerangan PAS Kawasan Besut.
Dia membaca blog ini dan mendapati saya berada di Besut. Tidak
disangka ada orang sejauh Terengganu yang membaca blog saya. Beliau
menjemput saya ke majlis Hari Raya PAS Kawasan Besut pagi tadi. Yang
Dipertuanya turut menghantar SMS menjemput saya.

Di sana berjumpa dengan Dr Mujahid Yusuf Rawa yang isterinya juga
orang Besut. Beliau juga bertanya tentang isu Selcat dan berharap
dapat diselesaikan segera.

Saya menyatakan pendirian saya bahawa ianya non-issue. Tetapi teori
lebih senang dari praktikal.

Selepas majlis terus ke bandar Jerteh dan singgah di kedai nasi
kandar. Mula-mula hendak makan roti canai tetapi anak saya yang Tahun
1 berkata, 'Telur dia tak basuh'. Memang benar, telur-telurnya
bersalut tahi ayam. Menjijikkan, tangan yang memegang tahi akan
menguli tepung. Jadi kami makan nasi. Walau bagaimanapun ketika kami
hendak balik, sebakul telur-telur yang telah dibasuh bersih dibawa
dari dapur.

Nasi kandarnya boleh tahan. Setanding nasi kandar Tanjung. Tetapi
sayang, nasi yang di'tapau' dibungkus dengan surat khabar Cina. Tidak
kira Cina, Melayu, India atau Inggeris, kadang-kadang ada yang suka
membaca surat khabar di dalam tandas. Bayangkan surat khabar itu akan
digunakan untuk membalut nasi kandar atau nasi lemak. Sanggupkah anda
makan?

Jerteh sibuk hari ini. Tetapi mungkin tidak sesibuk wartawan politik
ketika isu Selcat masih panas.

Ada akhbar melapurkan Dato' Hasan Ali cuba menjadi juara. Kalau Dato'
Hasan dan PAS tidak memperjuangkan nasib orang Islam, siapa lagi?
Kenapa membiarkan UMNO mengambil kesempatan?

Malang sekali kita berada di dalam zaman di mana tidak lagi
'fashionable' memperjuangkan isu-isu Melayu-Islam. Sesiapa yang
bercakap tentang isu Melayu-Islam dicap sebagai UMNO atau mahu
menubuhkan kerajaan perpaduan. Walhal DAP juga bercakap tentang isu
orang Cina dengan bebas. PKR juga bercakap tentang isu orang India.
Tetapi kita hendak menyekat diri kita sendiri. Pelik.

Wednesday, September 23, 2009

Beraya di Terengganu Pt. 2

Pada saya isu ini sengaja dimainkan oleh media-media BN bertujuan
untuk menggugat Kerajaan Pakatan Negeri Selangor. Jangan marahkan
mereka, itu tugas mereka. Media Pakatan atau pro Pakatan pun melakukan
yang sama terhadap BN.

Mereka cuba menggambar Exco-Exco berpecah. Dato' Hasan duri dalam
daging Kerajaan Pakatan. Sedang berlaku perebutan kuasa di antara MB
dan Speaker. Ini perkara biasa bagi akhbar-akhbar. Itu sebabnya
mungkin Dato' Seri Anwar Ibrahim pernah berkata beliau tidak pernah
risau sebab beliau tidak membaca Utusan Malaysia dan The Star.

Yang salah kita, yang menyambar umpan media-media itu. Macam-macam
ada. Malah ada ahli Parlimen bukan PAS yang mahu Dato' Hasan
ditukarkan dari jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor. Mungkin
beliau menyangka beliau lebih besar dari Presiden PAS atau
saudara-mara beliau yang melantik Dato' Hasan.

Kita janganlah jadi ikan keli di kolam yang apabila dicampak perut
ayam terus menyambar atau beruk di sarkis apabila diumpan pisang maka
melompat-lompatlah ia.

Bercerita tentang beruk, teringat tentang beruk pemanjat kelapa di
kampung isteri saya. Tuannya akan membawanya keliling kampung dengan
motosikal. Mereka mengambil upah memetik buah kelapa. Walaupun seekor
beruk tetapi ia pandai memilih buah mana yang perlu dipetik. Ia tidak
memetik sesuka hati. Kita pun perlu bijak seperti beruk tersebut.

Beraya di Terengganu

Akhirnya kami sampai di Besut jam 5.15 petang tadi. Anak-anak gembira sebab
bukan selalu dapat balik berjumpa nenek mereka, mak mertua saya.

Sebenar kami sekeluarga bertolak jam 6 petang semalam setelah 2 hari
beraya di Pandan Indah dan Keramat, kampung saya. Tetapi sebab terlalu
penat kami telah bermalam di sebuah hotel di Kuala Lipis. Jam 10.30 pagi tadi
bertolak semula. Jangka hendak bertolak awal tapi kena menjawab emel dan
update blog. Banyak isu-isu panas hari ini.

Kuala Lipis atau Lipis sahaja memang indah. Dengan sungai dan
hutannya, ianya mempunyai potensi sebagai pusat tarikan pelancongan.
Di hotel yang kami bermalam terdapat beberapa Mat Salleh yang turut
tinggal.

Semasa saya minat 'jungle treking' masa muda-muda dulu, ada cita-cita
hendak meredah hutan di Lipis.

Lipis juga pernah menjadi ibu negeri Pahang. Ketika itu sungai
merupakan penghubung utama bandar-bandar di Tanah Melayu bagaikan
lebuh raya tetapi tidak ada tol. Yang ada mungkin lanun-lanun sungai
yang memeras ugut seperti lanun-lanun lebuh raya yang turut menuntut
bayaran.

Tetapi sungai telah tercemar dengan sisa toksik dan ramai orang Melayu
sudah kehilangan tanah.

Jadi kami bertolak jam 10.30 tetapi terpaksa singgah di klinik
kerajaan Gua Musang jam 1 kerana anak perempuan saya yang Tahun 3 susah hendak
bernafas kerana lelah. Berpusing kami di sekeliling Gua Musang mencari
klinik swasta tetapi satu tutup, Klinik Dr Ramli dan satu penuh,
Klinik Raju. Alhamdulillah klinik kerajaan lengang dan teringat hendak
membawa surat beranak anak. Maka selepas 'puffing', perjalanan
diteruskan.

Ketika perjalanan tadi, mendapat dua panggilan tentang isu yang sedang
panas. Isu Dato' Hasan Ali menegur Selcat. Pada saya ianya 'non
issue'. Apa salahnya menegur Selcat? Ahli-ahli Selcat manusia biasa
bukan Tuhan. Nabi Muhammad SAW pun pernah ditegur sahabat. Adakah
Pengerusi Selcat merasakan dirinya lebih besar dari Nabi?

Lagipun teguran itu tidak akan menumbangkan kerajaan negeri.
Semata-mata untuk mengukuhkan kerajaan melalui penambah baikan yang
dicadangkan. (Bersambung)

Tuesday, September 22, 2009

Kebebasan bersuara di dalam Pakatan Rakyat?

Saya amat terkejut apabila ada pihak yang begitu marah apabila Exco Selangor Dato' Hasan Ali membuat teguran tentang Selcat. Saya tidak ingin menyenaraikan nama mereka yang marah atau secara terperinci teguran-teguran itu kerana ianya tersebar luas di dalam akhbar-akhbar. Tetapi saya terkejut kerana Pakatan Rakyat mendokong kebebasan bersuara tetapi ada pemimpin-pemimpinnya yang cuba menyekat Dato' Hasan dari bersuara. Kenapa kita menjadi cakap tidak serupa bikin?

Kita kerap mengkritik UMNO dan Barisan Nasional kerana tidak memberi hak kebebasan bersuara atau menegur kepada pemimpin atau ahli-ahlinya. Tetapi sekarang nampaknya kita sudah hendak menjadi seperti UMNO dan Barisan Nasional kerana kita juga hendak mengamalkan polisi sekat-menyekat ini. Sesiapa yang bersuara akan dicap sebagai hendak menubuhkan kerajaan perpaduan atau bercita-cita hendak menjadi Menteri Besar.

Juga saya terkejut di dalam isu Selcat ada yang menganggap bahawa ianya sudah "perfect". Ingin saya ingatkan di sini bahawa hanya Allah SWT sahaja yang "perfect". Dalam satu Muktamar Agung PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang pernah di dalam ucapan penangguhan berkata bahawa terdapat pepatah Arab yang bermaksud, "Apabila kita merasakan sesuatu itu sudah lengkap, maka tunggulah saat kehancuran".

Kita tidak boleh menjadi angkuh sehingga merasakan sesuatu yang kita buat itu tidak ada cacat celanya. Kerana kita akan jadi seperti UMNO dan Barisan Nasional jika berpendapat begitu.

Kerajaan Negeri Selangor pada November 2008 telah menurunkan sewa rumah PPR bagi golongan tertentu. Tetapi kita terus mendapat bantahan dan tuntutan agar sewa untuk lebih ramai golongan diturunkan. Kerajaan Negeri tidak menutup telinga kami terus mendengar kepada rakyat. Akhirnya bulan lepas lebih ramai golongan telah diberikan penurunan sewa.

Berbalik kepada Dato' Hasan, saya menyokong penuh kepada hak beliau untuk memberi pandangan. Saya berdiri teguh di belakang kempimpinan beliau di negeri Selangor. Begitu juga dengan beratus-ribu ahli PAS yang telah memberikan undi kepada bukan sahaja PAS tetapi PKR dan DAP. Mereka ada di mana-mana, dari Sg. Pinang ke Taman Medan, dari Kajang ke Bukit Melawati.

Amaran Kepada Syarikat-Syarikat Pengurusan Bangunan


Saya memberi amaran keras kepada syarikat-syarikat pengurusan bangunan agar jangan mengugut penduduk pangsapuri-pangsapuri. Saya mendapat aduan bahawa terdapat syarikat-syarikat pengurusan yang telah memberi amaran akan mengambil tindakan mahkamah terhadap penduduk jika mereka mendedahkan kegagalan syarikat-syarikat itu melaksanakan tanggung jawab mereka.
Nama pengarah syarikat-syarikat tersebut akan diedarkan kepada semua pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akan dipamerkan agar orang ramai dimaklumkan akan nama-nama mereka yang tidak bertanggung jawab itu. PBT-PBT tidak boleh melantik syarikat yang mempunyai pengarah yang telah disenarai hitam.

PBT juga telah diarah untuk membantu sehingga penduduk dapat menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Board (JMB) yang akan mengendalikan pengurusan sesebuah pembangunan. Hanyalah apabila satu jawatankuasa tidak dapat ditubuhkan maka PBT boleh melantik syarikat pengurusan untuk menguruskan pembangunan itu.

Pada 17 September lepas saya telah menghadiri majlis berbuka puasa di Surau An-Nur, Pangsapuri Seri Chempaka, Bukit Sentosa. Saya amat terkejut kerana kami terpaksa berbuka puasa dikelilingi oleh rumput-rumput setinggi hampir 3 kaki. Saya diberitahu bahawa penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada syarikat pengurusan tetapi mereka enggan mengambil tindakan. Oleh itu saya ingin menasihatkan kepada syarikat pengurusan tersebut agar segera membetulkan keadaan atau pengarah-pengarah mereka akan disenarai hitam.

Pada majlis tersebut saya telah menyerahkan secara resmi sijil-sijil JMB kepada 2 pembangunan iaitu blok-blok Chempaka dan Kenanga di Taman Bunga Raya. Saya berharap bagi pembangunan yang memenuhi syarat-syaratnya, lebih banyak JMB akan dapat ditubuhkan di Bukit Beruntung. Hanyalah dengan adanya JMB penduduk akan dapat mentadbir dengan sepenuhnya blok-blok mereka.

Monday, September 21, 2009

Bukit pun hendak hendak memberitahu kita sesuatu......

Pada pagi Jumaat lepas, ketika ramai umat Islam sedang bersiap-siap untuk balik beraya di kampung, garis panduan pembangunan di tanah tinggi Kerajaan Negeri Selangor telah dibentangkan kepada para pemaju, profesional, NGO dan sesiapa sahaja yang berminat.

Pada bulan April tahun lepas, Kerajaan Negeri telah melarang sebarang pembangunan di tanah-tanah kelas 3 dan 4. Tanah kelas 3 adalah yang mempunyai kecerunan 25 darjah hingga 35 darjah. Sementara kelas 4 adalah yang 35 darjah ke atas.

Keputusan itu telah dibantah oleh pemaju-pemaju yang berkata teknologi masa kini membolehkan mereka membina di mana-mana dengan selamat. Tetapi tiba-tiba berlaku tanah runtuh di Bukit Antarabangsa beberapa hari sebelum Hari Raya Aidil Adha. Beberapa nyawa telah terkorban. Maka redalah sedikit bantahan-bantahan itu.

Tetapi Kerajaan Negeri sentiasa mendengar kepada pandangan semua pihak. Pemaju berkata mereka rugi kerana tanah yang mereka beli tidak dapat dimajukan. Terdapat kes-kes di mana peratusan tanah kelas 3 dan 4 adalah kurang dari 10 peratus, oleh itu tidak adil bagi seluruh tanah tersebut dihalang dari dibangunkan.

Oleh itu, garis panduan tersebut telah dihasilkan, Ianya bukan bermakna Kerajaan Negeri telah tunduk kepada tekanan para pemaju. Apa yang dibentangkan adalah garis panduan terperinci. Ini tidak bermakna pembangunan boleh dilakukan tanpa kawalan. Kawalan masih ketat.

Selari dengan semangat keterbukaan Pakatan Rakyat, garis panduan ini telah dibentangkan kepada mereka yang berkepentingan. Garis panduan ini belum muktamad. Kerajaan Negeri masih menerima pandangan-pandangan dari mana-mana pihak. Malah beberapa lagi sesi pembentangan akan diadakan.

Pada pembentangan hari Jumaat itu, wakil-wakil penduduk dari Bukit Antarabangsa telah hadir menyatakan pandangan mereka. Tetapi seolah-olah kita hendak diberitahu tentang sesuatu, satu tanah runtuh telah berlaku di Jalan Wangsa 7, Bukit Antarabangsa pada petang Sabtu lepas. Tidak ada korban kali ini tetapi sebuah kereta telah musnah.

21 September 2009

Sunday, September 20, 2009

Exco-Exco Selangor di pagi Raya 2009.

Kelihatan sebahagian dari Exco-Exco Selangor sebelum mengadap DYMM Tuanku Sultan Selangor sempena Hari Raya Aidil Fitri 20 September 2009. Dari kiri, YB Ronnie, YB Dato' Hasan, saya, YB Xavier dan YB Ean berbaju Melayu sebelum bertolak ke Istana Kayangan, Shah Alam.

Friday, September 18, 2009

Denial Syndrome : Jangan jadi macam UMNO!

Semua orang tahu selepas kalah teruk dalam PRU12, UMNO Pak Lah dilihat enggan mengakui kesilapan dan kelemahan mereka. Hidup diteruskan seolah-olah tiada apa yang telah berlaku. UMNO wujud di dalam keadaan menafikan bahawa terdapat sebarang kelemahan pada diri mereka. Hanyalah UMNO Najib membuat sedikit perubahan. Walau bagaimana pun, Samy Vellu dan MIC masih seperti dulu sehingga Tun Mahathir pun masuk campur.

"Denial syndrome" ini amat bahaya tertutamanya di dalam politik. Seseorang atau sesuatu organisasi akan sentiasa merasakan ia betul atau "perfect", tiada cacat dan cela. Akhirnya apabila tiba keputusan pilihanraya, barulah terduduk!

Itu sebabnya perlu ada "check and balance". Tidak boleh melarang perbezaan pendapat. Sama ada dibuat secara terbuka atau tertutup, itu subjektif. Bergantung kepada isu. Tetapi jika pakatan itu kuat, tidak perlu bimbang. Kita mesti bersikap terbuka. Kita mesti boleh menerima apa sahaja kritikan. Tetapi betul ke ada perbezaan pendapat? Pada saya hanya cadangan penambah baikan.

Masalahnya timbul bila ada tukang laga. Nak dilagakan PAS dengan PKR. PAS dengan DAP. PAS pun nak dipecah-pecahka. Ada PAS Selangor, ada PAS 1Malaysia, ada PAS Erdogan, ada PAS Erbakan dan macam-macam lagi. Sangat kreatif. Pecah dan perintah. Biasalah, ikut taktik penjajah British yang menjadi anak murid Yahudi.

Tapi mereka gagal, Dato' Hasan masih duduk semeja dengan Ronnie Liew. Dr. Halimah masih ke Aceh bersama Teresa Kok. Bukti kerjasama Pakatan Rakyat bukan dengan slogan tetapi dengan kerja-kerja yang telah dilakukan. Bukti siapa mendokong Pakatan Rakyat bukan dengan kata-kata tetapi dengan usaha-usaha bersama.

Selamat berbuka puasa.

Selcat : Saksi didakwa, pesalah terlepas???

Minggu terakhir Ramadhan heboh cerita tentang Selcat. Saya mendapat banyak komen dari orang ramai bahawa Selcat tu bagus tapi cara pengendaliannya dikatakan tidak berhemah. Kata mereka cara soalan-soalan diajukan agak kasar, menengking, mengherdik, memperbudak-budakkan dan tidak memberi peluang kepada mereka yang dipanggil untuk membela diri. Yelah kalau di mahkamah kurang-kurang ada peguam bela dan tertutup tetapi di Selcat tidak ada peguam bela dan "live" kepada seluruh dunia untuk melihat.

Pada saya Selcat ini perlu kerana kita hendak membongkar penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu. Mereka yang enggan memberi kerjasama mesti diambil tindakan ke atas mereka. Kakitangan kerajaan mesti setia kepada "the government of the day". Tetapi tidak perlu kita "menghukum" para saksi walhal pesalah-pesalah yang sebenar terlepas begitu sahaja.

Kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa mendengar kepada rakyat dan dalam hal ini Dato' Menteri Besar dan Exco-Exco mendengar kepada setiap rintihan. Kami bukan BN dengan "denial syndrome" yang tidak mahu mengakui akan kesalahan dan kesilapan mereka. Kami juga bukan "syok sendiri" seperti BN yang merasakan semua yang dilakukan oleh mereka adalah benar belaka. Kalau betul ada kekurangan kami akan memperbaiki tetapi Selcat mesti diteruskan.

Mungkin cara penyiasatan lebih berhemah. Mungkin masukkan ahli-ahli jemputan seperti bekas pegawai-pegawai kerajaan yang benar-benar masak tentang perjalanan dan pentadbiran kerajaan. Intepretasi ahli-ahli politik kadangkala hanya dari perspektif poilitik. Mungkin juga dikaburi oleh prejudis jika terdapat sejarah-sejarah lampau. Rumusan juga mungkin dari sudut politik semata-mata. Oleh itu, Selcat tidak seharusnya membuat rumusan atau menjatuhkan hukum lebih-lebih lagi terhadap jentera kerajaan sehingga pertimbangan dibuat dari semua perspektif.

Selcat juga perlu dilihat bekerja untuk seluruh rakyat negeri Selangor bukan hanya Kerajaan Negeri Selangor dan tidak sekali-kali parti-parti Pakatan Rakyat atau individu-individu tertentu. Rakyat mesti difahamkan bahawa Selcat untuk menjaga kepentingan mereka juga.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

18 September 2009

Tuesday, September 8, 2009

IFTAR PERDANA PAS KAWASAN PANDAN

Tarikh - Sabtu 12 September 2009
Masa : Mulai jam 6.30 petang
Tempat : Dewan MPAJ, Jalan
Kuari, Kg. Cheras Baru.
Infaq - Hanya RM10

BERBUKA PUASA SAMBIL MENDERMA.

Wednesday, September 2, 2009

PENURUNAN SEWA RUMAH PPR UNTUK LEBIH RAMAI PENYEWA.

Kerajan Negeri Selangor telah menerima banyak rayuan dari penyewa-penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak mampu membayar sewa RM250 sebulan.

Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Barisan Nasional yang lepas pada bulan Jun 2007 telah membuat keputusan sewa bulanan rumah ppr dinaikkan dari RM124 ke RM250 sebulan.

Memandangkan ramai penyewa telah menghadapi masalah, pada bulan November 2008 Kerajaan Negeri Selangor telah menurunkan sewa balik kepada RM124 bagi mereka yang berpendapatan kurang dari rm 1,500 yang mempunyai lima orang ahli keluarga.

Sukacita dimaklumkan mesyuarat Exco hari ini bersetuju untuk menurunkan sewa bagi lebih ramai penyewa. Semua mereka yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan layak mendapat pengurangan sewa tanpa mengira bilangan ahli keluarga.

Penyewa yang berpendapatan melebihi RM1,500 juga layak menerima pengurangan sewa bergantung kepada bilangan ahli keluarga mereka.

Mereka yang mempunyai 4 hingga 7 orang anak layak mendapat pengurangan jika pendapatan bulanan mereka kurang dari RM2,100.

Mereka yang mempunyai 8 hingga 10 orang anak layak mendapat pengurangan jika pendapatan bulanan mereka kurang dari RM2,550.

Mereka yang mempunyai 11 hingga 15 orang anak layak mendapat pengurangan jika pendapatan bulanan mereka kurang dari RM3,300.

Kerajaan Negeri berharap keputusan ini akan dapat mengurangkan beban rakyat.

Selain dari itu, permohonan untuk menurunkan sewa akan diproses di peringkat pihak berkuasa tempatan dan tidak perlu menunggu dibawa ke Shah Alam.

2 September 2009