Friday, May 29, 2009

MASALAH PENDUDUK RUMAH PANJANG PJS1 AKAN BERAKHIR

Penantian 29 keluarga rumah panjang di PJS1, Petaling Jaya akan berakhir.

Mereka telah menunggu hampir 7 tujuh tahun untuk rumah kos rendah mereka tetapi ia tidak dapat dibina kerana terdapat perintah mahkamah menghalang pembinaannya.

Ianya diambil oleh penduduk setempat yang membantah pembinaan pangsapuri tersebut.

Selain dari itu, rumah panjang itu juga terletak di atas tapak sekolah yang perlu dimulakan pembinaannya dengan segera.

Beberapa siri perbincangan telah diadakan yang melibatkan Exco Perumahan, Pengurusan Bandar & Setinggan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pemaju untuk mencari satu penyelesaian.

Akhirnya pemaju telah bersetuju untuk membina pangsapuri tersebut di tapak yang lain. Oleh yang demikian, penduduk rumah panjang itu akan mendapatkan kepastian bila rumah mereka akan siap.

Maka penduduk akan mendapat rumah mereka dan sekolah akan dapat bina.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa berpindah buat sementara waktu ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 sehingga rumah mereka siap dibina.

Tetapi mereka akan dibayar saguhati untuk kos perpindahan. MBPJ juga akan menyediakan pengangkutan bagi anak-anak mereka untuk berulang-alik ke sekolah. Kerja-kerja membaik pulih PPR itu juga akan dijalankan.

Sebelum ini, MBPJ telah cuba mendapatkan rumah-rumah di sekitar kawasan rumah panjang itu tetapi kadarnya terlalu mahal.

Kerajaan Negeri berharap penduduk akan menerima tawaran ini agar pembinaan sekolah ini dapat dimulakan dengan segera demi kepentingan rakyat.

Iskandar Abdul Samad
Exco/Pengerusi Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
30 Mei 2009

LAPORAN KERUNTUHAN JAYA SUPERMARKET AMAT PENTING

Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji dengan teliti laporan keruntuhan bangunan Jaya Supermarket, Petaling Jaya semalam.

Kompleks tersebut adalah dalam proses dimajukan semula di mana satu blok akan dirobohkan dan dua blok lagi akan dinaiktaraf. Blok yang sedang dirobohkan ini telah runtuh dan telah meragut beberapa nyawa.

Laporan keruntuhan ini penting kerana Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk membangunkan semula kawasan-kawasan lama di negeri ini iaitu dengan melakukan "urban redevelopment". "Urban Redevelopment" merupakan sebahagian dari pakej ransangan ekonomi Kerajaan Negeri Selangor dan ia memerlukan perobohan bangunan-bangunan lama dan dimajukan dengan pembangunan yang lebih berdaya saing.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji laporan keruntuhan ini untuk memastikan apabila "Urban Redevelopment" ini dilaksanakan, tragedi Jaya Supermarket ini tidak akan berulang.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Selangor
29 Mei 2009

Tuesday, May 19, 2009

PENYELEWENGAN TANAH BUKIT BOTAK : MEREKA YANG DISINGKIR AKAN DIBELA

SHAH ALAM - Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad memberi jaminan bahawa nasib mereka yang telah disingkirkan di dalam rancangan penyelesaian setinggan Kg. Bukit Botak, Selayang akan dibela.

Menurutnya lebih 1,400 bekas setinggan telah diberikan tanah oleh kerajaan Barisan Nasional yang lepas. Walau bagaimanapun, terlalu banyak aduan yang telah diterima tentang berlaku penyelewengan dan penipuan.

Iskandar memberitahu terdapat aduan bahawa mereka yang tidak menetap di kampung itu turut diberikan tanah sementara mereka yang tidak menyokong Barisan Nasional telah disingkirkan.

Beliau juga melaporkan bahawa di dalam satu kajian yang dibuat terdapat mereka yang mendapat tanah berumur kurang dari 18 tahun ketika bancian setinggan dilakukan pada tahun 1985 malah ada yang hanya 8 tahun.

"Kerajaan negeri telah menangguhkan pengeluaran geran bagi baki geran-geran yang masih belum dikeluarkan sehingga segala siasatan selesai dilakukan tetapi mereka yang benar-benar layak tidak perlu bimbang", tambahnya lagi.

Katanya, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyiasat sebarang penyelewengan dan jawatankuasa ini dan akan dianggotai oleh dirinya sendiri, ahli Parlimen Selayang - William Leong, ahli majlis Majlis Perbandaran Selayang (MPS) - Haji Mohammad Abdul Rahman, wakil dari MPS, Pegawai Daerah Gombak - Huzaini Samsi dan beberapa orang wakil penduduk.

Beliau juga memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan pada 15 Mei lepas dari Pejabat Tanah Gombak setelah penyelewengan ini didedahkan oleh akhbar-akhbar tempatan.

20 Mei 2009

Friday, May 15, 2009

Sejenak bersama Iskandar Abdul Samad, Pengarah Jawatankuasa Panitia Muktamar Agung PAS Ke 55

1. BUKANKAH DENGAN NEGERI SELANGOR DIKUASAI PAKATAN RAKYAT MAKA TUGAS MENGANJURKAN MUKTAMAR DI SELANGOR ADALAH LEBIH MUDAH?

Ya dan tidak! Dari satu sudut adalah lebih mudah untuk mendapatkan tempat-tempat untuk bermuktamar atau kerjasama dari agensi-agensi kerajaan negeri. Mungkin hampir mustahil untuk menempah Stadium Malawati atau Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam jika kita bukan kerajaan. Tetapi harapan atau "expectation" ahli-ahli adalah begitu tinggi apabila PAS adalah sebahagian dari kerajaan di negeri tersebut. Lebih-lebih lagi Selangor berstatus sebuah negeri maju maka sudah tentu ahli-ahli mahu yang lebih baik dari Muktamar di Kelantan atau Kedah.

2. ADAKAH SELANGOR AKAN MENYEDIAKAN YANG TERBAIK?

Kami akan berusaha sedaya upaya agar Muktamar tahun ini berjalan lancar dan memastikan keselesaan mereka yang hadir. Tetapi persiapan kali ini adalah lebih sederhana. Kami tidak akan bermewah-mewah sesuai dengan keadaan ekonomi dunia dan negara yang lembab. Tidak wajar bagi kami berbelanja besar walhal ramai pekerja di Lembah Kelang yang telah kehilangan pekerjaan. Kami perlu memastikan setiap RM yang dibelanjakan tepat pada sasarannya, iaitu dapat memberikan impak. Kami mahu mengelakkan pembaziran.

3. BAGAIMANA PULA DENGAN CARA PERSIAPAN DAN PENGENDALIAN MUKTAMAR KALI INI?

Walaupun kami perlu bersederhana tetapi imej PAS perlu dijaga. Kita bukan lagi parti kampungan. PAS dikenali di peringkat antarabangsa maka Muktamar kita juga mestilah bertaraf dunia atau "world class". Kami mahu persediaan dan pengendalian Muktamar tahun ini dilakukan secara profesional. Tetapi ini tidak bermakna kita perlu berbelanja besar menggunakan khidmat pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Perlu ada keseimbangan di antara penglibatan pakar-pakar seperti "event managers" dan tenaga-tenaga parti menerusi kaedah gotong-royong.

4. APAKAH CABARAN UTAMA MUKTAMAR KALI INI?

PAS telah diterima oleh masyarakat berbilang kaum. Perubahan ini telah dizahirkan pada pilihanraya umum 2008 dan berterusan pada pilihanraya kecil Bukit Gantang. Muktamar kali ini adalah di Selangor, negeri di mana calon-calon PAS mendapat sokongan yang luarbiasa dari pengundi bukan Islam. Oleh itu, saya menjangkakan Muktamar kali ini akan menarik perhatian masyarakat bukan Islam di seluruh Lembah Kelang. Kami mesti memastikan kemampuan PAS akan dapat diserlahkan sesuai sebagai sebuah parti yang membawa harapan seluruh rakyat Malaysia.

5. DENGAN KEADAAN EKONOMI YANG LEMBAB, ADAKAH INI AKAN MEMBERI KESAN KEPADA KEUPAYAAN UNTUK MEMUNGUT DANA BAGI MENAMPUNG PERBELANJAAN MUKTAMAR KALI INI?

Sudah tentu ia akan memberi kesan maka sebab itu kami perlu bersederhana di dalam persiapan. Kami akan mencuba sedaya upaya agar Muktamar kali ini "self-financing" atau tidak memerlukan sumber-sumber luaran. Kami merancang pendapatan dari sewaan gerai dan pengiklanan akan dapat menampung perbelanjaan menganjurkan Muktamar tahun ini. Tetapi kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran itu amat penting. Di dalam kerajaan kita sering menegur agensi atau jabatan kerajaan yang melakukan pembaziran apabila menganjurkan program-program dengan menempah pakaian seragam, menyediakan makanan yang berlebih-lebihan atau mengedarkan "door gifts" (cenderamata) yang mahal. Oleh itu untuk program kita, kita patut mengamalkan apa yang kita cakap selama ini.

6. APAKAH YANG AKAN MENANTI PARA PERWAKILAN DAN AHLI PADA BULAN JUN INI?

Jika kita hendak ke Johor Baharu dari Kuala Lumpur melalui lebuhraya, yang penting kita dapat tiba dengan selamat, selesa dan tepat pada masanya. Sama ada menaiki Waja atau BMW bukan persoalannya. Buat apa menaiki BMW jika Waja juga dapat melakukannya? Kecuali jika kita hendak bermegah-megah. Kami akan mengusahakan keselesaan, kelancaran, kemudahan yang mencukupi dan pengurusan yang komited lagi efisien. Cukup untuk para pimpinan dan para perwakilan melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Kami juga mahu para pemerhati serta pengunjung dapat merasakan diri mereka dihargai.

15 Mei 2009

Tuesday, May 12, 2009

PERSAINGAN DI DALAM DUNIA YANG BERUBAH

Baru-baru ini Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan apa yang dikenali liberalisasi ekonomi. Ini merupakan di antara pembaharuan-pembaharuan yang perkenalkan oleh beliau setelah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke tujuh.

Polisi baru ini menghapuskan keperluan syarikat-syarikat di dalam sektor tertentu untuk mempunyai rakan kongsi Bumiputera jika mahu mendapat kontrak kerajaan.

Dengan polisi baru ini tidak akan ada lagi Bumiputera yang hanya menjual nama mereka kepada syarikat-syarikat bukan Bumiputera yang mahu memasuki tender kerajaan.

Syarikat-syarikat Bumiputera sekarang perlu bersaing bersama-bersama yang bukan Bumiputera atas dasar sama rata ( on equal grounds ). Mereka tidak boleh lagi "tumpang sekaki" walhal yang membuat kerja adalah kontraktor bukan Bumiputera. Tetapi bolehkah kontraktor Bumiputera bersaing di dalam suasana yang baru ini?

ALI BABA

Saya mengenali ramai kontraktor Melayu yang berwibawa dan bukan sekadar "Ali Baba". Tetapi sama ada kontraktor, pemaju atau orang-orang Melayu dalam bidang-bidang perniagaan yang lain, cabaran di hadapan mereka adalah cukup besar.

Ada seorang pemaju Melayu yang tidak mendapat bekalan "roof tiles" kerana pembekal bukan Bumiputera beliau enggan menjualnya walaupun beliau mahu membayar tunai. Tanpa "roof tiles" ini, projek beliau tidak dapat disiapkan menurut jadual dan beliau terpaksa membayar denda (LAD) kepada para pembeli.

Selain dari itu, tempoh kredit bagi kontraktor Melayu dari pembekal selalunya lebih pendek. Mungkin sebab itu kontraktor Melayu terpaksa atau lebih suka menjadi "Ali Baba".

DUNIA YANG SEDANG BERUBAH

Walau bagaimanapun, orang Melayu mesti mempersiapkan diri dengan keadaan yang telah berubah. Kita tidak boleh lagi menganggap sebagai orang Melayu kita akan mendapat segala-galanya dengan mudah. Tempat di IPT, peluang pekerjaan, pinjaman, rumah, kontrak dan lain-lain lagi.

Inilah realiti di zaman dunia tanpa sempadan, langit terbuka dan ketika oeang kut hitam seperti Obama boleh menjadi Presiden Amerika.

Meritokrasi? Panggillah apa sahaja tetapi itulah realitinya. Kita terpaksa bersaing dengan seluruh dunia bukan sahaja di kalangan orang Malaysia atau di kalangan orang Melayu sahaja.

Zaman di mana jika kita tergolong di dalam sesuatu kelompok atau kaum akan menjamin kita kedudukan dan keistimewaan mungkin akan berakhir. Kita akan dinilai melalui kebolehan kita, bukan siapa kita. Malah di Amerika, tidak ada jaminan orang kulit putih yang lebih 200 tahun telah mendominasi negara itu akan menjadi Presiden. Akhirnya bangsa yang pernah mereka jadikan hamba memimpin mereka.

NILAI-NILAI DAN BUDAYA KERJA

Anak-anak kita perlu dipersiapkan untuk menghadapi dunia yang baru ini. Interaksi antara kaum adalah amat penting. Tidak memadai mereka hanya berlegar-legar di kalangan kelompok mereka sahaja.

Pertama, bagaimana orang Melayu hendak bersaing dengan orang Cina dan orang India jika orang Melayu tidak mengenali mereka.

Kedua, terdapat banyak nilai-nilai pada orang Cina dan orang India yang perlu dicontohi oleh orang Melayu.

Saya dibesarkan di Petaling Jaya dengan peratusan kaum yang seimbang. Bilangan kawan-kawan Melayu dan kawan-kawan bukan Melayu hampir sama ramai.

Terdapat banyak nilai-nilai yang ada pada kawan-kawan Cina yang telah memberi kesan kepada saya hingga ke hari ini. Budaya bekerja bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan kepada satu matlamat (focus) adalah di antara nilai-nilai yang telah didedahkan kepada saya.

Malah amalan mereka membawa air putih ke sekolah sebelum budaya meminum air mineral menjadi kebiasaan masyarakat juga sesuatu yang patut dicontohi.

Dalam Islam pun terlalu banyak nilai-nilai murni yang universal yang juga relevan kepada seluruh masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia. Menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang lebih berjaya. Tetapi masalahnya orang Islam yang sering tidak menjadi contoh yang baik.

12 Mei 2009

Sunday, May 10, 2009

Adakah ini calon-calon pilihan Harakah?

Mungkin bukan saya sahaja yang perasaan tetapi akhir-akhir ini seolah-olah Harakah sedang mempromosikan pemimpin-pemimpin tertentu.

Ada yang bertanya, adakah ini calon-calon pilihan Harakah? Kalau pilihan Harakah, pilihan siapa?

Asyik-asyik mereka sahaja sehingga timbul tanda tanya. Malah mungkin di dalam keghairahan Harakah, ada yang jawatannya pun silap dicetak oleh akhbar itu.

Saya yakin ahli-ahli mahu Harakah berlaku adil dan saya yakin Harakah mahu berlaku adil tetapi ia perlu lebih berhati-hati ketika tahun pemilihan. Mulut manusia susah hendak ditutup seperti mulut tempayan.

10 Mei 2009