Thursday, April 23, 2009

Lawan Tetap Lawan?

Peningkatan jumlah calon yang bertanding untuk jawatan-jawatan utama pada mesyuarat-mesyuarat agong PAS tahun ini patut dialu-alukan. Ini bermakna lebih ramai ahli yang berminat untuk menyumbang kepada Parti.

Perlembagaan PAS menetapkan pemilihan pimpinan diadakan dua tahun sekali. Tahun ini adalah tahun pemilihan. Jawatan-jawatan utama di peringkat Kawasan ( Parlimen ) adalah Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua.

Mungkin lebih ramai yang berminat kerana dengan PAS sebahagian dari pakatan yang memerintah Selangor, peluang terbuka luas bagi PAS untuk berkembang.

Suasana telah berubah sejak pemilihan yang lalu, dua tahun lepas. BN tidak lagi dapat mengancam dan menindas mereka yang tidak menyokongnya di Selangor. PAS dapat menganjurkan programnya dengan bebas. Laluan PAS adalah lebih mudah.

Ini juga mendorong lebih ramai ahli bersetuju untuk dicalonkan berbanding dengan dua tahun lepas. Kalau dulu jawatan-jawatan utama akan dimenangi tanpa dicabar tetapi kali ini berlaku pertandingan-pertandingan.

Walau bagaimanapun, saya yakin tidak akan berlaku amalan-amalan tidak sihat di dalam pertandingan-pertandingan ini. Memang diakui pemegang-pemegang jawatan utama mungkin berpeluang untuk dicalonkan bertanding pilihanraya atau dilantik sebagai ahli Majlis namun saya berkeyakinan tidak akan berlaku amalan-amalan seperti politik wang.

Iskandar Abdul Samad
24 April 2009

Monday, April 20, 2009

Gunting tetap gunting walaupun dipanggil sudu.....

Pada 12 April lepas, PAS Kawasan Pandan telah mengadakan mesyuarat agong di Dewan MPAJ, Pandan Indah.

Mesyuarat itu diresmikan oleh Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Tidak ada yang menggemparkan pada mesyuarat agung itu. Juga tidak ada yang luar biasa pada hari itu. Biasa sahaja!

Isu-isu kelicinan pentadbiran Parti dan tarbiyyah telah dibangkitkan.

Seperti biasa isu tarbiyyah telah dibangkitkan oleh para perwakilan. Ini menunjukkan PAS masih pada asasnya sebuah jemaah Islam. Walaupun ahli-ahli PAS terlibat di dalam pentadbiran beberapa buah negeri namun tarbiyyah masih dekat kepada hati-hati mereka seperti ahli-ahli PAS di dalam tahun-tahun 80'an dan 90'an. Tetapi adakah tarbiyyah pada millenium baru ini sama seperti tarbiyyah ketika PAS mula beralih kepada kepimpinan ulamak?

Memang tidak dapat dinafikan banyak telah berubah. Suasana telah berubah dan cabaran-cabaran baru telah muncul. Tarbiyyah perlulah menyediakan ahli-ahli untuk cabaran-cabaran ini.

Selalunya apabila disebut tarbiyyah, usrah merupakan sesuatu yang wajib disebut. Begitulah juga perwakilan di mesyuarat agung Pandan itu. Tarbiyyah akan disamakan dengan usrah. Tidak kiralah apa kesan atau hasil usrah itu, jika usrah dapat dilaksanakan maka tarbiyyah dianggap berjaya. Walaupun ahli-ahli dapat dibentuk jika tidak ada usrah, tarbiyyah dianggap gagal.

Kadang-kala apa yang membingungkan saya, apakah bentuk sebenar usrah?

Ketika saya mula bersama PAS lebih kurang 18 tahun yang lalu, paling ramai usrah itu terdiri dari 10 hingga 12 orang. Jika lebih dari itu, ia perlu dipecahkan kepada beberapa kumpulan.

Tetapi sekarang ada yang dipanggil usrah walaupun melebihi 50 orang. Ianya tetap dipanggil usrah sebab di"market" sebagai usrah. Walau bagaimanapun, ada yang dihadiri oleh kumpulan yang lebih kecil dan ada komunikasi dua hala tetapi tidak dipanggil usrah sebab tidak di"market" sebagai usrah. Membingungkan juga bila mesyuarat kadang-kala dipanggil usrah kerana ada ciri-ciri usrah yang diterapkan.

Pada saya tidak kiralah 10 atau 50 orang asalkan matlamat untuk mentarbiyyahkan ahli-ahli tercapai. Tidak kira juga apa namanya sekalipun, usrah, study circle atau apa saja nama di dalam apa sahaja bahasa dengan syarat "semangat" usrah itu wujud.

Berbalik kepada Pandan, banyak perlu dilakukan. Sebagai sebuah parti politik, kita boleh dikatakan mantap tetapi sebagai sebuah jemaah Islam perlu ada usaha-usaha khusus.

Bukan semua Ketua Cawangan dari cawangan-cawangan yang aktif telah hadir pada hari itu. Mesyuarat agung Pemuda sehari sebelumnya melihat tidak sampai separuh cawangan-cawangan yang menghantar Ketua Pemuda. Hanya 1 Dewan dan 7 cawangan yang menyumbang untuk dana PAS Kawasan pada tahun lepas.

Adakah Yang Dipertua telah gagal? Adakah Ketua Pemuda telah gagal? Adakah Bendahari telah gagal?

Ketua-Ketua Cawangan dan Ketua-Ketua Pemuda yang tidak hadir atau mereka yang tidak menyumbang perlu ditarbiyyah. Tidak kiralah apa label atau bentuk tarbiyyah ianya mestilah efektif. Kita perlu mementingkan hasilnya dan bukan "jenama"nya.

Sudu jika dipanggil gunting tidak akan dapat menggunting kain. Tetapi gunting walaupun dipanggil sudu akan dapat menggunting kain.

Ianya juga mestilah disesuaikan dengan keupayaan dan kemampuan ahli. Ahli-ahli kita merupakan mereka yang telah dewasa dan mempunyai kecenderungan masing-masing. Kita telah melakukan hampir segala-galanya untuk menarik minat orang-orang bukan Islam kepada PAS maka pendekatan kita juga perlu "flexible" di dalam menarik ahli-ahli PAS kepada program-program tarbiyyah.

21 April 2009

Sunday, April 19, 2009

EXCO AKAN ADAKAN PERBINCANGAN KHAS UNTUK MEMPERBAIKI SISTEM PENYAMPAIAN PBT

Saya mengakui bahawa terdapat terlampau banyak aduan tentang pihak berkuasa tempatan (PBT). Saya juga tidak akan menafikan bahawa sistem penyampaian PBT sering dipertikaikan rakyat negeri Selangor.

Aduan-aduan tentang sampah, parit dan jalan di antara yang paling kerap saya terima sebagai Exco dan ADUN.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah berjaya di dalam agenda negara berkebajikannya dengan pemberian air percuma, skim Mesra Usia Emas, skim Tawas dan program-program kebajikan lain. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna kerajaan negeri tidak memberi tumpuan kepada keberkesanan PBT. Satu perbincangan khas Exco-Exco akan diadakan untuk mengenalpasti sebarang masalah di dalam sistem penyampaian PBT.

Kerajaan faham alasan tidak cukup peruntukan seperti yang diberikan oleh PBT-PBT ketika kerajaan BN yang lepas tidak akan diterima oleh rakyat. Kerajaan tahu rakyat mahukan tindakbalas yang pantas dari PBT untuk setiap aduan.

Saya bimbang jika keadaan berterusan, keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat akan pudar walaupun berapa banyak program kebajikan dilaksanakan. Tetapi saya yakin para Exco akan membincangkan semua aspek seperti peranan Dato' Bandar atau YDP, keberkesanan ahli-ahli Majlis dan kerjasama dari kakitangan PBT untuk membetulkan keadaan.

Iskandar Abdul Samad
19 April 2009

Saturday, April 4, 2009

Nasi Ayam Tattoo

Hujung minggu ini saya terpaksa hadir kursus 2 hari di Putrajaya bersama Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS)dan wakil-wakil dari PBT dan PTG.

Pada mulanya ingat hendak hadir pembukaan dan penutup sahaja sebab terpaksa berceramah di Bukit Gantang pada malam Ahad. Tetapi setelah berbincang dengan beberapa orang sahabat, saya telah mengambil keputusan untuk hadir di sepanjang kursus tersebut. Hendak jaga imej Exco PAS. Benar-benar serius dan bukan ponteng-ponteng. Ceramah mungkin ramai lagi yang boleh ganti dan sudah tiga kali saya ke Bukit Gantang sejak penamaan calon.

Tadi selepas, perbincangan dalam kumpulan saya telah ke Alamanda. Pertama kali saya sampai di kompleks membeli belah itu.

Di "food court"nya, Medan Selera Rasa, saya mencari-cari gerai untuk makan. Nasi ayam di sebuah gerai nampak sungguh menyelerakan. Yang menjual nampak seperti orang Islam tetapi alangkah terkejutnya apabila saya menghampiri untuk membuat pesanan. Ketiga-tiga orang pekerja mempunyai "tattoo" yang besar di kedua-dua lengan mereka.

"Islam ke mereka?", saya bertanya di dalam hati.

Yang menghairankan, yang membeli adalah orang-orang Islam. Ada pula yang bertudung. Tetapi tidak terasa apa-apa bila melihat "tattoo-tattoo" yang jelas itu. Tidak ada rasa was-was. Tidak sensitif. Beginilah orang Melayu, telan sahajalah!

Baru-baru ini di Kg. Sg. Kayu Ara, JAIS dan MBPJ membuat serbuan ke atas sebuah premis yang kononnya menyembelih ayam secara halal tetapi rupa-rupanya urat-urat lehernya tidak putus.

Kemudian ada kes ayam-ayam yang diimpot dari Thailand kononnya halal tetapi ayam-ayam itu mati dipancung.

Tetapi adakah orang-orang Melayu peduli?

Jangan-jangan biawak jika dicop halal akan ditelan juga.....

4 April 2009

Wednesday, April 1, 2009

SETAHUN TELAH BERLALU - BAHAGIAN 5

Saya tidak ingat apa yang saya lakukan pada 9 Mac kecuali ke rumah ibu saya di Taman Seri Keramat. Dia memberitahu saya supaya jangan suka sangat, kemenangan ini adalah satu tanggung jawab yang besar.

Tugas pertama saya selepas itu adalah membuka sebuah pusat khidmat ADUN. Kami memang ada sebuah pusat khidmat di nombor 20, Jalan H, Kg. Pandan. Berkongsi premis dengan Markas PAS Kawasan Pandan. Tetapi setelah beberapa kali dibuka, kami merasakan ianya kurang sesuai kerana terganggu oleh aktiviti-aktiviti Parti. Kami pun mengambil keputusan untuk berpindah ke Taman Angsana Hilir.

Sebelum pilihanraya kami telah membeli sebuah pangsapuri di blok rumah kedai di taman itu. Kami membelinya kerana ia berhadapan dengan MRR2, sekurang-kurangnya kami dapat menaikkan papan tanda PAS. Dalam masa lebih kurang setahun kami dapat mengumpul wang dari ahli-ahli dan penyokong-penyokong untuk membelinya secara tunai. Begitu hebat ahli-ahli ahli dan penyokong-penyokong PAS.

Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor pada 13 Mac. Kami di bawah tidak tahu apa yang berlaku di peringkat atas. PAS Selangor tidak mengadakan mesyuarat Perhubungan sejurus selepas pilihanraya.

Hanyalah selepas itu kami mendapat tahu ada pertemuan di antara Dato' Hasan Ali dan Haji Khalid Samad dengan bekas MB Selangor, Dato' Seri Mohammad Khir Toyo. Saya tidak tahu apa yang dibincangkan atau sebab kenapa pertemuan itu diadakan.

Di dalam satu sidang akhbar sebelum pembentukan kerajaan, pertemuan dengan Khir Toyo telah dibangkitkan. Dato' Hasan memberikan satu versi dan Khalid memberikan satu versi yang berlainan. Mereka bercanggah. Pemberita kebingungan. Dari saat itu saya nampak PAS akan menghadapi masalah yang besar di Selangor. Ada satu kapal tetapi dua nakhoda.

Adalah tidak adil untuk mengatakan Dato' Hasan berjumpa Khir Toyo sebab mahu menjadi MB tanpa juga mengandaikan Khalid hadir di dalam pertemuan itu sebab mahu menjadi Menteri Kabinet. Hanya Dato' Hasan yang dibelasah hingga ke hari ini kerana berjumpa dengan Khir Toyo tetapi Khalid terlepas dari nasib yang sama.

Menghairankan kerana Khalid yang mempunyai "link" dengan UMNO melalui abangnya Dato' Shahril Samad. Kalau tidak silap saya, Khalid juga pernah berkata beliau adalah sepupu kepada Dato' Najib Razak. Dato' Hishamuddin Hussin juga dikatakan bersepupu dengan Dato' Najib. Pening? Tidak perlulah kita membincangkannya dengan lebih lanjut. Ada banyak lagi kerja yang lebih bermanfaat.

Saya tidak mahu menjadi Exco. Saya hanya mahu menjadi seorang wakil rakyat seperti Lee Lam Thye. Apabila saya dijemput hadir di satu mesyuarat di rumah Dato' Hasan untuk membincangkan perlantikan Exco, saya agak keberatan untuk hadir. Tanpa disengajakan, saya tersesat jalan dan tidak sempat hadir.

Walau bagaimanapun selepas itu, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Haji Yusuf Ludin, menelefon saya memberitahu nama saya akan dihantar kepada Presiden PAS untuk dicalonkan sebagai Exco. Saya memberitahu saya tidak mahu tetapi beliau berkata terima sajalah.

Saya yakin ada yang mahu menjadi Exco. Memang benar ramalan saya, ada ADUN yang menelefon saya menyatakan mahu jawatan itu. Bukan itu sahaja, ada "orang luar" yang menelefon saya agar memberi laluan kepada ADUN tertentu. "Dari mana pula muncul "broker" ini?", fikir saya ketika melayani panggilan telefon itu. Mungkin dia tidak tahu saya sudah hampir 20 tahun di dalam politik maka tidak boleh dipujuk-pujuk seperti budak tadika.

Tetapi saya telah SMS kepada Dato' Hasan menyatakan saya tidak mahu menjadi Exco tetapi beliau tidak menjawab. Mengimbas kembali, kalau orang menelefon saya sama ada hendak menjadi Exco atau tidak, tidak mungkin saya menjawab "ya". Di dalam Islam, kita diajar untuk tidak mengejar jawatan.

Untuk memendekkan cerita, saya mendapat telefon dari Haji Yusuf memberitahu saya di antara yang dipilih oleh Presiden. Tetapi akhbar-akhbar masih belum mengetahuinya. Mereka menelefon saya, mahu saya meramalkan siapa dari PAS yang akan menjadi Exco. Saya memberi nama-nama Dato' Hasan, Dr. Shafie Abu Bakar, Dr. Halimah Ali dan Saari Sungib kepada mereka.

Tetapi kenapa akhirnya saya menerima perlantikan Exco? Mungkin saya tidak ada pilihan apabila dipanggil menghadiri raptai majlis angkat sumpah di Istana Alam Shah, Kelang. Saya mendapat panggilan telefon dari Haji Yusuf beberapa jam sebelum solat Jumaat untuk hadir di istana jam 3.00 petang. Tidak mungkin menolak setelah hadir di istana. Ia akan memalukan PAS.

Sebelum pilihanraya, ketika satu mesyuarat Perhubungan, saya tiba-tiba sedar hanya saya dan Ustaz Fazlin Taslimin yang tinggal dari AJK Perhubungan ketika saya mula-mula menganggotainya dalam tahun 1993. Tiada lagi Tuan Guru Haji Ismail Hashim, Tuan Guru Haji Salleh, Ustaz Abdul Razak Dawami, Haji Mohsinon, Haji Ibrahim Omar, Cikgu Khusrin dan ramai lagi. Mungkin saya menerima perlantikan Exco ini untuk mereka, sebagai penerusan kepada perjuangan mereka.

Kali terakhir "budak kolek" (bekas pelajar MCKK) berada di dalam barisan kepimpinan negeri Selangor adalah Tan Sri Abu Hasan Omar yang "digulingkan" dari jawatan Menteri Besar dalam tahun 2000. Kami "budak kolek" ketika di MCKK memang di"brainwash" bahawa kami satu hari akan memimpin negara. Dengan "budak-budak kolek" seperti Tun Abdul Razak dan ramai lagi yang telah menjadi Menteri Kabinet, tidak hairan ramai yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri atau sekurang-kurangnya Menteri.

Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kabinet. Cita-cita saya di sekolah adalah untuk menjadi pemain bolasepak profesional bersama Liverpool. Tetapi apabila ditawarkan menjadi Exco, terasa tanggung jawab untuk menebus kembali nama MCKK di Selangor setelah Tan Sri Abu Hasan dimalukan 8 tahun sebelumnya. Saya ada berjumpa beliau di dalam satu majlis di istana selepas perlantikan, dia menegur saya, "You dari MC kan?".

Ketika raptai kami diajar untuk berjalan, berdiri, duduk, mengangkat sembah dan mengangkat sumpah. Kami diarah untuk memakai baju Melayu hitam. Entah macam mana saya telah tergerak hati untuk menempah sepasang baju Melayu hitam setelah menang di Chempaka.

Pada mulanya saya tidak dapat masuk ke balairongseri kerana tidak memakai songkok. Nasib baik disediakan songkok untuk dipinjam.

Hanya di raptai itu, kami tahu siapa yang akan dilantik menjadi Exco. Ternyata spekulasi-spekulasi akhbar tidak begitu tepat.

Raptai adalah pada hari Jumaat dan angkat sumpah adalah pada hari Isnin berikutnya. Di antara hari Jumaat dan Isnin, saya mendapat panggilan-panggilan mengucapkan tahniah dan ada yang mengatakan saya akan menjaga portfolio "Kerajaan Tempatan". Saya pun tidak tahu, bagaimana mereka tahu?

Hanyalah pada Ahad malam, saya mendapat SMS dari Tan Sri Khalid memberitahu beliau akan menelefon saya untuk membincangkan portfolio saya. Oleh itu, menerusi telefon, Menteri Besar memberitahu saya akan menjaga "Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan" dan bertanya adakah saya bersetuju. Saya telah menyatakan persetujuan kerana ianya memang bidang saya.

Saya telah menghadiri majlis mengangkat sumpah bersama isteri. Pada keesokan harinya, satu pertemuan di kalangan
Exco-Exco telah diadakan di bilik mesyuarat khas Exco. Kami diberitahu "dress code" mesyuarat Exco adalah "coat and tie" tetapi saya tidak ada kot yang sesuai. Kot yang baru ditempah, belum lagi siap. Maka selepas mesyuarat saya telah ke Sogo. Di sana saya terjumpa Dato' Saifuddin Abdullah, sebilik asrama dengan saya di MCKK, yang juga mencari kot. Dia baru sahaja dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Akhirnya kot yang padan dengan saya dibeli di Chow Kit! Dan dengan kot itu saya menghadiri mesyuarat Exco Pakatan Rakyat Selangor yang pertama. Duduk di kiri saya Elizabeth Wong, di kanan Dr. Xavier Jayakumar dan di hadapan Ronnie Liew. Bolehkah agenda Islam PAS diserlahkan ketika PAS bukan majoriti?

1 April 2009