Sunday, July 27, 2008

KEMPEN KESEDARAN ALAM SEKITAR

Semalam, Sabtu 26 Julai, telah diadakan program makan durian bersama ADUN Chempaka sempena kempen kesedaran alam sekitar di kawasan pangspuri Taman Dagang Fasa 3.

Dua lori durian telah disediakan untuk penduduk tempatan tetapi yang datang dari seluruh DUN Chempaka. Dari pelbagai bangsa, tidak siapa yang akan menolak durian percuma. (Foto-foto akan disiarkan di masa akan datang - kabel kamera tak jumpa lagi!)

Durian hanyalah tarikan, yang penting kempen kesedaran alam sekitar. Amat sesuai bagi kawasan yang dibelenggu dengan masalah tikus! Kita boleh adakan gotong-royong tetapi jika mentaliti dan sikap penduduk tidak berubah maka keadaan akan kembali seperti sebelumnya.

Membuang sampah di dalam longkang, sampah tidak diletakkan di dalam plastik sampah tetapi dibuang sesuka hati dan kalau dibungkus di dalam plastik tetapi tidak diletakkan di dalam tong di rumah sampah boleh menggalakkan pembiakan tikus.

Penyelesaiannya adalah di tangan penduduk bukan majlis perbandaran atau pihak-pihak lain!
Seperkara lagi yang disentuh hari itu adalah gesaan supaya mengurangkan penggunaan plastik.
Penduduk digesa supaya membawa beg sendiri apabila pergi membeli-belah, jangan mengambil beg plastik yang diberikan oleh pasaraya-pasaraya atau kedai-kedai runcit. Kalau sekadar satu atau dua barang sahaja, tidak perlulah mengambil beg plastik, pegang dengan tangan sahaja!

Di antara sebabnya adalah plastik tidak akan musnah dan akan terus wujud untuk beratus-ratus tahun. Contohnya beg plastik yang dibuang ke dalam longkang tidak akan hancur seperti kertas atau kain. Ia menyekat perjalanan longkang. Sampah-sarap akan berkumpul dan akhirnya menjadi tempat pembiakan tikus atau makhluk-makhluk perosak lain.

Plastik yang dibakar juga akan mengeluarkan gas-gas yang boleh mengancam kesihatan.

Saya tidak tahu sama ada penduduk di DUN Chempaka sudah cukup bersedia dengan kempen-kempen seperti ini. Saya melihat Chempaka sebagai kawasan di pinggir bandaraya dan penduduknya terdedah kepada perkembangan-perkembangan dunia maka mereka sepatutnya lebih bersedia menerima kempen-kempen seperti dari kebanyakan kawasan-kawasan DUN di luar bandar. Tetapi adakah kita secara fizikal sahaja berada di pinggir bandaraya, beberapa minit dari KLCC tetapi masih berfikiran seperti penduduk negara-negara di dunia ketiga.

Dulu saya pernah mencari cybercafe di Pandan Indah yang boleh mencetak, yang ada “printer”, tetapi tidak banyak yang ada. Mungkin kerana komputer-komputer di sana hanya digunakan untuk bermain "game" atau "chatting" sahaja.

Kalau kita duduk di kedai-kedai mamak atau warung-warung tomyam, siaran Astro yang selalu ditonton adalah siaran sukan, hiburan atau filem-filem yang banyak tembak-tembak atau lawan-lawan atau peluk-peluk. Jarang yang hendak menonton saluran 555 (History Channel) atau saluran-saluran seperti. Kalau tiba-tiba berita disiarkan, cepat-cepat akan ditukarkan.

Berbalik kepada kempen alam sekitar, adakah ia memberi kesan? Adakah kita akan menjadi seperti negara-negara Eropah di mana ada yang mengharamkan penggunaan beg palstik? Adakah isu ini terlalu remeh? Bila agaknya PAS hendak menghantar memorandum tentang isu-isu alam sekitar yang juga boleh mengancam masa depan ummah? Bilakah PAS akan menghasilkan pakar-pakar alam sekitar?

Adakah isu ini terlalu remeh bagi kita? Atau kita belum lagi maju dari segi sikap dan pemikiran walaupun apa yang didakwa oleh Khir Toyo.

27 Julai 2008

Wednesday, July 23, 2008

FLASHBACK 8 MAC 2008

Keputusan tidak rasmi, BA menang besar!

Harakahdaily Sat Mar 08, 08 9:31:48 pm MYT

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Hrkh) - Keputusan tidak rasmi yang diterima oleh Harakahdaily menunjukkan peningkatan prestasi BA dalam pilihan raya kali ini. -->

KELANTAN

Di Kelantan, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa telah mengesahkan rakyat Kelantan memberi mandat apabila memenangi 30 kerusi negeri.

KEDAH

Di Kedah, sehingga berita ini ditulis (9.30pm), PAS Kedah telah memenangi 15 kerusi Dun.

PULAU PINANG

Manakala di Pulau Pinang, pembangkang secara tidak rasmi telah menang 24 kerusi dan mendapat mandat untuk menubuhkan kerajaan negeri.

KUALA LUMPUR

Sementara itu, di Kuala Lumpur, untuk Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo menang dengan majoriti 2,00o undi.

Di Parlimen Lembah Pantai, menurut laporan Malaysiakini, Nurul Izzah (KeADILan) menang mengalahkan Sharizat Jalil (BN).

Menurut sumber tidak rasmi, BN hanya menang di dua kawasan parlimen dan salah satu antaranya ialah Parlimen Putrajaya.

SELANGOR

Calon DAP (Dun Teratai), Jenice Lee kalah calon BN. Di Dun Cempaka (N21) Iskandar Samad (PAS) menang kalahkan BN. Kassim Abdul Aziz (Lembah Jaya) menang kalahkan BN.

Sementara di Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid (KeADILan) menang dengan majoriti lebih 2000 undi dan begitu juga di Dun Ijok.

PERAK

Di Perak, Sungai Siput, Samy Vellu kalah kepada Dr D Jeyakumar dan calon Kayveas (BN) kalah kepada BA - mks.

Monday, July 21, 2008

PAS KETINGGALAN?

PAS ketinggaalan di dalam Pakatan Rakyat?

Puas saya memikirkan dari sudut mana.

Kalau dari segi kerusi yang dimenangi memang benar tetapi itu bukan salah Pakatan Rakyat. PAS hanya menang 8 kerusi walhal PKR mendapat 15 dan DAP 13.

PAS telah bertanding 20 kerusi, PKR 20 dan DAP 15. Adakah PAS akan memenangi lebih kerusi jika tidak berada di dalam Pakatan? Adakah salah Pakatan yang membuat PAS gagal mendapatkan sebarang kerusi di Sabak Bernam, Tg. Karang atau Sg. Besar?

Dalam kerajaan pula bagaimana? PAS dengan 8 kerusi mendapat 3 orang Exco sama dengan DAP yang ada 13 kerusi. Fikirkan!

Ahli majlis dalam PBT? Memang benar PAS ketinggalan berbanding dengan DAP dan PKR. Tetapi menurut rakan-rakan lain dalam Pakatan, ini sepadan dengan kerusi yang dimenangi. PAS sudah tentu akan berkata mereka mempunyai jentera yang lengkap, mempunyai ahli di setiap ceruk negeri Selangor oleh itu wajar diberikan jumlah ahli majlis yang lebih. Mungkin ada benarnya hujjah ini kerana jumlah ahli-ahli majlis dari NGO lebih dari PAS yang merupakan komponen Pakatan. Mungkin kalau begitu jika hendak mencari PACA, mintalah tolong dari NGO bukan dari PAS lagi.

Dari segi Exco pula bagaimana? PAS ada 3 Exco tapi jika ada ahli-ahli PAS yang tidak bersetuju dengan pemilihan mereka (ada yang mengatakan mereka “orang Hasan Ali”) maka mereka sudah tentu akan mengatakan PAS tidak mempunyai sebarang Exco!

Di negara-negara maju, portfolio-portfolio terpenting di dalam kerajaan selalunya adalah kesihatan, perumahan dan pendidikan (Health, Housing & Education). Di Selangor, dua dari tiga portfolio ini dipegang oleh PAS. Saya menjaga perumahan dan Dr. Halimah pula pendidikan.

Tetapi yang paling penting, hal ehwal agama di bawah PAS. Tetapi ada yang mempertikaikannya kemajuan agama Islam di bawah Pakatan, walaupun baru 4 bulan lebih di bawah Pakatan. Walaupun yang mempertikaikan itu dapat berceramah atau mungkin juga berkhutbah di masjid dan surau. Sesuatu yang mustahil sebelum 8 Mac.

Kemenangan 8 Mac telah membebaskan surau dan masjid walaupun kebanyakan DUN-DUN yang dimenangi mempunyai majoriti bukan Islam. Ada yang berkata masjid dan surau dibebaskan oleh orang-orang Cina dan India. Mungkin ada yang marah kepada mereka yang bercakap begini tetapi ini realitinya. Di DUN saya kita kalah di kampung Melayu tetapi menang besar di kampung baru Cina.

Implikasi kemenangan ini adalah :

1. Penceramah-penceramah yang sebelum ini dilarang memberi kuliah di masjid dan surau boleh berbuat demikian sekarang walaupun perlu mendapat tauliah dahulu.
2. Para jemaah tidak lagi tidur ketika khutbah Jumaat akibat dari khutbah-khutbah yang tidak bermaya dan mengampu kerajaan Barisan Nasional.
3. Peranan masjid dan surau telah diperkasakan. Tidak lagi sepi kecuali waktu-waktu solat tetapi telah diadakan pelbagai program seperti program-program kesihatan dan motivasi.
4. Banyak masjid dan surau telah memberi ruang kepada AJK-AJK baru yang cenderung kepada perjuangan Islam.
5. Zakat tidak lagi dikuasai oleh golongan-golongan tertentu tetapi benar-benar dimanfaatkan untuk rakyat. Saya terkejut begitu cepat duit zakat dapat dikeluarkan apabila telah berlaku kebakaran di Kg. Pandan, RM38,000 tunai dalam masa kurang dari 24 jam.

Ini berlaku di saat dan ketika belum ada lagi arahan untuk menukar jawatankuasa masjid dan surau. Mungkin ini berlaku di kawasan-kawasan yang mempunyai wakil rakyat tetapi dengan kerajaan negeri milik Pakatan, tidak ada sebab kenapa ahli-ahli PAS tidak bertindak dengan lebih pro-aktif bagi kawasan-kawasan yang kita kalah. Di kawasan-kawasan yang PAS kalah, kawasan-kawasan yang majoritinya pengundi Islam, usaha-usaha dakwah ini patut dilipat ganda. Tumpukan kepada peluang-peluang yang terbuka kepada kita bukan kepada perkara-perkara yang belum lagi kita perolehi.

Jadi ketinggalan macam mana? Berbalik kepada PAS tidak dapat apa-apa, apa sebenarnya yang diperolehi PKR dan DAP?

Apa yang DAP dapat lebih dari PAS? Kilang haram? Tokong yang lebih besar? Belum ada lagi keputusan.

Apa yang PKR dapat lebih dari PAS? Memang benar pengurus pasukan bolasepak Selangor diberikan kepada orang PKR tetapi adakah itu yang dikejar? Pengarah-pengarah GLC? Belum ada lagi perlantikan walaupun ianya patut disegerakan sebelum puak-puak UMNO di dalamnya melelong segala hartabenda.

Memang benar terdapat perkara-perkara yang mengguris hati ahli-ahli PAS. Tetapi adakah sebab itu kita lari kepada UMNO? Bukankah UMNO juga pernah menaja konsert lebih merosakkan dari Mas Idayu dan Ella? Bukankah UMNO yang meluluskan segala lesen-lesen arak di seluruh Negara?

Kita peringkat negeri Selangor terdapat Jawatankuasa Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh 4 orang ahli dari setiap parti. Saya tidak berada di dalamnya.

Di dalam jawatankuasa ini, semuanya sama taraf. Menurut DAP, tidak ada gelaran “YB”, semuanya “Saudara”. Jawatankuasa ini yang menentukan polisi kerajaan atau menentukan agenda kerajaan.

Tetapi mentadbir negeri bukan seperti mentadbir Kawasan atau Cawangan. Ianya terlalu luas. Terdapat begitu banyak jentera kerajaan dan pegawai kerajaan yang terlibat. Kita baru empat bulan. Sepertimana Kelantan ketika baru empat bulan memerintah, banyak cabaran yang perlu dihadapi


Hanya diperlukan sedikit kesabaran. Bukan dari orang Selangor tetapi dari seluruh warga PAS dari seluruh negara. Walaupun susah sebab tahap kesabaran kita berbeza-beza, contohnya orang Kelantan memang penyabar manakala orang Terengganu, menurut isteri saya yang berasal dari Terengganu, agak gopoh.

Saya amat berharap pimpinan PAS tidak akan bertindak berdasarkan laporan-laporan yang tidak tepat dari Selangor. Saya bimbang jika laporan-laporan ini diberikan oleh mereka yang sememangnya cenderung kepada UMNO, maka yang baik juga dikatakan buruk. Saya takut sebab laporan yang tidak tepat dari Selangor, PAS di peringkat tertinggi akan membuat keputusan untuk mendekati UMNO dan BN.

Saya mohon maaf jika penilaian saya ini tidak tepat. Saya hanya mempunyai pengalaman berada di kerajaan Pakatan Rakyat. Adakah kedudukan PAS lebih baik di dalam BN? Itu saya tidak ada pengalaman. Tanyalah mereka yang pernah berada di dalam kerajaan BN seperti Dato’ Mustafa Ali yang pernah menjadi Timbalan Menteri ketika PAS berada di dalam BN.

22 Julai 2008

Friday, July 18, 2008

ARAK JUGA DITENTANG OLEH ORANG EROPAH

"The Heineken Cup sponsored by Heineken (known as the H Cup in France due to alcohol advertising laws) is an annual rugby union competition involving leading club, regional and provincial teams from the Heineken Cup: England, France, Scotland, Wales, Ireland, and Italy. It is one of the most prestigious trophies in the sport.

"Tahukah anda di Perancis, syarikat arak dilarang menjadi penaja sukan? Heineken Cup, piala untuk kejohanan ragbi yang diadakan di negara-negara di Eropah, di Perancis ianya tidak boleh menggunakan nama Heineken Cup tetapi dikenali sebagai H Cup.

Nama-nama syarikat arak juga tidak boleh dipamerkan pada pakaian pasukan-pasukan yang bertanding.

Saya ingat lagi apabila Leeds United, sebuah kelab bolasepak Inggeris, memasuki pertandingan Piala UEFA pada awal tahun-tahun 90'an, mereka terpaksa menyediakan set jersey kedua. Ini kerana mereka ditaja oleh sebuah syarikat arak "Strongbow" dan mereka tidak boleh memakai jersey itu jika bertemu dengan kelab-kelab dari Perancis.

Jadi siapa kata apabila PAS menentang penajaan syarikat arak bagi lawatan kelab Chelsea ke Malaysia, PAS ketinggalan zaman?

Perancis sebuah negara maju, negara Kristian, negara yang begitu liberal juga menentang malah melarang penajaan sukan oleh syarikat-syarikat arak.

Malah di Eropah, penajaan sukan oleh syarikat-syarikat rokok dilarang kerana rokok merbahaya kepada kesihatan jadi logik jika larangan ini juga ke atas syarikat-syarikat arak kerana arak lebih merbahaya dari rokok.


Jika syarikat arak Heineken terus dibenarkan menaja Chelsea maka arak akan dianggap sebagai satu perkara yang boleh diterima, satu perkara biasa walhal ianya satu perkara yang amat menjijikan dan merupakan ibu kepada segala maksiat.

Memang Malaysia berbilang kaum tetapi sensitiviti umat Islam perlu dihormati. Kenapa perlu memaksa umat Islam menerima arak sebagai satu perkara biasa?

Ingat tak dulu, Guinness memperkenalkan minuman tanpa alkohol, Guinness Malta. Mungkin satu strategi jangka panjang untuk merosakkan umat Islam. Kalau dah biasa dengan nama Guinness, walaupun hanya Guinness Malta, akhirnya bertukar pula kepada Guinness Stout

Jadi soalan cepumas, adakah Pakatan Rakyat Selangor akan tergugat akibat kes arak ini? Masa akan menentukannya tetapi bukankah bodoh jika sebab kes arak kita hendak berlari kepada UMNO atau bermuzakarah dengan UMNO walhal kita tahu ramai juga orang UMNO yang memang kuat minum arak!

18 Julai 2008

Thursday, July 17, 2008

Keupayaan PAS menghimpun rakyat tidak dapat dinafikan

Perhimpunan Bersih 2007 yang dihadiri oleh puluhan ribu rakyat dikatakan sebagai "turning point" kepada gerakan menentang cengkaman BN di negara kita. Malah ada yang yakin lebih 100,000 orang telah dapat dikerah pada hari itu.

Selepas itu giliran Hindraf pula berhimpun tetapi segala-galanya bermula dengan Bersih.

Apa yang terjadi selepas itu adalah sejarah. Kerajaan menjadi pembangkang dan pembangkang menjadi kerajaan di 5 buah negeri pada 8 Mac 2008.

100 hari selepas itu, Selangor pimpinan Pakatan Rakyat pula mengadakan perhimpunan di Stadium Shah Alam merayakan 100 hari pentadbiran yang baru. Tapi sayang, stadium besar itu hanya setengah penuh.

Selepas itu diadakan pula himpunan menuntut harga minyak diturunkan tetapi peristiwa melondeh seluar lebih diingati oleh ramai orang. Mana tidaknya, hanya lebih kurang 15,000 yang hadir.

Adakah sebab pembangkang sudah membentuk kerajaan maka penyokong tidak berminat untuk berhimpun? Duduk di rumah sahaja?

Kalau ini alasannya, kenapa perhimpunan kesyukuran PAS di Stadium Malawati sejurus selepas kemenangan 8 Mac dihadiri oleh lautan manusia?

Jadi bukan faktor kerajaan atau pembangkang. Mungkin faktor pengendalian atau publisiti?

Saya nampak program yang PAS menjadi tonggak utama (Himpunan Bersih dan di Stadium Malawati) tetap akan dibanjiri manusia. Tetapi program 100 hari Selangor dan himpunan menuntut penurunan harga minyak di mana PAS berada di "tepi padang", kurang sambutannya..

Perlu diakui oleh semua pihak, kalau untuk "mobilise" atau mengumpul orang, kepakaran PAS memang diperlukan. Dengan rangkaian PAS di setiap ceruk, PAS berupaya mengerah ahli dan penyokongnya. Belasan ribu. Puluhan ribu. Malah ratusan ribu sekalipun PAS berupaya.

Itulah, lain kali panggillah PAS anjurkan jika nak orang ramai sikit!

17 Julai 2008

Tuesday, July 15, 2008

Pengajaran Dari Tahun-Tahun 70'an

Ingat lagi tak tahun-tahun 70'an?

Mungkin ada di antara anda yang belum lahir lagi tetapi bagi yang hidup di dekad itu tentu ingat akan perkara-perkara berikut,

1. Banjir besar Kuala Lumpur
2. Seluar "bell-bottom"
3. Planet Of The Apes
4. Kereta Colt Gallant
5. Beg kertas berwarna cokelat dengan tali pemegang merah dan putih
6. Rindu Bayangan
7. King Ghaz
8. Muhammad Ali
9. Payung kertas
10. Basikal Chopper

Mungkin bagi ramai generasi sekarang tidak akan ingat atau mengenali basikal Chopper atau King Ghaz.

Basikal Chopper merupakan basikal yang menjadi impian ramai pelajar-pelajar sekolah seperti saya ketika itu. Memiliki basikal Chopper adalah satu status symbol ketika saya bersekolah rendah di Petaling Jaya.

King Ghaz pula adalah jolokan bagi Ghazali Shafie (ketika itu Tan Sri bukan lagi Tun) yang sebagai Menteri Dalam Negeri merupakan di antara orang yang paling berkuasa di Malaysia. Di zaman beliau ramai yang telah ditangkap di bawah ISA seperti Kasim Ahmad dan beberapa pemimpin UMNO setelah pemergian Tun Razak.

Tun Razak juga sinonim dengan 70'an walaupun beliau meninggal dunia akibat leukemia dalam tahun 1975 dan telah menjadi Timbalan Perdana Menteri sejak Merdeka lagi.

Tun Razak berbeza dari pemimpin UMNO sekarang kerana banyak mencetuskan program-program untuk kepentingan rakyat. Ada yang berkata polisi beliau adalah polisi sosialis. Inilah masalah dengan masyarakat Melayu kerana apabila ada program-program yang pro-rakyat maka dikatakan sosialis. Seolah-olah hanya orang sosialis yang pro-rakyat, pro-massa.

Berbalik kepada Tun Razak, susah hendak dipercayai Dato' Seri Najib adalah anak Tun Razak. Najib yang dibebani dengan kes pembunuhan Altantuya jika dibandingkan dengan bapa beliau adalah bagaikan langit dengan bumi.

Di bawah Tun Razak, Felda yang memberi tanah kepada rakyat telah dimulakan walaupun terdapat banyak tuduhan tentang penyelewengan di bawah pentadbiran sekarang namun konsep tanah untuk rakyat itu tidak lagi dipraktikkan oleh mana-mana kerajaan sekarang kecuali mungkin kerajaan negeri Kelantan.

Di bawah Tun Razak pula di dalam tahun-tahun 70'an, kita mengenali Rukun Tetangga dan program Buku Hijau. Dua perkara ini saya yakin amat relevan bagi kita sekarang.

Di dalam keadaan jenayah yang semakin meningkat dan pihak polis kekurangan anggota, Rukun Tetangga adalah satu-satunya cara untuk menyekat jenayah dari terus berkembang.

Ingat tak dulu-dulu bila kita, bapa-bapa kita atau abang-abang akan membawa kayu atau rotan untuk meronda taman-taman perumahan? Sekurang-kurangnya ia dapat membuat mereka yang ingin melakukan jenayah seperti pecah rumah atau mencuri, berfikir dua kali.

Semangat kerjasama di antara penduduk menggerunkan mereka yang berniat jahat. Sekarang ini sesiapa sahaja bebas memasuki taman-taman dan mencuri sesuka hati, tanpa rasa takut dan tanpa dihalang oleh sesiapa. Cuba lakukan perkara yang sama dalam tahun-tahun 70'an, mungkin akan dikejar oleh petugas-petuga Rukun Tetangga kita.

Walaupun banyak Rukun Tetangga yang telah disalahguna untuk kepentingan politik atau kepentingan peribadi namun saya yakin ianya perlu dihidupkan dan dikembangkan untuk memastikan jenayah di taman-taman perumahan kita dapat disekat.

Buku Hijau pula merupakan satu respon kepada kadar inflasi yang meningkat pada awal tahun-tahun 70'an.

Ketika itu, di mana-mana orang menanam ubi kayu, cili, tomato, terung, kacang panjang, kacang bendi dan sayur-sayuran lain. Malah di sekolah diadakan pertandingan Buku Hijau yang diberikan hadiah setaraf dengan acara-acara sukan.

Di dalam keadaan harga minyak yang meningkat mungkin Buku Hijau ini perlu diperkenalkan semula.

Kalau tidak dapat menanam di tanah-tanah yang luas, banyak yang boleh ditanam di dalam pasu-pasu atau tin-tin biskut.

16 Julai 2008

Sunday, July 13, 2008

SEMANGAT GOTONG ROYONG DAN AKTA 663

Gotong-royong sudah menjadi sinonim dengan masyarakat Melayu. Mereka bergotong-royong untuk kenduri kahwin, membersih masjid dan surau apabila bulan Ramadhan menjelang tiba atau bila membuka kampung. Rasa tanggung jawab bahawa mereka adalah sebahagian dari masyarakat dan setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing merupakan di antara aset penting masyarakat Melayu.

Walau bagaimanapun kadang-kala di kawasan-kawasan bandar atau pinggir-pinggir bandar, amalan ini telah pupus. Bukanlah perlu sangat ahli-ahli masyarakat itu turun bersama-sama bermandi peluh, untuk bertanya khabar di antara satu sama lain pun susah.

Tetapi dengan berkuatkuasanya Akta 663 tahun lepas yang menetapkan bahawa pengurusan sebarang rumah bertingkat sama ada pangsapuri atau kondominium akan akhirnya dilakukan oleh penduduknya sendiri, semangat amalan gotong-royong ini menjadi amat penting.

Dengan akta tersebut, setiap blok atau kawasan perlu menubuhkan apa yang dipanggil sebagai Badan Pengurusan Bersama atau Joint Mananagement Board (JMB). JMB akan dianggotai oleh wakil-wakil penduduk dan seorang wakil dari pemaju. Selepas hak milik strata dikeluarkan maka JMB ini akan menjadi Perbadanan Pengurusan atau Management Corporation (MC) yang dikendalikan 100% oleh penduduk.

MC ini bertanggung jawab ke atas pengurusan kawasan kediaman itu. Sama ada untuk memastikan sampah-sampah di sapu, bil-bil elektrik dilunaskan, gaji pengawal keselamatan dibayar, lif berfungsi, insuran bangunan diambil dan banyak lagi perkara kecil atau besar.

Tetapi perkara ini yang selalunya pembeli-pembeli kediaman bertingkat terlepas pandang. Pada mereka, mereka hanya membeli unit-unit kediaman sahaja. Mereka langsung tidak menyangka bahawa akhirnya bumbung yang bocor, lif yang rosak, lampu jalan yang tidak berfungsi, tangka air yang berkarat atau saluran najis yang tersumbat adalah juga tanggung jawab mereka bukan tanggung jawab majlis perbandaran atau kerajaan.

Penduduk bukan hanya bertanggung jawab ke atas unit mereka tetapi seluruh blok atau bangunan yang mereka duduki. Mungkin bukan mereka sebagai individu yang perlu menguruskannya tetapi ini adalah tugas JMB dan MC yang ditubuhkan. JMB dan MC ini pula berhak untuk memungut yuran penyenggaraan dari penduduk dan boleh meminta Pejabat Tanah Dan Galian menyita hartabenda mereka yang gagal membayar.

Mungkin jarang ada permintaan untuk menyita tetapi masalah akan timbul jika terdapat penduduk yang tidak berdisiplin dan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk-penduduk lain. Lebih teruk lagi jika tidak ada penduduk yang bersedia untuk menganggotai JMB atau MC. Maka tidak ada siapa akan menguruskan kediaman itu. Menurut akta, Pesuruhjaya Bangunan atau Commissioner Of Building (COB), selalunya Dato’ Bandaraya atau Yang Dipertua Majlis akan melantik ejen untuk menguruskan bangunan itu tetapi lazimnya harganya akan menjadi lebih mahal dari jika penduduk melantik ejen mereka sendiri.

Maka itu sebabnya semangat gotong-royong ini perlu ada. Walaupun mereka tidak bergotong royong membersihkan blok-blok mereka tetapi semangat tanggung jawab di sebalik konsep gotong royong ini akan menentukan sama ada penduduk akan tinggal di dalam persekitaran yang sempurna.

Saya amat berharap sekiranya ahli-ahli PAS yang tinggal di kediaman bertingkat dapat memainkan peranan yang lebih untuk memastikan kediaman mereka diuruskan dengan baik. Mungkin bukan untuk tujuan politik semata-mata tetapi sebagai satu perkhidmatan kepada masyarakat yang memerlukan. Memimpin JMB dan MC sebab mereka sudah biasa berpersatuan.

Pada 12 Julai lepas, saya telah menghadiri satu seminar tentang JMB dan MC berhampiran dengan The Curve di Damansara. Saya kagum dengan pengetahuan mendalam para-para NGO terhadap isu ini malah kadang-kala lebih fasih dan faqih dari pegawai-pegawai saya. Oleh itu, adalah harapan saya agar ahli-ahli PAS juga dapat menguasai bidang-bidang seperti ini. Sekali-kala, tinggallah sekejap cerita-cerita Altantuya dan Bala Subramaniam, bacalah Akta 663 dan akta-akta yang perlu dibaca bersamanya seperti Akta 318.

13 Julai 2008

Thursday, July 10, 2008

LEBARKANLAH FOKUS KITA

Pada 7 Julai lepas, wakil-wakil Dewan Ulamak PAS Pusat telah mengunjungi saya di pejabat saya di Shah Alam. Rombongan itu diketuai oleh Ustaz Zaharuddin (bukan yang “glamour” tu tapi yang menantu TG Presiden) dan beberapa orang dari unit penyelidikan Dewan tersebut.

Mereka menyerahkan kepada saya satu kertas kajian tentang kedudukan tanah “freehold” atau tanah yang dipajak di dalam Islam. Kertas itu cukup terperinci dengan hujjah-hujjah dan dalil-dalil tentang kedudukan tanah-tanah seperti itu di dalam Islam.

Saya amat kagum dengan kajian Ustaz Zaharuddin dan rakan-rakannya kerana sejak dilantik sebagai Exco, inilah kali pertama saya telah menerima satu kajian tentang subjek yang bukan tradisional bagi ulamak-ulamak PAS atau PAS itu sendiri. Walaupun ianya jarang-jarang disentuh oleh para ulamak tetapi berupaya memberikan impak yang besar kepada masyarakat. Kita kadang-kala gagal mengenalpasti perkara-perkara seperti itu yang berupaya mengancam “survival” ummah.

Sebelum ini, saya tidak tahu terdapat unit penyelidikan bagi Dewan tersebut maka tahniah diucapkan. Saya selalu mendegar bagaimana Jami‘atul Islami, sebuah gerakan Islam di Pakistan, telah menghasilkan banyak kertas-kertas kajian menerangkan pandangan Islam dan jemaah itu terhadap pelbagai perkara. Sekiranya ia memerintah Pakistan, mereka sudah ada garispanduan yang jelas untuk mentadbir negara dan tidak teraba-raba. Saya juga pernah berjumpa sebuah buku terbitan sebuah gerakan Islam Indonesia, Masyumi, menggariskan fatwa-fatwa bagi pelbagai perkara di dalam masyarakat.

Kajian-kajian dan fatwa-fatwa ini penting kerana kadang-kala kita membuat kenyataan menurut apa yang kita secara peribadi mahukan dan bukan apa yang Islam mahukan. Saya amat bimbang kita akan mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Islam. Ianya akan memberikan imlikasi yang besar kepada aqidah kita.

Pada minggu Pemuda PAS menghantar memorandum membantah konsert Mas Idayu dan Ella kepada YAB Menteri Besar, satu seminar perumahan telah diadakan di sebuah hotel di Shah Alam. Sepanjang minggu tersebut dan minggu-minggu yang menyusul, isu konsert itu telah menjadi topik perbualan dan perbincangan utama di kedai kopi hingga ke laman-laman web.

Tanpa menidakkan pentingnya bantahan Pemuda itu, ramai yang terlepas pandang akan seminar yang di dalamnya terdapat tuntutan-tuntutan yang dikatakan boleh mengancam “survival” umat Islam. Tuntutan-tuntutan yang mahukan kuota bumiputera bagi unit-unit kediaman yang dijual dikaji semula. Tuntutan-tuntutan yang mahukan kuota rumah kos rendah yang perlu dibina oleh para pemaju dihapuskan.

Ada yang mengatakan kuota-kuota ini adalah cara UMNO untuk menjaga kepentingan kroni-kroni mereka. Ada yang mengatakan ianya untuk menjaga kepentingan orang Melayu, orang Islam di pusat-pusat pembangunan utama di negeri ini. Agar nasib mereka di Selangor tidak akan menjadi seperti nasib orang-orang Melayu di Kg. Siglap, Singapura yang hanya tinggal kenangan, yang hanya boleh ditonton di filem-filem lama Mat Sentul atau dirasai melalui rekod-rekod 60’an The Siglap Five dan The Swallows.

Walaupun terdapat dua pandangan yang berbeza, tidak ada memorandum membantah tuntutan-tuntutan itu walaupun impaknya lebih besar dari Mas Idayu atau Ella.

Seblum ini apabila terdapat Exco Kerajaan Negeri Selangor mahu menghapuskan had keluasan 10,000 kaki persegi untuk rumah-rumah ibadat, ramai yang melenting walhal impak tuntutan ini tidaklah sebesar impak tuntutan-tuntutan perumahan itu.

Cuba bayangkan dua keadaan. Sebuah bandar baru tanpa umat Melayu, umat Islam tetapi gereja, tokong dan kuilnya dihadkan kepada 10,000 kaki persegi dan sebuah bandar baru yang mempunyai peratusan umat Melayu, umat Islam yang tinggi tetapi gereja, tokong dan kuilnya sehingga mungkin 15,000 kaki persegi. Yang mana satu akan mengancam “survival” umat Islam.

Memorandum Pemuda perlu kerana ia menegaskan pendirian PAS, memperjelaskan prinsip-prinsip perjuangan PAS tetapi kita sepatutnya berupaya untuk sensitif kepada lebih dari hanya isu artis dan konsert sahaja. Perkara-perkara seperti tanah, perumahan, alam sekitar, pelancungan, pertanian, perlombongan, pengurusan bangunan malah hidupan liar juga menuntut kita menjelaskan pendirian Islam terhadapnya.

Tidak ada sebab untuk berkata tidak tahu kerana sindrom tidak tahu telah ada pada orang Melayu sejak berabad-abad. Saya diberitahu cadangan British menubuhkan Malayan Union tidak dirasakan impaknya oleh umat Melayu sehingga seorang bernama Pak Lomak menghebohkannya kepada orang-orang kampung. Mungkin itu satu dongengan atau mungkin saya telah diberikan maklumat yang silap tetapi “ignorant is not an excuse”.

11 Julai 2008

Wednesday, July 9, 2008

MENANGANI KEPELBAGAIAN

Ketika kita cemas dengan Mas Idayu dan Ella, rupa-rupanya ada yang lebih mencemaskan malah turut mengancam. “Ratu Rock” dan “Ratu Dangdut” yang hadir sebelum satu perlawanan bolasepak 6 Julai lepas amat dibimbangi akan menghanyut umat Islam. Menjadikan mereka memaksikan hidup mereka kepada hiburan dan akan menjauhkan diri dari agama. Melahirkan masyarakat yang subur dengan pelbagai gejala sosial yang ditahap terkini sudah membimbangkan kita.

Tetapi insiden di protes “Turun Minyak” pada hari yang sama, hanya beberapa kilometer darinya, menunjukkan bertapa banyak tentang negara kita yang kita tidak tahu. Londehan seluar oleh seorang ahli kumpulan “underground” Carburetor Dung membuat Ella dan Mas Idayu kelihatan begitu sopan.

Tentu sekali selepas ini pimpinan PAS yang terlibat secara langsung di dalam perhimpunan itu seperti Dr. Hatta Ramli akan dicincang lumat-lumat di dalam blog-blog dan laman-laman web yang lain. Muktamar PAS yang akan berlangsung bulan depan juga akan menyaksikan para pemidato menunjukkan kehebatan mereka mengupas insiden londehan itu dan menyembelih mereka yang terlibat.

Bukan tujuan saya untuk mempertahankan apa yang telah terjadi tetapi saya menganggap peristiwa yang berlaku akan terus berlaku apabila kita berjaya melebarkan sokongan kita kepada setiap golongan rakyat. PAS bukan lagi berlegar-legar di kalangan “orang baik-baik” sahaja. Kita berhadapan dengan seribu satu jenis manusia.

Memang mudah untuk mengatakan bahawa kita mestilah berupaya mengawal keadaan. We must be in control. Memang mudah untuk mengeluarkan ayat-ayat Al-Quran atau fatwa-fatwa Yusuf Al-Qardhawi ketika berceramah, berkuliah atau mencoret di dalam blog tetapi tugas yang dihadapi oleh pimpinan kita seperti Dr. Hatta yang terpaksa berhadapan dengan kepelbagaian ketika menganjurkan protes itu adalah bukan tugas yang mudah.

Bagi ramai orang PAS yang saya temui, protes itu gagal kerana ia berbentuk carnival. Mereka mahu protes jalanan yang kata mereka lebih serius. Dihambat dan disembur. Mesejnya tidak sampai kata mereka jika tidak ada insiden kejar mengejar.

Sebalik terdapat yang berpendapat protes berbentuk karnival itu efektif kerana ia boleh melibatkan setiap lapisan masyarakat tanpa merasa takut sekiranya akan dihambat FRU. Di Jakarta, Bangkok atau Manila, protes berbentuk karnival ini pernah berjalan berhari-hari.

Ketika menjadi pembangkang dulu, kita marah apabila kita tidak dapat menggunakan stadium. Kita kata kerajaan tidak adil, berat sebelah. Kita mencabar kerajaan supaya membenarkan kita menggunakan Stadium Bukit Jalil, Stadium Shah Alam dan stadium-stadium utama yang lain. Tetapi apabila kita boleh menggunakannya kerana pihak berkuasa tempatan berada di bawah kawalan kita, kita pula kesal telah mengadakan protes tertutup. Mahu protes terbuka.

Berbalik kepada kepelbagaian, kita hendaklah memahami kepayahan yang dihadapi oleh mereka yang terpaksa menangani dan berhadapan dengan kepelbagaian ini. Terdapat di antara mereka yang bersama- kita mengaku sebagai Marxist. Ada pula yang mengaku sebagai Maoist. Kita terpaksa hidup bersama mereka walaupun sudah tentu kita sama sekali tidak akan meredhai mereka. Atau kita boleh mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan mereka dan berkubu di Kelantan atau Kedah.

Tidak semua orang boleh atau mahu duduk di barisan hadapan untuk melakukan “engagement” tetapi ramai yang sedia menghentam mereka yang duduk di hadapan. Usaha-usaha nampaknya lebih ditumpukan kepada mencari kesalahan dan bukan untuk membantu agar tugas yang dilaksanakan itu berjaya. “Engagement” semasa menjadi pembangkang pula berlainan dari “engagement” ketika berkerajaan. Kita juga mungkin mempunyai terlalu ramai “pengulas-pengulas kerusi empuk” yang mungkin berada di dalam persekitaran yang begitu selesa dan “idealistic” maka gagal memahami apa yang berlaku di luar atau di bawah.

10 Jun 2008

JANGAN SEKADAR KONSEP SAHAJA ......

Ketika belajar “architecture” di Hull, U.K. dulu apabila kami mempersembahkan projek kami untuk dinilai, selalunya soalan pertama yang akan ditanya oleh para pensyarah adalah apakah konsep projek kamu?

Dalam apa saja projek yang kami hasilkan sama ada muzium, pusat komuniti, hotel, sekolah, pejabat, pangsapuri malah sebiji banglo pun kami akan ditanya konsep rekabentuk kami.

Kami diajar untuk memastikan sebelum sebarang rekabentuk dihasilkan, konsep bagi projek itu perlu dikenalpasti terlebih dahulu. Konsep ini akan menentukan segala-galanya, dari yang paling kecil kepada yang paling besar. Dari kecuraman bumbung kepada saiz pemulas pintu. Dari penyusunan ruang kepada bentuk tingkap. Dari ketinggian pokok yang ditanam kepada kemasan bagi lantai.

Begitulah juga di dalam kehidupan, di dalam apa saja yang kita lakukan, perlu ada garispanduan yang perlu dipatuhi agar perkara-perkara yang dilaksanakan tidak tersasar atau terbabas dari yang dihasratkan.

Di dalam “architecture”, konsep ini mungkin akan ditentukan oleh “trend” semasa, kehendak dan keperluan klien atau arahan pensyarah ketika belajar. Tidaklah susah sangat untuk menetapkan konsep tetapi bagaimanakah perlaksanaannya? Bagaimana hendak menterjemah konsep kepada sesuatu yang boleh dilihat, dipegang dan digunakan?

Ini yang memeningkan kami ketika belajar dulu. Ada di antara kami menconteng berhelai-helai kertas untuk mencari “perfection”. Ada yang membaca bertan-tan buku dan majalah untuk mendapatkan ilham. Ada yang berjam-jam merenung ke luar tingkap untuk mencari jawapannya. Walau bagaimanapun merenung ke luar tingkap tidak akan banyak membantu kerana Hull yang sentiasa mendung jika tidak hujan dan diselubungi dengan bau ikan ( Ia adalah satu pelabuhan perikanan yang penting ) bukanlah satu sumber inspirasi.

Seperti banyak bandar-bandar di timur laut England, ia dipenuhi dengan deretan rumah-rumah para “marhaen” yang pada asalnya dikerah untuk bekerja di kilang-kilang sebelum Perang Dunia Pertama. Hanyalah bangunan-bangunan “bata merah” ( red brick ) dalam tahun-tahun 60’an dan 70’an atau bangunan-bangunan yang dibina ketika zaman kegemilangan Ratu Victoria telah membawa sedikit kecerian kepada bandaraya 10 terbesar di UK ini.

Baru-baru ini seorang pimpinan tertinggi PAS menegaskan bahawa PAS tidak akan lari dari “orbit” Islam. Di dalam berkerajaan atau bersama-sama menubuhkan kerajaan, PAS tetap tidak akan lari dari prinsipnya. Seperti merekabentuk bangunan yang berpegang kepada konsep atau asas-asas yang ditetapkan, mentadbir sesebuah negeri atau merancang pembangunan perlulah selari dengan konsep asal parti itu ditubuhkan. Tetapi bagaimana?

Kita mempunyai ramai yang boleh bersyarah tentang konsep atau garispanduan secara umum tetapi bukan semua yang mahu menjuruskan kepada peringkat perlaksanaan secara terperinci. Mungkin bagi perkara-perkara yang disebut khusus di dalam Islam atau merupakan bidang-bidang tradisional bagi PAS, kita tidak mempunyai masalah besar tetapi bagaimana pula perkara-perkara baru yang terpaksa kita hadapi sebagai kerajaan? Tambahan pula, konsep di atas kertas itu jauh lebih mudah dari perlaksanaan yang melibatkan manusia. Di antaranya pula manusia yang tidak memahami Islam, prejudis terhadap Islam atau menentang Islam.

Memerintah itu lebih dari hanya slogan. Kita selalu berkata, “Kembalilah kepada Islam” tetapi bagi kebanyakan dari kita ia hanyalah slogan di bibir. Atau coretan dan soroton di dalam “blog”. Ia memerlukan pengembelengan tenaga yang merumuskan kepada peringkat yang paling terperinci. Tidak memadai hanya teori-teori tetapi penyelesaian kepada masalah di dalam dunia yang nyata bukan sesuatu di atas kertas atau di dalam “cyberspace”.

Sepertimana di dalam “architecture” semasa belajar dua puluh tahun dulu, tidak memadai berkata bangunan saya adalah ala Stirling atau Foster, Hadid atau Graves tetapi sehingga elemen yang paling kecil perlu difikirkan.

9 Julai 2008