Friday, June 20, 2008

BIJAKNYA MASYARAKAT CINA

Kita selalu mendengar teori bagaimana orang Cina menuntut hak-hak mereka melalui dua saluran.

Yang pertama adalah dari dalam kerajaan di mana parti-parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan membuat tuntutan atau mempertahankan hak-hak mereka dari dalam.

Saluran kedua adalah dari luar kerajaan terutamanya melalui parti pembangkang DAP atau NGO-NGO masyarakat kaum Cina.

Bagi isu-isu yang terlalu sensitif untuk dibangkitkan di dalam kerajaan yang mungkin akan menggugat kedudukan MCA di dalam BN atau akan menyebabkan BN kelihatan lemah atau menggentingkan hubungan di antara pimpinan MCA dan PM maka saluran kedua ini digunakan.

Saya belum berkesempatan untuk bertanya rakan-rakan di dalam DAP adakah teori ini benar tetapi nampaknya banyak perkara yang dituntut oleh masyarakat Cina melalui saluran DAP dan NGO-NGO telah dipenuhi kerajaan walaupun secara tidak langsung.

Mungkin ada “pre-council” antara mereka, yang ini MCA yang bersuara dan yang itu pula DAP atau NGO, saya tidak tahu.

Mungkin “bola tanggung” yang diwujudkan DAP atau NGO-NGO dilibas oleh MCA, juga saya tidak tahu kerana saya tidak pernah menghadiri mesyuarat-mesyuarat Kabinet. Tetapi di suatu masa dulu “bola tanggung” ini turut diwujudkan oleh Pemuda MCA yang ketika itu dipimpin oleh Lee Kim Sai.

Pemimpin MCA mungkin nampak lemah di luar tetapi hanya mereka di dalam BN sahaja boleh menjawab tentang peranan mereka di dalam memastikan tuntutan-tuntutan masyarakat Cina melalui DAP dan NGO-NGO dipenuhi kerajaan.

Tetapi hanyalah apabila masyarakat Cina mahukan perubahan yang lebih dari apa yang sanggup ditawarkan oleh pentadbiran Pak Lah, kerana dia juga perlu memikirkan tuntutan dari masyarakat Melayu juga, “persefahaman” ini nampaknya terlalu perlahan untuk mendapatkan apa yang dituntut oleh masyarakat itu.

Walau bagaimanapun cuba bandingkan dengan masyarakat yang hanya mempunyai MIC di dalam kerajaan. Mungkin saya salah tetapi saya tidak melihat sebarang saluran luar kerajaan bagi masyarakat India yang boleh memperjuangkan perkara-perkara yang tidak dapat diperjuangkan oleh MIC di dalam kerajaan.

21 Jun 2008

Sunday, June 15, 2008

PAS MESTI KEKAL SEBAGAI KUMPLULAN PENDESAK

Pada hari Jumaat lepas, satu perarakan aman membantah kenaikan harga minyak telah diadakan di bandaraya Kuala Lumpur. Satu perhimpunan besar ala Bersih 2007 telah dirancang untuk bulan Julai bagi membantah tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sehingga 41%.

Bagi kedua-dua bantahan ini, PAS adalah merupakan penggerak utamanya. Walaupun PAS di dalam Pakatan Rakyat yang telah membentuk kerajaan di 5 negeri namun pendekatan bantahan secara aman ini masih terus dikekalkan. Kenapa tidak bantahan dibuat melalui saluran kerajaan ke kerajaan? Ini tidak mungkin kerana BN yang walaupun di ambang kematian nampaknya semakin angkuh.

Saya berpendapat peranan PAS sebagai kumpulan pendesak atau “pressure group” ini perlu dikekalkan. Walaupun di negeri-negeri di mana PAS memerintah atau menjadi rakan kongsi di dalam pemerintahan, PAS perlu terus menjadi kumpulan pendesak. Malah di negeri-negeri itu PAS patut berperanan dengan lebih aktif lagi. Walaupun MB mungkin PAS atau Exco-Exco juga ada dari kalangan PAS tetapi PAS Kawasan-Kawasan atau Cawangan-Cawangan perlu diberi ruang yang sepenuhnya untuk menegur.

Lebih-lebih lagi jika PAS berada di dalam sebuah kerajaan campuran. Realitinya kadang-kala terdapat perbezaan di antara parti-parti yang berkerajaan. Walaupun dalam banyak hal ini dapat diselesaikan tetapi ada perkara-perkara yang ahli-ahli tidak berpuas hati. Pada saya tidak salah Kawasan-Kawasan atau Cawangan-Cawangan menghantar memorandum untuk menyatakan pendirian mereka atau rasa tidak puas hati mereka.

Malah, secara peribadi saya berpendapat, kalau perlu, hendak mengadakan demonstrasi sekalipun tidak menjadi masalah. Ini lebih baik dari menajaja rasa tidak puas hati mereka di kedai-kedai kopi atau di serambi-serambi surau. Ketika Saidina Umar R.A. dilantik menjadi Khalifah, salah seorang yang hadir telah bangkit dan berkata jika Umar tidak betul, beliau akan membetulkannya dengan pedangnya dan Umar tidak pula menangkap orang itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Walau bagaimanapun biarlah ianya menerusi saluran yang betul seperti menghantar surat resmi atau memorandum dan bukanlah surat layang, SMS layang atau sekadar-kadar borak-borak di kedai-kedai kopi.

Pandangan dari adala bawah penting bagi Exco kita untuk membuat keputusan atau memberi gambaran kepada Menteri Besar dan Exco-Exco tentang sentimen di akar umbi.

15 Jun 2008

LIM GUAN ENG DAN UMAR ABDUL AZIZ

Dengar cerita seorang pimpinan PAS telah tawarkan jawatan di dalam sebuah GLC kerajaan Pulau Pinang. Tetapi beliau telah menolak tawaran itu kerana tidak mahu terikat dan tidak mahu hilang kebebasan untuk menegur. Tindakan ini mungkin tidak akan difahami oleh pimpinan BN kerana jawatan di dalam GLC memang sesuatu yang dikejar. Ada elaun. Ada peluang untuk mendapatkan kontrak. Ada peluang untuk mengagihkan kontrak.

Tetapi GLC ini amat penting. Ada negeri yang mempunyai beratus-ratus GLC. Penting orang parti duduk di dalamnya untuk memastikan halatuju syarikat-syarikat itu selaras dengan aspirasi atau manifesto parti yang memerintah. Kita tidak mahu GLC itu berkembang atau berjalan tidak sejajar dengan polisi parti yang memerintah. Walaupun Pakatan baru 100 hari memerintah tetapi jika tidak ada orang parti mengawal mungkin banyak harta-harta telah digadai. Tidak seharusnya menunggu sehingga segala-galanya botak licin bagaikan gua penyamun yang disapu bersih oleh Kassim Baba.

Dulu Ketua Menteri Pulau Pinang ada berkata beliau kagum dengan Umar Abdul Aziz. Jadi tahniah kepada DAP Pulau Pinang kerana walaupun PAS hanya ada satu kerusi di negeri itu, ada pemimpin PAS yang ditawarkan jawatan di dalam GLC. Sama ada beliau ikhlas atau tidak membuat perlantikan itu tidak penting, yang penting beliau telah menghantar banyak mesej penting kepada kita semua.

14 Jun 2008

Wednesday, June 11, 2008

“TO BE A MUSLIM IS TO BE A SCIENTIST”

Akhirnya cuti sekolah pun berakhir. Maka bermulalah kesesakan jalanraya. Taman-taman menjadi sepi semula kecuali di waktu pagi dan petang.

Seperti biasa cuti sekolah yang lepas melihat kenduri-kenduri kahwin diadakan di serata ceruk dan pelusuk. Tetapi terdapat banyak kelainan di antara kenduri kahwin dulu dan sekarang. Kalau dulu, hidangan di masak secara bergotong royong tetapi sekarang semuanya “catering”. Tidak ada lagi rewang. Kalau dulu bunga telur dengan telur rebus diberikan kepada tetamu tetapi sekarang telur telah diganti dengan bahan-bahan lain. Mungkin kepakaran untuk merebus beribu-ribu biji telur tanpa pecah atau retak sudah hampir pupus. Maka diganti dengan tuala kecil, kipas kecil, sabun atau gula-gula dan agar-agar untuk kanak-kanak.

Pada saya hendak bagi apa pun bagilah tidak ada undang-undang yang menetapkan telur rebus wajib diberikan kepada tetamu. Tetapi saya agak berhati-hati apabila gula-gula atau agar-agar diberikan kepada anak-anak saya yang selalunya mengikut saya ke kenduri. Anak-anak saya pula jika was-was akan membuangkannya sahaja. Saya tidak menyalahkan tuan rumah tetapi kadang kala mereka terlepas pandang atau menyerahkan bulat-bulat kepada “caterer”.

Sekarang kita melihat barangan dari Negara China membanjiri negara kita. Gula-gula adalah di antara yang dilambakkan ke dalam pasaran negara kita. Maka itu sebabnya saya memperingatkan anak-anak saya agar membaca label gula-gula atau cokelat yang mereka terima. Kalau tidak ada ‘Halal Bintang” (Halal Jakim), jangan makan. Walaupun ada yang meragui “Halal Jakim” tetapi “at least something rather than nothing at all”.

Ada orang berkata, “To be a Muslim is to be a scientist”, memang benar kerana untuk kita menjaga halal dan haram terutamanya dari segi pemakanan kita perlu menjadi seperti ahli sains, mengetahui komposisi sesuatu produk makanan malah asal usul bahan-bahan yang digunakan. Akibat tidak sensitif atau sikap tidak mahu ambil tahu ini yang mengakibatkan kita di Malaysia selama berpuluh tahun memakan gelatin yang diproses dari babi.

Kadang kala saya rasa marah apabila melihat peniaga-peniaga Melayu Muslim yang menjual gula, cokelat, lolipop dan pelbagai makanan kepada kanak-kanak tanpa mengetahui asal usul makanan tersebut.

Produk dari Negara China dan Thailand yang kadang kala tidak ada tulisan di dalam bahasa yang boleh kita fahami. Kalau ada ditulis pun agak kurang jelas, contohnya “emulsifier”, dari sumber mana? Soya atau babi? “Colouring” dihasilkan dari apa? Ada “colouring” dihasilkan dari kumbang. Jika mengandungi E471, apa itu E471?

Tetapi kerana sikap tidak peduli peniaga, dijual kepada anak-anak kita tanpa usul periksa. Tidak ada langsung sebarang rasa syak sama ada produk yang dijual mengandungi lemak binatang yang tidak disembelih atau ramuan-ramuan tidak halal yang lain.

Bukan itu sahaja, kalau kita mengkaji industri makanan terdapat ramuan yang digunakan adalah dari rambut manusia atau bulu ayam. Menjijikkan tetapi berapa ramai yang bertanya atau meneliti label produk yang hendak dibeli? Bukan semua yang dijual di Malaysia adalah halal. Saya pernah makan “hi-tea” di satu hotel di Kuala Lumpur tetapi apabila hendak mengambil satu “dessert”, seorang tukang masak yang kebetulan berada di situ berkata, “Yang ini orang Islam tak boleh makan, ada arak”. Tidak ada label yang menyatakan mana yang halal dan mana yang haram.

Yang penting adalah kesedaran dan pendidikan. Do not take things for granted. Dulu di sekolah kita sering menggunakan berus melukis dengan bulu hitam yang lurus. Hanya beberapa tahun lepas, kita mengetahui ianya dibuat dari bulu babi. Begitu juga berus cat yang berbulu hitam yang tebal, juga bulu babi. Ramai yang tidak percaya kerana pada mereka babi berwarna “pink” dan tidak berbulu. Mereka tidak pernah melihat babi dari Negara China atau Eropah yang berbulu tebal seperti beruang!

Memang rumit tetapi dengan generasi muda Melayu Muslim dilanda dengan pelbagai gejala sosial mungkin pemakanan mereka yang dari sumber yang tidak halal menyebabkan generasi tersebut menjadi rosak. Atau doa-doa kita juga ditolak kerana sumber makanan kita tidak halal.

SENSITIVITI KAUM DAN AGAMA

Awal minggu ini Utusan Malaysia telah memainkan satu isu agama untuk cuba menghasut orang-orang Melayu Islam di Selangor agar marah kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Perkara ini adalah susulan kepada cadangan seorang Exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar bahawa tidak ada had lagi bagi keluasan rumah-rumah ibadat bukan Islam di Selangor.

Bagi mereka yang senang diapi-apikan dengan isu agama dan perkauman, sudah tentu akan terus melenting. Saya ada menerima SMS tentangnya.

Utusan Malaysia telah menelefon saya pada hari Isnin lepas tentang isu yang hendak mereka mainkan. Ketika itu saya berada di Hospital Serdang untuk membuat “medical check-up”. Saya memberitahu wartawan yang menelefon agar menelefon balik di sebelah petang.

Apabila telefon saya berbunyi di sebelah petang, saya mempunyai pilihan untuk tidak menjawab. Maklumlah tugas Utusan Malaysia sebagai budak suruhan UMNO akan memutar belit sebarang kenyataan yang diberikan. Walau bagaimanapun saya mengambil keputusan untuk membuat kenyataan kerana mahukan penjelasan dari seorang lagi Exco didengari orang ramai.

Walaupun ianya hanyalah cadangan dari seorang Exco tetapi akhbar itu telah memutar belit seolah-olah survival umat Islam di Selangor sedang terancam. Kita ada banyak akta-akta dan enakmen-enakmen lain untuk menjamin kepentingan Islam namun Utusan begitu licik memutar isu ini seperti umat Islam di Selangor di pinggir kepupusan.

Alhamdulillah kenyataan saya walaupun cuba diputarkan sedikit tetapi kebanyakan darinya disiarkan.

UMNO telah lupa bagaimana selama lebih 50 tahun mereka memerintah, ia telah gagal menjaga agama. Jumlah umat Islam yang murtad merupakan bukti kegagalan UMNO.

Oleh itu, janganlah kita melenting “tak tentu pasal”. Utusan bertindak sedemikian kerana mereka tahu kita terlalu senang untuk diprovok. Mungkin kerana kita tidak tahu pandangan Islam yang sebenar terhadap hak orang-orang bukan Islam untuk beribadat. Kita hanya mengandaikan inilah sebenarnya kehendak Islam. Atau kita tidak ada “contact” dengan mereka kecuali mungkin ketika pilihanraya atau membaiki kereta.

KISAH BENAR : ANGKARA IKAN KEMBUNG

Pernah satu ketika di sekolah rendah di Petaling Jaya, oleh kerana kedua ibu bapa saya bekerja maka kami telah menempah lauk pauk dari seorang makcik yang tinggal berdekatan dengan rumah kami. Setiap hari kami akan mengambil lauk-lauk yang diisi di dalam mangkuk tingkat kuning.

Saya kurang pasti sama ada saya berada di dalam darjah berapa ketika itu. Mungkin darjah dua. Tetapi yang saya ingat, makcik tersebut telah memasak ikan kembung hampir setiap hari.

Oleh kerana jemu dengan ikan kembung, satu hari saya telah menulis nota, “Kenapa tiap-tiap hari ikan kembung?”, dan memasukkannya ke dalam mangkuk tingkat yang hendak dipulangkan kepada makcik itu.

Maka tentulah dia begitu marah. Saya tidak begitu ingat apa yang berlaku selepas itu, sama ada ikan kembung telah diganti dengan ikan-ikan lain atau kami tidak lagi menempah lauk dari makcik itu.

Hari ini sebagai ADUN ramai yang datang mengadu tentang 1001 hal. Di dalam banyak hal adalah lebih cepat dan mudah jika mereka boleh menulis surat dan saya akan cop dan tandatangan di atas surat mereka. Sama ada aduan kepada MPAJ, Pejabat Tanah, Polis, pemaju dan banyak lagi.

Saya yakin menulis surat adalah satu perkara yang mudah. Tidak kiralah hendak menulis tangan atau menaip, ianya dapat membantu saya untuk membantu anda dengan lebih pantas lagi. Kalau budak darjah dua pun boleh menulis nota protes disebabkan ikan kembung maka sudah tentu kita yang dewasa boleh melakukan lebih dari itu.

12 Jun 2008

Sunday, June 8, 2008

OKU’s are not relevant as Councilors says Isa Kassim (ADUN BN Hina Orang Kurang Upaya)

Isa Abu Kasim, the BN State Assemblyman for Batang Kali, in today’s Sinar Harian* (A local Malay tabloid) labeled the proposal by the Selangor government to appoint the disabled or OKU (Orang Kurang Upaya) as local government councilors as irrelevant.

According to him the OKU’s would not be able to carry out their duties as councilors as they are unable to visit their constituencies to look into the problems of the people.


Such a statement is an insult to the OKU’s and an act unbecoming of a people’s representative.

Many OKU’s despite their disabilities have performed their duties equally well if not better than most citizens without any disability. In the UK there has been a government minister that is blind.

I am sure that there are many OKU’s in Isa’s constituencies. As a leader, he should have least give them some form of encouragement rather than dismissing them as irrelevant. Isa’s act of belittling the OKU’s must not be left unpunished by society.

*Full report – Page S18, Sinar Harian, 8 June 2008.

Katanya sikap mereka yang mahu memperbaharui pemerintahan membuatkan sesuatu perkara yang dilakukan tidak relevan seperti mengambil salah seorang ahli majlis dari kalangan orang kurang upaya (OKU).

"Menteri Besar berhak untuk lantik sesiapa untuk menjadi ahli majlis tetapi perlu lihat kesesuaiannya dalam keadaan tertentu, contohnya kalau OKU jadi ahli majlis, bolehlah dia pergi turun melawat kawasan untuk meninjau masalah penduduk?," soalnya.

Saturday, June 7, 2008

MINYAK NAIK 78 SEN FAHAM!

Projek pertama yang saya bekerja setelah pulang dari Britain adalah Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah Darul Aman. Sintok sebenarnya tidak lagi wujud, ianya telah dibakar oleh pengganas komunis. Yang wujud hanyalah pekan Changlun, lebih kurang 10 km dari tapak projek universiti itu. Ketika itu, Changlun adalah sebuah pekan koboi lebih kurang 25 km dari sempadan Negeri Thai. Ramai penduduk di pekan itu, Melayu atau Cina, boleh berbahasa Thai. Malah saya juga sedikit sebanyak dapat berbahasa Thai ketika di sana. Mungkin ini adalah peninggalan dari penjajahan Thai yang menguasai negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Saya difahamkan ramai orang-orang tua di Kedah yang masih ingat akan kekejaman tentera Thai yang menjajah utara Tanah Melayu.

Ramai di antara kami yang bekerja di projek tersebut tinggal di Jitra malah ada di Alor Setar kerana jumlah rumah sewa di Changloon adalah amat terhad. Mungkin ada hampir 500 kakitangan syarikat konsultan dan kontraktor untuk projek dengan nilai keseluruhan hampir RM 1 billion itu.

Selalunya setiap pagi kami akan bersarapan pagi di Changlun. Harga makanan di Changlun adalah jauh lebih murah dari di Kuala Lumpur. Bagi kami yang dibayar gaji “standard” Kuala Lumpur beserta dengan eluan tambahan kerana bekerja di tempat “jin bertendang”, kehidupan adalah agak mewah. Kami hanya makan dan terus makan tanpa mengetahui harga sebenar nasi atau kuih yang ditelan. Satu kebiasaan masyarakat di Changlun, mereka lebih suka bersarapan nasi. Mungkin kerana terpaksa membuat kerja berat di sawah atau ladang. Tetapi ada satu peristiwa yang membuat saya memikirkan semula tabiat kami “melantak” tanpa berfikir.

Pada satu pagi sedang kami makan, dua orang pasangan suami isteri Cina, separuh umur, dengan baju yang lusuh masuk ke kedai untuk membeli kuih. Mereka telah datang dengan sebuah motosikal buruk dan di belakangnya adalah bekas logam yang selalunya digunakan untuk mengisi susu getah. Mungkin mereka baru balik dari menoreh atau dari menghantar susu getah yang telah ditoreh.

Pasangan itu berbincang memilih-milih kuih yang hendak dibeli. Kemudian mengira duit syiling yang ada di tangan mereka. Berbincang dan mengira berkali-kali sebelum membeli. Berbanding dengan kami yang akan membeli tanpa mengetahui harga kuih-kuih itu. Keperitan dan kepayahan hidup jelas terpancar di air muka mereka. Mungkin ada anak-anak yang menunggu di rumah tetapi duit tidak mencukupi untuk membeli untuk semua. Pelbagai persoalan telah timbul.

Mungkin tidak ramai penduduk kota seperti Kuala Lumpur yang pernah menyaksikan peristiwa seperti ini. Jika pernah, mungkin tidak akan memahami keperitan yang dilalui oleh mereka. Sehubungan itu, apabila minyak naik 78 sen atau 41% dan apabila pemimpin BN menyuruh rakyat menukar cara hidup mereka, adakah mereka benar-benar faham kesempitan hidup yang mencengkam kehidupan para Marhaen?

Dengan BMW dan Mercedez yang minyaknya diisi dengan duit rakyat, adakah mereka menyedari bertapa terhimpitnya rakyat yang hanya memandu Kancil atau Proton tetapi terpaksa membeli minyak dengan duit mereka sendiri?

Mereka boleh turun padang meninjau keadaan rakyat yang melarat tetapi di sebelah malam mereka akan tetap kembali ke mahligai masing-masing walhal rakyat akan terus kekal di dalam pondok-pondok usang atau kotak-kotak konkrit yang sempit.

Saya amat bimbang sekiranya pemimpin Pakatan akan menjadi seperti mereka. Mereka mesti benar-benar memahami atau lebih baik lagi menjiwai penderitaan yang dilalui oleh rakyat.

Memang benar kerajaan akan dapat menjimatkan berbillion ringgit dengan menaikkan harga minyak tetapi yang mana lebih penting, kebajikan rakyat atau wang berbillion ringgit?

Mentadbir negara bukanlah seperti menguruskan sebuah syarikat. Kejayaan mentadbir negara atau negeri tidak semestinya diukur dengan jumlah baki di dalam bank. Apa guna duit yang banyak tetapi rakyat hidup merempat? Apa guna mempunyai aset yang banyak tetapi rakyat hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang?

Pemimpin mestilah “in touch” dengan rakyat jelata. Memahami mereka yang bergaji rendah. Memahami mereka yang menumpang di tanah-tanah kerajaan untuk tempat berteduh atau mendapatkan sesuap nasi. Memahami mereka yang terpaksa mempunyai dua pekerjaan untuk membesarkan anak-anak. Memahami mereka yang sentiasa dihambat oleh penguatkuasa majlis perbandaran semata-mata untuk menanggung keluarga. Memahami mereka yang terpaksa melutut kepada Along kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

Inilah realiti berkerajaan. Bukan satu kerja yang mudah. Sama ada menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, Exco malah AJK Masjid atau Surau, terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan. Anda perlu memikirkan segala-segalanya!

7 Jun 2008

Monday, June 2, 2008

JANGAN KITA MENJADI SEPERTI TUAN PENYAPU

Belanda telah menguasai Melaka dari 1641 sehingga 1724. Mereka telah merampasnya dari Portugis dalam beberapa siri peperangan yang akhirnya melihat penguasaan Portugis ke atas pelabuhan itu berakhir setelah 130 tahun.

Belanda pula telah melepaskan Melaka kepada Inggeris di dalam satu perjanjian yang melihat alam Melayu terbahagi dua hingga ke hari ini.

Ketika Belanda memerintah Kota Melaka, mereka telah memastikan kebersihan pelabuhan itu dengan melantik seorang penguatkuasa. Beliau akan menunggang kuda ke seluruh kota dan memastikan keadaannya bersih. Apabila penduduk melihat beliau datang, mereka akan pergi mendapatkan penyapu dan terus menyapu kawasan rumah mereka jika tidak mahu didenda. Akhirnya penguatkuasa ini digelar sebagai “Tuan Penyapu”. Saya tidak tahu berapa ramai “Tuan Penyapu” yang telah dilantik ketika era Belanda di Melaka tetapi salah seorang darinya telah menjadi gila dan telah terjun dari sebuah menara lalu terus meninggal dunia. “Tuan Penyapu” ini tidak disukai oleh penduduk Kota Melaka.

Di zaman ini tidak ada “Tuan Penyapu” tetapi yang paling hampir kepada beliau adalah bekas Menteri Besar Selangor, Dato Seri Mohammad Khir Toyo. Beliau tidak menunggang kuda seperti “Tuan Penyapu” di zaman Belanda tetapi beliau adalah tuan kepada penyapu-penyapu yang telah dihadiahkan kepada pegawai kerajaan yang dikatakan tidak cekap.

Ada yang berpendapat episod penyapu ini adalah di antara sebab-sebab kekalahan BN di Selangor. Pegawai kerajaan yang menerima penyapu ini mungkin tidak cekap tetapi budaya Melayu malah budaya Timur tidak menyukai mereka yang memalukan sesiapa di khalayak ramai.

Apabila Pakatan Rakyat menguasai Selangor, begitu banyak penyelewengan yang telah didedahkan. Duit rakyat disalahguna bagi dimanfaatkan golongan-golongan yang rapat kepada pimpinan BN. Duit rakyat atau dengan lebih tepat lagi duit anak-anak syarikat Kerajaan Negeri digunakan untuk menyelamatkan projek-projek para kroni yang telah atau hampir lingkup. Aset anak-anak syarikat dijual dengan harga yang murah. Segala-galanya terbongkar.

Tetapi Khir Toyo tidak ada lagi untuk menjawab kecuali di Dewan Undangan Negeri di mana beliau hanya mengulangi ungakapan, “Saya tidak faham”, apabila bekali-kali ditanya. Yang tinggal hanyalah pegawai-pegawai kerajaan. Penyelewengan dan salahguna kuasa berlaku di hadapan mata mereka. Tetapi seperti kebanyakan kakitangan kerajaan, mereka hanyalah insan-insan “Saya yang menurut perintah”. Perlukah mereka dipersalahkan? Perlukah mereka dihukum? Perlukah mereka ditelanjangkan?

Saya yakin ramai yang tidak redha dengan apa yang berlaku tetapi inilah Selangor di bawah Khir Toyo. Siapa yang berani melawan? Mereka bukanlah setolol yang disangka tetapi anak-anak masih bersekolah. Hutang rumah, hutang kereta, hutang kredit kad perlu dibayar setiap bulan. Saya tidak mengatakan ianya satu alasan tetapi tidak ramai yang mahu berada di tempat mereka. Kadang kala kita hanya boleh bercakap, berat mata memandang lagi berat bahu memikul. Mereka tidak ada berjuta-juta di dalam bank untuk meninggalkan jawatan mereka.

Tetapi ramai juga yang memprotes terhadap kemungkaran yang berlaku di keliling mereka. Ada yang menulis surat layang kepada BPR dan pemimpin-pemimpin BA, DAP atau NGO. Ada pula yang menyerahkan fail, dokumen, resit, voucher atau CD. Saya pun pernah menerimanya.

Maka apabila tiba pilihanraya, mereka menolak BN. Maka BN pun tumbang. Pakatan berkuasa. Tangan-tangan yang terlibat menjadi alat kepada BN melakukan penyelewengan telah turut menghukum BN di peti undi. Oleh itu, tidak seharusnya mereka dilihat sebagai “penjenayah” yang bersekongkol dengan BN kecuali para-para “opportunist” dan yang meredhai penyelewengan-penyelewengan itu. Jangan aibkan mereka seperti yang dilakukan oleh Ibnu Toyo, si “Tuan Penyapu”. Kelak mereka pula akan menghukum Pakatan.

2 Jun 2008