Wednesday, November 28, 2007

PROVOKASI DAN INFILTRASI

Bukan tujuan saya untuk membincangkan dengan panjang lebar tuntutan Hindu Rights Action Force atau Hindraf tetapi sekadar untuk berkongsi pendapat tentang impak perhimpunan 25 November itu.

Tidak seperti perhimpunan Bersih pada 10 November, perhimpunan Hindraf itu kelihatan lebih ganas dengan ramai penyokong Hindraf dan pihak keselamatan mengalami kecederaan.

Berdasarkan beberapa ceramah-ceramah Hindraf sebelum ini sama ada di Pulau Pinang, Banting atau Johor Baharu yang boleh ditonton di dalam laman “YouTube”, suasana panas pada perhimpunan Ahad lepas adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.

Pada pendapat saya perhimpunan itu mungkin akan memberi dua impak yang besar kepada rakyat terutamanya orang Melayu iaitu :

1. Memori perhimpunan aman Bersih mungkin akan telah terpadam kerana rakyat sekarang telah dihantui oleh babak baling-membaling dan lempar-melempar penyokong-penyokong Hindraf.

2. Orang Melayu mungkin akan merasa terancam dengan apa yang dilihat sebagai kebangkitan Hindu dan seperti biasa UMNO akan melompat ke dalam gelanggang menyanyikan lagu lama, “Marilah kita bersatu di dalam UMNO”.

Di saat dan ketika saham UMNO jatuh menjunam setelah rakyat berjaya mencabar pantang Pak Lah dengan megadakan perhimpunan lebih 100,000, kehadiran Hindraf seolah-olah satu rahmat kepada mereka. Adakah ia satu kebetulan?

Saya tidak berkata bahawa Hindraf ini didalangi oleh UMNO tetapi infiltrasi dan provokasi sudah sekian lama menjadi taktik mereka.

Siapa yang sebenarnya membaling batu pada 25 November lepas?

Siapa yang melempar kayu?

Siapa yang memecahkan tingkap?

Siapa yang melaungkan slogan-slogan perkauman?

BERWASPADALAH SELALU

Sebagai parti bukan kerajaan PAS walaupun di peringkat Cawangan sekalipun akan terdedah kepada pelbagai tindakan provokasi dan infiltrasi.

Pandangan saya bukanlah angan-angan kosong disebabkan terpengaruh dengan filem-filem James Bond atau novel-novel John Le Carre, tetapi ianya berdasarkan pengalaman kita di Pandan.

Pernah sekali Pemuda kita telah merancang satu demonstrasi dan maklumat hanya dihantar melalui SMS begitu lewat kepada penerima-penerima yang terpilih. Walau bagaimanapun dalam masa beberapa jam sahaja saya mendapat panggilan telefon daripada seorang SB bertanyakan tentang demonstrasi tersebut.

Bagaimana SB itu mengetahui?

Di dalam satu kejadian lain, saya pernah menghantar SMS kepada hanya beberapa orang individu memohon bantuan mengedar risalah.

Tetapi di dalam masa yang singkat saya menerima SMS dari nombor yang tidak saya kenali mengutuk PAS kerana kononnya tidak mempunyai tenaga kerja untuk mengedar risalah. Tujuan SMS itu adalah untuk melemahkan semangat kita.

Saya tidak mengatakan di antara kita terdapat “musang berbulu ayam” kerana SMS malah percakapan telefon kita boleh dipintas dengan begitu mudah tetapi kita seharusnya berhati-hati.

BIJAK MENGENALPASTI ANCAMAN

Tambahan pula dengan pilihanraya yang akan muncul bila-bila masa, pelbagai serangan akan dihalakan kepada kita.

Kita tetap dengan prinsip “bersangka-baik” tetapi kita mestilah bijak di dalam mengenalpasti ancaman kepada jemaah.

Ustaz Sidek Noor pernah memberitahu bahawa ketika beliau ditahan di bawah ISA, beliau mendapat tahu bahawa salah seorang tuan rumah tempat beliau berceramah adalah seorang SB.

Kadang-kala yang membawa beg Ustaz pun SB!

Di saat-saat seperti ini jika ada yang muncul, menjanjikan segala-galanya tetapi janganlah kita terlalu terpesona sehingga kepentingan jemaah diabaikan.

Kita teleh bekerja keras untuk mewujudkan perpaduan di antara kita dan memantapkan jentera kita, janganlah di saat-saat kita akan turun berperang segala-galanya hancur begitu sahaja.

APA FOKUS KITA?

Sebagai sebuah jemaah Islam, tanggungjawab kita merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

Sama ada politik, ekonomi, dakwah atau pendidikan, kesemunya patut menjadi sebahagian dari agenda kita.

Ungkapan klasik Ustaz Hassan Shukri bahawa PAS adalah sebuah badan dakwah, parti politik dan gerakan massa tidak akan dilupakan oleh kebanyakan kita.

Tetapi persoalannya adakah kita mempunyai kemampuan untuk melakukan segala-galanya dengan sumber-sumber yang terhad.

Banyak NGO-NGO Islam bertindak mengkhususkan gerakerja mereka kepada beberapa aspek sahaja.

Contohnya JIM mungkin ke hadapan di dalam aspek pendidikan dan perkaderan di kalangan profesional, ABIM dengan hubungan antarabangsa dan dakwah kepada non-Muslim sementara Tabligh pula berusaha mengajak orang ramai ke masjid dan surau.

Secara menyeluruh PAS melakukan semua itu namun di peringkat Kawasan-Kawasan dan Cawangan-Cawangan terdapat pengkhususan tetapi sepatutnya tanpa sebarang pengabaian.

Setiap individu mempunyai minat dan kepakaran masing-masing. Jika minat dan kepakaran ini dihalakan ke arah yang sepatutnya maka natijah yang baik bagi jemaah akan diperolehi.

Tetapi jika kita memaksa seseorang melakukan sesuatu yang tidak disukainya maka natijahnya buruk bagi jemaah.

Kita perlu mencari orang yang sesuai bagi setiap pekerjaan.

MINAT ORANG PANDAN

Di Pandan kita melihat bagaimana Muslimat telah memberi fokus kepada aspek-aspek kebajikan dan kemasyarakatan.

Pada Ramadhan yang lepas, berbelas ribu RM telah dapat dikutip untuk diinfakkan kepada yang memerlukan.

Muslimat juga menempa sejarah apabila berjaya menyelesaikan masalah seorang mangsa Along, satu tugas yang selalunya dilakukan oleh Michael Chong dari Pusat Khidmat MCA walaupun ramai mangsa Along terdiri dari orang-orang Melayu.

Kadang-kala kita memilih-milih siapa hendak dibantu tetapi apabila mereka ini disambar oleh NGO bukan Islam atau lebih parah lagi gerakan “missionary” Kristian, kita hanya pandai berceramah sahaja!

Pemuda kita pula dengan minat dan pengkhususannya tersendiri.

Tahniah kepada pimpinan Pemuda yang telah menjadikannya sebuah entiti perniagaan yang berjaya. Lengkap dengan aset-aset yang berharga dan berupaya memberikan pendapatan kepada ahli-ahlinya.

Kestabilan ekonomi amat penting dan kita masih ingat bagaimana kejayaan Al-Arqam dan Rufaqa’ amat dicemburui.

Sama ada di dalam dakwah atau di dalam politik, kestabilan ekonomi juga penting.

Di dalam dakwah, minyak kereta perlu diisi untuk ke sana dan ke mari!

Di dalam politik, kestabilan ekonomi sedikit sebanyak juga dapat membina keyakinan.

Itu sebabnya MCA tidak menghormati UMNO. Itu sebabnya MCA boleh mengugut UMNO. Itu sebabnya MCA tidak menghiraukan UMNO. Sebab MCA lebih kaya dari UMNO.

20 Zulkaedah 1428 / 30 November 2007

Wednesday, November 21, 2007

PERIHAL FATWA DAN MAJLIS SYURA

Ramai seperti saya yang amat berterima kasih kepada Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin di atas artikel DEMONSTRASI SAH DARI SEGI SYARA’ yang pada mulanya disiarkan di dalam Harakhdaily.

Dengan artikel tersebut ianya dapat mematikan segala hujjah-hujjah yang mengatakan demonstrasi itu bukan budaya kita. Budaya asing. Budaya ganas. Budaya tidak bertamaddun.

Ustaz Ghani telah menceritakan semula kisah bagaimana umat Islam berdemonstrasi, menunjukkan kekuatan apabila Saidina Umar R.A. memeluk Islam.

Tetapi alangkah baik sekiranya bagi setiap isu yang dihadapi kita sekarang terdapat satu penjelasan yang mempunyai “authority” agar dapat di“pegang” oleh semua ahli.

Di dalam hal demonstrasi baru-baru ini, saya yakin Ustaz Ghani mempunyai “authority” yang cukup kuat berdasarkan kedudukan tinggi beliau di dalam Parti dan hujjah beliau itu akan di“pegang” oleh ahli-ahli.

Tetapi bukan sahaja demonstrasi tetapi banyak lagi perkara-perkara dari yang paling kecil kepada yang paling besar diperlukan penjelasan oleh ahli-ahli.

Sama ada yang besar seperti politik dan ekonomi atau perkara-perkara yang melibatkan kehidupan seharian mereka, perlu ada rumusan-rumusan sama ada halal, haram, sunat, makruh atau harus.

Untuk mencari jawapan pada ulamak-ulamak upahan UMNO-BN sudah tentulah “jauh pangggang dari api” tetapi apabila ustaz-ustaz PAS, ustaz-ustaz pro-PAS, ustaz-ustaz yang mahu kelihatan pro-PAS atau ustaz-ustaz yang tidak mahu kelihatan pro-PAS dicari maka kadang-kala jawapannya berbeza-beza. Memang perbezaan pendapat itu sering berlaku sepanjang zaman tetapi perbezaan pendapat boleh mengakibatkan pergerakan di dalam Parti tidak sekata, tidak senada, tidak seirama.

Bertolak dari titik itu, tidak kurang ramai yang mahukan Majlis Syura Ulamak lebih menonjol lagi.

Sedikit masa dahulu Ustaz Hishamuddin Abdul Aziz, mantan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Gombak ketika menyampaikan Tarbiyyah Haraki di Pandan pernah mengupas sebuah buku yang merupakan koleksi fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Masyumi atau jawatankuasa yang mungkin serupa dengannya.

Tidak ramai ahli PAS yang tidak tahu bahawa Masyumi adalah sebuah gerakan Islam di Indonesia. Seperti PAS di Malaysia, Masyumi juga memasuki pilihanraya.

Walau bagaimanapun Ustaz Hishamuddin hanya sempat membentangkan satu fatwa yang diputuskan iaitu hukum membaca doa di antara dua khutbah Jumaat. Begitu terperinci Masyumi, sehingga itu pun dibincangkan mereka dan direkodkan.

Ramai pimpinan PAS di peringkat bawahan terputar akal-akal mereka apabila terdapat pendakwah-pendakwah bebas, pendakwah-pendakwah gaya bebas dan pendakwah-pendakwah mesti bebas muncul dengan pelbagai pendapat yang kadang-kala memecahbelahkan ahli-ahli di akar umbi.

Pada Ramadhan lepas saya terdengar satu tazkirah dari “orang PAS” yang tidak begitu suka dengan mereka yang memakai seluar! Nasib baik mereka yang hadir tidak menganggap begitu serius komen beliau, jika tidak maka bertelagah pulalah ahli-ahli.

Urusan pendaftaran pemilih juga selalu menimbulkan kekecohan. Ramai dengan pendapat masing-masing.

“Tak boleh sheikh itu menipu, daftar sahajalah kat mana kita tinggal.”

Bak kata Alias Congo, “Olang macam ini pun ade ke?”

Hendak buat macam mana, orang-orang macam itu memang benar ada. Maka itu sebabnya ramai juga yang berharap Majlis Syura dapat secara resmi mengeluarkan “fatwa-fatwa” dari masa ke semasa menurut keperluan dan yang paling penting dibukukan. Atau sekurang-kurangnya bernombor rujukan ala Warta Kerajaan. Keputusan-keputusan ini pula sepatutnya mengikat ahli-ahli.

Janganlah pula ianya terbatas kepada perkara yang besar-besar seperti “tahalluf siyaasi” dan calon-calon wanita tetapi lebarkanlah kepada perkara-perkara yang melibatkan ahli-ahli secara langsung.

Maka jika ada perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara atau hukum maka rujuk sajalah kepada keputusan-keputusan tersebut.

“Perkara itu dibolehkan, cuba rujuk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak bilangan 1234”, mungkin akan kita lafazkan jika berlaku perbezaan pendapat di masa akan datang.

Mungkin saya tidak memahami dengan sepenuhnya peranan Majlis Syura Ulamak atau kenapa ia ditubuhkan atau kekangan membukukan keputusan-keputusan yang melibatkan undang-undang atau strategi politik, tetapi langkah besar pertama Parti setelah Dato’ Asri berundur dalam tahun 1982 dan merupakan titik permulaan era kepimpinan ulamak adalah menubuhkan Majlis Syura Ulamak, oleh itu pastikan ia benar-benar berfungsi.

Pada pimpinan di atas, perkara-perkara seperti songkok dan kopiah mungkin dianggap sebagai satu “non-issue” tetapi terdapat ahli-ahli di akar umbi yang akan bertegang urat semata-mata membincangkan persoalan pakai songkok atau pakai kopiah.

Terdapat juga yang berpendapat tidak perlu menyertai pilihanraya kecuali jika kita hampir pasti akan menang, buat sahajalah kerja-kerja dakwah.

Terdapat juga yang berpendapat jika kita memungut derma dari masyarakat untuk memasuki pilihanraya dan kita kalah maka kita dikira seperti berdosa.

Kita berhadapan dengan manusia yang pelbagai ragamnya, ada yang hanya akan akur kepada Nik Aziz dan Ustaz Hadi, pandangan ustaz-ustaz tempatan tidak cukup “standard” baginya. Ada juga yang hanya akan menerima pandangan sheikh-sheikh di Dubai, Tebing Barat, Konya atau Dhaka, pandangan ulamak-ulamak lokal diangggap tidak global.

Coretan ini bukanlah untuk memandai-mandai tetapi sekadar mengharapkan panduan. Tidak juga ia mahukan Majlis Syura Ulamak menenggelamkan Sheikh Yusuf Al-Qardhawi.

Jika perkara=perkara yang disebut telah dilakukan, saya menyusun jari sepuluh kerana telah terlepas pandang atau ketinggalan zaman.

13 ZULKAEDAH 1428 / 23 NOV 2007

Tuesday, November 20, 2007

BERSIHKAN BEKAS TAPAK MEDAN SELERA DI JALAN PANDAN ILMU


Masyarakat di Pandan Indah mahu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengarahkan pemilik tanah bekas sebuah medan selera dibersihkan dengan segera.

Kawasan itu dipenuhi dengan semak-samun dan bangunan-bangunan yang hampir runtuh serta sampah-sarap.

Ianya ditakuti menjadi sarang bagi binatang-binatang merbahaya seperti ular dan anjing liar selain dari tempat pembiakan nyamuk Aedes. Kedudukannya di antara 2 buah sekolah bermakna ia boleh mengancam keselamatan pelajar-pelajar yang melalui kawasan itu.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Iskandar Abdul Samad, telah membangkitkan perkara ini ketika hari bertemu pelanggan MPAJ pada 25 Mei lepas tetapi sehingga kini belum terdapat sebarang tindakan.

POLIS LAMBAT BERTINDAK KERANA CAMPURTANGAN POLITIK?

Ramai yang berpendapat kelewatan pihak polis menangkap dan mendakwa penyerang yang cuba membunuh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Suhaimi Ghazali, berpunca dari campurtangan politik.

Pada 28 September lepas, Suhaimi telah diserang selepas solat Jumaat di luar Masjid Nurul Hidayah, Kg. Pandan Dalam.
Penyerang yang dikenali masyarakat sebagai “Din Jepun” telah menumbuk Suhaimi sejurus selepas solat dan telah pergi untuk mendapatkan senjata untuk menyerang beliau sekali lagi. Suhaimi telah cedera di kepala, bahu, tangan dan kaki.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ampang Jaya pada 29 September tetapi Suhaimi atau pihak PAS belum lagi dimaklumkan tentang apa-apa tindakan oleh pihak polis. Ini amat mengejutkan kerana penyerang pernah menumbuk seorang petugas PAS dua tahun lalu dan dikenali oleh polis.

Apa yang paling mengejutkan, penyerang yang juga dikenali ramai sebagai ahli Pemuda UMNO dan “orang kuat Datuk” telah hadir pada solat Jumaat di masjid yang sama pada minggu yang berikutnya. Ketika itu berpuluh-puluh anggota polis kelihatan berkawal sempena lawatan Sultan Selangor tetapi tiada sebarang usaha untuk menangkap beliau.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Abdul Jalil Hasan, berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera untuk mengelakkan masyarakat menganggap mereka tidak berupaya untuk membanteras jenayah.

Di dalam keadaan kadar jenayah yang semakin meningkat, rakyat perlu diberi keyakinan bahawa keselamatan mereka adalah terjamin dan pihak polis bebas dari tekanan mana-mana pihak, tambahnya lagi.

PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT BERJAYA MEMBELI PEJABAT SENDIRI

Pusat khidmat masyarakat PAS di DUN Cempaka telah berjaya membeli pejabatnya sendiri di Taman Angsana Hilir.

Walaupun ditubuhkan kurang dari 2 tahun, hasil dari sokongan masyarakat ia telah berjaya memiliki pejabatnya sendiri. Buat masa ini ia berkongsi bangunan dengan pejabat PAS Kawasan Pandan di Kg. Pandan dan dijangka berpindah ke pejabat baru pada bulan Januari depan.

Menurut penasihat pusat khidmat ini, Iskandar Abdul Samad (kiri), dengan pejabat sendiri pusat ini akan dapat memberi khidmat yang lebih berkesan kepada masyarakat di Pandan, khususnya di DUN Cempaka.

Beliau yang juga Timbalan Persuruhjaya PAS Negeri Selangor dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan berkata pusat ini sekarang dibuka setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Selain dari menerima aduan rakyat, ia turut menawarkan khidmat nasihat guaman pada pagi Ahad kedua setiap bulan dan rawatan perubatan secara Islam pada pagi Ahad terakhir setiap bulan, tambah Islandar.

Sementara itu, menurut pengarah pusat khidmat ini yang juga merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Suhaimi Ghazali, sumbangan masih diperlukan untuk melengkapkannya. Sumbangan boleh dimasukkan terus ke dalam akaun Bank Islam 140-320-100-3236-4 di atas nama DPP Pandan, katanya.

Sumbangan di dalam bentuk peralatan seperti komputer notebook, kamera digital dan projektor LCD sama ada yang baru atau terpakai adalah dialu-alukan, tambah Suhaimi lagi.

Monday, November 5, 2007

SAYA TIADA PILIHAN

Pada pagi 26 Oktober lepas, setelah menghantar anak-anak ke sekolah di Keramat saya berasa kurang sihat dan mengambil keputusan untuk berehat di rumah ibu saya yang berdekatan.

Ketika itu saya terasa berdebar-debar dan langsung tidak berdaya untuk pergi ke kerja. Saya merasakan terlalu letih walaupun untuk melangkahkan kaki ketika berjalan.

Isteri saya telah beberapa kali menasihatkan saya berjumpa doktor kerana saya telah tidak merasa cergas sejak minggu terakhir bulan Ramadhan.

Pada lebih kurang jam 11.30 pagi, saya telah ke kedai percetakan seorang kawan dari Ampang bagi menguruskan “bookmark” yang ditempah untuk diedarkan ketika ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim malam nanti.

SOLAT JUMAAT

Kemudian saya telah singgah di rumah sekejap untuk meminum air sebelum ke solat Jumaat di Bukit A, Kg. Cheras Baru.

Sejurus selepas solat di dalam keadaan lemah dan tanpa menunggu doa saya telah terus ke kereta. Saya cuba berehat di situ sebentar dan setelah berasa segar sedikit, saya telah ke Pudu untuk mengambil risalah-risalah untuk diedar pada ceramah malam tersebut. Risalah-risalah itu telah siap tiga hari lepas tetapi saya terlalu sibuk untuk mengambilnya.

Dari Pudu saya telah terus balik ke Taman Kencana untuk mengambil isteri dan anak-anak saya sebelum pergi berjumpa doktor.

Sebelum itu saya telah singgah ke rumah Saudara Mustafa untuk menghantar risalah-risalah yang diambil kerana beliau adalah ketua keselamatan malam itu. Tetapi rumah beliau berkunci. Mungkin beliau telah berada di tempat ceramah, markas PAS di Cheras Indah.

Lebih kurang jam 3.30 petang saya telah tiba di klinik di Pandan Indah. Untuk berjalan lebih kurang 10 meter dari kereta ke klinik, saya merasakan bagai memanjat gunung.

Sebenarnya saya bercadang untuk ke Pandan Mewah untuk membeli sebuah khemah kecil bagi ceramah malam itu tetapi merasakan saya perlu berjumpa doktor terlebih dahulu.

Memang tepat keputusan saya kerana doktor mendapati denyutan jantung saya terlalu tinggi walaupun tekanan darah adalah “normal”. Dia kemudian menulis surat dan menyuruh saya terus ke Hospital Ampang.

Terkejut saya apabila melihat beliau menulis perkataan “heart failure” di surat tersebut.

Pada mulanya saya bercadang untuk pergi makan terlebih dahulu kerana belum lagi makan tengah hari tetapi merasakan amat kurang sihat.

TERUS KE HOSPITAL AMPANG

Di bahagian kecemasan hospital, mereka telah melakukan pemeriksaan awal seperti tekanan darah denyutan jantung dan ECG. Kemudian mereka menghantar saya ke zon merah (kritikal).

Di sana, segala jenis “wire” telah dipasang ke badan saya. Terkejut sekali lagi apabila saya mendapati denyutan jantung saya adalah 185 seminit walhal sepatutnya sekitar 60 hingga 70.

Bukan sahaja saya terkejut, kakitangan-kakitangan hospital juga terkejut. Ada yang memberitahu saya bahawa sepatutnya saya sudah tidak sedarkan diri.

Mereka sibuk menelefon untuk mendapatkan nasihat apa yang perlu dilakukan. Ada yang membuka buku untuk mencari apakah ubat yang paling sesuai. Ada yang menekan urat di leher saya tetapi denyutan masih tinggi. Saya juga disuruh menahan nafas tetapi denyutan masih tinggi.

Akhir sekali seorang doktor memberitahu dia akan memberi saya ubat untuk memperlahankan jantung saya. Saya bertanya apakah risiko ubat itu dan dengan serius beliau berkata saya boleh mendapat “cardiac arrest”.

Dengan itu, saya meminta untuk berjumpa dengan isteri saya, mungkin untuk kali terakhir, tetapi saya diberitahu beliau dan anak-anak berada di dalam bilik menunggu untuk keluarga.

Memikirkan kembali, saya sepatutnya merasa takut kerana ubat itu mungkin akan memberhentikan terus jantung saya!

Dengan izin Allah, denyutan jantung saya telah turun ke 95 seminit setelah dimasukkan ubat. Syukur kepada Allah denyutannya menjadi stabil.

Akhirnya saya diberitahu saya terpaksa dimasukan ke dalam wad untuk pemerhatian.

KELEBIHAN DI DALAM JAMAAH

Pada lebih kurang jam 5.15 petang, Saudara Suhaimi, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, telah tiba ketika saya masih berada di bilik kecemasan.

Seorang kakitangan hospital telah mengenali saya. Beliau telah menghantar SMS kepada kawannya yang telah menghantar SMS kepada Saudara Suhaimi yang telah bergegas ke hospital dari pejabatnya di Maju Junction. Begitulah kelebihannya berada di dalam PAS.

Apakah pengajaran dari peristiwa 26 Oktober?

Doktor-doktor tidak dapat memberi sebab kenapa denyutan jantung saya naik dengan mendadak. Saya terpaksa melalui beberapa ujian lagi.

Ada yang mengatakan badan saya kekurangan air atau garam kerana beberapa hari sebelum itu menghidapi diarrhoea. Ada yang mengatakan paru-paru saya berair atau tersilap memakan ubat.

“STRESS”

Sahabat-sahabat berpendapat tekanan atau “stress” merupakan penyebab utama.

Gerakerja kita di Pandan pada bulan Ramadhan lepas adalah lebih hebat dari semasa pilihanraya. Itulah sepatutnya kerana selepas Parlimen dibubarkan, ramai yang telah membuat keputusan untuk mengundi siapa. Ketika itu sudah terlambat.

Saya dinasihatkan supaya “take it easy” dan mengagih-agihkan kerja kepada orang lain.

Tetapi persoalannya kepada siapa?

Kita berada di Pantai Barat di mana prospek PAS untuk menang tidak secerah di Pantai Timur. Kita boleh berceramah hingga ke pagi tentang peranan para jundullah tetapi tidak ramai yang mahu menyahut cabaran.

Berjuang di dalam PAS tidaklah “glamour” seperti di dalam NGO. Semasa menghadiri satu majlis hari raya di Ampang baru-baru ini, saya mendengar seorang pemimpin NGO yang selalu keluar suratkhabar berkokok betapa hebatnya gerakerja beliau. Di dalam PAS tidak ada “glamour” malah anda akan menghadapi ancaman dan ugutan.

PEJUANG ATAU PENUMPANG

Tidak ramai yang mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap PAS. Kita mempunyai pejuang dan juga penumpang.

Inilah realiti. Tetapi sebagai Yang Dipertua, saya langsung tidak terkilan. Bukan semua orang adalah “championship material”. Bukan semua orang adalah Arsenal atau Chelsea, ada juga yang Bolton Wanderers atau Derby County.

Ketika peperangan Badr bukan semua yang ke medan perang. Abdullah Ibnu Maktum, seorang buta, telah ditugaskan menjaga mereka yang ditinggalkan. Tetapi masalahnya sekarang kita mempunyai terlampau ramai Abdullah Ibnu Maktum yang duduk di barisan belakang tetapi kesemuanya celik-celik belaka!

Akhirnya mereka yang bertungkus lumus menggerakkan jemaah menjadi terlalu sibuk. Tidak adil bagi saya untuk membebankan mereka lagi!

PENGORBANAN AHLI-AHLI

Baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa seorang pimpinan Kawasan yang paling aktif mempunyai masalah jantung. Begitulah hebatnya ahli-ahli PAS, walaupun mempunyai masalah kesihatan namun kerja-kerja jemaah tetap diteruskan.

Bukan beliau sahaja tetapi ada yang dibelenggu dengan masalah ekonomi atau masalah di tempat kerja tetapi tidak membenarkan semua itu mengganggu kerja-kerja jemaah.

Di Pandan, kita bersyukur kepada Allah kerana terdapat kelompok aktivis teras yang komited. Langkah seterusnya adalah untuk menambah bilangan ini. Langkah seterusnya adalah untuk lebih ramai tampil ke hadapan menawarkan diri.

Bagi diri saya, saya mempunyai tugas dan tanggungjawab apabila dipilih sebagai Yang Dipertua. Saya perlu memastikan segala tugas dan tanggungjawab ini terlaksana sama ada dibantu atau tidak. Hidup atau mati itu di tangan Allah.

Cabaran yang kita hadapi di peringkat Kawasan adalah terlalu kecil berbandingkan pimpinan kita di peringkat Pusat.