Thursday, September 20, 2007

JALALABAD TERUS BERTAHAN

Ketika saya bekerja di UK saya pernah tinggal di Ponders End, utara London yang mempunyai ramai penduduk Islam berketurunan Bangladesh.

Di sana terdapat sebuah kedai bernama Jalalabad Halal Grocers. Pada saya adalah satu keajaiban sebuah kedai runcit yang dikelilingi pasar raya-pasar raya besar seperti Tesco dan Sainsbury dapat bertahan.

Ketika itu kedainya agak buruk dan harga barangannya sudah tentu lebih mahal dari pasar raya tetapi ia tetap mendapat sokongan dari masyarakat di situ.

Begitulah masyarakat Bangladesh yang tetap akan memberi sokongan kepada perniagaan bangsa mereka.

Mereka tidak akan membiarkan Jalalabad gulung tikar. Baru-baru ini saya telah melayari internet dan mendapati ianya masih wujud.

Terdapat banyak lagi kedai seperti Jalalabad di Britain. Kalau hendak diharapkan jualan daging halal atau rempah-ratus, kedai-kedai runcit seperti itu tidak akan dapat bertahan lama. Tetapi masyarakat minoriti di Britain adalah berbeza dari masyarakat Melayu di Malaysia. Mereka tetap akan setia kepada perniagaan bangsa mereka walaupun terpaksa berbelanja lebih. Mereka tidak akan berlari ke Tesco atau Sainsbury semata-mata kerana 10 atau 20 pence.

Tidaklah diketahui dengan tepat kenapa ini berlaku. Adakah disebabkan pegangan agama mereka yang kuat? Adakah disebabkan semangat perkauman mereka? Atau adakah kerana Tesco diasaskan oleh seorang Yahudi bernama Jack Cohen dalam 1924?

GULUNG TIKAR

Seorang pemilik kedai runcit di AU2 pernah memberitahu saya tentang kebimbangan beliau terhadap kewujudan pasar raya-pasar raya besar di sekitar Hulu Kelang.

Hari ini kedai beliau dan sebuah lagi kedai runcit beberapa pintu darinya telah ditutup.

Apa yang hendak dihairankan, masyarakat Melayu di AU2 bukanlah seperti masyarakat Bangladesh di Ponders End.

Mungkin di satu hari kelak tidak ada lagi kedai-kedai runcit. Pasar raya-pasar raya besar akan menguasai keseluruhan perniagaan.

SIAPA YANG UNTUNG?

Tetapi bukankah rakyat akan juga untung dengan harga barangan yang rendah?

Bukankah pembukaan pasar raya-pasar-raya ini akan memberi peluang pekerjaan?

Tesco memberitahu akan mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan dengan pembukaan pasar raya-pasar raya baru mereka.

Saya tidak boleh menjawab soalan-soalan itu tetapi saya ingin menceritakan pengalaman saya berbual dengan seorang kakitangan sebuah syarikat pemaju.

Beliau begitu marah kerana sekumpulan nelayan di Kelang telah membantah sebuah projek perumahan mewah syarikat beliau.

Menurutnya nelayan-nelayan itu mendakwa ikan-ikan telah mati akibat dari projek syarikatnya.

Sudah tentu saya terus menyokong nelayan-nelayan itu dan bertanya bagaimana mereka akan mencari rezeki jika sudah tidak ada ikan untuk ditangkap.

Tetapi dengan selamba beliau menjawab, nelayan-nelayan itu boleh menjadi pengawal keselamatan apabila projek tersebut siap dibina.

Yang mana satu agaknya yang lebih baik? Menjadi nelayan atau pengawal keselamatan?

Mewujudkan rangkaian pasar raya asing atau memberi sokongan kepada peniaga rakyat tempatan?

TELUR TAK BASUH

Di bulan Ramadhan ini ramai yang berpusu-pusu ke pasar juadah tetapi kadang-kala di dalam kesibukan, kita lupa apa yang dimakan. Makanan yang halal juga boleh menjadi haram jika bercampur dengan najis walaupun sedikit.

Kita bertarawih, mendengar tazkirah, bertadarus dan bertahajud tetapi ramai yang berbuka dengan juadah yang dicemari oleh najis.

Murtabak, roti telur dan roti John adalah di antara makanan yang kerap bercampur najis.

Sekiranya telur-telur yang digunakan tidak dibasuh dan masih melekat tahi ayam maka ia mungkin akan termasuk ke dalam makanan ketika dipecahkan.

Jika tangan yang telah memegang telur bertahi ayam terus menguli roti maka roti yang kita makan bukan lagi roti telur tetapi roti tahi ayam!

Malah menurut kajian sains, kulit telur yang pada zahirnya tidak bernajis masih terdapat kuman.

Jadi kepada pembeli, minta penjual membasuh telur mereka dan kepada penjual, basuhlah telur-telur anda.

Saya pernah melihat seorang penjual kueh teow meletakan tanda “Kami membasuh telur” sebagai strategi menarik pelanggan.

9 RAMADHAN 1428 / 21 SEPTEMBER 2007

Friday, September 14, 2007

SAMPAH BERTABURAN DI PERUMAHAN RAKYAT PANDAN UTAMA - SALAH SIAPA?


Di manakah tong-tong sampah besar untuk menempatkan sampah-sampah penduduk? Sekejap ada. Sekejap tiada.

Jangan salahkan penduduk kerana mereka tiada pilihan selain dari untuk membuang sampah di atas jalan raya.

Tetapi di manakah mereka yang sepatutnya bertanggunhjawab? Di manakan perginya wakil-wakil rakyat? Di manakah perginya ADUN Cempaka, Dato' Mad Aris Mad Yusuf? Janganlah hanya datang melawat semasa pilihanraya atau ketika mesyuarat agung UMNO Cawangan sahaja.

Bayangkan masalah yang dihadapi penduduk. Bau busuk, lalat dan tikus mengancam kesihatan mereka.Saya pernah hadir di satu majlis di rumah yang berdekatan dan amat payah untuk menjamu selera kerana lalat-lalat yang berterbangan.

Oleh itu, turunlah ke padang YB. Mungkin mereka bukan orang yang kaya raya macam YB tapi mereka juga manusia. Mereka sepatutnya dilayan dengan sewajarnya.

Tetapi nampaknya YDP PAS yang lebih dulu turun. PAS akan tetap memperjuangkan nasib rakyat. PAS akan terus prihatin. PAS akan tetap cakna. Inilah janji kami kepada rakyat.

Wednesday, September 5, 2007

KEMATIAN SAIFUL AZMI B. MOHAMMAD

PAS / K.100 / 2.01c ( 37 )

3 September 2007

Kepada,
Tuan Pengerusi & Ahli Suruhanjaya SUHAKAM,
SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA,
Tingkat 29, Menara Tun Razak,
Jalan Raja Laut,
50350 Kuala Lumpur.
Tel: 603-26125600
Faks: 603-26125620
E-mel: admin@suhakam.org.my ; humanrights@suhakam.org.my

Tuan/Puan,

KEMATIAN SAIFUL AZMI B. MOHAMMAD

Pihak kami mendesak agar satu siasatan bebas dilakukan berikutan kematian Saiful Azmi b. Mohammad, 39 tahun, dari Kg. Dato’ Harun dekat Kg. Pandan Dalam, Selangor.

Kami diberitahu oleh penduduk kampung itu beliau telah ditahan oleh pihak polis di sebuah warung berhampiran dengan tempat tinggalnya pada pagi 31 Ogos lepas.

Walau bagaiamanapun beliau telah dimasukkan ke Hospital Ampang di dalam keadaan koma pada malam hari tersebut.

Saiful telah akhirnya meninggal dunia pada pagi 2 September.

Kami telah difahamkan pelbagai pihak termasuk keluarga mangsa telah mempersoalkan penjelasan pihak polis.

Menurut mereka kecederaan yang di alami oleh Saiful tidak konsisten dengan penjelasan pihak polis. Pihak polis berkata beliau telah terjatuh ketika ditahan.

Walau apa sekalipun kesalahan beliau, demi keadilan satu siasatan bebas perlu dijalankan.

Kami berharap siasatan ini akan dapat mematikan sebarang khabar-khabar angin yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap pihak polis atau membawa mereka yang bersalah ke muka keadilan.

Oleh itu kami memohon penglibatan SUHAKAM.

Sekian. Terima kasih.

Yang benar,
Iskandar Abdul Samad
Yang Dipertua PAS
Kawasan Pandan
019-298 9835

CALON BN DUN CEMPAKA BAGI PRU XII


Inilah calon yang diura-urakan akan diketengahkan oleh UMNO untuk menggantikan Dato' Mad Aris Mad Yusuf.

DI ANTARA HANG TUAH DAN MEGAT SERI RAMA

Baru-baru ini kita telah menyambut ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 50.

Sambutan yang dianjurkan oleh kerajaan memaparkan seolah-olah kemerdekaan ini 100% diusahakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Malah pimpinan parti-parti komponen Perikatan lain turut diketepikan.

Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan sejarah versi UMNO, nama-nama seperti Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Pak Sako, Tok Janggut dan Abdul Rahman Limbung telah ditonjolkan.

Perjuangan menuntut kemerdekaan tidak bermula dengan perjuangan menentang Malayan Union.

Sejak Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511, orang-orang Melayu tidak berdiam diri tetapi terdapat pelbagai usaha untuk menghalau penjajah dari Nusantara.

Saya tidak ingin menyentuh tentang perkara ini tetapi saya ingin menarik perhatian kita semua kepada seorang tokoh walaupun beliau jarang dikaitkan dengan perjuangan menentang penjajahan.

Pada pendapat saya, beliau adalah satu-satunya orang Melayu yang sanggup menentang arus di dalam keadaan masyarakat ketika itu dibelenggu oleh mentaliti feudal.

Tokoh itu adalah Megat Seri Rama yang kita kenali sebagai Laksamana Bentan yang telah membunuh Sultan Mahmud Shah II dalam tahun 1699.

Menurut Raja Ali Haji di dalam kitab Tuhfatun Nafis, Sultan Mahmud telah ditikam ketika diusung ke masjid untuk bersolat Jumaat.

Sebelum itu, Sultan telah membunuh isteri Laksamana tersebut, Wan Anum, kerana memakan nangka milik baginda.

Bukanlah hasrat saya untuk mengajak kita menjadi ganas tetapi di dalam sejarah Melayu inilah kali pertama berlaku penentangan terhadap Raja dan Raja akhirnya tumpas.

Sebelum itu, Hang Jebat telah memberontak menentang Sultan Melaka tetapi akhirnya telah dibunuh oleh Hang Tuah. Maka terselamatlah Sultan.

Hang Tuah telah membunuh orang yang membelanya dan taatnya tanpa usul periksa namun masyarakat Melayu meletakkan Hang Tuah ditempat yang tinggi.

Mungkin inilah masalah orang Melayu. Mereka masih lagi feudal. Mereka enggan menentang kelompok yang memerintah walaupun mereka itu korup, zalim dan menyeleweng.

Mentaliti Hang Tuah telah meresap ke dalam jiwa mereka.

Kita tidaklah mahu bermandi darah seperti Megat Seri Rama tetapi ketika mengundi sama ada tahun ini atau tahun depan, kenanglah Laksamana Bentan yang telah memerdekakan minda kita.

ABDULLAH GUL

Walaupun ditentang oleh kumpulan sekular dan tidak disenangi oleh tentera tetapi Abdullah Gul telah berjaya menjadi Presiden Turki.

Saya tertarik kepada sebuah artikel di dalam NST (25 Ogos 2007) yang bertajuk, “Can Islamist Gul be president of all Turks?” (Bolehkah pro-Islam Gul menjadi presiden kepada seluruh rakyat Turki?).

Soalan ini telah separuh terjawab kerana sokongan kepada AK Parti beliau bukan hanya terdiri dari mereka yang dikenali sebagai “practicing Muslim”.

Terdapat rakan-rakan kita yang terkejut apabila melihat wanita-wanita yang tidak bertudung memegang poster AK Parti.

Walau bagaimanapun persoalan yang lebih besar adalah adakah PAS boleh menjadi pemimpin kepada seluruh rakyat Malaysia?

Mungkin bagi negeri Kelantan dan Terengganu tidak menjadi masalah kerana umat Islam melebihi 90%.

Tetapi bagaimana di negeri-negeri seperti Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Bukan sahaja AJK Pusat perlu diajukan soalan ini tetapi Ketua-Ketua Cawangan juga perlu menjawab soalan ini.
Adakah anda ketua bagi seluruh taman, kampung, blok atau lorong anda? Atau anda hanya duduk di dalam kelompok anda sahaja?

S & P AGREEMENT

Alhamdulillah kita telah menandatangani perjanjian jual beli (S & P Agreement) untuk premis pusat khidmat masyarakat kita di Taman Angsana Hilir.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang sila berhubung dengan Tuan Haji Kamaruddin Ahmad di 012 226 7000.

24 SYAABAN 1428 / 7 SEPT 2007