Wednesday, August 22, 2007

PERSOALAN TARBIYYAH

Baru-baru ini terdapat satu cadangan agar setiap ahli PAS dibekalkan dengan satu buku rekod usrah.

Buku itu akan tercatit kitab-kitab dan topik-topik yang telah dilalui oleh mereka ketika usrah dan program-program tarbiyyah yang lain.

Cadangan ini telah dibuat agar ahli-ahli dapat mengukur tahap pentarbiyyahan yang telah diperolehi.

Kadang-kala terdapat ahli yang terpaksa melalui kitab atau topik berulang-ulang kali kerana menyertai usrah yang baru apabila berpindah Kawasan atau Cawangan atau kumpulan usrah mereka telah mati.

Dari sudut ini, cadangan tersebut adalah baik kerana setiap ahli mempunyai rekod akan sukatan-sukatan tarbiyyah yang telah dilalui.

Walau bagaimanapun saya tidak bersetuju sekiranya kemampuan atau komitmen ahli-ahli dinilai semata-mata melalui buku ini.

Program-program tarbiyyah seperti usrah, tamrin, qiyamulail dan mukhaiyyam penting di dalam pembentukan ahli. Tetapi kita tidak boleh menilai kualiti seorang ahli semata-mata melalui program-program tarbiyyah yang telah mereka sertai.

Sukatan tarbiyyah itu tidak seharusnya disempitkan dengan program-program tradisional sahaja.

Walaupun sebagai umat Islam menuntut ilmu adalah wajib tetapi kita tidak mahu ahli-ahli yang sarat dengan ilmu tetapi malas membantu gerakerja jemaah.

Secara peribadi saya tidak akan menilai sama ada seorang ahli itu bertanggungjawab atau boleh diharapkan melalui berapa ratus atau ribu usrah, qiyamulail dan tamrin yang telah mereka sertai.

Salahuddin Al-Ayyubi akan memilih tentera-tentera yang mengerjakan qiyamulail untuk diletakkan di barisan hadapan. Tetapi apa akan terjadi sekiranya tentera-tentera Salahuddin menganggap qiyamulail sebagai matlamat akhir, bangun berqiyamulail tetapi tidak pergi berperang di siang hari?

Ini adalah masalah yang dihadapi oleh kita. Ahli-ahli yang menganggap program-program tarbiyyah sebagai gerakerja terakhir dan tidak ada gerakerja selepas itu.

Ada kejadian di mana ahli-ahli tidak turun berdemonstrasi walaupun diarah kerana memilih untuk menghadiri usrah.

Terdapat Cawangan-Cawangan yang telah berusrah bertahun-tahun dan telah menadah bermacam-macam kitab tetapi gagal untuk menjayakan program-program Kawasan.

Terdapat ahli-ahli yang ke hulu hilir mendengar kuliah tetapi tidak boleh menghadiri mesyuarat atau program Cawangan mereka.

Jika cadangan buku rekod ini dipraktikkan maka ahli-ahli sedemikian mungkin akan mempunyai laporan-laporan yang begitu hebat tetapi pada hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Tanpa menafikan program-program tarbiyyah tradisional, penilaian sama ada pentarbiyyahan seorang ahli itu mencukupi atau tidak perlu juga diukur melalui komitmen beliau.

Adakah beliau menyumbang kepada program-program jemaah? Adakah beliau kerap gagal untuk menghadiri mesyuarat? Adakah beliau meletakkan kepentingan jemaah lebih dari kepentingan diri?

Pendidikan pernah ditafsirkan sebagai perkara yang terus dilakukan walaupun perkara-perkara yang dihafal telah dilupakan.

Contohnya di sekolah kita mungkin disuruh menghafal peraturan sekolah supaya tidak membuang sampah merata-rata. Tetapi sehingga ke hari ini kita tetap mematuhi peraturan itu walaupun tidak lagi menghafalnya.

Pendidikan yang diterima terus melekat di dalam diri kita.

Mungkin begitu juga tarbiyyah.

Seorang ahli pada peringkat awal akan menghafal ayat-ayat tentang meyakini bahawa Allah akan membantu mereka yang membantu agama Allah. Tetapi hasil tarbiyyah, walaupun jika ayat-ayat itu tidak dihafal lagi namun mereka tetap tidak akan gentar dengan sebarang ugutan.

Berlainan pula dengan mereka yang terus menghafal ayat-ayat itu tetapi tidak mahu menganjurkan sebarang program kerana takut kepada Ketua UMNO Cawangan.

Atau mereka yang menghafal ayat-ayat tentang betapa Yahudi akan kekal memusuhi kita tetapi tetap menyokong perniagaan bangsa yang dilaknati Allah SWT itu.

BANGUNAN SENDIRI

Alhamdulillah PAS Kawasan Pandan akan menandatangani pejanjian jual beli untuk sebuah premis di Taman Angsana Hilir bagi pusat khidmat kita di dalam beberapa hari lagi.

InsyaAllah kita akan membeli secara tunai dan sesiapa yang ingin menyumbang, sila berhubung dengan Tuan Haji Kamaruddin Ahmad di 012 226 7000.

11 SYAABAN 1428 / 24 OGOS 2007

Tuesday, August 14, 2007

PEPERANGAN SUDAH BERMULA

Pada 29 Julai lepas satu pertemuan telah diadakan di antara pimpinan tertinggi PAS Pusat dan pimpinan tertinggi PAS Negeri Selangor.

Pertemuan tersebut merupakan siri pertemuan yang diadakan pada hari itu di antara pimpinan PAS Pusat yang diketuai oleh Dato’ Seri Presiden dan pimpinan negeri-negeri.

Ketika saya tiba, pimpinan Pahang baru sahaja keluar dari bilik mesyuarat dan pimpinan Perak pula baru sahaja masuk.

Pada lebih kurang jam 5.30 petang kami telah dipanggil masuk setelah pimpinan Perak keluar.

Agenda pertemuan tersebut hanyalah satu, persiapan pilihanraya.

Sepanjang saya menjadi ahli PAS, jarang saya mendengar Dato’ Seri Presiden menyentuh perkara-perkara teknikal tentang pilihanraya.

Tetapi pada hari itu beliau telah hanya memberi penekanan kepada tiga perkara iaitu daftar pemilih, penculaan dan penipuan pilihanraya.

Kami telah digesa agar menumpukan seluruh perhatian dan tenaga kepada gerakerja pilihanraya dengan memberi keutamaan kepada pendaftaran pengundi baru, semakan daftar pemilih dan gerakerja mencula.

Kami juga telah diarahkan supaya lebih bijak mengesan taktik-taktik penipuan yang digunakan oleh Barisan Nasional.

Penegasan Dato’ Seri Presiden pada hari itu merupakan satu isyarat kepada setiap ahli PAS bahawa peperangan sudah bermula.

Pimpinan lain seperti Naib Presiden, Tuan Haji Mohammad Sabu yang selalunya membuat kita ketawa terbahak-bahak di ceramah-ceramah beliau begitu serius pada hari itu.

Kami adalah bagaikan pelajar-pelajar sekolah yang dipanggil mengadap oleh seorang guru besar.

Satu demi satu soalan telah diajukan kepada kami dengan nada yang serius.

Begitulah suasananya sekarang. Pimpinan tertinggi kita begitu mengambil berat akan persiapan pilihanraya. Mereka mahu kita bersungguh-sungguh.

Kita sudah begitu hampir kepada pilihanraya dan seluruh tenaga dan sumber-sumber yang ada perlu disalurkan kepadanya agar kejayaan dapat diperolehi.

Setiap Dewan, Cawangan, ahli dan institusi-institusi PAS yang lain perlu memainkan peranan masing-masing.

Sama ada Dewan atau Cawangan, perlu membantu memacu gerakerja kita ke arah kemenangan.


Sama ada Ketua Cawangan ataupun guru PASTI, semuanya mempunyai tugas masing-masing di dalam peperangan yang telah bermula ini.

Ketua-Ketua Cawangan mestilah mempunyai keberanian kerana mereka adalah bagaikan panglima perang yang akan memastikan kemenangan PAS di dalam pertempuran yang akan berlaku.

Guru-guru PASTI pula janganlah hanya menganggap PASTI sebagai tempat untuk “makan gaji” kerana pada hakikatnya PASTI adalah PAS. Contohilah guru-guru KEMAS yang berhempas pulas untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional.

Sekarang adalah masanya di mana pertembungan di antara hak dan bathil akan menjadi bertambah nyata. Inilah realiti. Inilah kenyataan. Inilah “the real world”.

Segala pentarbiyyahan yang diperolehi semasa kuliah, tarbiyyah haraki, usrah dan tamrin patut dimanfaatkan. Ianya bukanlah sekadar teori-teori sahaja.

Apa gunanya ilmu yang diperolehi jika kita hanya berpeluk tubuh dan enggan bersama di dalam gerakerja-gerakerja jemaah?

Janganlah kita menjadi seperti ulamak UMNO yang mempunyai ilmu tetapi berdiam diri apabila Islam diserang.


26 REJAB 1428 / 10 OGOS 2007