Sunday, July 22, 2007

UMNO MEMBUAT ORANG MELAYU DIPANDANG HINA

Seorang jurutera sebuah syarikat kontraktor pernah dengan tiba-tiba memberi saya sebuah bungkusan.

Saya terkejut apabila membukanya kerana mendapati wang berjumlah RM25,000.

Setelah mendapatkan nasihat dari peguam Zulkifli Nordin saya telah membuat laporan polis dan juga laporan kepada BPR.

Rasuah di dalam industri pembinaan adalah satu perkara biasa. Siling runtuh, tiang retak, bumbung bocor dan pelbagai lagi kerosakan yang berlaku kemungkinan besar akibat dari amalan rasuah.

Tidak salah jika saya mengatakan yang memberi selalunya Cina dan yang menerima selalunya Melayu.

Apabila sesuatu kelulusan tidak diberi maka andaiannya adalah sogokan perlu diberikan.

Di dalam kes saya kelulusan untuk beberapa kerja yang tidak menurut piawaian telah saya tahan. Maka pihak kontraktor menyangka bahawa saya seperti orang Melayu lain yang mahukan sogokkan jika inginkan kelulusan.

Begitulah hinanya orang Melayu di kaca mata orang Cina. Pada mereka orang Melayu adalah satu bangsa yang sentiasa mahukan sogokkan.

Jangan kita salahkan orang Cina. Selama 50 tahun mereka diajar oleh UMNO bahawa segala-galanya memerlukan sogokan.

Daripada sebesar-besar projek kepada sekecil-kecil kontrak perlu ada “minyak” untuk melicinkan kerja. Dari PDA kepada kapal layar, dari 50 sen kepada RM500 juta, seperti kata Perwira Mat Gila, “Ada duit semua boleh jadi”.

Saya tahu sebuah projek lambat dengan baki kerja RM25 juta tetapi telah diberikan kepada kontraktor yang baru dengan nilai RM100 juta!

Akhirnya rakyat yang tepaksa menanggung kos tambahan itu. Duit yang boleh digunakan untuk menggantikan helikopter Nuri atau membina klinik-klinik desa telah ditelan oleh para kroni.

Berbalik kepada kes rasuah RM25,000, tidak penting jika tidak terdapat sebarang pendakwaan kerana yang paling penting adalah mesej bahawa bukan semua orang Melayu boleh disogok.

FAHAMILAH APA YANG KITA JANJIKAN

Semasa kempen pilihanraya umum 1997 di Britain parti pembangkang Liberal Demokrat telah berjanji untuk menyuntik sebanyak £2 billion ke dalam sistem persekolahan di negara itu jika ia menang.

Menurut parti itu perbelanjaan ini akan dibiayai melalui peningkatan cukai pendapatan sebanyak 1p atau lebih kurang 4 sen kita ketika itu.

Apa yang menarik adalah bagaimana parti-parti politik di sana begitu terperinci di dalam janji-janji mereka.

Liberal Demokrat mahu memperbaiki sistem persekolahan dan mereka membuat kajian akan jumlah wang yang diperlukan. Malah bukan sahaja jumlahnya mereka tahu tetapi mereka dapat memberitahu rakyat dari mana wang ini akan datang.

Di negara Barat parti-parti yang bertanding di dalam pilihanraya lazimnya mempunyai manifesto yang terperinci. Tidak memadai hanya mencadangkan sesuatu tetapi perlu menyatakan kosnya dan bagaimana kos ini akan dibiayai.

Mungkin sudah sampai masanya PAS juga mengambil pendekatan yang lebih profesional seperti ini.

Tidak memadai hanya menjanjikan sesuatu seperti negara berkebajikan tetapi rakyat perlu diberitahu bagaimana dan dengan apa ianya akan dilaksanakan.

Pada Muktamar yang lepas usul kita untuk menggantikan PTPTN dengan biasiswa telah dipilih untuk dibahaskan.

Kita telah dengan bertungkus lumus menyiapkan teksnya tetapi alangkah lebih baik sekiranya terdapat lebih banyak statistik di dalamnya.

Contohnya berapa jutakah nilai pinjaman yang dikeluarkan oleh PTPN? Jika ianya akan dijadikan biasiswa dari manakah dana ini akan datang? Adakah melalui cukai yang baru atau penjimatan perbelanjaan pada sektor yang kurang kritikal?

INGIN MEMBANTU PAS?

Mengedar risalah adalah cara yang paling mudah untuk membantu PAS.

Fotokopi artikel yang sesuai dari Harakah. Mungkin hanya 10 keping dan edarkan kepada 10 buah rumah.

Edarkan kepada rumah yang sama setiap kali dan secara berterusan seperti dua minggu sekali.

Jika terdapat 1,000 orang ahli yang melakukannya maka 10,000 risalah akan diedar setiap kali!

12 REJAB 1428 / 27 JULAI 2007

Sunday, July 15, 2007

POLICE URGED TO SPEND MORE TIME FIGHTING CRIME AND STAY AWAY FROM POLITICS

PANDAN JAYA, 9TH JULY 2007 : Pandan PAS chief Iskandar Abdul Samad urged the police today to spend more time fighting crimes and to stay away from politics.

Last night UMNO had attempted to disrupt the visit by PAS Vice President Haji Mohammad Sabu to Pandan by hastily organising a karaoke contest about 100 metres away.

The satay feast followed by a meet-the-people session in Pandan Jaya was almost drowned out by the karaoke speakers.
The police had failed to stop the provocation by UMNO that could potentially lead to a riot
Iskandar said that clashes could have occurred if PAS members wanting to meet Mohammad Sabu had not shown restraint.

“There were almost 30 policemen that night but they had failed to stop the provocation by UMNO that could spark a riot. A jeep loaded with members of the Light Strike Force complete with helmets, batons and shields was also spotted nearby but did nothing,” Iskandar added.

With crimes such kidnapping, rape and murder being rampant, it would be to everyone’s interest for the police to focus their attention to only fighting crimesThe police was not seen instructing the organiser to lower the volume of the speakers. The police also did not act when the volume was further turned up and caused disturbance to the neighborhood.

It was reported that some of the crowd had tried to reason things out with the karaoke’s organiser but was prevented by the police. Many felt that the police was deployed to ensure that UMNO’s plan to disrupt the visit was unhindered.

Iskandar also said that the nation had been told that the police force requires more personnel in order to efficiently fight crime therefore it is a pity that in Pandan they were being used to assist UMNO in achieving their political goals.

“With crimes such kidnapping, rape and murder being rampant, it would be to everyone’s interest for the police to focus their attention to only fighting crimes as the rakyat would rather see the police protecting the interest of the public than that of a political party,” he further added.
BEZANYA FORMULA PERPADUAN UMNO DAN PAS

Pada pilihanraya kecil DUN Batu Talam baru-baru ini, calon BN telah hanya berhadapan dengan seorang calon bebas kerana parti-parti pembangkang telah bertindak memboikot pilihanraya tersebut.

Walau bagaimanapun dalam tahun 1993, PAS telah meletakkan calon pada satu pilihanraya kecil di dalam DUN yang sama menentang calon UMNO. Pilihanraya kecil terpaksa diadakan kerana ADUN kawasan tersebut telah maut di tangan Mona Fandey dan rakan-rakannya.

Ketika itu kami dari Ampang Jaya (sekarang telah menjadi Ampang dan Pandan) telah ditugaskan membantu jentera pilihanraya PAS di sana dan telah ditempatkan di daerah mengundi Ulu Sungai dan Gali Tengah.

Haji Sarom Jais sebagai Naib Yang Dipertua PAS Kawasan (ketika itu belum ada lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua) telah mengetuai petugas-petugas kita di Ulu Sungai dan saya sebagai Setiausaha PAS Kawasan berada di Gali Tengah.

Ketika kami berkempen, hati-hati kami telah disedapkan dengan satu cerita kononnya berlaku perpecahan di kalangan pimpinan UMNO.
Kononnya sebelum ini Ketua Pemuda di sana berhasrat untuk menjadi wakil rakyat tetapi gagal mendapat sebarang kerusi. Beliau kemudian telah dilantik menjadi seorang Senator.

Perpecahan ini dikatakan akan menguntungkan PAS.

Walau bagaimanapun, cerita tersebut hanyalah satu dongengan seperti cerita naga di Tasik Cini. Tidak kelihatan ahli-ahli UMNO beramai-ramai memberi sokongan kepada pembangkang. Akhirnya PAS yang diwakili oleh Tengku Puji Tengku Abdul Hamid telah kalah.

Cerita yang sama kerap kita dengar di mana-mana. UMNO akan berpecah. Ramai ahli-ahli UMNO tidak bersetuju dengan calon mereka. UMNO sedang menghadapi krisis dan banyak lagi khabar-khabar angin yang tersebar ketika pilihanraya.

Tetapi adakah perpaduan di dalam UMNO itu begitu mantap? Adakah ahli-ahli UMNO itu begitu taat kepada pemimpin mereka? Mereka boleh bergaduh dan bertumbuk mengejar jawatan dan projek tetapi akan tetap mengundi BN.

Pada pendapat saya duit, benda dan jawatan yang menyatukan mereka.

Mungkin ada yang hendak menjadi calon tetapi tidak terpilih maka mereka akan dilantik sebagai Senator atau ahli majlis perbandaran. Projek dan duit boleh diagih-agihkan untuk menutup mulut mereka yang gagal mendapat jawatan-jawatan penting.

Tetapi perkara yang sama tidak akan berlaku di dalam PAS. Jika berlaku perbezaan pendapat atau perselisihan di dalam PAS maka tidak ada jawatan atau projek untuk meredakan kemarahan mereka yang tidak puas hati.

Hanyalah rasa takut kepada Allah dan keikhlasan di dalam perjuangan akan memastikan perpaduan di dalam jemaah kita terus kekal. Hanyalah kesediaan kita untuk berlapang dada dan bermaaf maafan akan memastikan tidak ada sesiapa yang memencil diri atau beruzlah.

Jika ahli-ahli bekerja bukan untuk mencari keredhaan Allah maka PAS lebih senang dijangkiti “virus” dari UMNO.

Maka mesyuarat akan menjadi tempat menuding jari. Mesyuarat menjadi medan untuk bertempur dan UMNO akan bersorak gembira.

Janganlah kita suka membesar-besarkan kelemahan sahabat-sahabat kita. Berikan tumpuan kepada kelebihan mereka supaya dapat dimanfaatkan untuk jemaah.

Nyahkan segala penyakit-penyakit hati yang akan menghancurkan kita dari dalam. Janganlah sampai anda menjadi “virus” kepada jemaah.

TAHNIAH PENDUDUK BROGA

Tahniah kepada penduduk Broga yang telah berjaya memaksa kerajaan membatalkan hasrat untuk membina sebuah insinerator di kawasan mereka.

Tahniah kepada Zulkifli Omar, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang telah dipilih oleh penduduk untuk mengetuai jawatankuasa bertindak mereka. Walaupun majoriti yang menentang itu berbangsa Cina namun mereka telah memilih seorang pemimpin PAS sebagai jurucakap mereka.

Broga merupakan bukti bahawa tiada yang mustahil. Tetapi itu orang Cina. Bagi kebanyakan orang Melayu, termasuk orang-orang PAS, rakyat adalah mentimun dan kerajaan adalah durian. Digelek teruk, menggelek pun teruk.

Bagi orang Cina pula, rakyat adalah “boss”, kerajaan adalah kuli.

Itu sebabnya mereka bersungguh-sungguh di Broga. Ceramah, demonstrasi, dialog, mesyuarat, pertemuan dan memorandum adalah perkara biasa. Sebuah filem rencana turut dihasilkan.

Kalau perkara yang sama berlaku kepada orang Melayu, mungkin mereka akan sekadar bising di kedai kopi sahaja!

28 JAMADIL AKHIR 1428 / 13 JULAI 2007

Friday, July 6, 2007

ADAKAH ORANG MELAYU MASIH MEMPUNYAI SEBARANG NILAI?

Apabila masyarakat Cina mengadakan demonstrasi menuntut kerajaan bertindak terhadap kadar jenayah yang tinggi di Johor, mesyuarat Kabinet pada 20 Jun lepas telah bersetuju untuk menambah anggota polis di sana.

Dilaporkan sebagai tindakan segera 100 Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan 300 Pasukan Gerakan Am (PGA) akan ditempatkan di selatan Johor. Nisbah seorang anggota polis kepada penduduk akan diturunkan dari 1,500 kepada 650. Balai-balai polis baru akan dibuka.

Begitu berharga nilai suara masyarakat Cina sehingga kerajaan telah bertindak dengan segera.

Masih ingatkah anda tentang kes ketuk-ketampi di sebuah balai polis? Pada mulanya disangka bahawa yang terlibat itu adalah seorang warga Cina maka hebohlah seluruh masyarakat Cina. Tetapi apabila kerajaan mengumumkan bahawa mangsa itu adalah seorang Melayu maka isu tersebut mati begitu sahaja.

Di manakah maruah umat Islam? Seolah-olah tidak mengapa seorang wanita Islam dihina kerana masyarakat menarik nafas lega apabila yang dimalukan itu berbangsa Melayu dan bukan warga Cina.

Baru-baru ini pula Kabinet telah mengarahkan Maybank menarik balik peraturannya untuk hanya menggunakan syarikat guaman yang mempunyai pemegang saham majoriti Bumiputera.

Pada pilihanraya Ijok pula masyarakat India di sebuah ladang mendapat geran tanah “instant” kerana UMNO-BN amat memerlukan undi mereka.

Kita bukan hendak mempertikaikan hak orang lain tetapi kadang-kala nampaknya seperti orang Melayu itu tidak mempunyai apa-apa nilai lagi. Suara mereka jarang didengari.

Apabila surau diroboh, apa tindakan Kabinet? Apabila terdapat syarikat yang menghalang pekerja mereka bersolat, apa yang Kabinet buat? Apabila pembantu rumah Muslim dipaksa membasuh anjing atau memasak babi, apa yang Kabinet lakukan?

Sekiranya orang Melayu yang berdemo di Johor maka kemungkinan orang-orang seperti Zainuddin Maidin dan Ali Rustam akan melabelkan mereka yang terlibat sebagai bebal atau pengacau. Tetapi yang berdemo itu Cina maka lainlah ceritanya.

Kita kerap mendengar bagaimana UMNO kerap menindas orang-orang Melayu yang tidak menyokong mereka. Gerai dirobohkan. Lesen tidak diberikan. Projek ditarikbalik. Surau dirampas. Imam dan bilal dipecat. Tetapi kita jarang mendengar MCA menindas orang-orang yang sebangsa dengan mereka. Tidak pernah terdapat berita bagaimana wakil-wakil rakyat MCA atau Gerakan menafikan bantuan kepada ahli-ahli DAP.

Baru-baru ini di Pandan, AJK sebuah surau telah berjumpa dengan ADUN Cempaka, Dato’ Mad Aris Mad Yusuf untuk mendapatkan pengesahan AJK surau mereka tetapi ADUN itu mengherdik, “Ada surau ke di sana?”.

Mungkin itu sebabnya orang Melayu kelihatan tidak mempunyai sebarang nilai lagi. Orang Melayu tidak menghormati orang Melayu. Orang Melayu menindas orang Melayu. Orang Melayu tidak menghargai orang Melayu yang lain.

Jika orang Melayu tidak meletakkan nilai yang tinggi terhadap rakan seagama dan sebangsa mereka maka orang lain pun akan memandang orang Melayu seperti tidak mempunyai sebarang nilai.

Menghargai orang adalah satu perkara yang penting. Lebih-lebih lagi di dalam PAS kerana kita bekerja secara sukarela.

Apabila ada program yang dianjurkan, adakah orang-orang PAS seperti orang-orang Melayu lain? Adakah kita menghargai mereka yang bertungkus lumus menjayakan program itu atau adakah kita tidak ambil peduli? Adakah kita meletakkan nilai terhadap usaha sahabat-sahabat kita?

Untuk menjayakan sebuah program memerlukan perancangan dan persiapan. Mesyuarat terpaksa diadakan. Otak perlu diperah. Duit mesti dicari. Handbill akan diedar. Masa rehat dan bersantai bersama anak isteri terpaksa dikorbankan. Tetapi kita yang disuruh datang berlenggang tangan pun kadang-kala tidak kelihatan.

Jika kita sebagai ahli-ahli tidak meletakkan nilai yang tinggi terhadap ahli-ahli jemaah dan jemaah kita maka janganlah kita mengharapkan orang lain akan meletakkan nilai yang tinggi terhadap jemaah kita. Tanpa merasakan bahawa jemaah ini adalah sesuatu yang amat berharga maka tidak mungkin mereka akan bersama kita.

Janganlah sampai orang menempelak kita, “Kenapa engkau suruh aku undi PAS? Engkau AJK Cawangan pun tak yakin dengan PAS, hari tu ada program PAS tapi aku nampak engkau kat Tesco”.

ZIARAH KE CAWANGAN-CAWANGAN

Saya mengucapkan terima kasih kepada Cawangan-Cawangan yang telah menerima kunjungan AJK Kerja PAS Kawasan yang baru dipilih dan dilantik bagi sesi ini.

Saya berpuas hati dengan program ini kerana ianya berupaya mewujudkan hubungan yang rapat di antara PAS Kawasan dan Cawangan-Cawangan.

Tambahan pula ianya telah mengukuhkan tali silaturrahim di kalangan pimpinan Kawasan. Mereka keluar setiap minggu ke tempat-tempat yang berlainan maka akan terjalinlah hubungan dari hati ke hati di antara AJK yang sudi bersama.

Tazkirah dan pembentangan juga digilir-gilirkan di antara AJK maka bakat-bakat baru akan dapat dicungkil.

Setakat ini 7 Cawangan telah diziarahi dan program ini akan diteruskan sehingga kesemua Cawangan-Cawangan dapat diziarahi walaupun bebanan kerja AJK Kawasan semakin bertambah.

Mereka diwajibkan keluar 2 malam seminggu, satu malam untuk ziarah dan satu malam untuk Tarbiyyah Haraki. Ini tidak termasuk mesyuarat-mesyuarat dan program-program lain. Ada yang terpaksa keluar setiap malam maka oleh itu sokongan dan kefahaman dari para ahli adalah amat diperlukan.

14 JAMADIL AKHIR 1428 / 29 JUN 2007