Wednesday, June 13, 2007

PANGLIMA PERANG JUGA BERDIPLOMASI

Lebih kurang 9 tahun yang lalu saya telah hadir di dalam satu pertemuan bersama rakan-rakan lama di Penthouse sebuah bangunan di mana Renong ketika itu masih gagah telah menjadikannya sebagai ibu pejabat mereka.

Hanya terdapat satu sahaja agenda pertemuan yang dihadiri oleh di antara lain bakal-bakal CEO, Professor, penasihat kepada Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri. Anwar Ibrahim baru saja ditahan di bawah ISA. Reformasi sedang marak bagaikan api yang tidak dapat disekat lagi. Bagi kebanyakan mereka yang hadir, Anwar adalah segala-galannya.

Ramai yang mengharapkan Anwar menjadi PM. Ramai yang kagum dengan Anwar sejak beliau hadir di sekolah kami sebagai seorang murid tua ketika kami masih mentah di tingkatan satu.

Oleh itu, ada yang menganggap penahanan Anwar seperti kiamat telah berlaku di Malaysia.

“Tidak ada lagi pemimpin yang boleh pemimpin Malaysia”, kata seorang rakan pada hari itu.

Saya terkejut. Adakah mereka tidak pernah mendengar akan Ustaz Fadhil Noor? Ustaz Hadi atau Nik Aziz?

Tetapi itulah realiti. Kadang-kala kita sebagai ahli-ahli PAS amat menyanjung pimpinan kita tetapi pada orang-orang seperti rakan saya itu, pimpinan kita belum lagi dapat meyakinkan mereka. Kalau kita hanya berada di dalam kepompong kita, kita tentu akan “terkejut beruk”.

Beberapa bulan yang lepas saya telah bersama rakan-rakan lama itu meraikan kejayaan salah seorang dari kami yang telah dilantik sebagai Profesor penuh, bukan Profesor Madya lagi.

Kali ini keadaan telah berubah. Ramai yang telah menjadi CEO. Ada yang telah menjadi jutawan. Ada yang telah mengetuai sebuah NGO Islam yang terkemuka di peringkat negeri.

Kami bercakap tentang Muktamar yang akan berlangsung. Kami bercakap tentang pemilihan pimpinan PAS. Mereka nampaknya sudah mula meyakini akan pimpinan kita. Yang pernah menjadi Timbalan Ketua Bahagian UMNO pun meluat dengan Pak Lah.

Walau bagaimanapun terdapat sedikit keganjilan. Kami bersetuju tentang kemampuan PAS untuk memerintah tetapi kami berbeza pendapat tentang pemimpin yang paling “ideal”.

Tetapi inilah juga realiti, pemimpin yang dianggap terbaik oleh ahli-ahli tidak semestinya dianggap yang terbaik oleh rakyat.

Mungkin ada yang berkata, “Pemimpin kita, kita punya pasal nak pilih siapa!”.

Benar, tetapi bukankah akhirnya kepada rakyat yang akan kita minta sokongan?

Pada muktamar yang lepas, YB Salahuddin Ayub di dalam ucapan penggulungannya telah memberitahu walaupun Salahuddin Al-Ayubi dan Tariq bin Ziyad merupakan panglima perang yang hebat tetapi mereka adalah juga diplomat yang tiada tolok bandingnya.

Mereka berhadapan dengan peperangan namun diplomasi itu perlu sebelum dan selepasnya. Ada masa perlu berperang dan ada masa perlu berdamai.

Alhamdulillah ramai yang berpendapat saf pimpinan PAS Pusat yang terpilih untuk mengharungi cabaran pilihanraya umum yang ke 12 terdiri dari mereka yang memenuhi citarasa setiap lapisan masyarakat. Mereka mewakili hampir setiap strata masyarakat.

Kita juga berharap isu ulamak dan profesional tidak akan dibangkitkan lagi dan setiap ahli akan menjalankan tugas masing-masing dengan ikhlas.

Ulamak tidak boleh lagi menyangka mereka akan terus disanjung dan dihormati tanpa perlu turun ke padang semata-mata kerana PAS mendokong kepimpinan ulamak

Profesional pula jangan mengharapkan pandangan-pandangan mereka akan terus diraikan walhal ada yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

Muktamar baru-baru ini menunjukkan bahawa ahli-ahli tidak menaruh sebarang belas kasihan kepada mereka yang gagal berperanan, sama ada ulamak mahupun profesional.

Di dalam ucapannya di Muktamar itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah memberitahu para perwakilan bahawa sasaran utama Islam adalah manusia bukan pembangunan.

Bagi mereka yang jahil akan usaha-usaha Kerajaan PAS Kelantan mungkin akan berkata tidak ada pembangunan yang berlaku di Kelantan. Kuliah dan ceramah sahaja.

Tetapi bagi kami yang duduk di dewan Muktamar di PUTIK amat kagum dengan pencapaian kerajaan Tok Guru. Satu demi satu akhbar, buletin dan risalah mengenai Kelantan diedarkan kepada kami.

Dari projek ternakan kambing kepada projek pelancongan, dari bandar baru kepada loji rawatan air, macam-macam ada!

Mungkin itulah kelebihan Tok Guru dan Kelantan. Di sebalik senyuman, kawan dan lawan akan tunduk. Mungkin inilah diplomasi yang diceritakan oleh YB Salahuddin Ayub itu. Mungkin inilah rahsia kenapa Kelantan dapat bertahan 17 tahun di bawah PAS walhal Terengganu tumbang dalam masa 4 tahun 4 bulan.

Ramai di antara kita yang suka berkonfrontasi. Memahami manusia adalah seni yang tersendiri. Memahami manusia yang tidak bersetuju dengan kita memerlukan usaha yang luarbiasa. Kadang-kala tidak memadai dengan hanya membaca ayat-ayat Al-Quran untuk meyakinkan manusia. Tidak ada jalan pintas di dalam perjuangan.

29 JAMADIL AWAL 1428 / 15 JUN 2007

SYABAS DATO' HASAN

Pada 12 Mei lepas, PAS Negeri Selangor telah mengadakan Ijtima’ tahunannya di Tanjung Karang.

Saya amat tertarik kepada ucapan penutup Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali yang pada saya terbaik yang pernah saya dengar dari mana-mana pimpinan PAS.

Dato’ Hasan yang merupakan seorang pakar motivasi dan lazimnya seorang pakar motivasi akan menceritakan yang indah-indah sahaja. Mereka hanya menceritakan apa yang kita hendak dengar.

Tetapi pada hari itu Dato’ Hasan begitu telus di dalam ucapannya. Begitulah sepatutnya, kita mestilah berpijak di bumi yang nyata di dalam apa jua perkara.

KESUNGGUHAN AHLI-AHLI

Program sehari di Kompleks PAS Selangor atau Kompas itu telah melihat kehadiran di luar jangkaan. Lebih 1400 perwakilan dari Kawasan-Kawasan di Selangor telah hadir walhal hanya 800 yang dijangka. Jalan masuk ke Kompas telah dipenuhi dengan deretan bas-bas.

Selalunya Ijtima’ ini dilangsungkan di Markas Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar tetapi pada tahun ini ianya diadakan di luar Lembah Kelang. Apakah logiknya diadakan di Tg. Karang tahun ini? Bukankah ianya berada begitu jauh dari kebanyakan Kawasan-Kawasan? Malah ramai di antara mereka, termasuk dari Pandan, boleh bersolat qasar dan jamak.

Saya melihat arahan untuk berkumpul di Tg. Karang merupakan satu ujian bagi Kawasan-Kawasan terutamanya pimpinan-pimpinan mereka. Dengan pilihanraya diramalkan berlaku pada bila-bila masa, Dato’ Hasan perlu mengetahui Kawasan mana, pimpinan mana yang berupaya melaksanakan arahan Parti.

Jika Ijtima’ diadakan di Taman Melewar, adalah mudah untuk dihadiri tetapi jika di Tg. Karang, hanya yang betul-betul komited akan hadir. PAS Selangor perlu tahu Kawasan mana yang bersungguh-sungguh atau hanya bekerja sambil-lewa. Kawasan mana yang boleh memberi wala’ atau sekadar “cakap tak serupa bikin”.

Ini begitu penting kerana di dalam “peperangan” yang akan dihadapi kelak, Negeri perlu jelas siapa yang boleh diharapkan. Kita tidak mahu melihat kejadian-kejadian seperti pertandingan 3 penjuru pada tahun 2004 berulang.

Ijtima’ itu juga merupakan peluang bagi pimpinan Kawasan untuk mengukur akan kesungguhan aktivis mereka. Agak mudah untuk menghadiri program-program di markas-markas Kawasan tetapi untuk sehari-suntuk berada di Tanjung Karang memerlukan kesungguhan yang luarbiasa.

Juga agak mudah untuk mematuhi arahan menghadiri mesyuarat tetapi hanya mereka yang benar-benar memahami ertikata wala’ akan mengorbankan hari cuti mereka.

PENJELASAN DAN HALATUJU

Banyak perkara terutamanya yang berkaitan dengan strategi PAS Negeri Selangor telah dapat dijelaskan.

Perancangan tarbiyyah yang dibentangkan oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, gerakerja pilihanraya oleh Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri dan Tahaluf Siyasi oleh Ketua Ulamak Negeri dapat merungkai sebarang kekusutan.

Saya berharap selepas ini kita di Selangor akan bergerak di dalam rentak dan nada yang sama untuk mencapai matlamat yang sama. Tetapi kita amat bimbang jika terdapat di antara kita yang bergerak menurut agenda masing-masing, jahil akan apa yang diputuskan oleh Negeri.

TERIMA KASIH HAJI SAROM

Pada 16 Mei lepas PAS Kawasan Pandan telah mengadakan satu majlis untuk meraikan bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Ampang, Haji Sarom Jais yang akan berpindah ke Kelang.

Haji Sarom juga pernah memimpin PAS Kawasan Ampang Jaya dan telah menerajui Ampang dan Ampang Jaya sejumlah 8 penggal serta pernah menjadi calon di Lembah Jaya dalam tahun 1995.

Mungkin ramai di antara generasi anak muda sekarang gagal untuk memahami akan nilai sumbangan Haji Sarom kepada PAS oleh itu kebanyakan yang hadir pada malam tersebut adalah yang sama-sama berjuang di Ampang Jaya bersama beliau.

Orang-orang lama seperti Haji Sarom telah terpaksa melalui kepayahan yang tidak mungkin dapat dibayangkan oleh kita. Di dalam tahun 1975 kita adalah sebahagian dari kawasan Parlimen Selayang yang begitu luas dan beliau terpaksa menghadiri mesyuarat Kawasan di Paya Jaras. Tetapi sekarang dengan lebuhraya dan kereta yang canggih, untuk ke Kg. Pandan dari Kg. Cheras Baru atau Pandan Jaya kita akan merungut.

Apabila saya mendengar kisah-kisah seperti ini, terdetik di hati saya bahawa kita belum lagi menempuh perjuangan dan pengorbanan yang sebenar. Kita bagaikan orang yang bermimpi untuk memasuki syurga tetapi malas untuk mengerjakan perintah-perintah Allah.

TIADA YANG MUSTAHIL

Dua peristiwa yang berlaku di Britain dua minggu lepas nampak mustahil enam tahun lalu. Yang pertama, Perdana Menteri Tony Blair telah meletakkan jawatan akibat tekanan dari pimpinan Parti Buruh dan rakyat negara itu.

Enam tahun lepas, dalam tahun 2001, Parti Buruh pimpinan Blair telah memenangi pilihanraya umum dengan majoriti yang begitu besar (landslide victory). Tetapi dari menjadi Perdana Menteri yang paling popular di dalam sejarah Britain beliau telah menjadi yang paling dibenci.

Peristiwa yang kedua pula adalah kelab bolasepak Leeds United telah diturunkan (relegated) ke bahagian ketiga.

Dalam tahun 2001, Leeds United telah berjaya memasuki separuh akhir kejohanan juara-juara Eropah (European Champions League) tetapi dalam masa yang singkat ianya bukan sahaja telah terkeluar dari Liga Perdana tetapi telah terus menjunam turun.

Begitulah keadaanya, hanya Allah SWT yang kekal, yang lain ada ajalnya. Yang hari ini gemilang mungkin esok akan pudar. Yang hari ini dihormati mungkin esok akan dihina. Yang hari ini teguh mungkin esok akan lemah longlai.

8 JAMADIL AWAL 1428 / 25 MEI 2007