Wednesday, May 9, 2007

KESATUAN DI DALAM KEPELBAGAIAN

Ketika PAS Kawasan Pandan mula ditubuhkan, seorang ahli telah bertanya, “Muslimat kita tidak seperti dulu, dulu semuanya pakai tudung bulat dan jubah, tetapi sekarang ada yang pakai tudung tiga segi, ada yang pakai baju kurung, ada yang pakai baju bunga-bunga”.

Tetapi bukankah ini bermakna PAS telah berjaya menarik kesemua kelompok dan golongan masyarakat kepadanya?

Kalau dulu mungkin hanya mereka yang mempunyai kesedaran agama tetapi orang menyertai PAS sekarang dengan pelbagai sebab-musabab. Ada yang semata-mata kerana benci kepada UMNO, ada yang kerana bosan dengan rasuah, ada yang tidak puas hati dengan kenaikan tol dan banyak lagi. Maka terpulanglah kepada kita untuk membentuk mereka.

Ini juga bermakna PAS bukanlah lagi sebuah “kelab eksklusif” tetapi telah berjaya melebarkan pengaruhnya kepada seluruh rakyat sesuai dengan statusnya sebagai sebuah gerakan massa selain dari sebuah gerakan Islam dan sebuah parti politik.

Menang Atau Kalah

Di dalam PAS kita sering diperingatkan bahawa Allah tidak akan bertanya sama ada kita berjaya atau tidak tetapi sama ada kita berjuang atau tidak.

Tetapi terdapat di antara kita yang telah membuat tafsiran yang salah. Mereka melakukan kerja-kerja jamaah secara sambil-lewa kerana pada pandangan mereka, “Buat apa kerja kuat-kuat, Allah tak tanya kita berjaya atau tidak”.

Tetapi walaupun Allah tidak bertanya sama ada kita berjaya atau tidak, adakah kita tidak akan disoal di akhirat kelak jika kita menganggap kerja-kerja mendaulatkan agama Allah ini sebagai kerja “main-main” sahaja?

“Main-main” di dalam ertikata ikut suka kita sama ada hendak datang ke mesyuarat atau tidak. Kalau rajin kita pergi, kalau malas tidak payah.
“Main-main” juga di dalam ertikata ikut suka kita sama ada hendak melaksanakan tugas-tugas yang telah diberikan kepada kita. Kalau yang mudah kita buat, kalau yang susah kita lupakan sahaja.

Oleh itu peringatan yang kerap kita dengar itu bukanlah bermakna kita tidak perlu bekerja bersungguh-sungguh. Ianya bukanlah juga bermakna kita tidak perlu merancang untuk mencapai kejayaan kerana terdapat ramai yang beranggapan kita hanya perlu bekerja tetapi tidak perlu meletakkan kejayaan sebagai sasaran.

Akhirnya mereka bekerja dan bekerja tanpa sebarang perancangan dan kesungguhan tetapi apabila kejayaan gagal diperolehi maka peringatan tersebut dijadikan alasan.

Lain pula jika kita telah berusaha bersungguh-sungguh maka peringatan tersebut merupakan satu motivasi bagi kita untuk meneruskan perjuangan.

Alasan Lagi

Kita kerap juga mendengar di majlis-majlis atau di mesyuarat-mesyuarat di mana ada yang berkata, “Ini sahajalah yang ada, kita adalah yang terpilih untuk menyertai perjuangan ini”.

Ianya selalu diucapkan apabila yang hadir itu tidak seperti yang diharap-harapkan. Tetapi adakah kita hanya berpuas-hati dengan melafazkan kata-kata tersebut? Tidak pernahkah kita bertanya sama ada kehadiran seperti itu adalah akibat dari kegagalan kita.

Kita hanya melabelkan mereka yang tidak hadir sebagai “tidak terpilih” tetapi kita jarang sekali menuding jari balik kepada diri kita. Adakah kita telah benar-benar cukup sempurna sehingga silap dan salah itu hanya ada pada orang lain?

Lebih-lebih lagi jika perkara yang sama telah berulang beberapa kali maka wajarlah kita melakukan lebih dari hanya mendendangkan kata-kata untuk menyedapkan hati kita tetapi analisis-analisis yang kritikal perlu dilakukan.

Lampu Jalan Dan Kebebasan Akhbar

Baru-baru ini di dalam satu persidangan di Kuala Lumpur, para peserta telah diberitahu bahawa rakyat Malaysia lebih sensitif kepada lampu-lampu jalan yang tidak menyala daripada kebebasan akhbar.

Mereka tidak peduli jika kawalan ke atas akhbar di Malaysia adalah lebih ketat daripada di Kemboja atau Timor Leste tetapi mereka akan marah jika lampu-lampu jalan mereka tidak berfungsi.

Mungkin pendapat ini tidak begitu tepat tetapi memang benar majoriti rakyat negara kita tidak begitu sensitif kepada isu-isu nasional seperti ISA dan OSA sebab ianya tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka. Hanya yang mempunyai kesedaran politik menyedari akan kezaliman yang berlaku.

Di Ijok baru-baru ini, ramai penganalisis yang membuat rumusan bahawa isu yang paling menyentuh hati rakyat adalah isu-isu tempatan. Kegagalan wakil rakyat yang telah meninggal dunia itu dikatakan salah satu sebab utama pengundi Cina memberi sokongan kepada pembangkang.

Isu-isu tempatan ada di sekeliling kita. Di dalam keadaan MPAJ yang dihantui dengan pelbagai masalah maka ruang yang seluas-luasnya telah dibuka untuk kita untuk menjadi pembela rakyat. Terpulanglah kita untuk memanfaatkannya.

Makan Di Dalam Talam

Di satu masa dahulu sama ada di markas, surau mahupun masjid apabila makanan dihidang maka ia semestinya di dalam talam. Dikerumunilah talam-talam itu tidak kira yang dihidang itu nasi beriyani ataupun bihun. Tetapi segalanya sudah tinggal kenangan bagi kebanyakan tempat terutamanya di bandar-bandar.

Bekas makanan, pinggan atau mangkuk polystyrene yang boleh dibeli dengan begitu murah telah menggantikan talam-talam tersebut. Lebih-lebih lagi jika hidangan makanan ditempah. Adalah lebih mudah bagi pembekal makanan itu memasukkan makanan yang ditempah ke dalam bekas-bekas polystyrene. Mungkin tidak begitu praktikal bagi mereka untuk mengusung periuk-periuk ke markas-markas.

Tidaklah diketahui ke mana perginya talam-talam itu. Adakah ianya telah menjadi perhiasan di dinding markas-markas atau di rumah-rumah ahli? Ataupun akan digunakan sebagai perisai semasa penamaan calun pada pilihanraya umum yang akan datang untuk menghadapi serangan botol-botol air mineral yang akan dibaling oleh samseng-samseng UMNO.

Apakah sebenar kelebihan makan di dalam talam? Secara zahirnya ianya dapat merapatkan ahli-ahli kerana mereka akan makan bersama-sama, berlaga lutut dan mungkin berlaga bahu. Ahli-ahli terpaksa berinteraksi jika makan di dalam talam. Bercakap atau berbual akan terjadi secara semulajadi.

Jika bekas polystyrene digunakan maka ada yang duduk di hujung sana dan satu lagi di hujung sini. Ahli-ahli mungkin akan membuat hal masing-masing. Malah lebih teruk lagi sekiranya ada yang membawa makanan itu terus balik ke rumah. Tidak ada interaksi, tidak ada ramah-mesra, tidak ada borak-borak.

Adakah itu sebabnya budaya makan di dalam talam itu juga dipratikkan oleh masyarakat Jawa? Bukan sahaja orang PAS dan dan orang Tabligh saja yang makan di dalam talam, orang Jawa juga makan di dalam talam apabila menghidangkan nasi ambeng di majlis-majlis kenduri mereka. Tetapi tidaklah saya ketahui sama ada budaya ini masih diteruskan atau budaya polystyrene ini telah menular ke dalam masyarakat Jawa.

Membasuh talam-talam yang telah digunakan jika dilakukan secara gotong-royong juga dapat memupuk semangat kekitaan dan mewujudkan rasa bertanggung jawab di kalangan ahli-ahli. Tentu ramai yang ingat akan adegan-adegan di dalam filem-filem Melayu lama di mana orang-orang kampung akan beramai-ramai membasuh kain di sungai. Mereka bukan sekadar membasuh tetapi berkongsi berita dan cerita yang terkini.

Dari aspek alam sekitar, polystyrene tidak dapat dilupuskan begitu mudah. Jika ditanam sekalipun ianya akan mengambil masa yang lama untuk dilenyapkan. Maka bertambahlah lagi sampah-sarap yang telah menimbun-nimbun itu di atas muka planet yang kita didiami ini. Bertambah tinggilah bukit-bukit di tempat-tempat pengumpulan sampah.

Jika talam digunakan maka tidaklah ada lagi berkarung-karung polystyrene di luar markas-markas selepas setiap program. Karung-karung plastik yang mungkin akan dikoyakkan oleh anjing-anjing liar yang lapar dan akhirnya bertaburanlah di hadapan markas-markas kita dengan pinggan-pinggan, mangkuk-mangkuk dan bekas-bekas polystyrene.

Dari aspek kesihatan pula, mungkin ada yang mendakwa terdapat kesan jangkapanjang terhadap kesihatan mereka yang selalu makan dari bekas-bekas polystyrene. Pengeluar bekas-bekas itu mungkin akan menafikan dakwaan tersebut tetapi terdapat perkara-perkara yang dahulunya dianggap selamat tetapi sekarang ini dibuktikan sebaliknya.

23 RABIUL AKHIR 1428 / 11 MEI 2007