Tuesday, February 20, 2007

KEMUNCAK KEBODOHAN ADALAH…..

Bagi mereka yang mempelajari ilmu pentadbiran dan pengurusan sudah tentu pernah mendengar ungkapan, “Kemuncak kebodohan adalah apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan cara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berlainan”.

Contohnya mereka yang menjalankan perniagaan dengan cara yang sama seperti cara pemasaran atau produk yang sama tetapi mengharapkan hasil yang lebih baik dari sebelumnya.

Perkara tersebut telah diulang oleh Dr. Mohd. Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat di dalam lawatan beliau ke Kg. Pandan baru-baru ini.

Bagi sebuah parti politik seperti kita, di antara ukuran kejayaannya adalah sokongan rakyat seperti penambahan ahli atau kejayaan di dalam pilihanraya.

Oleh itu jika kita mengharapkan kemenangan pada pilihanraya umum yang akan datang walhal strategi dan gerakerja kita adalah sama seperti 2004 maka ianya adalah kemuncak kebodohan.

Kita anjurkan ceramah, naikkan kain rentang, tampalkan poster dan edarkan risalah sama seperti 2004 tetapi kita bermimpi untuk menang.

Ia telah dibincangkan dengan panjang lebar di peringkat Kawasan. Apakah kelainan yang perlu kita cipta untuk memungkinkan kita mencapai kejayaan?

Ada yang mencadangkan kita mengedar CD. Menambah program khidmat masyarakat. Mengedar risalah berkualiti tinggi. Mengadakan tayangan CD. Meningkatkan operasi geraksaraf. Mengarahkan ahli-ahli bersolat hajat setiap hari. Qiyamulail setiap minggu dan banyak lagi.

Tetapi Cawangan-Cawangan juga perlu bersama-sama memikirkannya. Jika mereka mula bergerak semingggu dua sebelum penamaan calon dan melakukan perkara-perkara yang sama seperti 2004 tetapi mengharapkan kemenangan maka bukankah itu juga kemuncak kebodohan?

Kawasan membuka seluas-luas ruang kepada Cawangan-Cawangan untuk membuat apa sahaja pembaharuan yang dirasakan patut selagi ianya tidak bertentangan dengan hukum syarak.

SUASANA YANG BERUBAH-UBAH

Mungkin ada yang berhujjah, strategi dan gerakerja mungkin sama tetapi suasana adalah berbeza pada pilihanraya umum akan datang.

Memang benar menurut kajian Merdeka Centre baru-baru ini, 2 dari 3 pengundi Cina telah menyatakan hasrat untuk mengundi pembangkang.

Tetapi menurut Pengarahnya, Ibrahim Suffian, inisiatif-inisiatif ekonomi seperti menurunkan harga minyak akan dapat meredakan kemarahan mereka.

Kajian itu turut melaporkan hanya 1 dari 3 pengundi Melayu akan mengundi pembangkang.

Ianya menjangka PAS dan KeAdilan akan susah untuk menampilkan diri mereka sebagai pembangkang yang “credible” dan mencadangkan mereka memainkan isu-isu tempatan.

Oleh itu suasana tidak begitu memihak sangat kepada pembangkang seperti dalam tahun 1999.

Jika kita gagal ketika itu maka ini bermakna kita perlu berusaha lebih untuk pilihanraya yang bakal menjelang. Tetapi adakah itu hakikatnya sekarang?

Dr. Hatta di dalam lawatannya itu memberitahu bagaimana di dalam tahun 1999 jika PAS menganjurkan ceramah maka bendera-bendera akan dipasang sepanjang jalan.

Tetapi hari ini tempat-tempat ceramah selalunya gelap dan tidak banyak bendera yang dipasang.

Katanya juga di dalam tahun 1999 PAS kerap membuka kaunter di pasar-pasar malam tetapi kita amat bertuah jika dapat melihat kaunter PAS sekarang. Di ceramah umum pun tidak ada kaunter.

Bukan sahaja perkara–perkara yang dapat memberi nilai tambah kepada kempen kita tidak diusahakan tetapi perkara-perkara yang asas telah diabaikan.

MENUNGGU KEMENANGAN

Memang benar Allah SWT boleh memberi kemenangan kepada sesiapa sahaja tetapi wajarkah kita mengharapkan kemenangan tanpa berusaha bersungguh-sungguh?

Tidakkah kita malu hanya duduk menunggu kemenangan walhal Rasulullah SAW juga keluar berperang sehingga cedera parah seperti di Uhud?

Baginda juga pernah dilempar dengan batu di Taif. Baginda juga pernah disihir oleh seorang Yahudi bernama Lubaid Ibn Asim,

Lagipun jika kita bekerja sambil lewa untuk menghadapi pilihanraya, adakah terdapat mereka yang sanggup menjadi calon untuk kita?
Adakah mereka yang sanggup mendedahkan diri dan keluarga mereka kepada pelbagai risiko jika kita malas hendak datang ke mesyuarat-mesyuarat UPU?

BANGUNAN SENDIRI

Sejak dilantik sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyakarakatan PAS Negeri Selangor, saya telah melakukan lawatan ke Kawasan-Kawasan dan seperti kata pepatah jauh perjalanan luas pandangan kerana banyak perkara yang dapat dipelajari.

Kadang-kala kita di kawasan bandar seperti di Pandan memandang rendah kepada mereka di luar bandar seperti Sabak Bernam dan Tanjung Karang.

Kita kerap berbangga kerana mempunyai ramai profesional dan intelek tetapi pada hakikatnya kita jauh ketinggalan di dalam pelbagai bidang.

Dari segi penambahan ahli, Tanjung Karang berada di tempat pertama, Sabak Bernam kedua dan Sungai Besar keempat. Pandan dan Shah Alam yang “canggih” itu berada di “bottom five”.

Dari segi pemilikan bangunan, Tanjung Karang dan Sabak Bernam mempunyai bangunan mereka sendiri. Malah terdapat Cawangan-Cawangan mereka yang juga mempunyai bangunan sendiri.

Saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan kepada pemilikan bangunan sendiri kerana ianya merupakan agenda utama kita sekarang.

Bukan sahaja Tanjung Karang dan Sabak Bernam tetapi Selayang, Puchong, Kuala Langat dan banyak lagi juga ada bangunan sendiri.

Ada yang berkata, “Di kampung bolehlah, tanah banyak. Di bandar tanah mahal”. Memang benar di kampung tanahnya murah tetapi untuk membina bangunan juga memerlukan duit.

Di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam yang terkenal dengan PASTI yang mempunyai pelajar-pelajar Cina, sebuah Cawangan PAS dapat memiliki sebuah kompleks yang terdapat sebuah dewan dan sebuah PASTI. Kosnya mungkin RM100,000.

Adakah kita di Pandan yang penuh dengan pakar-pakar kewangan dan pelaburan dapat menandingi sebuah Cawangan di Sabak Bernam yang terdiri dari para peniaga, petani dan nelayan?

KENAPA PERLU MEMBELI?

Tetapi kenapa perlu membeli? Kenapa tidak menyewa?

Membeli akan memberi jaminan jangkapanjang. Markaz kita di Jalan H hanya menunggu masa. Pemiliknya pernah menyatakan hasrat untuk membangunkannya dan kita akan diarah keluar.
Kita boleh mencari bangunan yang baru tetapi untuk berapa lama sebelum kita disuruh berpindah lagi?

Bagaimanakah kita hendak bertapak dan mendapat kepercyaaan rakyat jika kita terpaksa berpindah setiap tiga atau empat tahun seperti kaum Red Indian?

RM450,000 DALAM MASA 15 BULAN

Sekiranya 3,000 ahli-ahli PAS di Pandan menyumbang RM150 maka kita akan dapat kumpulkan RM450,000.

RM150 itu tidak perlu disumbangkan sekali-gus tetapi boleh dikumpulkan RM10 sebulan. Maka dalam masa 15 bulan, kita akan mampu membeli sebuah bangunan tanpa meminjam dari bank.
Ini tidak mustahil kerana kompleks PAS di Tanjung Karang yang selalu digunakan untuk program-program Negeri adalah hasil sumbangan ahli-ahli.

Setiap AJK Kerja PAS Kawasan telah diwajibkan mencari RM500. Ahli-ahli Cawangan juga telah menyumbang dan ada yang sehingga RM5,000. Oleh itu buktikanlah kesungguhan anda!

Tetapi terdapat di antara kita yang lebih suka mencari sebab kenapa sesuatu kerja itu tidak boleh dilakukan. Bukankah lebih baik jika kita dapat memikirkan cara-cara bagaimana sesuatu kerja itu dapat dilakukan dengan jayanya?

Bukankah Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Salehuddin Ayub pada Majlis Minum Teh 11 Februari lepas di Taman Nirwana telah menasihatkan kita agar keluar dari zon selesa kerana kita tidak akan ke mana-mana jika hanya berada di takuk yang lama?

Selamat berjuang!

5 SAFAR 1428 / 23 FEBRUARI 2007

KENAPA MALAS MELAKSANAKAN KERJA-KERJA JEMAAH?

Assalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Tuan-tuan dan puan-puan yang diberkati Allah SWT,

Persoalan kenapa kita kadang-kadang malas melaksanakan tugas-tugas jamaah sentiasa akan wujud.

Bagi mereka yang kerap hadir kuliah Tarbiyyah Haraki di Pejabat PAS Kawasan terutamanya pada giliran Ustaz Idris Ahmad, setiap malam Jumaat ketiga setiap bulan, sudah tentu dapat menjawab.

Kitab yang dibawa oleh Ustaz Idris, “Wabak Sepanjang Jalan” atau “Afat ala Tariq” karangan Dr. Al Syed Muhammad Noh menghuraikan secara panjang lebar kenapa ada yang malas, menangguhkan dan melengah-lengahkan kerja-kerja jamaah.

Penyakit berhenti atau melengah-lengahkan kerja atau Al Futur sering melanda. Tahap yang paling rendah adalah malas, menangguhkan dan melengahkan kerja sementara yang paling tinggi adalah berhenti terus.

SEBAB BERLAKU AL-FUTUR

Di antara sebab-sebab berlakunya Al-Futur menurut Dr. Al Syed Muhammad Noh adalah,

1. Sikap keterlaluan dan berlebih-lebihan di dalam agama.

Sikap keterlaluan dan berlebih-lebihan yang melampaui batas sehingga menafikan hak kerehatan yang diperlukan oleh badan boleh menyebabkan keletihan atau kejemuan.

Manusia mempunyai keupayaan yang terhad, apabila ia bertindak melampaui keupayaannya, ia akan dijangkiti Al-Futur.

2. Mufaraqah atau meninggalkan jemaah dan hidup beruzlah atau berseorangan.

Apabila seseorang itu meninggalkan perjuangan bersama jamaah ia akan kehilangan sahabat-sahabat yang boleh memberi ransangan dan galakan. Lama-lama kelamaan ia akan lemah dan jemu dan akan bertindak ala kadar walaupun berhasrat untuk bekerja terus untuk Islam.

3. Kurang mengingati mati dan akhirat.

Bila seseorang itu lupa kepada mati dan hari akhirat ianya boleh membawa kepada tumpulnya keazaman dan hasrat. Akibatnya ia akan melengah-lengahkan kerja-kerja jamaah dan mungkin akan berhenti terus.

4. Pengabaian melakukan ibadat harian.

Pengabaian melakukan ibadat harian seperti mengabaikan solat rawatib, qiamulail, sunat dhuha, membaca Al-Quran, berzikir dan solat berjemaah tanpa sebarang keuzuran akan meninggalkan kesan negatif kepada diri.

5. Mengambil makanan yang haram atau syubahah.

Di antara kesan-kesan makanan yang haram adalah malas untuk beribadat atau tidak merasai sebarang kelazatan dan kemanisan untuk menyembah dan bermunajat kepada Allah.

6. Penumpuan ke atas sudut tertentu dari ajaran Islam.

Islam merangkumi semua aspek kehidupan. Mereka yang memilih sebahagian sahaja dari Islam, seolah-olah mahu menghayati hanya sebahagian dari kehidupan.

Apabila penghayatan Islam secara ini sampai kepada kemuncaknya, mereka akan tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan lagi.

7. Gagal memahami sunnatullah tentang alam dan penghidupan.

Ada yang bekerja di jalan Allah untuk mengubah suasana masyarakat secara drastik dengan pendekatan dan cara yang tidak berpijak di bumi yang nyata, tanpa memahami realiti yang dihadapi.

Adapun sunnatullah bagi alam dan penghidupan, sesuatu pekerjaan itu perlu dilakukan secara bertahap. Dan setiap itu telah ditentukan masa yang tidak mungkin didahulukan atau dikemudiankan.

Apabila hasil tindakan mereka itu tidak seperti yang diharapkan maka Al-Futur akan berlaku.

8. Mengabaikan hak tubuh badan kerana bebanan tugas dan tanggungjawab di samping kekurangan tenaga amilin.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya kepada Tuhan kamu hendaklah diberi hak dan sesungguhnya kepada diri kamu hendaklah diberi hak dan kepada keluarga kamu hendaklah diberi hak, maka berilah hak kepada mereka yang mempunyai haknya”.

9. Tidak bersedia menghadapi halangan dan cabaran dalam perjuangan.

Terdapat mereka yang menyertai perjuangan Islam tetapi mengharapkan kesenangan dan kejayaan di dalam masa yang singkat walhal ianya penuh dengan pelbagai cabaran dan kepayahan.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini. Sehingga dia menyisihkan yang buruk (munafik) dari yang baik (mu’min). (Ali Imran 179)

10. Mendampingi golongan yang tidak berjiwa besar.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Seseorang itu mengikut deen (cara hidup) sahabatnya maka hendaklah salah seorang dari kamu melihat dengan siapa ia bersahabat”.

11. Terlibat dengan perbuatan jahat dan maksiat terutamanya melakukan dosa kecil serta memandangnya remeh.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Seseorang mukmin apabila melakukan dosa maka berlakulah satu titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat dan meninggalkan dosa serta beristighfar, maka bersihlah hatinya. Dan sebaliknya jika ia menambahkan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam sehingga meliputi hatinya.”

PERANCANGAN PBS

Saya pernah diberitahu apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) menumbangkan kerajaan Berjaya di dalam tahun 1985, mereka telah memastikan setiap bandar dan kampung mempunyai sekurang-kurangnya sebuah gereja, tadika dan rumah orang-orang tua.

Mungkin PBS menjangka mereka tidak akan kekal lama sebagai kerajaan dan perlu mewujudkan institusi-institusi yang boleh mengekalkan pengaruh mereka walaupun mereka kalah di peti undi.

Saya yakin PAS di Pandan perlu belajar dari PBS dan memastikan wujudnya institusi-institusi PAS yang tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa.

PAS sejak dari dulu lagi telah mewujud balai Islam, markas tarbiyyah, PASTI, SRI, SMI, maahad tahfiz atau pusat tuisyen yang bukan sahaja berjaya memasyarakatkan PAS dan membentuk masyarakat tetapi dapat memberikan peluang pekerjaan kepada para aktivis.

Ianya berlainan dari surau, masjid atau sekolah agama rakyat yang bukan milik PAS dan boleh dirampas pada bila-bila masa oleh mana-mana pihak yang cemburu dengan penerimaan rakyat terhadap perjuangan Islam.

Terdapat aktivis-aktivis kita yang bertungkus lumus menghidupkan institusi-institusi kemasyarakatan itu sehingga mengabaikan Cawangan-Cawangan tetapi akhirnya kecewa apabila ianya diambil alih oleh orang lain.

Tetapi dengan institusi-institusi PAS, PAS seolah-olahnya sudah menjadi “kerajaan” kerana telah menjadi tempat rakyat di sesuatu kawasan bergantung harap.

Mungkin kita tidak perlu pergi jauh ke Utara atau Pantai Timur tetapi cukuplah kita meninjau di Ampang di mana mereka telah ada SRI, SMI, 2 pusat tuisyen selain dari PASTI-PASTI. Dan apabila Masjid Kosas dirampas, markas di Taman Dagang Jaya telah berjaya mengisi kekosongan yang wujud.

LIGA PERDANA INGGERIS

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Liga Perdana Inggeris sudah tentu tahu bahawa persaingan liga itu bagi musim ini telah melepasi separuh perjalanan.

Ketika ini, Manchester United sedang mendahului saingan.

2 pengurus pasukan, dari Charlton dan West Ham, telah dipecat kerana prestasi pasukan mereka yang terlalu buruk.

Menurut seorang penganalisis, tugas yang paling berat bagi pengurus sebuah kelab bolasepak adalah bukan untuk menentukan taktik dan strategi tetapi adalah “ego management” atau menguruskan ego para pemain yang bernilai berjuta-juta Euro.

Bukan senang untuk untuk menguruskan pasukan-pasukan seperti Chelsea yang mempunyai pemain-pemain yang merupakan kapten negara masing-masing.

Tetapi bagi Chelsea, mereka dapat bermain sebagai satu pasukan walaupun pemain-pemainnya adalah “superstars”.

“Ego management” ini saya yakin bukan sahaja wujud di dalam menguruskan sebuah kelab bolasepak tetapi apa saja organisasi yang melibatkan manusia termasuk parti politik.

Tidak ramai seperti pengurus Manchester United, Alex Ferguson, yang apabila berhadapan dengan pemain-pemain yang mula bermain untuk ego masing-masing akan mengambil tindakan yang drastik.

Pemain-pemain seperti David Beckham, Roy Keane dan Paul Ince telah dijualnya untuk menyelamatkan pasukan.

Tetapi adakah masalah ini akan berlaku di dalam jamaah Islam seperti PAS?

Terpulangkan kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk menjawabnya tetapi di dalam kitab-kitab haraki terdapat satu istilah “Al I’jab Bil Nafsi” atau terpesona dengan diri sendiri.

22 Zulkaedah 1427 / 12 Jan 2007

Thursday, February 15, 2007

UMNO TIDAK KEBAL, HANYA KITA YANG DAYUS…..

Pada 29 Januari lepas, 2 ahli UMNO Cawangan Taman Bukit Puchong telah ditahan polis.

Ianya berikutan laporan polis yang dibuat apabila 20 orang ahli UMNO telah cuba menghalang penduduk yang membantah tindakan UMNO meletakkan sebuah kabin di sebuah padang permainan di situ.

Pergelutan telah berlaku dan seorang penduduk, Eugene Mark Gabriel telah diserang dan ditumbuk oleh salah seorang ahli UMNO itu.

Sebelum itu penduduk telah membuat aduan kepada ahli Parlimen mereka terhadap tindakan UMNO yang telah dengan sewenang-wenangnya mengambil-alih sebahagian dari padang permainan tersebut.

Majlis Perbandaran Subang Jaya akhirnya telah mengeluarkan notis agar kabin itu dipindahkan atau ianya akan dirobohkan.

UMNO MEMANG PENYAMUN

Cerita UMNO mengambil-alih padang permainan atau kawasan lapang lain kerap kedengaran.

Terdapat pelbagai rungutan apabila satu demi satu padang permainan atau kawasan lapang dicerobohi oleh mereka.

Terdapat kawasan lapang seperti yang berdekatan dengan Surau Ubudiah, Pandan Indah yang hilang sama sekali akibat dari kerakusan UMNO.

Ada padang permainan seperti di Taman Maju Jaya dan Taman Cheras Indah yang telah menjadi kecil apabila UMNO membina dewan-dewan mereka.

Merampas dan mencuri adalah kerja UMNO. Tetapi apakah yang dilakukan oleh kita apabila jenayah seperti ini berlaku di hadapan mata kita?

FAIT ACCOMPLI

Hampir kesemua dari kita, sama ada yang bergaji 5 angka atau yang tidak ada sebarang angka, menganggapnya sebagai satu fait accompli atau sesuatu yang tidak boleh diubah lagi.

Kita hanya berpeluk tubuh seolah-olah adalah menjadi hak UMNO untuk merampas mana-mana tanah yang ada di bumi yang tercinta ini.

Yang mempunyai Ph. D. atau yang menghafal beratus-ratus ayat Al-Quran pun hanya sekadar merungut dan membebel di kedai-kedai kopi atau di serambi-serambi surau sahaja.

Tetapi Eugene Mark Gabriel dan rakan-rakannya dari Taman Bukit Puchong tidak bersikap seperti kita.

Mereka bangkit mempertahankan hak mereka. Mereka membantah. Mereka mengumpul tandatangan. Mereka sanggup berhadapan dengan samseng-samseng UMNO.

Sebagai orang Islam tidakkah kita berasa malu kepada mereka?

SYOK SENDIRI

Setiap Muharam kita akan mengadakan sambutan Maal Hijrah. Kita memperingati pengorbanan Rasulullah SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Penuh sesaklah masjid dan surau apabila ustaz-ustaz kita menceritakan tentang kepayahan yang dilalui oleh Rasulullah SAW merentas padang pasir.

Setiap Ramadhan kita menjemput ustaz-ustaz untuk menyampaikan tazkirah yang berapi-api. Kita kagum dengan kejayaan di Badr yang berlaku di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Kita gembira apabila ustaz-ustaz menceritakan tentang kehebatan pejuang Hamas dan Hizbullah seolah-olah kita yang telah sama-sama bermandi darah menentang Yahudi Laknatullah.

Kita bangga apabila surau-surau kita berjaya menjemput penceramah-penceramah yang berani mendedahkan tindakan-tindakan UMNO yang sesat lagi menyesatkan itu.

Tetapi kita hanya sekadar ingat. Kita hanya sekadar kagum. Kita hanya sekadar gembira. Kita hanya sekadar bangga. Kita hanyalah syok sendiri sahaja.

KITA MESTI BERJIWA BESAR

Kita tidak mengambil pengajaran dari apa yang kita dengar sejak bertahun-tahun lamanya.

Apabila penyelewengan berlaku di hadapan kita, kita hanya menikus. Apabila hak-hak kita dinafikan, untuk bersuara pun kita tidak mampu.

Biarlah apa sahaja yang hendak dilakukan oleh UMNO, ada telinga kita pekakkan, ada mata kita butakan dan ada mulut kita bisukan.

Ada di antara kita yang takut kepada UMNO lebih dari takut kepada Allah. Seolah-olah rezeki kita datang dari UMNO dan bukan dari Allah.

Kita terus takut dengan bayang-bayang dan sentiasa merasakan diri kita terlalu kecil.

NASIHAT KETUA POLIS DAERAH

Di dalam pertemuan kami dengan pihak polis tahun lepas, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ketika itu telah memberitahu bagaimana penduduk Petaling Jaya dan Subang Jaya sering membangkitkan isu-isu yang melibatkan majlis-majlis perbandaran tetapi perkara sedemikian tidak berlaku di tempat kita.

Maksud beliau yang sebenar adalah, “Terdapat banyak penyelewengan tetapi apa yang PAS telah lakukan?”

GERAKAN ISLAM PERLU PRIHATIN

Mungkin ada yang berkata, “Kita sebuah gerakan Islam bukan parti politik semata-mata”.

Saya ingin bertanya kepada mereka, “Adakah Islam mengajar kita berdiam diri apabila penyelewengan dan rasuah berlaku di sekeliling kita?”

Adakah memadai kita hanya berkubu di surau-surau walhal duit rakyat dibazirkan dan disalahgunakan secara terang-terangan?

Saya yakin jika umat Islam hanya dianjurkan duduk di masjid dan surau sahaja maka Rasulullah SAW tidak akan meninggalkan kota Makkah.

KEJAYAAN KITA

Ada seorang ahli pernah memperlekehkan usaha-usaha kita menangani isu-isu tempatan.

“Apa yang PAS boleh buat?”, katanya.

Sebenarnya banyak kejayaan yang telah kita capai.

Kita pernah berjaya mendesak MPAJ menutup sebuah pusat pengumpulan sampah milik seorang Ketua Cawangan UMNO. Kawasan itu sekarang telah dijadikan padang permainan kanak-kanak.

Kita pernah membuat aduan tentang sebuah projek pembinaan yang membahayakan penduduk. Akhirnya Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan telah mengarahkan MPAJ bertindak.

Kita pernah membuat aduan tentang lampu-lampu di sebatang jalan yang telah rosak sejak beberapa bulan. MPAJ telah menggantikan lampu-lampu itu dalam masa seminggu selepas menerima aduan kita.

Kita telah memimpin bantahan rakyat yang mengakibatkan MPAJ membatalkan hasrat untuk mewajibkan penduduk membeli tong sampah yang berharga di antara RM145 hingga RM 180.

Kita pernah membantah pemberian lesen menjual arak kepada sebuah “food court” yang terletak di atas rizab sekolah. Ketika artikel ini ditulis, “food court” itu tidak beroperasi.

RAKYAT PERLU BANGKIT

Jika saya hendak menyenaraikan kejayaan-kejayaan kita, mungkin risalah ini tidak akan mencukupi.

Saya tidak bertujuan untuk berbangga tetapi PAS Kawasan tidak dapat menjalankan tugas ini bersendirian. Rakyat perlu bangkit seperti di Taman Bukit Puchong.

Kita mesti memulakan budaya menulis surat atau menghantar memorandum sama ada di atas nama Cawangan, surau, penduduk atau individu.

Kita menganjurkan forum tentang gejala sosial tetapi pernahkah kita menghantar memorandum membantah kewujudan arked-arked video di Pandan Jaya yang dijadikan pusat perjudian para remaja?

Kita menghentam UMNO kerana membenarkan judi tetapi pernahkah kita menghantar surat mendesak MPAJ supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada kedai-kedai judi?

Jika rakyat dapat menyahkan mentaliti mereka adalah terlalu kerdil dan tidak mempunyai apa-apa kuasa, mereka tidak akan dapat dipermain-mainkan.

Selamat berjuang!

21 Muharam 1428 / 9 Feb 2007

BANGSA YANG TELAH TEWAS…..

Pada 13 Januari lepas, para penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah bertindak merobohkan Surau Ehsaniah, Kg. Dato’ Harun dekat Kg. Pandan Dalam.

Ianya telah dirobohkan kerana menurut pemaju Sri Seltra surau itu terletak di atas laluan paip-paip pembetungan.

Ianya perlu dirobohkan dengan segera kerana kerja-kerja memasang paip perlu dilakukan dengan serta-merta.

Walau bagaimanapun setakat 23 Januari, tidak ada sebarang kerja yang telah dilakukan di atas tapak surau yang telah dirobohkan.

Saya tidak bercadang untuk mengulas panjang-lebar tentang keangkuhan pemaju dan kenapa kakitangan-kakitangan MPAJ lebih bersunggguh-sungguh untuk merobohkan surau dari wakil pemaju.

Tetapi saya ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan kepada komen yang dibuat oleh seorang pegawai penguatkuasa MPAJ sehari sebelum surau itu dirobohkan.

Pada 11 Januari, saya telah mendapat panggilan telefon dari imam surau tersebut bahawa MPAJ telah
memberitahunya surau itu akan dirobohkan pada esok hari.

Reaksi pertama saya adalah untuk menghantar sebanyak mungkin SMS kepada ahli-ahli PAS di Pandan dan di seluruh Selangor agar hadir pada esok hari untuk memprotes perobohan itu.

Risalah-risalah juga telah diedarkan ke seluruh Kg. Pandan untuk memastikan umat Islam keluar membantah perobohan rumah Allah itu.

Pada 17 Disember tahun lalu, surau itu telah gagal dirobohkan apabila penduduk kampung dan ahli-ahli PAS telah keluar membantah.

Tetapi walaupun maklumat telah disebarkan dengan meluas, mereka yang hadir pada pagi 12 Januari itu adalah tidak lebih dari 50 orang.

Memandangkan hakikat itu, seorang pegawai MPAJ telah berkata, “Kalau nak roboh kuil, dua tiga bas akan datang tapi kalau surau banyak ni saja”.

Nampaknya penganut-penganut agama Hindu lebih bersungguh-sungguh untuk mempertahankan rumah ibadat mereka dari orang Islam.

Nampaknya mereka lebih sayang kepada rumah ibadat mereka dari kita.

Tidakkah kita terasa apa-apa apabila sebuah surau hendak dirobohkan?

Buat makluman, pemaju pada mulanya telah begitu angkuh menolak permohonan penduduk kampung agar disediakan sebuah surau sementara sehingga surau kekal siap.

Tetapi akhirnya mahu penduduk menggunakan tingkat bawah sebuah apartment yang sedang dalam pembinaan walaupun ianya menyalahi undang-undang dan amat merbahaya.

Begitulah hinanya umat Islam di Malaysia.

Tetapi bukankah ini akibat dari sikap tidak peduli kita?

Sekiranya ribuan malah ratusan sekalipun yang turun memprotes, saya yakin surau itu tidak akan dirobohkan.

Tetapi di manakah umat Islam Kg. Pandan?

Di manakah umat Islam Angsana Hilir?

Di manakah umat Islam Taman Nirwana?

Di manakah umat Islam Taman Cempaka?

Atau taman-taman lain yang berdekatan?

Adakah mereka telah tenggelam dengan segala kemewahan sehingga tidak lagi sensitif apabila sebuah rumah Allah hendak dicerobohi?

Adakah mereka terlalu sibuk sehingga tidak mempunyai masa walaupun sesaat untuk menjengok atau bertanya khabar kepada penduduk kampung yang sedang menghadapi tekanan?

Kepada yang selalu ke kuliah-kuliah dan usrah-usrah, apa yang sebenarnya kamu faham dari majlis-majlis itu?

Tidakkah kamu diberitahu oleh penceramah-penceramah atau naqib-naqib kamu tentang falasafah cubit peha kiri terasa peha kanan?

Di Pulau Pinang jika sebuah kuil hendak dirobohkan, mereka terpaksa melalui dua jawatankuasa tetapi di Selangor surau boleh dirobohkan dengan sewenang-wenangnya.

Saya tidak menyalahkan Sri Seltra yang mahu surau itu dirobohkan. Sebagai pemaju mereka mahu projek mereka cepat disiapkan dan mahu keuntungan yang banyak.

Saya tidak menyalahkan MPAJ atau UMNO kerana telah terdapat banyak aduan tentang betapa korupnya PBT dan hanya orang gila yang mengharapkan sesuatu dari UMNO.

Tetapi kita yang telah gagal untuk mempertahankan agama Allah.

Kita mungkin mempunyai rumah yang besar, kereta yang besar, pangkat yang besar, gaji yang besar malah isteri yang besar tetapi apakah gunanya semua itu apabila agama kita boleh dipermain-mainkan dengan begitu mudah?

Mungkin ada yang marah dengan tulisan saya kali ini tetapi sekiranya saya mahu menjadi popular, saya akan memasuki Akademi Fantasia dan bukan menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan!

Selamat berjuang!

7 Muharam 1428 / 26 Jan 2007

SETIAP AHLI PERLU MEMAINKAN PERANAN MASING-MASING

Assalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tuan-tuan dan puan-puan yang diberkati Allah SWT,

Saya telah menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Terengganu.

Daripada pemerhatian di kampung isteri saya, nyata sekali kerajaan negeri pimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh sedang bekerja keras untuk mempertahankan negeri yang dirampas dari PAS pada pilihanraya umum yang lepas.

Terdapat banyak kemudahan-kemudahan baru yang dibina atau sedang dibina untuk rakyat.

Mungkin ramai yang akan berkata dengan duit royalti minyak, kerajaan BN Terengganu tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk mengumpan rakyat dengan pelbagai gula-gula.

Tetapi pembinaan di antara kemudahan-kemudahan itu tidak melibatkan kos yang begitu tinggi.

Menurut pandangan saya yang telah lebih 15 tahun terlibat di dalam industri pembinaan, ianya boleh dilaksanakan dengan kos yang rendah melalui konsep gotong royong.

Tetapi mengapakah ianya tidak dilaksanakan semasa pemerintahan kerajaan PAS?

Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Dr. Abdul Aziz Bari di dalam satu artikel di dalam Harakah bahawa ramai profesional di dalam PAS yang tidak memainkan peranan sebagai seorang profesional.

Mungkin mereka di Terengganu terlalu sibuk untuk memikirkan tentang perlaksanaan Syariah sehingga tidak ada masa untuk memikirkan perkara-perkara seperti perpustakaan desa, pasar, gerai dan banyak lagi kemudahan-kemudahan yang amat diperlukan di kampung-kampung seperti di kampung isteri saya.

Kenapa tidak biarkan para ulamak memikirkan tentang perlaksanaan undang-undang tersebut dan para profesional atau mereka yang ahli di dalam bidang-bidang teknikal memainkan peranan di dalam bidang masing-masing?
Kadang-kala inilah masalah ahli-ahli kita.

Mereka terlalu sibuk memikirkan tentang isu-isu antrabangsa seperti masa depan Hamas di Palestin sehingga markas yang penuh dengan sawang atau rumput yang panjang tidak langsung dipedulikan.

Mereka terlalu sibuk berbahas tentang isu-isu nasional seperti perpecahan di dalam UMNO sehingga bihun yang ditempah untuk Tarbiyyah Haraki tidak ada orang yang sudi untuk menghidangkannya dan mengakibatkan pembaziran.

Adalah lebih baik sekiranya lebih ramai ahli yang mengambil sikap, “Yang ini perlu dilakukan begini, biar saya membantu melakukannya”.

Tugas memperkukuhkan organisasi PAS di Pandan adalah tanggungjawab setiap ahli. Saya sentiasa menunggu ahli-ahli untuk tampil ke hadapan untuk menawarkan khidmat untuk membantu. Kita tidak ketandusan idea-idea baru, hanya tidak ada orang untuk melaksanakannya.

Baru-baru ini, kita telah menubuhkan satu pasukan untuk mengedarkan risalah-risalah kita di tempat-tempat awam dan membantu kerja-kerja penerangan yang lain. Saya berharap lebih ramai ahli akan menyertai pasukan ini yang dinamakan Briged Pandan dan terbuka kepada semua peringkat umur. Sila hubungi saya jika berminat.

PENGUASAAN ILMU

Di dalam menghadapi masyarakat bandar seperti di Pandan penguasaan ilmu adalah amat penting.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Zulkfli Ahmad, ramai di antara penceramah-penceramah PAS yang menggunakan hampir 90% dari masa berceramah untuk menghentam BN atau UMNO tetapi hanya 10% untuk menerangkan apa yang Islam atau PAS menawarkan kepada rakyat.

Itupun sekadar ucapan, “Kembalilah kepada Islam” atau “Islam akan menyelesaikan sebarang masalah”.

Mungkin cara ini sesuai di dalam tahun-tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan tetapi di dalam millennium yang baru ini terutamanya bagi masyarakat bandar yang sofistikated, hujjahnya mestilah juga sofistikated.

Para ulamak telah menjalankan tugas mereka untuk memaklumkan masyarakat tentang yang halal dan yang haram, untuk menetapkan halatuju, memberi kesedaran, memberi motivasi dan perkara-pekara asas yang lain. Tetapi tugas yang paling berat adalah untuk menerangkan kepada rakyat alternatif yang terperinci kepada yang haram itu.

Mereka tahu riba’ itu haram tetapi mereka mahu tahu secara terperinci apakah alternatif kepada sistem yang sedia ada? Apa akan jadi kepada bank-bank yang sedia ada? Apa akan jadi kepada pinjaman-pinjaman yang telah diberikan menurut cara konvensyenal? Apa akan jadi kepada pelaburan-pelaburan mereka? Apa akan jadi kepada BSKL? Apakah perancangan jangkapanjang kita untuk menarik FDI? Apakah kita akan perlu lagi FDI?

Tidak memadailah kita sekadar menjawab, “Kembalilah kepada Islam dan semua akan dapat diselesaikan”.

Inilah di antara soalan-soalan yang terpaksa dijawab oleh kita setiap hari di luar masjid dan surau yang akan menentukan sama ada orang akan menyokong kita atau tidak.

Saya yakin kebanyakan rakyat tahu apa yang halal dan haram tetapi mereka tidak nampak apa yang akan kita laksanakan jika diberikan peluang untuk memerintah. Akhirnya mereka menolak kita.

CERITA ISTERI YANG DIDERA

Ada cerita seorang isteri yang kadang-kala dipukul oleh suaminya tetapi enggan melaporkan tindakan tersebut.

Menurut beliau, suaminya adalah seorang yang amat penyayang kepada anak-anak mereka.

Isteri itu rela melalui sedikit kesengsaraan demi anak-anak.

Saya tidak mengatakan tindakan isteri itu betul tetapi inilah realiti kehidupan di mana suasana yang “ideal” hampir tidak akan wujud sama sekali.

Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Kadang-kala jika kita mahu memanfaatkan kelebihan seseorang, kita perlu menerima kekurangan beliau. Tidak ada orang yang “perfect”.

Seperti anak-anak kita, mungkin ada yang rajin membantu kerja-kerja di rumah tetapi kuat merajuk. Ada pula yang rajin membaca tetapi malas membantu kerja-kerja di rumah.

Begitulah juga di dalam organisasi seperti PAS. Kita mesti belajar menerima kekurangan dan kelebihan sahabat-sahabat kita.

Ada yang pandai berceramah tetapi malas untuk datang ke mesyuarat. Ada yang boleh menguasai masyarakat tetapi tidak mahu memegang sebarang jawatan. Ada yang boleh memimpin Usrah tetapi gagal apabila mengendalikan majlis resmi.

Dari segi komitmen pula, ada yang boleh bergiat di peringkat Cawangan tetapi tidak boleh di peringkat Kawasan. Ada yang boleh di peringkat Dewan tetapi tidak di peringkat Cawangan. Ada yang boleh di peringkat Kawasan tetapi tidak di peringkat Cawangan.
Setiap orang ada gunanya. Ada kalanya ada program gagal kerana mereka yang diberikan tanggungjawab yang tidak sesuai dengan kebolehan atau minat mereka. Yang salah bukannnya mereka tetapi kita yang memberikan tugas kepada orang yang salah.

Kerap di mesyuarat agung ahli-ahli mempersoalkan kehadiran AJK di mesyuarat-mesyuarat. Tetapi ahli-ahli itu juga bersalah kerana telah memilih orang yang tidak berkemampuan atau tidak berminat untuk menjalankan tugasnya!

AWAS INFILTRASI

Jika kita sentiasa tidak berpuas hati dengan sahabat-sahabat kita, ini akan memberi peluang kepada musuh untuk memecahbelahkan kita.

Sebuah Cawangan kita telah lumpuh akibat dari tindakan seorang SB yang ditugaskan untuk menekan Ketua Cawangannya.

Surau di situ juga huru-hara akibat dari peranan SB tersebut.

Oleh itu, berwaspadalah dan elakkanlah dari berinteraksi dengan mereka, kerana mereka telah dilatih untuk mendapatkan maklumat dengan cara yang anda tidak sedari.

Janganlah berharap untuk mempengaruhi atau “turning-over” mereka kerana mereka pandai berpura-pura.

Maklumat-maklumat Parti adalah penting untuk gerak kerja BN dan UMNO.

Keadaan di mana Cawangan-Cawangan kita yang terkuat berada di dalam DUN Teratai, di mana orang Melayu adalah minoriti, bukan berlaku secara kebetulan.

Maklumat yang dikumpul oleh SB-SB telah membantu SPR untuk memastikan Cawangan-Cawangan kita yang aktif diletakkan di dalam DUN di mana PAS tidak mungkin akan bertanding.

Ada Cawangan kita yang aktif telah dimasukkan ke dalam DUN Teratai walaupun dari segi kedudukan geografi ianya sepatutnya berada di dalam DUN Cempaka yang mempunyai pengundi Melayu yang majoriti.

Walau bagaimana, mereka merancang tetapi Allah juga merancang dan perancangan Allah itu mengatasi segala-galanya!

Selamat berjuang!

Zulkaedah 1427 / 15 Disember 2006

HEBATNYA SEORANG WANITA TUA…..

Ketika itu hari sudah hampir senja. Cuaca yang mendung membuat suasana di Padang Perbandaran Ampang Jaya seperti telah melewati waktu Maghrib.

Majlis Hari Raya Aidilfitri yang dirancang oleh PAS Kawasan Pandan sejak sekian lama hampir berakhir.

Ramai aktivis-aktivis yang sudah lama tidak kelihatan telah turut bersama.

Petugas-petugas dari Pemuda, Muslimat dan Cawangan-Cawangan telah bertungkus lumus tanpa mengenal penat dan lelah.

Kehadiran begitu ramai ahli-ahli dan masyarakat setempat membuatnya di antara majlis yang paling berjaya pernah dianjurkan oleh PAS di Pandan.

Ini ditambah dengan ucapan Dato’ Hassan Mohd. Ali yang hadir pada hari itu bahawa PAS di Pandan telah memilih tempat yang paling sesuai untuk diadakan sebuah majlis Hari Raya.

Menurut beliau, PAS perlu diletakkan di tengah-tengah masyarakat dan tidak wajar disembunyi-sembunyikan lagi.

Kehadiran penghuni-penghuni dari Rumah Orang-Orang Tua Cina Ampang dan kanak-kanak India dari sebuah rumah anak-anak yatim di Pandan Indah membuktikan bahawa program-program PAS bukan sahaja untuk orang-orang Melayu.

Kami sedang sibuk mengemas. Kerusi-kerusi dikumpul. Kain meja dilipat. Muslimat membungkus lauk pauk yang lebih. Pemuda mengutip sampah.

Tiba-tiba kelihatan dari hujung tempat letak kereta, seorang wanita berusia enam puluhan yang dipimpin olah seorang remaja lelaki tergesa-gesa menghampiri kami.

“PAS ada buat majlis Hari Raya ke?”

Termengah-mengah dia bertanya sambil dipimpin oleh remaja itu yang mungkin anaknya.

Saya tersenyum mengangguk dan memanggil beberapa Muslimat untuk melayan beliau.

Menurut pemerhatian saya, wanita tua itu agak rabun dan terpaksa dipimpin oleh anaknya untuk berjalan.

Saya kemudian telah diberitahu bahawa wanita tersebut baru saja mengetahui bahawa PAS ada menganjurkan majlis Hari Raya. Walaupun telah lewat tetapi beliau tetap mahu menghadirinya.

Wanita itu tidak dapat pergi bersendirian kerana matanya telah rabun dan terpaksa menggunakan tongkat kerana penyakit kencing manis.

Alangkah baik sekiranya kita di Pandan mempunyai lebih ramai ahli-ahli sedemikian.

Walaupun matanya telah rabun dan terpaksa bertongkat, majlis pula sudah hampir tamat namun semangat yang berkobar-kobar untuk menghadiri sebuah program PAS tidak dapat dilunturkan.

Jika semua ahli-ahli PAS yang segar bugar itu dapat mencontohinya maka ribuan akan menghadiri majlis-majlis kita.

Kita kerap mendengar pelbagai alasan dari ahli-ahli tentang kenapa mereka gagal menghadiri mesyuarat-mesyuarat atau majlis-majlis kita. Tetapi agaknya jika wanita tersebut mendengar akan alasan-alasan itu, mungkin beliau akan ketawa terbahak-bahak!

MEMAHAMI SUASANA SETEMPAT

Selepas pilihanraya umum 1999, PAS Kawasan Ampang Jaya ketika itu telah menjemput ahli Parlimen Bachok yang baru untuk menyampaikan taklimat tentang strategi pilihanraya.

Walau bagaimanapun, YB tersebut telah diingatkan oleh seorang AJK Kerja PAS Kawasan yang juga berasal dari Bachok bahawa suasana di Kelantan berlainan dari di Ampang Jaya.

Memang benar, kita mesti menyesuaikan segala strategi yang akan digunapakai dengan keadaan setempat. Sebarang strategi yang hendak digunapakai di Pandan mestilah bersesuaian dengan Pandan.

Kita bukanlah di kawasan-kawasan di mana pengundi Melayu adalah “overwhelming majority” dan PAS mempunyai beratus-ratus Cawangan seperti di Pendang atau Pengkalan Chepa.

Kita bukanlah juga di kawasan-kawasan di mana jumlah pengundi Melayu adalah kecil seperti di Seremban, Ipoh atau Bukit Mertajam. Tetapi kita di Pandan yang mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri.

Walaupun jumlah pengundi Melayu di Pandan adalah sekitar 52% tetapi jumlah penduduk Melayu mungkin lebih ramai kerana ramai dari mereka yang gagal mendaftar sebagai pengundi.
Di Pandan, PAS bertanding di kerusi Parlimen dan memimpin pakatan pembangkang. Kita tidak terperosok di satu cerok yang gelap tetapi merupakan suara yang penting di dalam membangkitkan isu-isu tempatan.

Oleh itu, merancang dan bertindaklah menurut keadaan dan suasana di tempat kita.

NASIB ORANG MELAYU

Saya tertarik kepada ucapan wakil Pemuda UMNO semasa perhimpunan UMNO yang baru lalu ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan.

Menurut Datuk Reezal Merican Naina Merican, walaupun kontrak-kontrak pembinaan diberikan kepada orang Melayu tetapi 80 peratus daripada jumlah kontrak keseluruhan akan pergi ke tangan bukan Melayu kerana pembekal-pembekal binaan adalah orang Cina.

Itupun kalau kontraktor-kontraktor Melayu mahu melaksanakan projek mereka sendiri tetapi walau apapun nasihat PM ketika pertemuan dengan Gabem (Gabungan Badan-Badan Ekonomi Melayu) di Pulau Pinang baru-baru ini, orang-orang UMNO akan tetap menjual projek-projek dan lesen-lesen mereka.

Saya pernah terlibat dengan sebuah projek yang diberikan kepada sebuah kontraktor Melayu tetapi projek itu 100% dijalankan oleh sebuah kontraktor bukan Melayu. Malah kakitangan kontraktor itu tanpa segan silu telah memakai baju dengan nama syarikat mereka di sepanjang projek tersebut.

Akibat dari perkara yang sedemikian, kita hanya melahirkan kelompok orang Melayu yang kaya walhal yang lain masih merempat atau ketinggalan.

Purata pendapatan bulanan isirumah orang Cina telah meningkat dari RM796 dalam tahun 1976 kepada RM4,437 dalam tahun 2004. Tetapi pendapatan bulanan isirumah orang Melayu telah hanya meningkat dari RM339 kepada RM2,711.

Projek diberikan kepada orang Melayu tetapi orang Melayu tidak mendapat peluang pekerjaan akibat dari penganugerahan itu atau diberikan kedudukan yang tidak penting dan tidak dapat memberikan apa-apa manfaat dari segi kemajuan kerjaya.

KAIN KAFAN

Keputusan Kabinet BN baru-baru ini untuk membenarkan warga asing dan pemastautin tetap (PR) membeli hartanah kediaman serendah RM250,000 tanpa perlu kelulusan FIC (Foreign Investment Committee) adalah sehelai lagi kain kafan yang akan membalut jenazah bangsa Melayu.

Ini bermakna mana-mana rakyat asing boleh sesuka hati membeli rumah di mana-mana di Malaysia sekira ianya berharga lebih dari RM250,000.

Dengan peraturan itu, jangan terkejut jika dalam masa lima tahun majoriti penduduk pembangunan-pembangunan baru di bandar-bandar besar adalah warga Singapura atau Taiwan.

Walaupun ada yang mendakwa bahawa ini akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi tetapi apalah gunanya semua itu apabila orang Melayu disisihkan secara sistematik dari bandar-bandar besar? Yang kaya hanyalah sebilangan kecil sahaja.

TUGAS ANDA

Keputusan di tangan kita. Pilihanraya umum akan menemui kita di dalam masa kurang dari 12 bulan. Kita perlu berusaha dari sekarang.

Masanya belum terlambat bagi anda atau keluarga anda untuk mendaftar sebagai seorang pengundi.

SPR telah melantik wakil kita, Sdra. Suhaimi Ghazali, sebagai Penolong Pendaftar, hubungilah dia di 016-307 8274 atau saya jika sesiapa mahu mendaftar.

Anda juga diperlukan untuk menganggotai Unit-Unit Peti Undi (UPU) di tempat anda. Sumbangan pendapat, fikiran dan tenaga anda amat diperlukan. Sekali lagi, hubungilah saya jika anda berminat.

Jika UPU di tempat anda tidak bergerak, hubungilah saya. Kita akan sama-sama pastikan ianya bergerak.

Zulkaedah 1427 / Disember 2006

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Assalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tuan-tuan dan puan-puan yang diberkati Allah SWT,

Saya rasa adalah tidak terlalu terlambat bagi saya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada tuan-tuan dan puan-puan.

Saya juga memohon ampun dan maaf zahir dan batin di atas segala kesilapan dan ketelanjuran.

Di bulan Syawal ini marilah kita sama-sama mengucapkan syukur kerana telah berupaya melalui segala cabaran di bulan Ramadhan yang baru lalu.

Marilah kita berdoa agar segala amal ibadat kita di bulan yang penuh berkat itu di terima Allah SWT.

Marilah kita juga berdoa agar kita diberi peluang untuk bertemu lagi dengannya pada tahun hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Ulamak telah memperumpamakan Ramadhan sebagai satu “madrasah”. “Madrasah” atau pusat pendidikan sepatutnya telah membentuk mereka yang melaluinya menjadi insan yang lebih bertaqwa.

Kalau dulu mereka jarang bersolat jemaah tetapi setelah bersolat tarawih setiap malam, mereka akan rajin pergi ke masjid atau surau.

Kalau dulu mereka jarang membaca Al-Quran tetapi selepas Ramadhan, membaca Al-Quran akan menjadi sebahagian dari jadual harian mereka.

Kalau dulu tidak pernah bangun malam tetapi selepas Ramadhan akan berusaha untuk bangun bermunajat kepada Allah SWT.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Peningkatan seperti ini amat penting terutamanya bagi ahli-ahli jemaah Islam seperti kita.

Baru-baru ini Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Dr. Hasan Ali, telah menyatakan rasa kesal kerana beliau mendapat laporan bahawa masih terdapat ahli-ahli PAS yang malas untuk bersolat jemaah.
Untuk Ahli-Ahli PAS Kawasan Pandan
Coretan YDP
Syawal 1427 / November 2006Oleh itu, saya ingin berkongsi peringatan agar kita sedaya-upaya menunaikan solat-solat fardhu kita berjemaah.

Sekiranya tidak dapat bangun malam pula, cubalah bangun awal sebelum subuh sekurang-kurangnya untuk solat dua rakaat sebelum masuk waktu.

Bagaimanakah kita akan mendapat pertolongan dari Allah SWT seperti pejuang-pejuang Hizbullah di Lubnan sekiranya perkara-perkara yang asas seperti ini masih belum beres?

Tuan-tuan dan puan-puan,

Majlis Hari Raya Aidilfitri Pandan tahun ini akan diadakan pada hari Sabtu 18 November 2006 dari jam 5.00 hingga 7.00 petang di Padang Perbandaran Ampang Jaya. Dato’ Hasan Ali akan turut bersama.

Saya berharap seluruh ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS akan hadir beramai-ramai.

Sepertimana kesemua program-program kita yang lain, ianya adalah khusus untuk ahli-ahli dan penyokong-penyokong. Walaupun ianya dirancang oleh AJK Kerja PAS Kawasan namun ianya bukan program untuk AJK Kerja PAS Kawasan sahaja!

Mereka dan AJK Penganjur hanyalah “kuli-kuli” yang akan menjayakan program itu untuk ahli-ahli dan penyokong-penyokong di semua peringkat.

Jika ahli-ahli gagal hadir maka ianya diibaratkan kenduri kahwin yang hanya dihadiri oleh tuan rumah dan para penanggah tanpa tetamu-tetamu!

Tuan-tuan dan puan-puan,

Keputusan untuk menganjurkan majlis tersebut di tempat umum adalah sesuai dengan hasrat kita untuk meletakkan PAS di tengah-tengah masyarakat.

Sekiranya PAS hendak memberi impak kepada masyarakat, ianya mestilah tidak kelihatan terpisah dari masyarakat. Ia tidak boleh hanya bergerak di dalam markas-markas atau di kalangan ahli-ahlinya sahaja jika mahu memimpin masyarakat.

Mesej Islam yang dibawa oleh PAS itu adalah untuk semua, bukan untuk ahli-ahli atau “orang-orang surau” sahaja kerana Rasulullah SAW diturunkan sebagai rahmat kepada sekelian alam.

Tidak memadai juga kita sekadar mengadakan program-program kita di tempat yang tersorok seolah-olah kita adalah sebuah pertubuhan haram.

Ambillah iktibar dari Ikhwanul Muslimin di bawah pimpinan Mohammad Mehdi Akef yang telah berjaya mengubah imej bawah tanah Ikhwan kepada yang bergerak secara terbuka dan memainkan peranan yang aktif di dalam senario politik Mesir masakini.
Berbanggalah kita juga dengan peranan PAS yang semakin dirasai di peringkat antarabangsa dan sesuai dengan peranan PAS yang lebih meluas ini, pejabat PAS di Taman Melewar akan dipindahkan ke sebuah bangunan 5 tingkat yang dibeli khusus di Jalan Raja Laut, di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Oleh itu, bagi kita di peringkat akar umbi perlulah berjiwa besar seperti pimpinan kita di dalam menyahut sebarang cabaran.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya telah difahamkan bahawa terdapat ramai ahli-ahli PAS yang kecewa kerana Cawangan-Cawangan mereka gagal menganjurkan apa-apa program. Mereka mahukan program-program tetapi AJK Cawangan mereka “buat tak kisah”.

Amat malang kerana disebabkan beberapa individu, mesej Islam itu telah terhalang dari sampai kepada ratusan malah ribuan rakyat di tempat tersebut.

Tetapi apakah penyelesaiannya?

Pertama, PAS Kawasan akan menggilirkan program-program utamanya di antara Cawangan-Cawangan.

Setiap Cawangan akan dihidupkan dengan program-program PAS Kawasan. Sama ada Cawangan bersedia atau tidak, PAS Kawasan tetap akan turun!

Kedua, penubuhan sistem zon akan memastikan setiap Cawangan dapat dihidupkan dengan program-program zon di mana setiap zon adalah terdiri dari lima hingga enam Cawangan dan program-program zon akan digilirkan di antara mereka.

Ketiga, jika terdapat ahli-ahli Cawangan yang mahu menganjurkan program tetapi mereka tidak dipedulikan oleh AJK Cawangan, mereka bolehlah menghubungi saya atau AJK Kawasan yang lain.

PAS Kawasan bersedia untuk turun menganjurkan program-program bersama di Cawangan-Cawangan sama ada di atas nama Kawasan, Dewan atau zon.

Saya yakin AJK biasa dan dan ahli-ahli biasa Cawangan berupaya menganjurkan banyak program seperti usrah, kuliah, ceramah kelompok, qiyamulail, ziarah, gotong-royong, khidmat masyarakat, program untuk remaja, program untuk wanita dan banyak lagi tetapi hasrat mereka ini terhalang kerana terdapat pimpinan Cawangan yang tidak bergerak.

Untuk mengelakkan mereka dari kecewa kerana terpaksa menunggu sehingga Ketua atau Setiausaha mereka “sedar dari mimpi”, perlu ada “talian terus” di antara PAS Kawasan dan ahli-ahli di akar umbi.

Malah bagi beberapa program atau gerakerja, seperti menganjurkan majlis Hari Raya, menaikkan kain rentang atau menerbitkan buletin, ahli-ahli boleh melakukannya di atas nama jalan, lorong, blok atau lokaliti-lokaliti lain di dalam Cawangan mereka.

Saya yakin baru-baru ini ada ahli-ahli yang merasa kecewa kerana Cawangan mereka gagal menaikkan kain rentang walaupun ia cukup mudah dilakukan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Mungkin ada yang bertanya, “Buat apa nak buat program PAS? Tempat kami tak ramai ahli”.

Nampaknya ada di antara kita yang telah lupa kepada pengorbanan para mubaligh yang telah datang ke Tanah Melayu ketika orang-orang Melayu masih lagi Hindu atau menyembah pokok kayu”.

Mereka tidak bertanya, “Buat apa aku datang ke tempat ini? Bukan ada orang Islam di sini”.

Atau kita telah lupa bagaimana Rasulullah SAW telah pergi ke Taif dan Baginda telah dibaling dengan batu-batu sehingga jubah Baginda telah basah kuyup dengan darah.

Saya yakin cabaran yang kita hadapi tidaklah sehebat yang dilalui oleh Rasulullah SAW atau mereka yang telah berjasa memastikan orang Melayu tidak lagi menyembah patung!

Selamat berjuang!

Syawal 1427 / Oktober 2006

ISKANDAR ABDUL SAMAD, YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PANDAN BERCAKAP TENTANG HARAPAN BELIAU.

Apakah perancangan PAS Kawasan Pandan selepas pilihanraya umum?

Kita telah membuat postmortem dan kita telah merangka strategi jangkapanjang dan jangkapendek tetapi untuk jangkamasa 12 bulan yang akan datang, kita telah mengenalpasti 3 tumpuan utama.

Apakah tumpuan-tumpuan tersebut?

Ianya adalah ahli-ahli PAS, para remaja dan masyarakat bukan Islam.

Apa yang hendak dicapai dengan menumpukan kepada ketiga-tiga perkara ini?

Bagi yang pertama, kita mahu memperkasakan ahli-ahli dan ini sekaligus akan memantapkan Cawangan-Cawangan. Kita mahu melahirkan ahli-ahli yang berilmu dan komited. Kita juga mahukan Cawangan-Cawangan sentiasa aktif sama ada pada tahun-tahun pilihanraya atau tidak.

Para remaja, sama ada lelaki atau perempuan, akan dihampiri bukan semata-mata kerana matlamat politik atau pilihanraya tetapi yang paling penting untuk menyelamatkan mereka dari terlibat dengan gejala-gejala sosial. Kita tahu agenda kerajaan BN adalah untuk menjauhkan para remaja dari agama agar mereka menjauhkan diri dari PAS.

Sementara kita juga akan memantapkan hubungan kita dengan masyarakat bukan Islam sama ada untuk tujuan dakwah atau tujuan politik dan pilihanraya.

Apa yang telah dirancang oleh PAS Kawasan untuk mencapai matlamat-matlamat itu?

Selepas pilihanraya kita telah mengambil tindakan yang berani dengan merombak saf kepimpinan Kawasan sesuai dengan matlamat-matlamat kita.

Untuk mencapai matlamat pertama, Lajnah Tarbiyyah & Latihan Kepimpinan akan menjadi penjana utama. Kita telah menganjurkan Tarbiyyah Haraki setiap hari Khamis menurut zon untuk menghasilkan ahli-ahli yang berilmu. Kita juga telah mewajibkan Cawangan-Cawangan mengadakan usrah sekurang-kurangnya dua kali sebulan dan mesyuarat Cawangan sebulan sekali. Kita berharap dengan pertemuan ahli-ahli Cawangan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan akan dapat merapatkan tali silaturrahim di antara mereka. Kita berharap ia dapat menjana program-program Cawangan secara berterusan.

Bagi remaja, Kawasan telah mengamanahkan tugas ini kepada Pemuda dan Muslimat. Kita tidak boleh menggunakan program-program yang lazimnya dianjurkan oleh PAS untuk menarik mereka. Kita mesti anjurkan program yang mereka mahu bukan program yang kita mahu. Kita juga hendak menarik mereka yang pakai seluar pendek dan yang tidak pakai tudung. Selama ini terdapat jurang di antara PAS dan mereka kerana kita gagal memahami citarasa mereka.

Pada saya tugas ini adalah amat berat, oleh itu janganlah kita menganggap tugas Pemuda hanya untuk menjaga parking semasa ceramah atau tugas Muslimat untuk menyediakan makanan semata-mata.

Hubungan dengan masyarakat bukan Islam pula telah wujud sejak sekian lama tetapi kali ini kita telah serahkan kepada Lajnah Hubungan Dalam Negeri untuk memantap dan melebarkannya.

Pada pilihanraya umum lepas, PAS di Pandan menonjolkan imej BA, imej PAS sebagai suara sekelian rakyat tidak kira dari apa bangsa dan agama sekalipun. Imej ini akan kita kekalkan.

Nampaknya peranan Lajnah dan Dewan adalah besar untuk mencapai matlamat-matlamat itu?

Dewan dan Lajnah adalah bagaikan kementerian-kementerian di dalam kerajaan. Mereka adalah jentera yang melaksanakan visi dan misi Kawasan.

Saya sebagai YDP malah AJK Kerja Kawasan secara “collective” mempunyai visi ke arah mana hendak dibawa Kawasan kita ini. Maka tugas Dewan-Dewan dan Lajnah-Lajnah adalah untuk memastikan segala matlamat yang ditetapkan itu menjadi kenyataan.

Lajnah-lajnah mestilah mempunyai perancangan yang terperinci untuk mencapai matlamat-matlamat itu. Zaman di mana Ketua-Ketua Dewan dan Pengerusi-Pengerusi Lajnah hadir di mesyuarat dengan tangan kosong telah berakhir. Kita berhadapan dengan UMNO yang sedang bekerja keras walaupun telah memenangi pilihanraya dengan cemerlang. Jika kita gagal bertindak sekarang kita akan ketinggalan pada pilihanraya umum ke XII. Jika Dewan dan Lajnah gagal maka Kawasan akan gagal.

Ada yang berkata bagaimana hendak mencapai matlamat kerana kita kekurangan dari segala bidang seperti kewangan, media, tenaga dsb?

Jika hendak menunggu sehingga segala-galanya lengkap baru hendak bergerak maka mungkin kita kena tunggu sehingga hari kiamat !

Ahli-ahli PAS terutamanya pimpinan Kawasan perlu bersikap positif. Kita mesti mendapatkan yang terbaik dari apa yang kita ada. Janganlah kita mengambil sikap ini mustahil dan itu mustahil. Kalau semuanya mustahil maka kita tidak perlu ada Lajnah atau jawatankuasa, lebih baik kita duduk di rumah sahaja !

Bagaimana pula dengan Cawangan-Cawangan?

Cawangan-Cawangan adalah bagaikan anak-anak kita. Ada yang rajin, ada yang malas, ada yang nakal, ada yang degil dan ada yang kuat merajuk. Ada yang kita puji dan ada yang kita marah. Tetapi seperti anak-anak kita, kita sayang mereka semua.

Begitulah realitinya apabila kita berurusan dengan manusia. Terdapat pelbagai ragam. Tetapi sebagai pimpinan kita mestilah berupaya mengenalpasti apakah ciri-ciri kekuatan sesuatu Cawangan supaya kita dapat memanfaatkan ciri-ciri itu untuk Kawasan.

Di Ampang Jaya ada sistem “bapa angkat” untuk memantau Cawangan, bagaimana pula sekarang?

Pemantauan sekarang dibuat oleh naqib-naqib usrah yang dipilih oleh Kawasan.

Naqib perlu memahami dan menjiwai aspirasi Kawasan Pandan bukan Kawasan lain. Jika kita mengambil naqib luar yang tidak terlibat dengan Kawasan atau naqib dalaman yang tidak terlibat dengan aktiviti Kawasan, kita tidak akan mencapai “Wihdatul Fikr” atau penyatuan fikrah di Pandan.

Adakah “Wihdatul Fikr” atau penyatuan fikrah ini begitu penting?

Jika kita lihat tarian singa masyarakat Cina, setiap anggota mesti bergerak dengan rentak dan langkah yang sama. Jika “singa” itu sedang meniti di atas kayu, bayangkan apa akan terjadi jika seorang anggota bergerak dengan rentak yang berlainan ? “Singa” itu akan jatuh akibat dari kesilapan seorang anggotanya.

Begitu juga dengan Cawangan-Cawangan, walaupun satu Cawangan tidak mempunyai halatuju yang sama dengan Kawasan maka usaha-usaha Cawangan-Cawangan lain akan menjadi sia-sia.

Adakah terdapat kekeliruan tentang usrah?

Usrah-usrah sepatutnya menjadi “unit-unit kerja” yang sentiasa bersedia untuk melaksanakan arahan-arahan Parti. Ianya bukan kumpulan manusia yang hanya datang duduk untuk mendengar kuliyyah, kemudian balik dan membuat hal masing-masing. Ia sepatutnya melahirkan para aktivis yang mantap dan bukan sekadar kumpulan pendengar yang setia. Usrah bukan tempatnya untuk “mengaji ilmu” tetapi adalah tempat untuk mewujudkan susana kekeluargaan di antara ahli-ahli di mana berlaku pertautan hati-hati. Tempat di mana ahli-ahli dapat memperkembangkan bakat-bakat mereka di dalam pelbagai bidang yang relevan bagi seorang pendakwah. Inilah takrif usrah yang digariskan oleh Pusat, yang hidup subur sejak penubuhan PAS sehingga berlakunya ledakan Reformasi dan juga yang wujud di kampus-kampus.

Tetapi di manakah tempatnya bagi ahli-ahli untuk “mengaji ilmu”?

Kawasan telah menyediakan kuliyyah Tarbiyyah Haraki yang khusus untuk ahli-ahli. Ianya diadakan menurut zon agar ahli-ahli senang menghadirinya. Apa yang disampaikan di dalam Tarbiyyah Haraki tidak boleh didapati di masjid atau surau. Ianya menyentuh secara langsung strategi jemaah dan isinya perlu dirahsiakan. Kawasan telah mengambil tenaga pengajar dari Pusat dan Pemuda Pusat agar halatuju Kawasan bertepatan dengan halatuju Pusat. Jika para aktivis tidak menghadirinya, mereka akan menghadapi masaalah untuk memahami arahan dari atas. Mereka akan tercicir dari pemikiran arus perdana jemaah.

Saudara terlibat dengan PAS sejak tahun 1991, bolehkah saudara ceritakan keadaan ketika itu ?

Ketika itu ahli dan Cawangan tidak seramai sekarang tetapi komitmen mereka adalah begitu tinggi. Mereka meletakkan nilai yang tinggi kepada PAS.

Ketika saya dilantik sebagai Setiausaha PAS Kawasan ( 1993 ), ekonomi Malaysia baru saja pulih dan saya begitu sebok dengan kerja-kerja di pejabat dan kadang-kadang terpaksa bekerja sehingga jam 3 pagi. Tetapi saya takut hendak menolak perlantikan itu kerana saya ditarbiyyah bahawa jika saya tidak ada masa untuk kerja-kerja Allah maka Allah pun tidak akan ada masa untuk saya. Saya takut sekiranya doa-doa saya akan ditolak dan rezeki ditarik. Lapang dan sebok, kaya dan miskin adalah di tangan Allah bukan manusia yang menentukannnya.

Untuk dipilih atau dilantik sebagai AJK Kawasan atau Cawangan ketika itu adalah satu penghormatan. Jarang yang menolak dan kehadiran mesyuarat adalah hampir 100%. Faktor “dosa dan pahala” menjadi motivasi kepada mereka.

Jika ada ceramah atau kuliyyah, AJK-AJK Kawasan akan datang awal bukan sebagai VIP untuk mendengar ceramah tetapi datang untuk bekerja menjayakan ceramah. Walaupun saya Setiausaha PAS Kawasan, kadang-kadang saya juga menjaga simpang dengan “torchlight”. Ketika itu di Ampang Jaya, kawasannya empat kali lebih luas dari Pandan.

Seorang jeneral Perancis berkata setelah kekalahan mereka kepada tentera Vietnam Utara di Dien Bien Phu dalam tahun 1954, “Kita kalah kerana jeneral-jeneral mereka memakai pakaian dan memakan makanan yang sama seperti tentera-tentera biasa”.

Apakah motivasi bagi para aktivis untuk terus berjuang di dalam suasana yang mencabar ini?

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang dijalannya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh – As-Saf : 61. Motivasi yang paling utama adalah janji syurga dari Allah. Selain dari itu kita sepatutnya bertanya adakah solat kita, puasa kita, zakat kita dan haji kita sudah cukup memadai untuk meringankan azab kubur atau kepedihan sakratul maut ? Kita semua memerlukan belas ihsan dari Allah maka bantulah agama Allah dan Allah akan membantu kita.